Resah hatiku apabila diberitahu oleh Puan Sri Zaida yang anaknya akan datang untuk makan malam di rumah mereka. Kenapa aku pula yang rasa sebegini sedangkan aku tidak pernah mengenali anak makcik Zaida. Tak pernah sekali pun terdetik di hatiku untuk mengenali anak makcik Zaida buat masa ini. Aku berdoa agar anaknya jenis yang baik seperti ibu dan bapanya.
Aku terdengar makcik Zaida bersembang dengan seseorang di talian telefon. Mungkin dengan anaknya. Puan Sri Zaida meminta agar anaknya datang awal sedikit malam ini. Kemesraan jelas tergambar dari nada perbualan mereka berdua.
Aku menghampiri makcik Zaida apabila talian telefon telah dimatikan. “ Malam nanti Adam balik sini. Makcik minta dia datang untuk makan malam bersama malam nanti. Boleh Chempaka berkenalan dengan Adam. Dah empat hari Chempaka kat sini tak pernah dia nak balik jumpa tetamu makcik ni, malam ni dia mesti datang. Makcik nak dia kenal dengan Chempaka. Bukan senang Chempaka nak datang rumah makcik lagi, entah-entah tak datang langsung lepas ni”.
“Insya Allah,…saya mesti selalu datang menjengguk makcik kat sini. Saya tak mungkin melupakan jasa baik makcik dan pakcik pada saya”. Janjiku pada makcik Zaida akan aku tunaikan kiranya masa mengizinkan. Aku telah mengganggap makcik Zaida dan Pakcik Zaid sebahagian dari keluarga aku. Selama ini aku sangka sahabat lama mama dan ayah ini tidak penting bagiku. Rupanya aku tersilap…mereka menyanyangi aku seperti anaknya sendiri.
Sedari petang lagi makcik Mariam sibuk memasak juadah makan malam. Aku menawarkan diri untuk membantu tetapi telah dihalang olehnya. Aku memberitahunya puan Sri Zaida telah membenarkan aku membantu makcik Mariam di dapur. Dengan berkata demikian barulah aku diberikan kebenaran untuk menolongnya.
Seronok pula membantu makcik Mariam menyediakan hidangan. Perkara seumpama itu adalah perkara biasa bagiku. Aku tidak kekok melakukan kerja-kerja memasak di dapur kerana aku adalah pembantu chef puan Hanum yang paling kanan apabila tiba cuti semester. Makcik Mariam pun tak terkata apa apabila melihat caraku bekerja didapur. Alah bisa tegal biasa…masak-masak ni perkara kecil je bagi anak kampung sepertiku…
Hampir senja semua kerja masak-memasak telah aku selesaikan bersama dengan makcik Mariam. Aku meminta diri untuk mandi dan bersolat maghrib. Takut tuan rumah menunggu aku nanti apabila kelewatan aku menunaikan suruhan Allah. Tiba-tiba bilik ku huni diketuk dari luar. “ kejap…kejap…” aku meluru membuka pintu. “ Chempaka dah solat ke belum ni?. Kalau belum, jom kita solat berjemaah kat bilik solat sebelah”. Aku yang masih belum menunaikan kewajipan kepada yang Maha Pencipta bergegas memakai telekung dan mengekori Puan Sri Zaida ke bilik sembahyang.
Ketika melangkah masuk ke bilik solat, aku perasan ada dua lelaki yang sedang berdiri mengadap kiblat. Yang satu tu, memang aku dah sedia maklum tentunya Tan sri Zaid tetapi yang seorang lagi tu yang aku musykilkan. Mungkinkah itu anak bujang mereka. Mengapa aku boleh tak perasan akan kepulangannya. Mungkin juga waktu itu aku berada dibilik.
Apabila Tan Sri Zaid mengimamkan solat maghrib, aku teringatkan ayah di kampung. Suasana yang sama akan berlaku sekiranya kami berkumpul anak beranak, berjemaah pada waktu solat maghrib adalah perkara biasa.
Selesai doa dibaca, kami bersalam-salaman. Aku hanya bersalam dengan Puan Sri Zaida dan makcik Mariam sahaja. Tanpa berlengah lagi aku meminta diri untuk menyimpan telekung di bilik. Puan Sri menggingatkan aku agar segera turun ke ruang makan utama keluarga kerana sekejap lagi makan malam bersama dengan mereka semua.
“ Adam!...ni mummy nak kenalkan,… Chempaka. Mama Chempaka ni, Adam masih ingat lagi tak?. Makcik Hanum yang selalu sembang dengan mummy melalui telefon tu?. Kawan baik mummy yang berasal dari Kelantan tetapi sekarang dah menetap di Ipoh”. Bersungguh-sungguh makcik Zaida menjelaskan pada Adam Hasif.
“ Entah la, mummy…Adam ingat-ingat lupa le…kawan mummy ni ramai sangat. Nanti kalau ada masa bila kawan mummy tu sampai boleh la Adam berkenalan, ya…”. Dari reaksi anak tunggalnya itu nampak sangat yang Adam tidak berminat untuk tahu dan mengambil tahu berkenaan mamaku.
Aku pun tidak kisah kalau dia tidak mahu tahu berkenaan keluargaku. Bagiku dia bukan siapa-siapa pada kami, sekadar anak kepada kawan baik mama. Jangan ingat dia kaya raya aku hadap sangat nak perkenalkan ahli keluarga aku pada dia. Ramai lagi anak kawan mama yang lebih baik untuk mama kenal…anak makcik Jenab, anak makcik Leha kampung sebelah, anak makcik Tijah pun baik orangnya. Ada aku kisah kalau dia tak nak kenal mama aku.
Makan malam kami dimeriahkan dengan perbualan makcik Zaida dan pakcik Zaid berserta Adam. Aku hanya mencelah apabila ditanya oleh mereka sahaja. Perbualan mereka banyak berkisar tentang dunia perniagaan, saham dan isu-isu politik tanah air. Semua isu tersebut tidak dapat dianalisis oleh otakku. Aku memang tidak berminat dan kurang peka dengan isu=isu yang dibincangkan oleh mereka anak –beranak.
Selesai makan malam, kami dihidangkan dengan puding roti buatan tangan makcik Mariam. Pakcik Zaid tetap dengan air kopi panas kesukaannya. Sesekali mata Adam tetap menjeling kearah Chempaka tetapi tidak dipedulikan olehnya. Berlagak bagus sangat…aku tak sepatah ayat ditegurnya sejak dari tadi. Masakan aku pula yang hendak memulakan perbualan. Iskh…iskh…iskh…tak pernah dibuat oleh aku untuk memulakan perbualan dengan kaum spesies ini.
Masa begitu pantas beredar, jam telah hampir ke pukul sebelas malam. Aku meminta kebenaran untuk ke bilik tidur. Tiada apa yang boleh aku bualkan dengan mereka anak-beranak. Makcik Zaida mengiakan dan mengizinkan aku masuk tidur. “ Esok Adam tak kerja, boleh bawa Chempaka jalan-jalan”. Aku bagaikan tertelan biji kurma apabila mendengar kata-kata dari mulut makcik Zaida. “ Esok Chempaka tak nak pergi mana-mana makcik. Ada kerja khusus sikit lagi yang perlu disiapkan”. Harapanku agar dengan alasan tersebut, makcik Zaida tidak memaksa Adam untuk membawaku keluar. “ Mummy, esok Adam ada hal sikit dengan kawan…tak dapat rasanya nak bawa Chempaka keluar. May be, lain kali”.
Lega aku apabila tuan punya badan sendiri yang menolak dan memberikan alasan yang lebih konkrit. ‘ Nasi tak dingin, pinggan tak retak, dia tak ingin aku pun tak hendak’…bukan aku tak tahu dari pandangan mata dia sahaja sudah memadai yang dia tak menyukai aku.
Malam kian melabuhkan tirainya, mataku masih susah untuk dilelapkan. Terbayang-bayang wajah Adam dilayar mataku, kacak orangnya. Tak rugi sesekali aku mencuri pandang ke arahnya. Perasan handsome!!!...menyampah aku dengan mamat perasan macam tu. Sakit hatiku apabila teringat cara dia memandang ku tadi. Aku seolah-olah tidak wujud sahaja di depannya. Nasib baik muka handsome, sejuk sikit mataku memandangnya. Dapatku seimbangkan antara sakit hati dan sejuk mata memandang.
Pagi-pagi lagi aku terjaga dari tidur. Pelik betul apabila aku fikirkan, mengapa sukar sekali mataku untuk tidur dan begitu mudah pula terjaga di kala ini. Tidak selesakah aku apabila si mamat perasan tu ada di rumah ini?. Mudah-mudahan hari ini dia tidak akan muncul lagi sehinggalah aku balik kampung nanti.
Aku turun ke dapur untuk membantu makcik Mariam menyediakan sarapan pagi. Becok mulut makcik Mariam menceritakan kepadaku sarapan pagi yang disukai oleh mamat perasan bagus tu…aku tak kisah dan tak perlu kisah melainkan mamat tu adalah bakal suamiku. Kalau ditakdir sekalipun aku nak kawin, jangan haraplah aku pilih lelaki seperti mamat perasan bagus nie…aku rela jadi anak dara tua dari mendapat suami macam dia. ‘ Eh!!!...jangan la jadik anak dara tua pula…tak merasa naik palamin karang’….malu Puan Hanum dapat anak dara tua. Kecoh sekampung nanti anak dara encik Razak tak kawin-kawin nie.
“ Sampai bila Chempaka kat sini?. Seronok makcik sejak Chempaka ada, dah la cantik…pandai buat kerja rumah…sopan, baik…semua ada pada Chempaka. Berkenan makcik kalau anak perempuan semua macam Chempaka nie. Untung suami Chempaka nanti. Kalau la makcik ada anak lelaki bujang, nak aje makcik jadikan Chempaka ni menantu”. Ketawa` besar Chempaka mendengar kata-kata makcik Mariam.
“ Betul ke makcik nak buat Chempaka menantu nie?. Bila nak masuk meminang?. Wah!...seronok Chempaka nak tunggu pinangan daripada makcik. Hantaran lebih sikit tau!...sebab makcik kata tadi Chempaka ada pakej yang lengkap. Makcik,..makcik…jangan nak memuji lebih,…perasan Chempaka pulak…mana ada cantiknya Chempaka ni. Kalau cantik dah tentu ada orang nak kat Chempaka, sampai sekarang tak ada ‘boyfriend’ pun. orang macam Chempaka ni, taka da yang nak…makcik”.
Aku tidak memberikan jawapan yang betul-betul sebaliknya hanya gurauan semata-mata bagi memeriahkan suasana pagi. Gelak tawa dan gurauan kami berdua menarik perhatian Puan Sri Zaida.
“ Rancaknya perbualan orang berdua ni. Apa yang menarik sangat tu? . Dah siapkan sarapan ke?. Masak apa pagi ni?. Chempaka ke kamu yang masak, Yam?. Lontaran soalan dari Puan Sri seumpama peluru berpandu sahaja. Bertubu-tubi.
“ Ni…bersembang pasal Chempaka…katanya masih tak de buah hati lagi, masih solo. Nak aje saya buat menantu kalau saya ada anak lelaki bujang…tapi, malangnya semua dah kawin. Muka lawa macam ni, katanya masih tak lawa…sekali saya tengok Chempaka ni macam pelakon filem je…tak ubah macam Sarimah.” Puan Sri Zaida mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh orang gajinya.
“ Makcik jangan dengar sangat cakap makcik Mariam ni…dia dah terlebih memuji sebab nak minta Chempaka membantu dia masak. Kalau makcik Yam tak puji melangit macam tu pun Chempaka tetap akan tolong makcik Yam kat dapur ni”. Mukaku dah merah menyala mengalahkan biji saga, akibat dari rasa malu yang menebal.
“ Betul tu Yam…muka cantik macam Chempaka ni, bukan susah nak cari buah hati…Cuma, takut Chempaka aje yang jual mahal”. Bukan main lagi Puan Sri ni mengenakan aku kali ni.
Sarapan pagi dihidangkan di meja makan utama keluarga. Adam masih tidak mempedulikan kehadiran ku di sini. Aku seolah-olah makhluk halimunan yang tidak pernah wujud didepan matanya. Memang berlagak betul mamat ni, tak ubah macam Mr.Arrogant.
Riuh suara Puan Sri Zaida bercerita dengan anak tunggal kesayangannya. Adam juga cukup ceria apabila bersembang dengan mummy dan papanya. Aku betul-betul menjadi pemerhati kepada kemesraan keluarga ini.
“ Chempaka ni ada dua hari lagi kat sini, Adam tak payah balik ke rumah Adam dulu. Mummy nak dua hari ni, Adam luangkan masa kat rumah kita, boleh kita sembang-sembang. Kesian Chempaka ni, boring tak de kawan. Adam…habis kerja nanti balik sini. Mummy tak nak dengar sebarang alasan.” Puan Sri Zaida menggingatkan anak bujangnya sekali lagi.
Keluhan berat keluar dari rongga hidung Adam Hasif. Musibah apa yang menantinya lagi. Mummynya kalau memberi arahan bagaikan komander askar aje layaknya. Perempuan ni pun satu…dah bisu ke apa?. Sedari tadi tak ada sepatah kata yang keluar dari mulutnya. ‘ Muka aje cantik… tak pandai bawa diri langsung. Menyusahkan aku tak habis-habis. Lepas satu-satu masalah yang dibawanya.’ Jangkel sekali pandangan Adam pada Chempaka.
Adam bangkit dari kerusi , menyalami tangan mummynya dan meyapa mesra pembantu rumah mereka. Tan Sri Zaid awal-awal lagi telah keluar ke pejabat. Tanpa memandang wajah Chempaka, dia terus melangkah keluar. Hatiku tertanya-tanya, apa jenis manusia mamat ni…tak beradab betul. Berlagak tak kena tempat. ‘ Benci!!! benci!!!benci!!!...memang aku benci dia nie.
Kereta jenis Audi RS6 Avant-13 dipandu laju oleh Adam menuju ke tempat kerja. Sambil menyanyi perlahan terakam kembali perbualannya dengan mummy tadi. Begitu sayang mummy pada Chempaka. Nak jadikan calon menantu ke? Kalau ya, untuk siapa…tak mungkin untuk aku. Lagi tak masuk akal kalau untuk papa…calon ibu tiriku…ha…ha…ha…pengsan tak sedar terus seumur hidupku.
Cantik???...memang cantik budak perempuan yang bernama Chempaka ni. Kalau dibandingkan dengan Marissa, Chempaka lagi cantik. Cantik yang asli, tak payah tampal make-up berkilo-kilo kat muka dah cukup cantik. Lily pun sama, bersolek tebal lima inci macam mana mummy nak berkenan untuk calon menantunya. Yang ini…memang ada dalam kelasnya yang tersendiri. Agak-agaknya perempuan macam ni ke citarasa mummy untuk jadi menantunya.
Apa hal ni, asyik teringat pada budak Chempaka tu aje hari ni. Satu kerja pun tak jalan lagi. Nama dah la pelik…klasik…macam zaman purba pun ada, ngapa tak bagi nama Kenanga ke, Melur ke, Melati ke atau nama-nama bunga yang lain. Lebih sedap di sebut sikit. Nanti dia dapat anak perempuan di letak nama anaknya bunga matahari, tak ke haru jadinya. Masa tu…kalau dia kawin dengan aku, dah pasti itu nama anak aku juga…cucu Puan Sri Zaida. Tak nak aku dapat isteri yang ala-ala purba ni. Nanti diajaknya aku tinggal kat dalam gua lagi naya dibuatnya.
Tersenyum sendirian Adam bila terkenangkan lamunannya yang tidak berasas tadi. Mummy pun tidak berkata apa-apa, dia pula yang berfikir bukan-bukan. Sudah terbalik ke sekarang?. Kalau ikutkan Makcik Yam…Chempaka tu ‘perfect’ untuk dijadikan calon isteri.
Setiusahanya yang kecil molek mengetuk pintu biliknya berkali-kali tetapi tidak dipedulikan sehingga dia menolak sendiri daun pintu bilik tersebut tanpa menerima sebarang arahan membenarkan dia masuk. “ Encik Adam!...” panggilan Nani masih belum disahut. “ Encik Adam!!!....kenapa ni?” berkerut dahi Nani menanti jawapan dari Adam.
“ Eh, Nani ada apa-apa untuk saya hari ni? Bila kamu masuk bilik saya? Siapa yang benarkan awak masuk ni?.” Bertalu-talu soalan dari mulut Adam.
“ Saya ketuk pintu bilik encik Adam banyak kali, sampai naik kematu tangan saya ni…tak ada jawapan. Saya yang masuk sendiri tanpa kebenaran dari encik Adam. Saya minta maaf…Saya takut encik Adam ada masalah . Takut-takut encik Adam pengsan tadi kat dalam sorang-sorang. Encik Adam ada masalah ke?”. Dengan penuh tanggung jawab, Nani cuba membantu ‘ Bossnya’.
“ Tak ada apa-apa, saya o.k. You tak payah risau, fasal I o.k. Ada apa-apa yang penting untuk I hari ni? Kalau taka da you boleh keluar.” Balas Adam seperti biasa.
“ Hari ni lepas lunch hour, encik Adam ada temujanji dengan Datuk Kamarul dari Teguh Corpration. Jam sepuluh pagi Tan Sri Zaid nak jumpa dengan semua board meeting. Encik Adam kena attend Board Meeting…itu pesan Tan Sri pada saya kejap tadi. Itu sahaja untuk hari ni. Apa-apa nanti encik Adam boleh panggil saya.” Nani meminta diri dan keluar ke tempatnya bagi melakukan tugas-tugasnya yang lain.
Seharian di pejabat begitu memenatkan. Sebagai CEO di syarikat yang ternama dan berdaya saing tinggi bukan calang-calang orang yang boleh mengendalikan jawatan yang begitu penting. Adam Hasif masih muda tetapi mempunyai kredibiliti yang tinggi bagi memegang amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Dalam usia tiga puluh tahun, dia mampu menjadi orang sepenting itu di syarikat milik Tan Sri Zaid. Tiada apa yang perlu dibanggakan oleh seorang ayah apabila anak yang diharapkan boleh memikul tanggung jawab dengan begitu baik. Itulah satu-satunya anak yang dia ada. Anak yang bakal mewarisi keseluruhan harta miliknya.
Lantaran itu dia perlu menentukan pilihan yang baik bagi meneruskan kesinambungan syarikatnya. Bukan perkara yang mudah baginya untuk membentuk empayar perniagaan sehebat ini. Siapa yang tidak mengenali Tan Sri Zaid di dalam dunia perniagaan, seorang tokoh korporat yang disegani oleh kawan dan lawan.
Bagi melengkapkan kehidupan waris tunggal Berjaya Padu Holdings, pendampingnya juga seharusnya seorang yang hebat. Sehebat isterinya, Puan Sri Zaida…itulah impiannya yang belum diluahkan kepada Adam Hasif. Masanya pasti akan tiba dan pilihannya bersama Puan sri wajib diikuti oleh anak tunggal kesayangannya.
Menolak pilihan mereka bererti Adam Hasif mengecewakan harapan dan impian mereka berdua dan Tan Sri Zaid sedia maklum, Adam tidak mungkin akan menolak pilihan mereka. Adam Hasif bukan dipaksa dalam hal yang satu ini tetapi mereka harus berdiplimasi bagi membantu dia membuat pilihan yang tepat.
Sepulangnya dari pejabat, Adam terus masuk ke kamarnya. Keletihan yang jelas ketara pada riak wajahnya. Tiada segaris senyuman pun terukir di wajah kacaknya. Pantas sekali anak-anak tangga didaki olehnya. Terpana Chempaka melihat perlakuannya yang begitu…bagaimana hendakku sampaikan pesanan dari Puan Sri ni.
Petang tadi makcik Mariam terpaksa memohon cuti kerana anaknya terlibat dengan kemalangan jalan raya di selatan tanah air. Bergegas makcik Mariam balik dengan menaiki teksi yang di sewa melalui panggilan telefon. Puan Sri Zaida dan Tan Sri Zaid menghadiri majlis makan malam anjuran sebuah badan amal di sekitar Kuala Lumpur. Chempaka Maisara bersendirian dari tadi selepas pasangan suami isteri keluar tadi.
‘ Agak-agaknya Adam telah dimaklumkan oleh Tan Sri dan Puan Sri. Tak payah aku nak menyibukkan diri dalam urusan keluarga mereka. Nanti tak fasal-fasal ribut taufan melanda dalam rumah besar lagi mewah ni. Tak sanggup aku untuk menghadapi sendirian, sementelah semua orang tiada.’ Lebih baik aku buat hal sendiri. melayari internet lagi menyeronokkan dari memikirkan tentang mamat perasan bagus tu…
Selepas solat insyak, aku bercadang untuk menelefon mama memandangkan tinggal esok dan lusa sahaja lagi aku menghabiskan sisa waktu ku menumpang di banglo mewah kepunyaan Tan Sri Zaid. Aku lebih selesa bermalas-malas di bilik tidur sahaja…tertidur juga akhirnya.
Loceng rumah berbunyi nyaring. Sekejap-sekajap berbunyi semula. Pada fikiranku, tentunya pasangan Tan Sri dan Puan Sri yang baru balik. Tetinggal kunci agaknya. Hanya dengan menyarung tudung yang sememangnya sentiasa ada di tempat penggantung, aku melangkah turun…alangkah terkejutnya aku apabila melihat Adam telah berada di bawah membuka pintu.
Serasa mahu pengsan aku apabila melihat beberapa orang berkopiah dan bersongkok sedang bercakap-cakap dengan Adam. Menggeletar seluruh badanku. Adam hanya memakai bermuda separas lutut dan tidak berbaju sedang disoal siasat oleh mereka semua.
Semua mata memandang ke arahku apabila aku menghampiri mereka. Sempat aku melihat raut muka Adam yang tidak beriak. Apa yang sedang berlaku sekarang?. Mereka semua memerhatiku pula seolah-olah aku telah melakukan kesalahan yang besar. Terasa malu pula apabila menyedari pakaian yang aku pakai pada malam ni. Kaftan batik dari Kelantan kiriman nenek yang menjadi kegemaranku.
“ Errr…apa yang dah berlaku ni?. Encik-encik semua ni siapa?. Kenapa pandang saya macam ni?.” Kesabaranku begitu tercabar apabila tiada penjelasan dari Adam mahupun tetamu yang tidak di undang tersebut.
“ Kami dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kami dapati encik berdua berkhalwat. Tolong keluarkan kad pengenalan masing-masing.” Salah seorang dari pegawai agama tersebut memberikan arahan.
“ Tangkap khalwat???...kami bukan berdua aje encik. Makcik Mariam ada kat dalam. Ada dalam biliknya.” Sah memang Adam tidak tahu yang makcik Mariam pun tiada malam ni.
“ Awak…Makcik Mariam tiada. Dia balik Johor petang tadi. Anaknya kemalangan. Mummy dan papa awak pun tiada, mereka ada majlis kat luar.” Setenang mungkin aku mengawal diri untuk menerangkan pada Adam.
“ What???...” kuat sekali tempikannya.
“ Encik dan cik…boleh bagi kad pengenalan pada kami sekarang. Kami terpaksa menjalankan tugas kami. Jangan buang masa kami dengan perkara lain. Dah memang kamu berdua bersalah dalam hal ini. Berdua dalam rumah dalam keadaan yang macam ni. Apa-apa hal kita bincang di pejabat agama”.
Bagaikan mahu gugur jantungku apabila semudah itu aku dijatuhkan hukuman tanpa ada pembelaan. Mengikut pegawai agama tersebut, mereka mendapat panggilan telefon yang mengatakan ada kejadian maksiat kat rumah besar Tan Sri. Memalukan…
Rupa-rupanya apabila pulang dari pejabat petang tadi, Adam tidak menutup semula pintu pagar rumah kerana sangkanya makcik Mariam ada dan akan menutup pintu pagar tersebut. Nasi sudah menjadi bubur…bubur pun buburlah janji masih boleh dimakan.
Share this novel