Hiruk -pikuk bilik mesyuarat 1 dengan ragam staffnya apabila berkumpul. Kebisingannya mengalahkan suasana peniaga-peniaga pasar malam melelong jualan masing-masing. Chempaka dan Fira mengambil tempat yang agak terkebelakang. Pada pendapat mereka, biar di barisan belakang sedikit agar memberi peluang staff –staff lama berada di kedudukan hadapan.
Suasana riuh tadi beransur-ansur menjadi senyap apabila pengerusi kelab staff mengambil tempat dan membuat pengumuman. Satu-satu tempat dibahagian depan sengaja dikosongkan kerana katanya, pada hari ini mereka bertuah, CEO mereka akan turut sama dalam mesyuarat kelab kali ini.
Hati Chempaka bagaikan digaru-garu untuk melihat siapakah gerangan CEO syarikat gergasi ini. Betulkah dia sekacak orang yang digambarkan oleh Fira. Dalam masa yang sama debarannya begitu kencang memalu dada. ‘Apa kena dengan aku ni, berdebar-debar semacam aje. Bukan aku tak biasa dengan suasana macam ni’. Bisik Chempaka sendirian. Chempaka cuba sedaya mungkin untuk mengawal perasaanya kala ini. Dia sendiri keliru dengan perasaan yang sedang melandanya saat ini. Dalam hati dia berdoa semoga Fira tidak perasan dengan perubahan yang sedang berlaku.
Chempaka cuba sedaya upaya untuk memberikan perhatian terhadap ucapan pengerusi yang sedang meulakan majlis. Kata-kata aluan yang dimulakan oleh pengerusi kelab menarik perhatian semua pekerja Berjaya Padu Holdings termasuk Chempaka dan Fira. Chempaka cuba-cuba memanjangkan lehernya mencari dua orang kawan mereka, Zarif dan Farhan. Kelibat mereka jarang kelihatan di aras pejabat yang menempatkan Chempaka dan Fira kerana mereka semua berada di department yang berbeza. Hanya sesekali apabila ada perkara yang berkaitan sahaja mereka berjumpa. Masa begitu terhad untuk berbual panjang memandangkan masing-masing mempunyai kekangan waktu yang harus diutamakan.
Lamunan Chempaka terhenti apabila pengerusi mengumumkan kehadiran CEO syarikat yang sedang berdiri bersebelahannya. Terbuntang mata Chempaka memandang tepat ke arah makhluk Allah yang tidak di sangka-sangkanya itu terpacak di barisan hadapannya sekarang ni. ‘ Ya! Allah…kenapa mamat senget ni CEO syarikat . Mati aku!!!...’. Desis hati kecil Chempaka.
Cepat-cepat Chempaka mengecilkan badannya dan cuba menyorok dibelakang Fira. Chempaka tidak mahu kehadirannya di bilik mesyuarat 1 ini disedari oleh Adam. Dia mesti mencari jalan agar Adam tidak perasan keberadaannya disini. Sekilas Chempaka memusatkan perhatiannya ke wajah Adam yang kelihatan begitu berkarisma dan penuh ketokohan. Kali ini Chempaka benar-benar tertegun dengan kewibawaan yang dimiliki oleh suaminya. Adam rupa-rupanya bukan sebarangan lelaki.
“ Chempaka, apa kena dengan kau ni? Dari awal tadi aku nampak macam orang sakit perut aje. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan kau”. Fira menyedari ketidakselesaan Chempaka saat ini.
Chempaka tidak menghiraukan pertanyaan dari Fira. Dalam kotak fikirannya kini, hanya satu sahaja. Melepaskan diri dari Adam si CEO syrikat yang baru diketahuinya. Bagaimanakah bentuk nasibnya kali ini. Jauhkanlah aku dari permasalahan baru yang bakal menimpa, kiranya Adam mengetahui aku berada di syarikat miliknya selama ini. Chempaka takut Adam akan memperlekehkan dirinya dengan memalukannya lagi. Chempaka tidak sanggup menghadapi situasi sedemikian.
Perlakuan Adam bukannya boleh diduga. Chempaka tidak mahu menjadi mangsa Adam dalam setiap ruang hidupnya. Masa dirasakan begitu lambat berjalan. Kalau dia tahu keadaan ini yang akan berlaku lebih baik dia tidak menyertai perbincangan yang sedang diadakan. Dia lebih rela menjadi kera sumbang disaat orang lain sedang berkumpul dan berseronok dengan agenda yang akan dilaksanakan oleh mereka semua. Sesak dadanya apabila memikirkan pelbagai keanehan yang sedang dialami dalam hidupnya. Berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dicintainya, bekerja dengan suami dibawah satu bumbung tetapi tidak diketahui olehnya dan yang menambahkan keanehan apabila mendapat tahu lelaki yang bergelar suami adalah peneraju utama syarikat korporat terbesar di Malaysia. Aduhai anehnya dunia…
“ Pembahagian kumpulan masing-masing untuk setiap pekerja. Chempaka, harap-harap kita dapat dalam satu group. Senang sikit nanti kat sana”. Suara Fira mengejutkan Chempaka dari lamunannya.
“ Errr…apa dia Fira?” . Tanya Chempaka untuk mendapatkan kepastian. Sekilas Fira memerhatikan wajah Chempaka yang kelihatan berbeza dari kebiasaannya.
“ Aku cakap, kalau kita dapat berada dalam group yang sama tentu bestkan kat sana. Senang sikit kita nak join aktiviti. Kau dengar tak ni?. Macam orang angau je, aku Nampak kau ni”. Fira sempat menyiku Chempaka agar kembali fokus pada agenda mesyuarat yang sedang hangat diperbincangkan.
“ Dengar, sape kata aku tak dengar. Tadi aku tak perasan apa yang kau cakap. Harap - harap macam tu le. Kalau dapat dalam satu group kan bagus”. Balas Chempaka, seolah-olah dia memberikan perhatian terhadap agenda mesyuarat yang diperbincangkan.
Tiba-tiba sahaja pengerusi kelab staff meminta mereka memberikan perhatian sekejap. “ Di sini saya nak umumkan terdapat empat orang pelajar universiti sedang menjalani latihan di syarikat kita. Kebetulan kita juga telah mewujudkan empat kumpulan, dengan ini saya dengan berbesar hati mengagihan mereka kepada setiap kumpulan. Kumpulan Mawar akan menerima Cik Noor Afira bt.Malik, kumpulan orkid akan mendapat encik Farhan bin Ramli, encik Zarif bin Adnan akan menjadi ahli kumpulan melati dan Cik Chempaka Maisara bt. Razak akan saya tempatkan di dalam kumpulan yang sesuai dengannya iaitu kumpulan cempaka. Tepukan gemuruh kedengaran dari semua ahli kumpulan setiap kali nama mereka diumumkan menyertai kumpulan masing-masing.
Keluhan berat kedengaran keluar dari rekahan bibir Chempaka. Nasib masih menyebelahi dirinya apabila mereka tidak diminta memperkenalkan diri walaupun ada kedengaran suara-suara sumbang yang mahu mereka memperkenalkan diri. Aku patut berterima kasih kepada pengerusi kelab iaitu encik Habib kerana tidak memenuhi permintaan tersebut. Katanya tidak perlu kerana mereka masih ada waktu untuk berkenalan selepas ini. Aku bersyukur sesangat dengan keadaan yang teleh menyelamatkan aku dari Adam si CEO mamat sengal ni.
Adam begitu teruja untuk mengetahui siapakah gerangan Chempaka Maisara bt. Razak yang diumumkan oleh Habib sebentar tadi. Mata Adam meliar mencari susuk badan orang yang tergambar di ruang matanya. ‘ Adakah Chempaka Maisara tu, Chempaka isteri aku ke. Iskh…tak kan le dia pulak. Mustahil dia yang dimaksudkan oleh Habib tadi. Kalau ya,…macam mana aku nak buat ni’. Adam menyedapkan hatinya sendiri.
Setelah tamat perbincangan, mesyuarat selesai. Chempaka melangkah pantas meninggalkan ruang mesyuarat menuju ke bilik kerjanya. Dia tidak mahu berlama-lama lagi kerana bimbang akan terserempak dengan Adam. Fira juga tidak dihiraukannya kerana dia tahu Adam pasti akan mencarinya sebaik sahaja mesyuarat berakhir. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang syak di hati Adam berkenaan namanya yang disebut oleh encik Habib.
Di biliknya, Chempaka menarik nafas kelegaan. Terasa aliran darah di dalam badannya kembali lancar tidak lagi tersekat-sekat. Risau hatinya telah kembali pulih. Chempaka mempersiapkan dirinya untuk balik. Tanpa menunggu Fira terlebih dahulu, dia meninggalkan pejabat. Pertama kali selama mereka berdua bekerja di sini, Chempaka keluar pejabat tanpa Fira. Dia tidak akan mengendah walau apa pandangan Fira padanya kali ini. Akan dipekakkan telinganya dengan leteran Fira. Dia telah bersedia untuk menghadapi sindiran Fira berbanding menghadapi Adam.
Sepanjang jalan menghala ke rumahnya, fikirannya sarat memikirkan situasi yang bakal berlaku nanti. Doanya semoga Adam masih belum balik dari tempat kerja. Persiapan awal mesti dia lakukan bagi menghadapi persoalan dari Adam. Adam boleh bertindak apa sahaja jika dia tidak berpuas hati. Kebijaksanaan Chempaka mesti digunakan untuk menjadi perisainya menjawab setiap soalan yang bakal dicetuskan.
‘ aku mesti bersikap biasa-biasa saja apabila berhadapan dengan mamat tak cukup akal tu nanti. Dia memang kaki buli. Tak pasal-pasal nanti aku jadi mangsa dia je…aku mesti mempertahankan diri aku. Bukannya dia berhak semua ke atas aku. Eiii…menyampah aku dengan dia ni!...ingat dia je yang hebat. Tunggu!!!’. Membebel sorang-sorang Chempaka sambil memandu. Susur ke rumahnya semakin dekat dan debaran hatinya semakin kencang. Beberapa kali dia cuba menenangkan diri sendiri.
Matanya melilau mengitari halaman rumah. Sah!...Adam masih belum balik dari tempat kerja. Helaan nafas lega dihembus melalui mulut munggilnya. Terserlah keceriaan di wajah Chempaka. Cepat-cepat di membuka pintu pagar rumah dan berhasrat untuk berkurung di dalam bilik sahaja tika itu. Dia tidak mahu terserempak dengan Adam malam ini. Dapat dia menenangkan diri tanpa gangguan Adam. Bisakah dia menghindarkan dirinya dari bertemu Adam. perkara itu sangat sukar untuk dielakkan. Adam mempunyai kuasa veto untuk mengarahkan apa sahaja dan Chempaka terpaksa akur dengan kehendak Adam. perkara itu amat menggusarkan Chempaka. Tanpa melengahkan masa, Chempaka membuka pintu utama rumah. Alangkah terkejutnya apabila terbuka sahaj pintu rmah dia mendapati Adam sedang enak berbaring di sofa ruang tamu rumah. Terkaku Chempaka apabila menyedari taktiknya untuk menyelamatkan diri gagal.
“ Assalamualaikum…dah tak pandai nak beri salam ke apabila masuk dalam rumah?”. Tembakan pertama Adam telah menembusi gegendang telinga Chempaka. Hatinya sakit tetapi ditahan sahaja. Bimbang lahar amarahnya akan memakan diri sendiri. Berdebat dengan Adam seolah-olah membakar hati dan perasaannya. Dia tidak akan membiarkan amarah merajai hati dan perasaan yang akhirnya akan membakar rentung jiwa sehingga menonjolkan kelemahan dirinya sendiri.
“ Waalaikumussalam…tak perasan yang awak dah balik, pandai saya menjawab salam ni…bermakna saya lebih arif dalam memberi salam. Saya juga nak rewards akhirat tetapi dah rezeki awak yang mendapat pahala lebih hari ni”. Chempaka berlagak selamba umpama tiada apa-apa yang berlaku siang tadi.
“ Ustazah Chempaka, hari ni I nak ajak you dinner kat luar. Sudikah you keluar dengan I? Kalau you tak sudi pun…you kena sudi-sudikan diri you untuk keluar dengan I”. ajakan Adam mengejutkan Chempaka. Kalau hatinya tak kuat dan dia ada mengidap sebarang penyakit rasa-rasanya saat itu juga dia mati terkejut.
“ Kenapa tiba-tiba awak nak ajak saya makan malam kat luar ni? Kat pejabat tadi ada mimpi tentang saya ke? Kalau saya tak nak macam mana? Saya penat hari ni. Boleh tak lain kali saja”. Chempaka cuba beralasan dengan Adam, meskipun dia tahu Adanm tidak akan mempedulikan sejuta alasan darinya.
“ I tak kira you suka atau you tak suka. Tepat jam 8.00 malam you mesti siap dan ikut I. tak de alasan. You ingat you sorang je yang penat kerja. I tak penat ke?” . Suara Adam sudah mula meninggi.
“ O.k. Saya malas nak layan orang macam awak ni. Tak habis-habis nak mementingkan diri sendiri. Saya dah penat nak begaduh dengan awak. Saya pun tak faham dengan perangai awak yang suka mengarah orang”. Dengan wajah kelat masam mengalahkan asam kecut, Chempaka mendaki anak tangga.
“ Good girl…ustazah Chempaka kena ikut cakap suami, nanti tak cium bau syurga tau!!!...” telinga Chempaka masih dapat menangkap kata-kata Adam untuknya.
“ Saya tahu le!!!...” untuk memuaskan hati sendiri Chempaka menjerit kuat tanda protes sikap Adam terhadapnya.
“ Kalau tahu cepat-cepat siap. Jangan bagi suami tunggu lama-lama. Nanti suami marah…sudah tak dapat redha Allah. Faham tak???”. Sengaja Adam memancing marah Chempaka.
Malas untuk bertekak dengan Adam, Chempaka laju mendaki anak tangga. Pintu bilik dikuaknya dengan kasar, tidak mahu Adam melihat perlakuannya dia cepat-cepat menerobos diri ke dalam bilik. Da tahu apabila berdepan dengan Adam, dia akan kalah dari apa sudut sekali pun. Adam tidak akan membiarkan kemenangan berpihak kepadanya. Chempaka cukup arif dengan perkara itu. Kejengkelan Chempaka terhadap Adam berlipat kali ganda. Seolah-olah sudah tiada kemaafan lagi. Hatinya tercalar dengan cara Adam memperlakukan dia hari demi hari.
Tepat jam 8.00 malam, Adam mula mengetuk pintu biliknya. Meminta agar dia bersiap cepat kerana malam ini dia mahu Chempaka menemaninya berjumpa dengan seseorang. Mahu tidak mahu Chempaka terpaksa memenuhi kehendak Adam. Adam tidak meminta dia memakai pakaian formal, jauh sekali mahu memastikan jenis pakaian apa yang perlu dikenakan pada malam ini.
Chempaka mengenakan jubah cinderella berwarna biru lembut yang ditaburi labuci di bahagian depan, bermanik cantik di tepi tangan baju dan dipadankan dengan tudung sedondon bercorak. Sesuai sekali dengan badannya yang sederhana tinggi dan kelihatan anggun pada malam ini. Derap kaki Chempaka menuruni tangga tidak diendahkan Adam. Adam sibuk membetulkan baju yang dipakai olehnya. Chempaka menghampiri rak kasut untuk mencari kasut yang sesuai digayakan . Adam menoleh melihat Chempaka yang sedang memadankan kasut dikaki cantik miliknya.
‘ Eh, apa hal minah sekor ni…tak nampak aku ke? Dia ni nak pergi dengan sape, tak mahu tunggu aku apa? Tak menyempat…kalau bab makan free’. Adam tidak menjangkakan yang Chempaka tidak akan memberikan perhatian kepada dirinya. Adam berdehem-dehem untuk menarik perhatian Chempaka, tetapi tetap gagal. Chempaka meneruskan langkahnya menuju ke pintu rumah. Adam merapikan dirinya dengan memandang cermin yang terdapat di dinding rumah sekilas. Setelah berasa puas hati dengan penampilannya dia melangkah mendapatkan kasutnya.
“ Tak nak tunggu I ke?”. Soal Adam kepada Chempaka.
“ Kalau tak tunggu awak saya nak ikut sape? Ada orang lain lagi ke dalam rumah ni?”. Bidas Chempaka tidak mahu mengaku kalah.
“ Ya, macam nak pergi sendiri je. Tak menyempat-nyempat ke nak makan malam dengan I yang memang menjadi kegilaan para gadis kat KL ni”. Kata-kata Adam membakar setiap sudut hatinya.
Dijeling sekilas Chempaka yang sedang menghampiri kereta miliknya . ‘ Cantik!!!. Ya…dia memang cantik. Macam mana kalau nanti ada antara kawan-kawannya yang mencuri pandang Chempaka atau cuba secara terang-terangan untuk mengenali Chempaka’. Bisik hati Adam sambil memerhatikan Chempaka.
“ Adam…kenapa tak masuk lagi. Bukan tadi awak yang beria-ia nak cepat. Marah-marah kita bagai…konon lambat. Diri sendiri yang lambat tak ingat”. Chempaka memulangkan paku buah kerasnya kembali pada Adam.
“ Oh!...Ya…I lambat tak jadi hal, I yang nak drive kan? Penumpang kena ikut apa yang pemandu nak. Kalau penumpang lambat, pemandu yang bermasalah. I tak suka dan tak biasa menunggu so…conclusionnya, pemandu berhak cepat atau lambat”. Begitu senang alasan yang diberikan oleh Adam.
Muncung Chempaka apabila mendengar penjelasan Adam yang tidak masuk akal. Meradang hatinya dengan sikap Adam yang serba serbi betul kalau dia yang lakukan. Mahu menangis pun ada tetapi ditahan hatinya agar airmata yang talah bergenang di kelopak mata tidak jatuh berderai. Cuba ditenangkan hatinya dengan memandang pekat malam di luar sana. Lampu-lampu jalan dan kerdipan bintang di langit lebih mendamaikan hatinya jika dibandingkan dengan wajah kacak milik pemandu Audi R84.2 ini. Serba menyakitkan dirinya. Tidak ingin dia memandang wajah milik Adam, kalau boleh untuk selamanya.
“ I nak inform kat you, malam ni kita dinner dengan beberapa orang kenalan i. you jangan nak buat muncung macam muncung angsa pula…I tak suka”. Sah-sah Adam tahu Chempaka sedang marah saat ini.
“ Kalau saya nak muncung juga macam mana? Apa awak boleh buat? Suka hati saya le…mulut saya, kalau saya nak muncung macam muncung angsa ke…muncung itik ke…apa awak peduli. Mulut saya, suka hati sayalah. Apa kena mengena dengan awak pula”. Protes Chempaka dengan gaya orang melawan. Semuanya berpunca dari rasa sakit hatinya terhadap Adam.
“ Jangan degil…nanti tak pasal-pasal you akan menyesal seumur hidup. You nak ke???...i boleh buat lebih dari hari tu. Jangan you salahkan I bila perkara yang tak dijangka bakal berlaku dalam hidup you. You yang nak I buat perkara yang you sendiri tak suka. I memang suka…cepat sikit mummy I dapat cucu”. Dalam keadaan yang sedemikian Adam masih boleh menambahkan bara di dalam hatinya.
“ Awak jangan melampau!!!...awak…awak memang suka menyakitkan hati saya”. Dengan suara bergetar menahan kemarahan Chempaka cuba mengawal dirinya. Dia tidak mahu menunjukkan kelemahan diri di hadapan Adam.
“ Perkara ni, tak susah kalau you nak dengar cakap I . Very easy…senang, isteri yang baik harus mendengar cakap suami…you lebih arif tentang perkara agama. Sekarang you tarik balik muncung you tu and…simpan kat dalam handbag, lepas tu…zip terus”. Adam menambahkan suhu kemarahan Chempaka. Chempaka tidak mempedulikan arahan dari Adam.
“ Sekejap lagi kita akan sampai di hotel istana. You jangan degil…I nak you senyum sekarang. First you senyum kat I dulu. Pandang I dan senyum”. Arahan Adam memang teruk…Chempaka benci sesangat dengan sikap Adam yang suka memaksa. Chempaka cuba memaniskan semanis mungkin raut wajahnya. Senyuman yang dipaksa tersungging dibibir mungkil Chempaka.
“ Good…kat depan kawan-kawan I nanti you jangan berani-berani buat hal”. Pesanan Adam bercampur amaran sedikit merunsingkan Chempaka.
“ Awak…too much!...” marah Chempaka dengan sikap Adam yang dianggap kurang ajar terhadapnya.
Tergelak Adam dengan kemarahan Chempaka yang sengaja dikawalnya. Kereta mewah milik Adam memasuki perkarangan hotel serba mewah yang belum pernah dijejaki Chempaka sebelum ini. Kereta Adam diambil dan diparking oleh pekerja hotel yang menyambut mereka dengan penuh tertib. Chempaka merasa seperti berada di istana yang tidak pernah diimpikan olehnya. Senyuman ramah pekerja-pekerja hotel menyambut mereka berdua seolah-olah mereka adalah tetamu kehormat sahaja lagaknya.
Terkesima Chempaka apabila dibawa ke restoran mewah milik hotel tersebut. Tidak tergambar dengan kata-kata kala ini. Melihat hiasan dalaman dan lampu-lampu yang bergantungan yang menghiasi setiap sudut hotel mewah ini amat mempesonakannya. Setiap langkah Adam diikutinya. Mereka berdua di bawa ke satu sudut yang berlainan hiasan dalaman di ruangan restoran tersebut. Berbeza sekali dirasakan ruang tersebut. Ketibaan mereka disambut mesra oleh kekawan Adam.
“ Hai…lama betul kita tak jumpa, Dam. How about you? Who’s she?” Mereka berpelukan erat. Chempaka tidak dapat menangkap kata-kata Adam semasa menjawab soalan sahabatnya. Chempaka dijemput duduk oleh salah seorang kenalan Adam. senyuman indah terukir dibibir Chempaka. Senyuman ikhlas kerana Chempaka memang ikhlas menghadiahkan senyumannya kepada setiap mereka yang berada disitu. Adam memperkenalkan seorang demi seorang kawannya kepada Chempaka. Mereka hanya berbalas-balas anggukan sahaja. Hanya kawan-kawan perempuan sahaja yang bersalam dengan Chempaka. Mereka tetap menghormati cara Chempaka.
Share this novel