Kelewatan Chempaka datang ke pejabat menjadi tanda tanya pada Fira. Apabila dia menapak masuk ke bilik kerja mereka, Fira bercekak pinggang tanda membantah atas kelewatan Chempaka hari ini. Sementara Adam telah memaklumkan sendiri kepada Hazril berkaitan kelewatan Chempaka ke pejabat. Dia tidak mahu Hazril mengambil sebarang tindakan atas kelewatan Chempaka, sememangnya janji dia pada Chempaka malam tadi telah ditepati.
Selamba sahaja Chempaka duduk di meja kerja, tidak dihiraukan Fira yang sedari tadi memerhatikannya. Hatinya ramat sakit apabila mengenangkan perlakuan Adam terhadapnya malam tadi. Seronok memperlakukan dirinya sesuka hati tanpa menyedari perbuatannya itu amat menyakitkan perasaan Chempaka. Kalau dapat diperlihatkan kesakitannya itu pasti Adam akan menyesali perbuatannya pada Chempaka kala ini. Namun begitu, Chempaka tidak menafikan yang hati kecilnya sudah mula ada rasa sayang pada seorang yang bernama suami. Denyutan sayang semakin hari semakin sukar untuk dinafikan oleh Chempaka walaupun tidak terluah olehnya. Dia mahu agar Adam tahu sendiri yang dirinya sudah mula menyayangi Adam melalui perbuatannya, bukan sekadar luahan melalui kata-kata .
Hilang semua mood kerjanya pada hari ini. Semuanya angkara Adam, CEO merangkap suaminya. Beberapa biji fail yang perlu disemak terlebih dahulu sebelum diserahkan pada encik Hazril dipandang sepi. Dia betul-betul kematian idea untuk menyemak fail-fail projek yang memerlukan sentuhan terakhirnya.
Ketukan diluar bilik kerjanya, mematikan menungan Chempaka. Kelibat seseorang sedang bercakap-cakap dengan Fira masih sempat ditangkap oleh mata galak miliknya. Chempaka tidak menghiraukan mereka berdua, sesekali dijelingnya Fira yang sedang beramah tamah dengan staff tersebut. Akibat keadaanya sendiri yang kurang selesa, Chempaka tidak mahu campur perbualan antara keduanya. Sementelah dia tidak tahu hujung pangkal perbualan mereka.
“ Chempaka!...”. Tepukan pada mejanya mengembalikan Chempaka ke alam nyata. Terkejut Chempaka...suara yang sengaja dikuatkan oleh Fira menambahkan rasa terperanjatnya.
“ Uhhh…kau ni!...elok-elok sikit tak boleh ke? Terkejut aku…”. Dengan muka masam mencuka Chempaka bersuara.
“ Tadi PA encik Adam Hasif datang sini. Kau tahu tak siapa Adam Hasif tu?”. Fira cuba menyampaikan sesuatu kepada Chempaka.
“ Tak tahu!...kenapa dengan dia tu?”. Chempaka pura-pura tidak mengenali nama yang disebut Fira sebentar tadi. Dia tak mahu sebarang prasangka yang akan muncul di benak Fira dan akan menyusahkan hidupnya. Dia tak mahu ada orang lain yang tahu berkaitan dengan kisah hidupnya sebelum ini.
“ Siapa Adam Hasif tu? Caaakaaappp….”. Chempaka menekankan suaranya apabila Fira tidak memeberikan respons pada soalannya.
“ Laaa…masih ada manusia yang hidup zaman batu. Kau ni memang ketinggalan…nak kata hidup kat dalam gua, aku tengok macam tak…tapi…tak tahu langsung pasal dunia sekeliling. Letih aku nak melayan orang macam kau ni, dah le tadi masuk lewat. Ni buat lawak antarabangsa pulak dah”. Fira masih lagi becok membebel tentang sikap Chempaka. Chempaka hanya memekakkan telinga dan membisukan mulutnya. Dia betul-betul tidak berminat untuk membalas setiap kata-kata Fira hari ini.
“ Chempaka, tadi tu PA CEO syarikat yang datang menyampaikan pesanan dari bosnya. Dia nak kau jumpa dia kat bilik dia sekarang. Urgent katanya…kau seorang sahaja”. Lancar sekali baris-baris ayat yang keluar dari ulas bibir Fira.
“ Hah!!!...nak jumpa aku? Urgent apa bendanya? Tak Faham le…” merengus kuat suara Chempaka.
“ Kau jangan nak berangin tak tentu pasal pulak. Hish!...aku pulak yang kena tempiasnya. Ini tak boleh jadi, orang lain yang makan nangka aku pulak yang terkena getahnya. Dah le, aku memang tak suka buah nangka yang mengerutu macam kulit katak puru tu”. Komen Fira di depan meja kerja Chempaka.
“ Apa yang kau melalut sampai ke nangka bagai ni? Apa benda yang penting sangat CEO tu nak jumpa aku. Ada-ada je…dia ni, tak cukup lagi ke kat rumah dah mengadap muka dia. Kat sini pun masih nak buli aku lagi ke? Teruk betul perangai mamat sengal ni”. Bebelan Chempaka masih sempat ditangkap oleh telinga lintah milik Fira.
“ Eh!...apa kau cakap tadi, kat rumah…bila masa pulak ni kau serumah dengan bos besar kita tu? Jangan jadi minah Jenin boleh tak?”. Tanpa menghiraukan Fira, Chempaka bangun dari kerusi dan mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut.
“ Woit…tunggu dulu, kau nak gi mana ni? Laju aje langkah tu, tunggu dulu…kau ni kan menonong je. Tak menyempat-nyempat lagi, kau tahu ke kat mana bilik Encik CEO kita tu?” Sempat bahu Chempaka di tarik pantas supaya berhenti dulu. Chempaka memusingkan badannya ke arah Fira, diperhatikan Fira dari atas ke bawah berulang kali. Fira kehairanan dengan tingkah Chempaka kali ini.
“ Apa yang dah jadi dengan kau ni? Tersampuk dengan jin tanah ke jin batu ni? Tak habis-habis lagi dengan angin kat dalam badan kau tu”. Dikerlingnya sekilas pada wajah lembut Chempaka menunggu reaksi seterusnya.
“ Tadi kau yang bagitahu aku yang encik bos nak jumpa aku, urgent kan? Aku nak gi jumpa dia le ni…ada masalah lain lagi ke? Muncung mulut Chempaka meratah wajah Fira.
Langkahnya diatur laju menuju ke bilik Adam Hasif, dia tertanya-tanya sendirian apa yang diinginkan lagi oleh Adam Hasif dari dirinya. Tidak cukupkah lagi dia menyakiti hatinya selama ini. Sebalnya hati tatkala mengginggati kejadian-kejadian yang lepas, walaupun belum tersasar jauh lagi tetapi perlakuan Adam boleh menjurus kearah yang tidak diingininya. Ligat kepalanya mencari sebab yang menyebabkan dia dipanggil ke bilik Adam. Apa lagi salahnya yang hendak dicungkil kali ini.
“ Tok…tok…tok…”. Pintu bilik yang tertera nama Adam ku ketuk perlahan. Aku tidak mahu hanya kerana ketukan pintu yang terkuat atau perlahan menjadi punca masalah kali ini. Aku masih tercegat diluar pintu biliknya kerana masih belum ada suara dari dalam yang menjemput masuk. ‘ Dah pekak ke CEO Berjaya Padu Holdings ni. Perlu ke aku kuatkan ketukan lagi ni?...’ persoalan yang berteka-teki di benakku segera terungkai apabila derapan kasut tumit tinggi milik Nani, setiausaha Adam Hasif mula menghampiri aku.
“ Kenapa you masih kat luar bilik bos I ni?. Kenapa tak masuk je…” soalan dari setiausaha genit ini, menambahkan darjah kemarahan yang sedang bersarang di benaknya.
“ Entah le…dari tadi lagi I ketuk pintu tapi…senyap sunyi je…entah-entah bos you ni tengah tidur kot kat dalam sana…”. Tersengih seketika Chempaka sambil menunjukkan ke arah pintu bilik bos mereka.
Pantas tangan setiausaha ‘bos besar’ mengetuk dan memulas tombol pintu bilik tuannya. Kepalanya sedikit dijengukkan ke dalam bilik. Kedengaran suara Adam meminta dia masuk. Seketika kemudian aku diminta masuk dan tanpa berlengah lagi aku menyusun langkah menghampiri mejanya. Sengaja aku memaniskan wajahku apabila menyedari setiausahanya masih ada bersama.
“ Errr…encik Adam,…ini fail-fail yang encik Adam minta tadi. Sekilas aku menjeling kearah Adam yang masih leka dengan kerjanya. Kepalanya masih lagi menunduk menulis sesuatu.
“ You letak je…apa-apa nanti I akan panggil you balik. You boleh keluar sekarang”. Tegas bunyi suaranya memberi arahan. Aku masih berdiri bersebelahan dengan Nani. Ku perhatikan wajah setiausahanya meminta pengertian darinya. Syukur…apabila dia memahami makna pandangan aku kala ini.
“ Encik Adam, ini staff yang encik nak jumpa tadi tu. Saya keluar dulu, apa-apa nanti encik Adam bagitahu saya”. Dengan penuh tertib setiausaha Adam meminta diri.
“ Oh…o.k, thank you”. Jawab Adam tetapi tidak langsung memandang wajah setiausahanya yang cantik manis itu.
“ Encik Adam, ada apa-apa yang penting sangat ke sehingga encik Adam nak jumpa saya kat bilik encik Adam ni?”. Chempaka sudah naik angin melihat Adam yang masih meneruskan kerja tanpa memandangnya walau sekejap. Tidak dipedulikan Chempaka yang sedang menunggu.
“ Penting!...kalau tak masakan I nak buang masa I sekadar nak tengok muka you kat bilik I ni”. Adam memandang lama wajah Chempaka.
Cara Adam memandangnya menambahkan gelisah di hati Chempaka. Debaran ketakutan bercampur dengan rasa geram yang semakin bermaharajalela di hatinya membuatkan Chempaka terperangkap dalam bilik yang berhawa dingin ini. Tak terpandang olehnya seraut wajah milik Adam. Hanya tepi lengan bajunya menjadi sasaran anak matanya masa ini dan serentak dengan itu Chempaka terkejut apabila mendapati Adam sudah duduk ditepi bucu meja, hanya beberapa inci dari kerusi yang didudukinya.
Perlahan-lahan Chempaka mengangkat kepalanya memandang wajah milik Adam. Seberani mungkin Chempaka cuba bertentang mata dengan Adam. Tepat jangkaannya apabila mendapati yang Adam juga turut memandang dan memerhatinya kini.
“ Apa yang penting sangat sehingga encik nak jumpa saya. Saya pun banyak kerja yang kena buat bagi melengkapkan projek saya kat sini. Boleh tak jangan buang masa saya. Dah le…hari ni masuk kerja lambat, sekarang nak buang masa saya lagi?”. Chempaka mengenepikan rasa debar yang bersarang dihatinya. Dia harus berani menghadapi orang seperti Adam.
“ Tak boleh ke kalau I nak jumpa wife I? I rasa tak salah pun kan? Suka hati I le…apa I nak buat. Lagipun you kena ikut apa yang I nak sebab…yang pertama you isteri I dan yang kedua you sekarang ni…pekerja I. Best juga bila I dapat tahu yang you kerja kat syarikat I ni,…dua dalam satu…isteri dan pekerja I”. Cara Adam bercakap membuatkan darjah kemarahan Chempaka semakin meningkat.
Chempaka pantas bangkit dari kerusi yang didudukinya. Sepantas itu juga badan Chempaka ditarik Adam. Chempaka terperangkap dalam pelukan Adam sekali lagi. Doanya tidak putus-putus agar ada sesiapa yang datang dan mengetuk pintu bilik Adam saat ini.
“ Encik Adam!...ini pejabat bukan rumah, awak tahu tak apa yang sedang awak buat ni? Chempaka cuba menyedarkan Adam dari meneruskan perbuatannya.
“ Tahu…saja nak bermanja dengan you kat bilik I”. jawapan Adam membuatkan rona muka Cempaka terus berubah.
“ Saya tak sangka CEO Berjaya Padu Holdings perangai macam ni bila kat bilik kerjanya”. Sengaja Chempaka membakar perasaan Adam. Mudah-mudahan Adam akan melepaskan dia. Sedikitpun kata-kata Chempaka tidak meninggalkan bekas pada Adam.
“ I memang suka macam ni,…kalau boleh I nak macam ni je…best le peluk you ni…tak pun you terus je le…jadi PA I kat bilik I ni”. Sambil tersengih-sengih memandang muka Chempaka. Menyirap darah Chempaka apabila mendengar kata-kata dari Adam.
“ Sekarang awak nak lepaskan saya atau tak? Kalau tak saya jerit ni…biar semua orang tahu macam mana perangai boss mereka sebenarnya. Nak lepas ke tak ni?”. Separuh menjerit Chempaka cuba meleraikan pelukan Adam.
“ Tak nak!...jerit le…itupun kalau puan Chempaka berani nak jadi tarzan kat sini”. Dagunya disangkut pada bahu Chempaka dan dimainkan-mainkan tudung yang dipakai Chempaka.
“ Adam…kalau orang nampak macam mana?” Chempaka cuba berdiplomasi dengan lawannya kali ini. Dia tahu dengan cara keras dia tidak mampu menghalang Adam dari terus mengenakannya. Dia mesti bijak mengelak dari Adam agar tidak terus memperlakukan dirinya semahu Adam.
“ Ini bilik I…tak sesiapa yang akan mengganggu privacy I kat sini. You nak pindah bilik pun boleh. You boleh duduk sebelah I”. Masih dengan senyuman yang tak lekang dari bibir, Adam melepaskan pelukannya. Lega…
“ Boss…terima kasih. Saya minta diri dulu”. Pantas Chempaka bangun dan mahu melangkah keluar.
“ Tunggu jap, ada satu perkara yang penting I nak bagitahu you. I tak suka kalau hak I dikongsi dengan orang lain. I nak ingatkan you jangan berani-berani nak rapat dengan sesiapa yang sama jenis dengan I sama ada kat office ni atau kat luar. Ingat!...I bukan main-main dengan apa yang I maksudkan”. Kali ini suara Adam kedengaran tegas dan dia sudah menjadi Adam Hasif yang selama ini dikenali Chempaka.
“ Awak memang suka control saya. Saya tak pernah nak control awak, macam awak control saya”. Protes Chempaka tanda tidak berpuas hati.
“ Eh!!!...jangan nak melawan . Ingat!...you isteri I, maksudnya you adalah milik I sepenuhnya. I tak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya I dapat tahu yang you menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki di belakang I”. Pesanan Adam membuatkan Chempaka rasa seolah-olah Adam cuba menggugut dia secara terang-terangan.
“ Kenapa dengan awak ni?. Saya tak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki, apa maksud awak yang sebenarnya? Saya betul-betul tak faham le dengan awak ni”. Soal Chempaka dalam nada marah yang terkawal. Ketenangannya mula diregut dengan amaran dari Adam tadi.
“ Ya…I memang tak nak dan tak mahu tahu yang you ada hubungan dengan lelaki selain dari I”. Renungan Adam kali ini melumpuhkan seluruh kekuatan yang baru terbina sebentar tadi.
“ Saya betul-betul tak faham dengan sikap awak. Saya ada ayah, abang-abang dan bapa awak. Itu pun lelaki, mana mungkin saya tak boleh berhubung dengan lelaki-lelaki lain dalam hidup saya”. Bantah Chempaka dengan lebih lantang. Kudratnya dikumpulkan agar mampu mempertahankan kehendak hati sendiri.
“ Apa le you ni…muka aje lawa tapi…otak bengap macam kura-kura. Lembab!...itu semua lelaki yang tak termasuk dalam list yang I maksudkan. Kalau kat tempat kerja you boleh berhubung dengan lelaki sekadar untuk urusan kerja aje, dan… I rasa you tak perlu pertikaikan apa yang I nak”. Muka Adam sudah mula menunjukkan tanda-tanda bengang dengan Chempaka.
“ O.k…tak lama lagi saya akan menyambung kembali pengajian saya kat university dan ini bermakna saya akan berhubung kembali dengan rakan-rakan sekampus saya yang terdiri dari student lelaki dan perempuan. Jangan pulak bos nak halang saya dari berkawan dengan teman-teman sepengajian saya”. Terbakar juga hati Chempaka apabila mengenangkan arahan dari Adam yang dirasakan tidak masuk akal sama sekali.
“ Keputusan muktamad…tak de kompromi dalam hal-hal yang melibatkan hak milik peribadi I. Kalau you nak juga berhubung dengan kawan-kawan lelaki kat kampus, boleh…setakat kawan sepengajian tak lebih dari itu. You milik personal I yang tak akan I kongsi dengan kawan-kawan you. Ada apa-apa lagi?...kalau tak de apa-apa you boleh keluar dan jangan sesekali melanggar pesanan I. Habis…titik…”. Sengaja ditegaskan suaranya agar Chempaka tahu yang dia bersungguh-sungguh dalam perkara yang satu ini.
‘ Dasar lelaki psiko. Tak habis-habis nak jadikan orang mangsa dia’. Omelan Chempaka masih dapat ditangkap oleh telinga nipis milik Adam. Chempaka tidak menyangka kata-katanya sebentar tadi telah menimbulkan keberangan pada Adam.
“ Wait!!!...”. Langkah Adam laju mara menghampiri Chempaka. Kali ini lengan Chempaka ditarik kasar.
“ Apa yang you cakap kejap tadi???...Psiko??? siapa lelaki psiko tu?...cakap kat I, you jangan nak kelentong sebab I dengar dengan jelas”. Merah muka Adam menahan marah dan dipandang Chempaka dari atas terus ke bawah.
“ Jangan cari pasal kat pejabat le…saya dah penat ni…kerja saya berlambak nak kena settle kat bilik tu. Tolong lepaskan saya kali ni je…”. Rayu Chempaka sambil menengadah mengadap muka Adam.
“ Dah tahu banyak kerja tetapi masih tak jaga mulut. Ada aje yang nak bagi I marah…you sepatutnya yang kena jaga mulut you…jangan nak naikkan marah I memanjang”. Kali ini muka bengis Adam betul-betul menakutkan Chempaka.
Muka Adam dirapatkan ke muka Chempaka. Adam sengaja mengambil kesempatan dengan ketakutan yang telah menguasai seluruh urat saraf Chempaka. Bibir lembut Chempaka menjadi mangsa kemarahan Adam kali ini. Terkesima Chempaka dengan perbuatan Adam. Terbuai seketika mereka berdua dalam situasi yang tidak terduga itu. Amarah Adam lebur seketika. Lama sekali mereka berdua berada dalam situasi sedemikian. Sesak nafas Chempaka dengan tindakan Adam terhadapnya. Berkali-kali Adam meraih bibir tersebut seolah-olah tidak mahu dilepaskan.
“ Awak…apa awak dah buat ni? Saya rasa ini bukan satu kewajaran bagi seorang CEO hebat seperti awak. Tak professional langsung!...”. Serasa mahu pengsan Chempaka menahan rasa marah dan malu akibat dari perbuatan Adam.
“ Tak professional!!!...habis you nak yang lebih hebat lagi? I memang boleh buat kalau you memang dah bersedia untuk melakukannya”. Adam memandang Chempaka dengan pandangan menggoda naluri wanitanya.
“ Susah sangat kalau bercakap dengan orang berotak kuning macam awak ni. Malas saya nak layan dah…baik saya keluar dulu…nanti satu kerja pun tak boleh siap hari ni. Awak tu lain, bos kat sini dah tentu tak ada sape nak marah. Lain le dengan saya ni”. Sambil membetulkan letak tudungnya yang telah senget benget, Chempaka masih sempat mengelap bibirnya sendiri.
Kelihatan Adam tersenyum dengan gaya Chempaka yang dirasakan kelakar pada pengamatannya kali ini. Tak semena-mena Adam sempat mengenakan Chempaka sebelum Chempaka melangkah keluar dari biliknya. “ Tak payah nak lap bibir you tu, I yakin seratus peratus tak ada jangkitan kuman. Jangan lap lebih-lebih nanti lepas ni, you pulak yang termimpi-mimpi dengan ciuman dari I dan tak lena tidur. Asyik teringat I kat bilik sebelah”. Merona merah muka Chempaka dengan kata-kata yang tak disangka-sangkakan .
Menonong sahaja Chempaka melangkah ke arah pintu tanpa memandang lagi ke belakang. Buat masa ini rasanya dia tidak mahu lagi memandang muka Adam. Nafasnya ditarik dalam-dalam tanda kelegaan yang teramat sangat kerana terlepas dari cengkaman Adam. Andai ini takdir untuknya dia pasrah menerima ketentuan jodoh yang telah Allah tentukan kepadanya. Dia tidak harus menolak percaturan yang telah Allah tetapkan terhadapnya. Mungkin ini adalah jalan terbaik untuknya kerana dia juga akur kiranya pertemuan ini adalah jodoh yang paling baik baginya.
Setelah Chempaka keluar Adam masih tersenyum-senyum sendirian. Seronok melihat reaksi Chempaka apabila berdepan dengannya. Tingkah Chempaka yang serba serbi tidak kena dan ada masanya wajah merah keputihan itu kelihatan garang tetapi sedikit pun tidak menimbulkan rasa gerun di hati Adam.
Share this novel