Alunan muzik yang dipasang oleh Adam kedengaran sehingga ke ruang dapur. Sesekali Chempaka menyanyi riang mengikuti alunan suara penyanyi asal lagu tersebut. Dia leka mengemas sambil menyediakan bahan untuk menyediakan makan tengahari mereka. Adam masih bersantai di ruang tamu rumah sambil mendengar muzik kegemarannya. Majalah permotoran masih menjadi tatapan mata Adam. Chempaka tidak menghiraukan Adam kerana dia tidak mahu suasana damai di pagi minggu ini akan terganggu nanti.
Jarang sekali mereka berada berdua-duaan di rumah pada hari minggu terutamanya bagi Adam. Ada sahaja program yang telah dirancang bersama kawan-kawannya pada setiap kali hujung minggu. Chempaka akan bersendirian melakukan aktivitinya tanpa ada sebarang gangguan dari Adam. Baginya itu lebih menyeronokkan kerana dia selesa apabila Adam tiada di rumah. Mungkin bagi sesetengah orang…perkara yang diinginkan Chempaka adalah satu perkara yang pelik, seorang isteri lebih seronok bersendirian daripada berdua-duaan bersama sang suami.
Lincah tangan Chempaka menyediakan ramuan untuk memasak, menu simple baginya agar dia tidak perlu makan hati nanti sekiranya Adam tidak makan di rumah setelah dia berpenat memasak. Masak lemak cili padi, ayam goreng dan sayur campur memadai untuknya. Chempaka tidak arif tentang selera Adam. Bukan dia tidak mahu ambil tahu tetapi Adam sendiri yang menjarakkan perhubungan mereka.
“ Wah!...macam sedap aje. You masak apa ni?...nampak macam sedap, jangan nampak je sedap tapi…rasa hampas…”. Mendidih darah Chempaka apabila Adam memperlekehkan masakannya. Hatinya bagaikan hendak meletup dengan tanggapan Adam yang sedemikian.
“ Awak…kalau tak sedap masakan saya ni, tak payah makan. Makan je nasi dengan kicap tu…dah tentu sedap!!!...”. Chempaka menjuihkan bibirnya ke arah botol kicap. Terlempias sedikit rasa marahnya terhadap Adam.
“ You sepatutnya berbangga dan bersyukur kerana dapat menyediakan makanan untuk I ni. Hari ni you dapat pahala lebih tau…kena ikhlas nak bagi I makan, baru berbaloi you masak. O.k…jap lagi I nak makan, jangan letak julap pulak kat dalam masakan you yang nampak sedap tu”. Adam menghampiri Chempaka dan cuba menghidu bau masak lemak cili padi yang telah di sendukkan Chempaka ke dalam mangkuk gulai.
“ Jangan dekat dengan saya, kalau kuah ni tumpah terkena awak saya tak tahu. Jangan nak salahkan saya pulak”. Sengaja Chempaka menjarakkan mangkuk gulai dari Adam.
“ Kalau you tak tumpahkan macam mana nak kena kat I. Kecuali you sengaja nak bagi tumpah dan sengaja nak bagi kuah tu terkena dekat I”. Ungkapan Adam terlalu prajudis terhadap Chempaka. Sengaja mencari salah Chempaka dan Adam hanya menambahkan bara di dalam dada Chempaka.
“ Tunggu I kat bawah ni…I nak makan tengahari dengan you. Siapkan… nanti lepas I mandi kita makan”. Chempaka buat-buat tidak dengar apa yang dicakapkan oleh Adam. Chempaka meneruskan kerja-kerja yang masih berbaki dengan laju. Dia mahu mandi dan solat zohor dulu sebelum makan nanti.
Usai menunaikan solat zohor, Chempaka bergegas turun ke bawah bagi menyediakan makan tengahari mereka. Dia tidak mahu lagi kata-kata yang bakal keluar dari mulut Adam akan mematikan selera makannya nanti. Sedikit sahaja kesilapan yang terjadi hari ini akan menukar keseluruhan mood Adam dan akan menyusahkan hidupnya seharian pada hari ini.
Langkah kaki Adam memasuki ruang dapur dapat ditangkap oleh telinga Chempaka. Tidak diendahkan oleh Chempaka sehinga Adam menghampiri meja makan. Chempaka buat-buat sibuk membancuh air minuman tanpa menghiraukan Adam yang sedang leka memandangnya sedari tadi.
“ Tolong sendukkan nasi kat pinggan I, tak nampak ke I dah berkurun kat meja ni…nak tunggu berapa lama lagi Puan Chempaka Maisara”. Sindiran Adam menyedarkan Chempaka dari terus berlama-lama membelakangi meja makan yang kononnya dia sedang membancuh air yang telah siap sedia di bancuh sedari tadi sebelum dia menunaikan solat zohor.
“ O.k…sekejap ya, tuan Adam…sekarang saya akan sendukkan nasi ke pinggan tuan”. Chempaka menghampiri tempat Adam dan menyendukkan nasi ke pinggan Adam dengan penuh tertib. “ Sila makan tuan…nanti sejuk tak sedap pula masakan hamba yang hampas ni”. Sekali lagi Chempaka mengenakan Adam dalam kelembutan katanya. Adam buat-buat tidak dengar sahaja. Laju dia menyuapkan nasi ke mulut sambil diperhatikan oleh Chempaka.
“ You tahu tak…masak lemak cili padi ni, memang lauk kegemaran I tau!...”. teruja sekali Adam menceritakan pada Chempaka. Terlupa seketika yang dia telah memperkecilkan masakan Chempaka sebentar tadi.
Tersenyum meleret Chempaka apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Adam. Baru dia tahu penangan masak lemak cili padi Chempaka Maisara merangkap anak didik kepada Puan Hanum. Padan muka Adam…terperangkap dengan kata-kata sendiri. ‘Inilah masa aku nak belasah dia ni cukup-cukup’ . Berlegar-legar dalam fikiran Chempaka ayat-ayat power untuk mengenakan Adam kali ini.
“ Awak…nak tambah…boleh saya sendukkan lagi”. Chempaka cuba memerangkap Adam dengan pelawaannya.
“ Sedap sangat ni,…pandai you masak. Sendukkan sikit lagi”. Permintaan Adam ditunaikan oleh Chempaka.
Setelah menghabiskan nasinya, Adam terpandang reaksi Chempaka yang asyik tersenyum sumbing kepadanya. Adam berpura-pura tidak melihat senyuman Chempaka yang seolah-olah sedang memperlinya. Chempaka mengemas meja makan dan memotong buah jambu madu untuk dijadikan pencuci mulut mereka. Sepiring buah dihidangkan di atas meja makan oleh Chempaka tetapi Adam meminta buah tersebut dibawa ke ruang tamu.
“ Eh…sakit le perut saya ni, apasal pulak dengan masak lemak cili padi saya tadi. Tersilap le…dah saya masukkan julap untuk menambahkan kesedapannya. Awak tak sakit perut ke?”. Chempaka berlakon bersungguh-sungguh dengan air muka yang berkerut-kerut sambil menekan-nekan perutnya.
Terpingga-pingga Adam melihat gaya Chempaka kali ini. “ Saya o.k je…tak de pulak terasa sakit perut tetapi ada terasa…kenyang je…”.
“ Kalau awak tak sakit perut, bermakna awak betul-betul kebal dengan masakan hampas dari saya…lain kali saya nak awak berdiet sikit, jangan makan bertambah-tambah macam tadi. Nanti kalau perut awak dah maju ke depan…macam perempuan mengandung, awak jangan salahkan saya”. Bebelan Chempaka membuka mata Adam kali ini. Baru Adam tahu…Chempaka mengenakannya dengan cara berhemah….nah padan muka kau.
“ Chempaka…perut tu dah tak sakit lagi ke? Elok je bertenggek kat sini, dah hilang ke sakitnya?”. Teguran Adam menyedarkan Chempaka.
“ Dah hilang sakit perut saya bila tahu ada orang yang tak suka makanan yang saya masak tapi…bila makan tadi bertambah-tambah pula”. Perlian Chempaka tepat mengena batang hidung Adam. Adam tidak mempedulikan kata-kata Chempaka kali ini, dia bersikap bersahaja umpama angin nan lalu dan keadaan ini membuatkan suasana menyenangkan bagi kedua-dua belah pihak.
Sambil mengunyah buah sebagai pencuci mulut, mata Adam leka menonton televisyen, sementara Chempaka pula menggunakan kesempatan yang ada untuk membaca novel yang baru dibelinya. Kelekaannya membaca menambahkan rasa tidak senang hati bagi Adam.
“ Chempaka,…apa kata kalau you buatkan kopi panas untuk I. I nak test you punya kopi sedap ke tak. Ini tak…suami depan mata, you pula sibuk dengan buku you yang entah apa-apa tu”. Suara mendatar Adam menarik perhatian Chempaka yang sedang khusyuk membaca novel terbaru keluaran karya seni.
“ Kalau nak kopi, cakap je le nak kopi…tak payah nak test-test. Kopi saya buat memang yang paling sedap di Asia Tenggara. Tak ada sesiapa yang berani nak sangkal lagi setakat ni, tau!...”. Sambil bergerak ke dapur, Chempaka masih sempat memanaskan keadaan dengan kata-katanya tadi. Sakit juga telinga Adam mendengar cara Chempaka mengangkat diri sendiri.
“ Dah…buat dulu baru tahu sedap ke tak. Kalau tak sedap…jaga you. Dah le asyik nak puji diri sendiri je…mentang-mentang tadi I terlebih suka dengan masakan you, sekarang dah mula nak perasan pula”. Sengaja Adam memperkuatkan suaranya agar dapat di dengar oleh Chempaka dengan jelas, baru hatinya terasa puas. Dia sendiri tidak tahu, apabila berada bersama Chempaka hatinya begitu damai tetapi masih ada jurang yang terlalu besar untuk dia mengakui perasaan yang satu itu dan perkara inilah yang telah menghalang dia untuk terus menerima Chempaka dalam hidupnya.
“ Ini kopi terbaik dari saya dan…awak jangan tak tahu kopi ini telah dibuat oleh pembancuh kopi terkenal di rantau Asia Tenggara…kalau tak sedap juga, pulangan balik akan diberikan kepada pengguna”. Hatinya bagai digeletek melihat cara dan kata-kata Chempaka semasa meletakkan kopi dihadapannya, sengaja dia tidak mempamerkan sebarang reaksi. Kopi dihirup sedikit dan keningnya berkerut-kerut…
“ Apa jenis kopi yang you bancuh untuk I ni, memang tak sedap langsung. Pembancuh kopi terbaik sangat le konon…tak rasa apa pun”. Kerutan pada wajah Adam menunjukkan kopi yang dibancuh Chempaka memang betuk-betul tak sedap.
“ Hah tak sedap kopi tu? Saya rasa tadi o.k je…jangan-jangan lidah dan tekak awak ada masalah tak? Baik awak pergi jumpa doktor untuk check, takut-takut melarat pulak”. Novel yang sedang dibaca diletakkan dan dia menghampiri Adam, air kopi dicapai oleh Chempaka. Seteguk, dua teguk dan secawan kopi Adam telah diminum Chempaka.
“ Sedap je kopi ni…tak ada masalah pada rasanya. Yang pelik tu,…saya rasa awak memang ada masalah pada deria rasa le”. Penerangan Chempaka seumpama seorang doctor pakar yang memberikan penerangan kepada pesakitnya.
Membuntang mata Adam memandang cawan kopinya telah kosong. Tak disangkanya Chempaka boleh bertindak sedemikian. Berani sekali si budak bunga ni nak mengenakan aku. ‘Tunggu…aku akan balas balik dengan cara yang lebih hebat lagi…budak bunga ni mesti akan dapat pengajarannya nanti’.
“ Ada apa-apa lagi yang encik Adam nak saya buat? Kalau tak ada apa-apa saya nak masuk bilik dan dah sampai masanya saya nak berehat sekejap”. Sengaja Chempaka mahu menaikkan darjah kemarahan Adam padanya. Dia tidak berpuas hati apabila Adam tidak membalas setiap kata mahupun perbuatannya kali ini. Memang dia merasa aneh bercampur pelik apabila Adam berada dalam zon selesa sahaja dengan segala perbuatannya kali ini. Chempaka sudah malas hendak mengenakan Adam lantas bangun dan berlalu ke tingkat atas.
Dengan ekor matanya Adam memandang Chempaka sedangkan otaknya ligat memasang strategi untuk membalas balik perbuatan mahupun kata-kata Chempaka padanya hari ini. Dia membiarkan Chempaka merasa menang bergaya hari ini. Keselamatan Chempaka semakin terancam akibat dari keberaniannya yang semakin menjadi-jadi. Adam hanya mengukir senyum apabila sudah mendapat idea bagi membalas balik perbuatan Chempaka ke atasnya.
Ketukan yang kedengaran di pintu biliknya membuatkan dia terganggu. Dengan berat hati Chempaka membukakan pintu. Adam berdiri memandang Chempaka dari atas ke bawah sambil tersengih-sengih. Sengihan Adam mengundang rasa serba salah dalam diri Chempaka. Chempaka meneliti keadaanya, dia takut ada sesuatu yang tidak sepatutnya Adam nampak sudah menjadi tatapan mata nakal Adam.
“ Kenapa awak pandang saya semacam? Ada apa-apa yang tak kena ke?”. Chempaka mencari jawapan dengan pertanyaan yang dia sendiri tahu, tiada jawapan yang akan diperolehi olehnya.
“ Tak de apa-apa, saja nak pandang you. Cepat siap!...I nak balik rumah mummy. I ingat malam ni nak tidur sana. Nak minum kopi kat rumah mummy malam ni…nak harapkan you, susah sikit. Kopi nak bagi kita minum tapi…dia yang habiskan”. Adam sengaja mengungkit cerita kopi tengahari tadi untuk membangkitkan rasa bersalah di hati Chempaka.
“ Nak pergi minum kopi kat rumah mummy…awak jangan nak malukan saya dekat mummy awak pula”. Bidas Chempaka.
“ You siap cepat dan jangan lupa bawa apa-apa keperluan yang patut. Malam ni, I ingat nak bermalam kat sana je”. Sambil beredar ke biliknya Adam masih sempat memberikan senyuman yang penuh makna ke arah Chempaka. Senyuman simbolik yang tidak dapat ditafsirkan oleh sesiapa termasuk Chempaka. Adam masih tersengih-sengih sendirian apabila memikirkan rancangannya pada malam ini pasti akan diingati Chempaka sepanjang hidupnya.
Chempaka bersiap dengan cepat dan membawa keperluan wajib sahaja memandangkan baju-bajunya masih ada di rumah mummy mertuanya. Tidak terlintas langsung di benaknya plan yang telah dirancang oleh Adam untuk mengenakannya. Chempaka masih seorang yang naïf untuk seorang suami sebijak Adam. Pemikirannya masih belum terjangkau dengan agenda yang sudah dilakarkan oleh Adam sedari petang tadi.
“ Jom…kiranya malam ni kita tidur kat rumah mummy, petang esok baru kita balik. I dah lama tak bermanja dengan mummy tau!...nak bermanja dengan you pun susah. Kalau you Shila…tentunya I dah bahagia hidup dengan orang yang memang I sayang”. Tanpa memikirkan perasaan Chempaka Adam mengeluarkan kata-kata yang boleh merobek hati dan perasaan Chempaka.
“ Saya tahu,…saya bukan orang yang baik untuk menjadi pasangan awak. Saya juga tidak mahu hidup saya jadi macam ni. Saya bukan Shila…maafkan saya kiranya kehadiran saya memang menyusahkan hidup awak”. Sebiji-biji kata-kata yang lahir dari hati Chempaka diluahkan melalui bibirnya kini. Dia juga mahu Adam tahu…hidupnya juga turut berubah dengan kejadian pahit yang telah mencatat sejarah duka dalam hidup seorang gadis bernama Chempaka ini.
Sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang setengah jam, masing-masing melayan perasaan sendiri baik Adam mahupun Chempaka. Kata-kata yang terluah dari hati masing-masing telah meragut kedamaian yang baru diperolehi oleh mereka siang tadi. Sayu Chempaka apabila mendengar sendiri luahan Adam tadi. Memang dia akui…dia tidak sehebat Shila untuk dijadikan pasangan kekasih kepada orang sehebat Adam. Cuma…dia sedaya upaya cuba membuka ruang hatinya untuk menempatkan seorang suami yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya tetapi…dia seolah-olah telah gagal.
“ Awak,…saya minta maaf. Saya tidak bermaksud untuk mengungkit peristiwa itu, tapi…saya tahu awak susah untuk menerima saya dalam hidup awak. Jika benar,…Shila adalah pilihan terbaik untuk awak…saya bersedia berundur dari hidup awak. Cuma…saya minta, buat masa ini berilah peluang untuk saya menempatkan diri saya di sudut hati awak”. Suara Chempaka yang tenang sewaktu menuturkan kata-kata tersebut menyentap tangkai hati Adam.
“ Andainya you tak mampu seperti Shila, adakah you bersedia untuk ditinggalkan? You tak mungkin sama sekali dapat menempatkan diri you sebaris dengan Shila. Tak mungkin sama sekali. You tahu tak…Shila sepuluh kali lebih baik dari you untuk I”. Bagai belati tajam menghiris halus segenap ruang hatinya apabila kenyataan yang tak sepatutnya keluar dari seorang suami, telah menjadi halwa telinganya.
Terpana seketika Chempaka bila mendengar pengakuan Adam. Air mata yang ditahan selama ini gugur juga. Hanya dia yang tahu betapa sakitnya apabila mendengar kalimah ayat yang dituturkan oleh Adam. Bisanya menusuk sehingga ke tulang hitamnya. Hanya dengusan halus yang mampu dibuat kala itu. Dia tidak mahu memburukkan suasana pada malam ini kerana jarak rumah mummy semakin dekat. Katalah apa sahaja Adam,…dia sudah mendapat jawapan sebenar dari Adam tentang kedudukannya. Adam tidak perah memandangnya walaupun sebelah mata sehingga ke hari ini.
“ Kalau itu yang awak nak…apa lagi yang saya boleh buat. Namun,…selagi saya tidak dibebaskan saya akan pertahankan hak saya. Awak tetap suami saya sehingga saya dilucutkan hak saya. Saya akan cuba untuk menjadi yang lebih baik untuk awak…”. Chempaka tetap mengagahkan diri untuk mempamerkan pendiriannya kepada Adam.
“ Buatlah…kalau you rasa you mampu bertahan. I ingat saat ini pun you dah mula give up dengan I kan? I tahu…you anak manja, mana mungkin dapat bertahan lama. Kita memang dah bersatu tetapi kita tetap tak ada persamaan yang boleh mendekatkan you dengan I. I rasa you pun tahu…apa yang sedang terjadi antara kita”. Cabaran Adam sama sekali tidak melumpuhkan kemahuan Chempaka untuk tetap bertahan di sisi Adam sama ada suka mahu pun tidak. Dia tidak sanggup menghampakan hati mama dan ayah juga along serta angah yang begitu menyanyanginya. Kereta yang dipandu Adam telah menghampiri pagar rumah milik keluarga Adam. Secara auromatik pintu pagar terbuka apabila kereta mereka sudah berada dihadapan pagar rumah. Meluncur laju kereta Adam ke tempat parking yang memang di khaskan untuknya.
Puan Sri Zaida muncul di pintu rumah agam miliknya apabila menyedari Adam dan menantu kesayangannya sudah berada di halaman rumah. Chempaka memang benar-benar Berjaya menambat hati tuanya. Tidak sia-sia rasanya Chempaka dipilih menjadi pendamping Adam, anak tunggalnya. Keberuntungan Adam dapat dirasai oleh naluri seorang ibu. Puan Sri Zaida tersenyum bahagia apabila terpandang wajah Adam dan Chempaka.
Melangkah sahaja kaki ke ruang tamu rumah mummynya, Adam dan Chempaka bersalam sambil mencium tangan Puan Sri Zaida. Puan Sri Zaida memeluk dan mencium menantunya. Pelukan erat mummy mertuanya menambahkan sebak dalam diri Chempaka. Air mata memenuhi tubir mata Chempaka. Terharu dengan kasih sayang di berikan oleh ibu mertua yang sudah dianggap ibu sendiri.
“ Mummy sihat?” soalan biasa apabila mereka bertemu.
“ Sihat…mummy harap Chempaka pun sihat. Nampak macam tak sihat je…”. Serentak Puan Sri Zaida mendudukkan Chempaka di sofa yang berhampiran. Puan Sri Zaida memerhati wajah Chempaka dengan teliti sekali. Kemerahan pada hujung hidung dan mata Chempaka menarik perhatiannya.
“ Sihat juga…Cuma selsema sikit. Jap lagi eloklah ni. Chempaka biasa dah macam ni…kalau panas sangat atau terkena hujan pasti kena selsema”. Alasan Chempaka boleh diterima da nada benarnya. Isu kecil bagi Chempaka tidak perlu diperbesarkan di hadapan ibu mertuanya. Adam mengerling Chempaka yang sedang bermesra dengan mummynya, jangan sampai terkeluar segala perbualan mereka di dalam kereta tadi.
“ Mummy!...Adam lapar le…nak makan masakan makcik Mariam, mesti sedap… sediakan kopi sekali selepas makan, jangan lupa minta makcik Mariam bancuhkan kopi special untuk Adam…sehebat kopi terkenal di Asia Tenggara, tau!...”. Permintaan Adam dianggap gurauan oleh Puan Sri Zaida tetapi tidak bagi Chempaka.
“ Ada-ada aje Adam ni bila sesekali balik rumah. Kopi le…dah jadi macam papa ke? Asal lepas makan aje cari kopi. Adam ni lagi hebat, nak kopi sehebat kopi Asia Tenggara tu macam mana pulak?”. Tergelak Puan Sri Zaida tetapi berbeza dengan Chempaka yang sedang menjeruk rasa. Dia tahu, Adam bukan bergurau tetapi mengenakannya dalam permintaannya tadi.
“ Jom kita ke dapur. Nak tahu menu apa yang dimasak oleh makcik Mariam malam ni. Tentunya ada masakan istimewa kalau anak kesayangan mummy balik”. Tangan Chempaka ditarik oleh ibu mertuanya menuju ke dapur. Chempaka mengikut sahaja tanpa ada perasaan. Sedih masih belum surut akibat kata-kata Adam sebentar tadi. Sampai hatinya dia berterus-terang sehingga menghancur lumatkan harapan yang baru disemai Chempaka untuk mencari bahagia berumahtangga.
Suasana meriah dimeja makan keluarga kecil ini, tidak semeriah hati Chempaka yang kian gerhana. Sesekali Chempaka bersuara apabila diminta pandangannya dalam sesuatu isu. Adam tidak mempedulikan sekeping hati seorang Chempaka yang telah dilukainya. Itu tidak penting baginya saat ini, Chempaka harus disedarkan agar tidak terus hanyut dalam impian yang tidak mungkin dapat dicapai.
“ Emmm…Adam macam mana dengan ‘famili day’ syarikat, papa dengar tahun ni semua dah setuju nak ke Pulau Pangkor.Bagus juga tu, bertukar angin tahun ni. Kalau tak…dah berapa lama syarikat kita tak pernah buat sebarang aktiviti di belah-belah utara tanah air. Kalau boleh tahun ni, papa pun nak join sama”. Topik yang disentuh oleh papa mertuanya dapat menarik perhatian Chempaka. Teruja Chempaka mendengar isu percutian yang telah dirancang oleh syarikat mereka.
“ Mummy pun nak ikut tahun ni…nak bercuti kat pulau Malaysia pula, kalau tak asyik kat luar negara je. Chempaka kena ikut trip kita kali ni. Adam pastikan Chempaka ikut sekali tau…”. Permintaan Puan Sri Zaida menambahkan gelisah dihati Chempaka. Dia mahu ikut tetapi bukan pergi bersama dengan Adam. Dia sudah membuat perancangan sendiri untuk menaiki bas bersama-sama staff yang lain dan yang pentingnya dia mesti bersama dengan sahabat baiknya, Fira.
“ Mummy, Chempaka pasti akan bersama dalam aktiviti syarikat selagi Chempaka masih bekerja dengan Berjaya Padu”. Ujar Chempaka dan matanya masih menatap butir-butir nasi dipinggan. Takut tersalah cakap bakal memakan diri sendiri’. Berdiam diri lagi bermakna andainya patah-patah kata nanti menyebabkan luka di hati kian parah.
“ Bagus…nanti Chempaka boleh bertolak terus dari rumah bersama Adam. Papa akan bertolak dari Ipoh kerana papa ada meeting kat sana. Mummy kena temankan papa dulu”. Tan Sri Zaid mencadangkan kepada anak menantunya agar bertolak bersama.
“ Adam macam mana? Ada apa-apa acara ke hari tersebut?. Kalau perlu bawa Chempaka sekali, nanti ada teman bersembang kerana papa tahu jarak Kuala Lumpur ke Lumut tu jauh. Apa-apa nanti senang kalau berteman”. Chempaka keliru kerana dia tidak tahu kata-kata dari papa mertuanya itu sebagai arahan ataupun pandangan sahaja.
“ Pa,…Adam ada hal sikit, mungkin Adam sampai lambat pada hari tu. Adam agak Adam akan sampai malam sikit. Papa dengan mummy mungkin lebih awal sampai dari Adam. Kalau Chempaka nak sertai staff kita naik bas pun Adam izinkan”. Adam merenung Chempaka untuk mendapatkan reaksi pada raut wajahnya.
“ Chempaka tak kisah…kalau naik bas dengan staff yang lain pun tak pe. Kalau Adam dah bagi keizinan, Chempaka akan bergerak dengan dia orang nanti”. Tutur kata Chempaka yang teratur dan penuh sopan akan membuat sesiapa sahaja yang mendengar akan terpaut hati dengannya.
“ Mama nak kat sana jangan pula Adam dengan Chempaka duduk bilik berasingan. Bagi keselesaan pada Chempaka semasa di hotel nanti. Chempaka!...make sure dapatkan bilik yang telah syarikat tempahkan untuk Adam”. Gerun hati Chempaka mendapat arahan dari Puan Sri Zaida.
“ Insya Allah…mummy, Chempaka takut…nanti semua staff tahu hubungan kami berdua. Buat masa ni, tiada sesiapa pun lagi yang tahu tentang kami”. Adam merenung tajam pada Chempaka. Mata mereka bertentangan ,Adam tidak mahu mengalah sehingga Chempaka tertunduk memandang pinggan nasi yang masih berbaki.
“ Adam tak de masalah apa-apa. Yang pasti lepas sahaja program nanti baru Adam bertolak ke sana. Chempaka boleh urus sendiri tentang penginapannya kat sana kerana Adam yakin dia boleh, Adam bagi kebebasan untuknya”. Adam memberikan kebenaran untuk Chempaka bertindak sendiri dihadapan mummy dan papanya.
Selesai makan mereka berempat menyambung perbualan di ruang keluarga. Makcik Mariam menyediakan kopi untuk Adam dan Tan Sri Zaid.
“ Terima kasih Makcik Mariam kerana menyediakan kopi yang sedap sehebat kopi yang dibancuh oelah pembancuh kopi professional…bukan sahaja dibawa khas dari Asia Tenggara tetapi di import terus ke Villa Sukma ini”. Adam masih sempat mengenakan Chempaka. Ada sindiran yang cuba disampaikan Adam ketika menghirup kopi yang diletakkan oleh Makcik Mariam sebentar tadi.
“ Alah Adam ni,…tak berubah-ubah masih macam dulu. Tu…Chempaka mesti buat kopi yang sedap untuk Adam…mana nak sama dengan yang makcik buat. Air tangan isteri,…buat apa pun tetap sedap”. Kata-kata makcik Mariam yang tidak tahu hujung pangkal berkaitan kopi menambahkan kehangatan suasana antara mereka berdua.
“ Adam ni betul-betul sukakan kopi atau…ada apa-apa ni. Chempaka sihat ke tak? jangan-jangan…ada yang tak kena. Chempaka macam mana? Ada check doktor tak? Adam lain macam je mummy tengok sejak datang rumah mummy ni. Pembawakan budak ke?” Soalan dari mummynya membuatkan Adam terbatuk sehingga tersedak kopi yang diminumnya, nasib baik tak tersembur.
“ Mana ada apa-apa lagi mummy,…Chempaka ni nak habiskan study dia dulu baru nak ada apa-apa. Mummy dengan papa kena bersabar sikit kalau nak jadi datuk dengan nenek. Adam tak kisah…cepat ke lambat ke…tapi, kalau cepat lagi Adam suka. Yang susahnya, Chempaka belum bersedia lagi dan dia nak merancang dulu untuk setahun dua ni. Adam ikut je…kalau dia dah bersedia, Adam dah tak kisah”. Sengaja Adam mengadakan cerita yang tak wujud untuk menambahkan kemeriahan dia mengenakan Chempaka. Saat ini Adam melihat perubahan yang begitu ketara pada wajah Chempaka. Tak terkata seketika Chempaka apabila mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut Adam.
“ Betul ke Chempaka nak merancang ni? Mummy rasa, tak payah nak rancang-rancang le dulu. Kalau rasa Chempaka tak boleh nak jaga nanti, biar mummy yang jaga sementara Chempaka habiskan belajar tu”. Puan Sri Zaida menawarkan diri untuk menjaga cucunya nanti.
“ Hah!...apa lagi Chempaka, mummy dah bagi tawaran untuk jadi baby sitter tu. Jangan lepaskan peluang keemasan ni…bukan senang Puan Sri Zaida nak offerkan dirinya. Jangan buang mas Adam…Chempaka…”. Tokok Tan Sri Zaid bernada gurauan.
“ Adam on je pa, mummy…kena tanya Chempaka bab-bab macam ni. Kalau dia dah ready…tahun depan mummy dah boleh jadi nenek dan papa dah boleh dukung cucu ni”. Adam menambahkan perisa agar lakonannya kali ini benar-benar nampak menjadi.
“ Chempaka macam mana? Jangan lama-lama sangat. Tak kesian kat mummy dengan papa ke? Tak yah nak rancang dah…hentikan je…mummy tahu, tahun depan kamu berdua dah bertiga”. Bersungguh benar mummy mertuanya kali ini dan Adam tersenyum puas sewaktu menatap seraut wajah milik Chempaka.
“ Chempaka akan cuba kalau itu yang dah abang Adam cakap. Chempaka akan cuba bersedia untuk memberikan kebahagiaan pada mummy dan papa. Chempaka takut Chempaka akan menghampakan harapan mummy untuk perkara ini”. Chempaka tunduk menekur lantai. Kakinya menguis-nguis lantai yang beralaskan karpet tanpa memandang sesiapa. Adam pandai membuatkan dia berasa bersalah pada kedua mertuanya.
“ Malam ni tidur sini je. Esok bukan kerja pun…lama mummy tak sarapan bersama. Nanti mummy minta makcik Mariam masak makanan kegemaran Adam dan Chempaka. Tidur je bilik Adam…mummy dah minta makcik Mariam siapkan tadi. Mummy masuk tidur dulu le…Adam bawa Chempaka rehat kat atas”. Dengan langkah yang teratur, Puan Sri Zaida mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Tan Sri Zaid telah lama meninggalkan mereka bertiga menuju ke bilik tidurnya.
“ Jom…masuk tidur. Tahun depan nak dapat baby…dah janji dengan mummy dan papa tadikan? I tak tahu…you yang janji tak nak hampakan harapan dia orang, bukannya I”. Selamba sahaja Adam menarik Chempaka agar berdiri dan mereka melangkah ke bilik tidur Adam yang telah menjadi bilik pengantin mereka berdua dulu.
“ Chempaka…you dah bersedia ke nak bagi mummy dan papa I tu cucu? Kalau you sendiri tak bersedia buat apa you bagi harapan pada mereka. You tak takut ke, kalau-kalau mereka menagih janji dari you”. Sambil mencapai tuala dan mengelap mukanya yang basah selepas keluar dari bilik air. Chempaka memerhatikan perbuatan Adam tanpa suara. Dia sebenarnya rasa malu dan serba salah dengan pengakuannya sebentar tadi semasa memberikan jawapan kepada ibu mertuanya. Adam tersengih memanjang apabila teringatkan strateginya untuk mengenakan Chempaka habis-habisan telah mencapai kejayaan total bagi pihaknya.
Share this novel