BAB 29
Kain gebar yang membaluti tubuhnya disingkap Dewi. Balutan ke atas luka di lengan kanannya dirasakan semakin menyusut. Sudah dua hari dia terlentang tidak sedarkan diri. Ingatan terakhirnya, dia mengalami kesakitan yang amat dahsyat di seluruh tubuhnya. Segala sendi seakan ditarik-tarik, otot-otot seakan mengoyak dari dalam. Tidak terperi rasanya menahan kesakitan.
Cahaya mentari yang menyusur masuk dari tabir jendela menghunus ke ruang matanya. Pandangannya masih samar namun digagahnya jua untuk duduk. Perlahan lengan ditopang, membawa tubuhnya untuk segera bangkit.
“Senja..! Kau dah sedar..!” berlari Musliha sambil menatang semangkuk air suam ke arah Dewi. Rutinnya setiap pagi, tubuh Dewi itu pasti akan dituamnya dengan air suam.
“Musliha..apa dah jadi dengan aku..??” kelopak matanya masih terasakan perit. Panahan cahaya membataskan pandangannya. Terkial-kial Dewi mencarikan arah runut suara Musliha yang didengarinya.
“Berehatlah dulu Senja..sudah dua hari kau tak sedarkan diri..mujur penawar yang dibawakan Tantira tiba tepat pada waktunya..” Musliha bersimpuh bersebelahan Dewi. tubuh itu ditahannya daripada terus bangun.
“Maksud kau..aku telah sembuh..??”
Musliha langsung tidak mengatakan apa terhadap soalan itu. Hanya mengangguk lemah mengiakan kata-kata Dewi itu. Pesan Ashuri, jangan langsung diceritakan kepada Dewi bahawa dia sebenarnya tidak akan sembuh seperti sediakala. Racun di tubuhnya hanya berkurangan. Suatu hari nanti, pasti ia akan menular kembali.
“Berehatlah dulu Senja..kau belum cukup kuat..” tubuh itu ditolaknya perlahan agar kembali berbaring.
‘Tidak..aku sudah sembuh..aku mahu pulang ke tempat asalku..” Dewi meronta. Pegangan Musliha terlucut. Dewi menggagahkan diri untuk berdiri. Namun segala sendi yang bersambung dalam tubuhnya seakan bergoncang. Kekudanya tidak seampuh mana. Cuba dibawanya berjalan, namun rebah dia menyungkam ke lantai istana.
“Senja..!” sudah ditegah namun dia tetap membantah. Berkejar pula Musliha memaut Dewi untuk bangun semula. Dibawanya semula ke katil, dibaringkan Dewi supaya berehat dia semula.
“Aku mahu kembali pulang ke tempat asalku Musliha..aku rindukan keluargaku..pasti mereka juga merindukan aku..” rintih Dewi mengesat titis air jernih di kelopak matanya. Tiada guna lagi untuk dia kekal lama di istana itu. Dia perlu segera pulang. Tidak mahu lagi dikurung seperti apa yang dialaminya sekarang.
“Aku pasti Ashuri akan membenarkan kau untuk pulang..tapi bukan sekarang..kau masih belum cukup kuat..percayalah cakap aku Senja..”
“Tapi hingga bila Musliha..??”
Tiada siapa yang lebih mengetahui akan apa yang dirancang Ashuri. Mereka hanya menuruti setiap perintahnya. Musliha rendamkan sehelai kain ke dalam mangkuk lalu dituamnya ke kulit Dewi. Dia enggan menjawab segala persoalan Dewi itu. Jika tersalah kata-kata, pasti Ashuri akan berang dengan dirinya nanti.
Mereka hanya berbual kosong sepanjang masa. Minuman herba yang disediakan oleh Tabib Fansuri turut dihidangkan Musliha untuk Dewi. Bersusah payah dia menguruskan perihal Dewi hari itu. Tiada sekali pun dibukanya cerita tentang apa yang terjadi sepanjang Dewi tidak sedarkan diri. Dia tidak mahu Dewi bermuram. Lebih-lebih lagi jika dia mengetahui tentang Raihan yang terkorban semasa mendapatkan penawar untuknya. Tidak sama sekali getus Musliha dalam hati.
“Perlahan-lahan..jangan dipaksa langkahmu itu..” ulas suara Tabib Fansuri kedengaran jelas di luar kamar Dewi. Kedua mereka mengalihkan pandangan ke arah muka pintu yang ternganga luas. Kelibat Tabib Fansuri muncul di hadapan pintu sambil diiringi dayang istana. Tiga orang dayang yang memapah seorang wanita yang dibawa pulang Musliha tempoh hari.
Saat mereka melintasi, pandangan itu sudah tercengkam pada satu susuk. Yang dipapah kelihatan lemah untuk melangkah. Namun sisi wajah itu begitu amat dikenalinya. Dewi menggeletar tubuh. Menopang tangan memaksa dirinya untuk bangun semula.
“Bonda..??” terucap di bibirnya saat melihatkan Dewi Siluman Bulan sedang dipapah di dalam istana itu. Terhincut-jincut langkahnya lalu berhenti. Dipalingnya wajah, melihat ke arah suara yang didengarinya itu.
Tidak terucap dengan kata-kata kegembiraan yang terpancar di wajah Dewi. Kelibat bonda kesayangannya tiba-tiba berada di dalam istana itu. Walau dalam kelesuan tubuh, dia berusaha untuk bangun. Berkejar ke arah kerinduan yang telah lama dipendamnya itu. Tubuh itu dipeluknya erat. Linangan air mata mengiringi pertemuan dua beranak yang terpisah itu.
“Apa yang telah kau lakukan pada ibuku ini..?!” terarah terus pandangannya terhadap Tabib Fansuri yang terkedu dengan tindakan Dewi itu. Saat dirinya dimarahi tidak diendahkan, namun pertemuan dua beranak itu yang tidak dijangka menggamit perhatiannya.
“Maksudmu..ini ibumu Senja..??” terpinga-pinga Tabib Fansuri dengan keadaan itu. Jika benar itu adalah ibunya, bermakna itu juga adalah isteri kepada rakan karibnya dahulu iaitu Kelana Siluman.
“Sungguh aku tak menyangka kalian manusia sebegini kejam..!” bentak Dewi lantas memapah tubuh ibunya yang kelemahan untuk berdiri.
“Kita pergi sahaja dari sini bonda..manusia semuanya ternyata berhati busuk..! benar kata ayahanda…kita sememangnya tidak wajar bercampur gaul bersama mereka..!” dirinya yang masih lagi tiada upaya itu dibawanya beredar. Namun gelengen Dewi Siluman Bulan telah menghentikan langkahnya. Raut wajah itu seolah tidak merelakan. Perlahan tubuh anaknya itu ditepuk untuk menghalang niatnya meninggalkan istana itu.
“Mengapa bonda..?? Dewi telah menyaksikan sendiri bagaimana mereka memperdayakan diri ini..tiada guna kita berbuat baik jika balasan mereka sedemikian rupa..” ucap Dewi.
Namun Dewi Siluman Bulan terus menggeleng lesu. Tubuh anaknya itu dipaut rapat semula. Sungguh dia tidak menyangka bahawa anaknya itu masih lagi bernyawa. Diusapnya perlahan helaian rambut Dewi sehingga puas rasa di hatinya. Berkali-kali dikucupnya dahi si anak yang selama ini disangkanya sudah pergi meninggalkan dirinya. Namun, dia tidak mampu lagi hendak berkata, melafazkan betapa rindu dirinya pada si anak itu juga dia tidak terdaya.
“Senja..aku yang terjumpa dengan ibumu di jeram tempoh hari..ketika itu dia sudah tidak bermaya dan tidak sedarkan diri..aku yang bawakan dia untuk berubat dengan Tabib Fansuri..kerana rawatan Tabib-lah, ibumu itu mampu berkuat semula..” Musliha tampil cuba menjernihkan suasana yang sedikit kelam kabut itu. Salah faham Dewi telah mengundang perasaan yang tidak enak ketika itu.
Dewi Siluman Bulan turut mengangguk. Apa yang dikatakan Musliha itu tidak dipertikaikannya. Malah, gadis itu juga yang turut menjaganya beberapa hari ini. Tiada apa niat yang buruk mereka bingkiskan. Bantuan mereka benar ikhlas terhadap dirinya.
“Bonda..apa benar kata-kata Musliha itu..?? mengapa tidak bonda katakan padaku..??”
Soalan itu tidak dibalasnya. Tidak terdetik hendak diluahkan apa yang tersekat di kerongkong kala itu. Malah teringin sekali Dewi Siluman Bulan untuk menyebut nama anaknya saat itu. Tapi dia tidak mampu.
“Senja..bukankah ibu kau..” belum pun habis dituturkan Musliha, Dewi Siluman Bulan terlebih dahulu telah berpura rebah ke arah Musliha. Pantas dia dipaut kemas daripada rebah ke lantai. Dan dia melihatkan terus ke arah Musliha yang sedang merangkulnya dengan satu pandangan penuh pengharapan. Jangan dikatakan kepada anaknya itu tentang perihal dirinya. Usah dikatakan kepada Dewi bahawa ibunya itu kini menjadi bisu tidak mampu bersuara. Jangan.
Raut wajah itu serta gelengen itu difahami Musliha. Mereka yang di sekeliling hanya memerhati tidak mampu berkata apa. Namun Musliha sendiri tidak tahu bagaimana hendak disembunyikan perasaannya sendiri ketika itu.
Seorang ibu, tidak mahu anaknya sendiri mengetahui akan kekurangan dirinya ketika itu. Namun sampai bila hendak disoroknya hal sebesar itu?
“Mengapa dengan ibuku Musliha..??” terhuyung hayang Dewi melangkah menghampiri Musliha yang sedang memapah kuat diri ibunya.
“Dia..dia..” tergagap Musliha tidak tahu apa yang hendak dijawabnya. Menyembunyikan hal sebegitu besar tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Ibumu masih tidak berapa kuat Senja..tubuhnya masih lemah..malah, aku juga khuatir dia tak mampu hendak berkata-kata untuk sementara waktu..” Tabib Fansuri pantas menghidu apa yang cuba dikatakan Musliha. Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Dewi Siluman Bulan itu. Kerana dia begitu pasti, siluman tidak pernah dilahirkan cacat sebegitu. Mustahil dirinya bisu tanpa bersebab. Pasti ada sesuatu yang telah menimpa dirinya.
Semua pandangan terarah pada Tabib Fansuri yang tegas dalam kata-katanya itu. Mujur tindakannya itu berjaya meredakan sementara suasana. Namun dia bertingkah dalam diri, mengapa kini siluman seolah berada dalam keterpaksaan. Kembali mendekati manusia setelah sekian lama mereka bersembunyi. Dirinya berkata seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Izinkan aku merawat dahulu ibumu Senja..berehatlah di sini untuk beberapa ketika..kau juga masih belum cukup kuat untuk bergerak bebas..aku yakin ibumu itu juga semestinya sependapat denganku..” sambung Tabib Fansuri semula. Sementara dia punya kesempatan, dia perlu menyiasat apakah punca siluman memunculkan diri. Yang menjadi kerisauannya, mengapa mereka hadir dalam keadaan parah seperti ada sesuatunya berlaku.
Bagaikan terpujuk dengan rayuan Tabib Fansuri, Dewi akhirnya merelakan. Sekerasnya dia mahu segera pulang ke Gua Muluk, namun keadaan ibunya seakan menghalang niatnya itu. Adalah lebih baik dia membenarkan Tabib Fansuri untuk merawat ibunya sementara dia berusaha juga untuk memulihkan dirinya sendiri. Selang masa kian menghantui dirinya, terlalu banyak hal yang kini berlegar dalam kepalanya. Mahu tidak mahu, Dewi memapah juga ibunya masuk ke dalam kamarnya sendiri.
Share this novel