BAB 4
Dewi terpaksa. Melihatkan saat getir yang sedang dialami Ashuri, Dewi terpaksa menghulurkan selendang yang membaluti hujung kepalanya kepada Ashuri. Selendang itu diletakkan ke atas bahu kiri Ashuri. Terpisahnya selendang itu dari dirinya, bermakna Dewi telah melanggar Aturan Muluk yang pertama. Aturan yang selama ini dipegang teguh oleh semua siluman penghuni Gua Muluk. Aturan pertama yang melarang tegas kaum siluman untuk mendedahkan peribadi mereka kepada kaum manusia. Kini aturan itu dilanggar Dewi tanpa berfikir panjang. Tanpa berfikir akan bencana yang bakal menimpanya.
Ashuri pantas berpaling. Suara wanita yang berada tepat di belakangnya benar-benar menghadirkan debar di dadanya. Satu selendang berwarna kuning keemasan terletak rapi di atas bahunya. Bauan semerbak kemboja menyelinap terus meneroka hidungnya. Ashuri terpana melihatkan kecantikan wajah yang dimiliki wanita itu. Jelas nyata dia bukanlah dari Indera Sakti.
Uraian ikal rambut yang disanggul benar-benar melihatkan keayuan si pemilik wajah. Raut wajah yang berseri tanpa sebarang cela dihiasi alis mata yang benar-benar memukau. Bibir yang merah merekah sambil mempamerkan senyuman menawan itu terus sahaja mematikan kerdipan anak mata Ashuri. Matanya sendiri seolah disengkang tidak mahu berkelip. Dan bola mata si pemilik wajah itu benar-benar menggetarkan tangkai jantungnya. Anak mata yang merenungnya itu terlalu menawan. Redup memandang dihiasi anak mata yang berwarna biru. Jelas dia bukan sebarangan wanita. Ashuri meneguk liur memandangkan keindahan di hadapannya itu. Sendi tubuhnya kaku dek melihatkan indah seri itu.
"Bantulah temanmu itu dengan selendangku.." ucap Dewi sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah selendang yang diletakkan di atas bahu Ashuri. Seakan terpanah dek halilintar, Ashuri tersedar dari lamunannya. Selendang yang diberikan Dewi segera dicapainya. Sempat dia mengangguk dan membalas senyuman dari Dewi.
"Tantira..! Sambut selendang ini..!" selendang itu segera dihulurkan kepada Tantira setelah dipintalnya menjadi seperti tali. Mujur panjang selendang itu dapat digapai Tantira tanpa sebarang masalah. Terkial-kial dia berpaut dan melangkah naik berpaksikan selendang itu. Tiba di permukaan, kedua-duanya bernafas lega. Tantira meraup mukanya yang kebasahan dek peluh. Ashuri juga begitu. Mujur tiada perkara yang buruk terjadi pada Tantira. Kalau tidak, Ashuri pasti tidak akan memaafkan dirinya sendiri.
"Terima kasih.." Ashuri bangun dan berpaling semula ke belakang. Ucapan itu harus diucapkan pada wanita yang menghulurkan bantuan saat dia benar-benar memerlukan. Namun raut muka Ashuri berubah saat dilihatnya semula ke belakang. Wanita yang memberikannya pinjam selendang berwarna kuning keemasan tadi telah tiada.
"Mana perginya..??" Ashuri melihatkan di sekelilingnya. Dia mencari-cari wanita yang telah membantunya tadi. Puas dilihatnya dalam kelam senja itu namun langsung tidak kelihatan bayangnya.
"Siapa Ashuri..??" Tantira bangun dan berdiri di sebelah Ashuri. Dia turut melihatkan di sekeliling kawasan itu. Mencongak lihat apa yang dicari Ashuri.
"Ini..wanita pemilik selendang ini..dia yang memberikan padaku agar dapat ku tarik kau keluar dari telaga itu..tapi entah mana pula perginya.." selendang milik Dewi digenggam rapi Ashuri.
"Wanita..??" soal Tantira tergamam. Kembali dia teringatkan peristiwa sebelum dia terjatuh ke dalam telaga gelap itu. Andai benar apa yang dikatakan Ashuri, bermakna dia bukanlah berkhayal tentang alunan suara dan usikan-usikan yang dialaminya tadi.
"Ya..wanita..indah wajahnya langsung tak dapat kugambarkan padamu Tantira..terlalu indah.." bicara Ashuri mengulum senyum. Selendang yang digenggamnya dibawa ke pangkal hidung. Semerbak bauan kemboja menyusuk kembali. Tantira hanya berdiam diri. Dia mula merasakan tidak senang dengan apa yang dikatakan Ashuri.
"Entah-entah.." bisik Tantira perlahan pada Ashuri. Namun kata-katanya terhenti seketika.
"Entah-entah apa Tantira..?? Katakan.."
"Tiada apalah Ashuri..ayuh..hari semakin gelap..Telaga Air Biru telah kujumpai..sesudah kita menimba naik air telaga ini, kita harus segera pulang ke istana..aku gusar Permaisuri Dahlia akan menjadi risau.." Tantira terus sahaja menukar perbualannnya. Dia tidak mahu meneruskan kata-kata dengan apa yang terlintas di fikirannya.
"Betul juga apa kau katakan itu Tantira..ayuh.." selendang yang diberikan Dewi diikatnya ke pinggang. Segera dia membantu Tantira yang sedang menurunkan timba kecil bertalikan rotan untuk menceduk air telaga itu. Namun fikiran Ashuri masih menerawang jauh memikirkan perihal wanita yang hadir sementara bersamanya tadi.
"Siapakah dia..??" bisik Ashuri sendiri.
DEWI melangkah laju menuju ke arah Gua Muluk. Berhati-hati dia melangkah dalam samar malam itu tanpa sebarang bantuan cahaya. Hatinya dilanggar resah. Fikirannya bolak-balik memikirkan tentang selendang yang diberikan pada Ashuri tadi. Apa yang perlu dijawabnya pada Tok Kelana Siluman andai diketahuinya selendang itu tidak lagi bersama dengannya. Dan yang lebih merisaukannya, apa yang akan dikatakan oleh Tok Kelana Siluman andai diketahuinya selendang itu kini telah terjatuh milik pada seorang manusia. Apakah hukuman yang bakal menantinya?
"Dewi..??" satu suara garau menegurnya dari celahan semak denai laluannya untuk kembali ke Gua Muluk. Dewi terhenti dalam gelap bumin itu. Dia hanya berdiri tegak menunggu gerangan siapa yang menegurnya. Muncul seorang jejaka yang amat dikenalinya dari celahan semak itu.
"Abang Juara..! Nasib baik Dewi berjumpa dengan abang.." Dewi bernafas lega. Tidak menyangka akan bertemu dengan Kelana Siluman Juara di situ. Adalah temannya untuk seketika dalam gelap itu.
"Apa yang Dewi lakukan seorangan dalam gelap ini..Dewi ke mana..??" soal Juara sambil menyelitkan busur panah ke belakang badannya. Dia turut memerhatikan sekeliling. Risau andai Dewi diekori oleh jembalang hutan yang berkeliaran kala senja itu.
"Dewi dari jeram di hulu sana..di Telaga Air Biru.."
Juara berpeluk tubuh. Pandangannya memerhatikan Dewi tanpa berkalih saat Dewi menerangkan perihalnya. Kekar otot bahu menampakkan urat saat tubuh itu dipeluknya.
"Kenapa bila senja baru melangkah pulang..bukankah pesan Tok Kelana, jangan sesekali berkeliaran di belantara saat senja menghampiri..apa Dewi tidak mengingati pesanan Tok Kelana..??" tegas Juara.
Mencuka muka Dewi bila Juara menegurnya. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan. Tetapi dia tidak sengaja melanggar arahan yang telah diberikan Tok Kelana. Dia punya masalah yang tersendiri yang tidak dapat diterangkan pada sesiapa pun. Lebih-lebih lagi pada Tok Kelana.
"Hmm..tapi abang Juara boleh sahaja berlegar di kala senja..kenapa pula Dewi tak boleh..??" rungut Dewi. Muncungnya dihalakan panjang ke hadapan. Dia berpeluk tubuh tidak berpuas hati setelah dimarahi Juara.
Juara tertawa. Ngomel manja Dewi benar mengusiknya. Bukan sengaja dimarahinya Dewi. Namun kerisauan itu tidak dapat dibendungnya. Kerana risaulah kemarahan itu terpaksa dilepaskan. Namun saat Dewi mula mencebik bibir memasamkan muka, amarah Juara mula berlalu. Mana mungkin dia memarahi Dewi berlebihan.
"Abang Juara ini lelaki Dewi..abang punya kudrat dan senjata andai abang ditimpa musibah di dalam belantara ini..tiada apa yang dirisaukan oleh Tok Kelana andai abang Juara tidak pulang sekalipun ke gua kediaman kita itu..namun andai Dewi yang ditimpa bencana, apa yang mampu Dewi lakukan..?? Berlari selaju mungkin pulang ke gua..begitu..??" sengaja Juara mengusik Dewi yang tidak mahu langsung menatap wajahnya. Pandangannya dibuang jauh menghala ke arah lain. Dewi merajuk tidak minta dipujuk.
"Dewi kutiplah batang kayu yang berselerak di lantai hutan..Dewi jadikanlah senjata..andai ada yang menggangu Dewi..Dewi pukul kepalanya kuat-kuat biar ia mati.." rungut Dewi sambil kakinya menguis dedaun yang gugur ke lantai bumi. Juara tertawa besar. Sesekali dilihatnya rajuk Dewi yang umpama anak kecil itu, ada juga lucunya.
"Jadi Dewi merasakan bantuan abang tidak diperlukanlah kini..??"
"Tidak..!" Dewi menjawab bersahaja.
"Kalau begitu Dewi pulanglah sendiri ke gua..abang Juara mahu masuk semula ke dalam belukar mencari bekalan makanan..hati-hati berjalan pulang ya.." Juara menahan tawanya. Sengaja dipusingkan badan mengarah ke belukar selepas diusiknya pada Dewi. Dapat diperhatikan wajah Dewi yang tadinya mencuka membawa rajuk kini menjadi resah terpinga-pinga. Dewi berpaling semula melihatkan Juara. Dia menghentakkan kaki kegeraman ke arah Juara.
"Abang Juara..! Janganlah begini..temankanlah Dewi pulang ke gua..!" rengek Dewi yang kini terpaksa mengalah. Ejekan Juara ternyata berhasil. Mendengarkan rengekan Dewi terus sahaja letus tawanya meledak tanpa dapat ditahannya lagi. Disangkanya Dewi seberani apa yang dikatakannya. Rupanya tidak. Hanya berkata besar kononnya tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengiringinya pulang.
"Abang Juara..! Janganlah tertawakan Dewi..!" bahu Juara ditampar kuat oleh Dewi. Marah benar dirinya bila ditertawa sebegitu.
"Haaa...haa..baiklah..marilah..abang temankan Dewi pulang..asalkan upahnya lumayan..apa sahaja abang sanggup lakukan untuk Dewi.." Juara mengarahkan Dewi untuk berjalan di hadapannya. Dia mengekori dari belakang agar segala tindak tanduk di hadapan Dewi dapat diperhatinya dengan jelas. Biar dia melindungi Dewi dari belakang.
"Upah..??" soal Dewi tidak pasti dengan permintaan Juara. Langkah kakinya terus sahaja dibawa ke hadapan sambil sesekali menoleh ke belakang melihatkan Juara yang mengekori.
"Nyanyikan lagu merdu sepanjang perjalanan kita pulang ke Gua Muluk..agar terhibur abang dengan lunak suara Dewi itu.." jelas Juara tersenyum. Permintaan yang tidaklah seberat mana pun hendak dilaksanakan Dewi.
Dewi dan Juara meredah denai terus menghala ke arah Gua Muluk. Lantunan merdu irama yang dialunkan Dewi menjadi teman sepanjang perjalanan mereka. Tidaklah jauh perjalanan itu. Namun cukup terkesan di hati Juara. Dia hanya tersenyum. Lenggok Dewi diekorinya hingga ke pintu Gua Muluk. Fawas hanya memerhati dalam gelap ketibaan Dewi Siluman Senja bersama Kelana Siluman Juara dari kejauhan.
Share this novel