Chapter 25

Romance Completed 4712


BAB 25

Tiada apa yang lebih mendamaikan saat melihat kudupan bunga misteri itu kini berada di dalam genggaman Tabib Fansuri. Ulit diperhatikan bunga itu dikerjakan. Ruang kamar segera dikosongkan saat Tabib Fansuri menyendiri merawat Dewi yang semakin lemah melawan racun dalam tubuhnya.

Ashuri mundar mandir di hadapan pintu kamar yang tertutup rapi penuh keresahan. Detik waktu berlalu pantas namun dia tetap tega menanti. Satu nyawa itu terlalu penting baginya.

“Tantira..di mana Raihan..??” Musliha muncul di hadapan Tantira selepas agak lama dia menanti di luar istana. Kelibat Raihan dicarinya, namun tidak terlihat. Menyangkakan mungkin kumpulan itu terpisah dua, dan mungkin juga Raihan berada di kelompok kumpulan yang terbelakang. Itu fikirnya setelah hampir sejam dia menanti di luar istana. Seorangan. Namun jelas dia hampa kerana Raihan langsung tidak kelihatan.

Tantira meneguk liur. Hela nafasnya berat dengan wajah yang terus muram. Tidak terluah rasanya apa yang ingin disampaikannya. Namun pertanyaan itu, menghadirkan sesak dalam dadanya. Lubuk hatinya bertingkah cuba menyusun dusta. Namun tiada kekuatan untuk dia berdalih memutarkan alasan.

“Raihan..tidak mungkin kembali bersama kita Musliha..”

Yang ditakuti Musliha akhirnya menjengah tiba. Dari bibir seorang yang diharapkan untuk menjadi pelindung. Berkali telah dia cuba memujuk hati sebelum ini agar Raihan pastikan selamat. Ternyata harapannya itu ditempelak seperti tiada nilainya. Harapan yang diberikan Raihan adalah palsu.

“Mak..maksud kau Tantira..??” nadanya terketar tersekat-sekat. Tantira tak mampu lagi menyambung kata-katanya. Dia yang melihat segala apa yang terjadi, merasakan terlalu berat untuk diceritakan kepada Musliha. Hanya mampu digelengnya kepala dengan wajah yang tertunduk.

“Ta.. tapi.. dia kan dah berjanji nak balik semula ke istana ini..??” dia masih lagi cuba mengawal diri. Menahan air mata dari menitis. Walau dilihat Tantira ketika itu, kelopak matanya Musliha sudah pun mula bergenang air mata.

“Maafkan aku Musliha..sesungguhnya aku tidak mampu menghalang pemergiannya..” Tantira akur dengan apa yang menimpa. Walau cuba diusahakannya, namun tetap tak berjaya. Begitu berat dugaan yang menimpa Musliha itu, kerana dia juga turut merasakan. Kerana Raihan adalah seorang teman yang berhati mulia. Bukan kepada Musliha, namun pada dirinya jua.

Hadirnya dia, mungkin sekadar untuk menggembirakan. Walaupun hanya untuk seketika. Musliha kaku, hampa dan berwajah muram. Tiada lagi gurauan Raihan, tiada lagi sindiran sinis, tiada lagi usikannya yang menjengkelkan. Semua itu telah pergi bersama dirinya. Selamanya.

“An..kau dah janji nak balik semula..” sebak. Musliha tersandar meratap kesedihan. Tubuhnya dilurut menuruni dinding. Tersimpuh dia di atas lantai kebingungan. Kalung rantai peninggalan Raihan digenggamnya erat. Janji Raihan adalah untuk kembali mendapatkannya semula. Tapi ternyata dia memungkirinya. Meninggalkan Musliha di suatu zaman yang dia sendiri tidak mengerti. Entah apalah nasibnya, dia sendiri tidak dapat mengagak.

“Maafkan aku Musliha..” ucap Tantira lagi. Dayang-dayang istana cuba menenangkan Musliha. Dirinya ditenteramkan agar tenang dia kembali. Tidak mudah, namun perlu juga dilakukan.

Ashuri menepuk bahu Tantira, sahabatnya, dari arah belakang. Sesungguhnya dia mengerti. Bukan kerana kelalaian, nyawa Raihan direntap pergi. Pastinya dia mengusahakan apa yang terdaya untuk melindungi. Namun takdir, tiada siapa yang mampu menolak.

“Kami diserang jembalang sewaktu dalam perjalanan pulang dari Lembah Cahaya..bilangan mereka terlalu ramai, mengatasi bilangan kami Ashuri..tidak mampu bertahan, kami melarikan diri..malangnya, Raihan tergelincir di tebing curam, lalu tercampak ke bawah gaung yang tak dapat langsung kami terokai..bukan sengaja kami meninggalkan dirinya di situ..” bagaikan terpanggil untuk menceritakan apa yang telah terjadi, kepada Ashuri dia meluahkan.

“Aku pasti dia adalah pejuang..seperti mana jua dirimu Tantira..usah kau bersedih..aku pasti, itu bukanlah kesalahan dirimu..” sahabatnya itu ditenangkan agar tidak terus merasa gundah. Ashuri hanya mampu menggeleng melihatkan Musliha murung meratapi pemergian Raihan. Pasti itu adalah saat yang sukar baginya.

“Musliha..pemergian Raihan, akan aku pastikan tiada sia-sia..dia bergadai nyawa, demi kehidupan nyawa-nyawa yang lain..itu adalah sifat seorang pejuang, pahlawan Melayu yang patut kau banggakan terhadap dirinya..” kesedihan itu turut dirasai Ashuri. Namun tiada apa yang mampu dilakukannya. Berkali sudah dia menegah kapada Raihan sebelum ini, namun tetap diingkari.

Atau mungkin..inilah pilihan perjalanan hidupnya..

“Aku datang ke sini dengan dia..aku mesti balik semula dengan dia..!” Musliha menghentak lantai. Bungkam semuanya memerhatikan dirinya yang sedang kemarahan. Tiada yang berani menyangkal, tiada juga yang berani cuba menenangkan Musliha.

“Siapa lagi aku nak harapkan dekat sini..?? aku sendiri..kau faham tak apa maknanya sendiri..?!” bentaknya berterusan. Terik wajahnya disirami air mata memerhatikan Ashuri. Tergamam semuanya.

“Jangan biadap Musliha..! ingatkan dirimu dengan siapa engkau sedang berkata sekarang..!” Tantira laungkan amaran. Bukan menidakkan perasaan yang membayangi Musliha ketika itu, namun kebiadapan kata-kata Musliha itu begitu tidak disenanginya.

“Tidak mengapa Tantira..aku langsung tidak terasa hati dengan apa yang dikatakannya..” Ashuri menenangkan panglima istananya agar terus bersabar. Suasana kian tegang. Dan itu benar-benar amat tidak disenangi Ashuri. Bagaikan istana itu diselubungi awan hitam yang tidak mampu lagi hendak dialihkannya pergi.

Musliha mendengus kemarahan sebelum melangkah pergi. Berjalan sendiri, diiringi kesedihan, dia melangkah meninggalkan istana. Mata-mata sekadar memerhatikan. Tiada yang menghalang, tiada juga yang cuba untuk memujuknya.

“Biarkan dia bersendirian sementara..aku pasti dia akan kembali semula setelah dia merasakan tenang..” Ashuri hanya menggeleng. Bahu Tantira digenggamnya erat.

Mengapa begitu besar bala yang kini menimpa Indera Sakti? Adakah tindakannya selama ini yang mengakibatkan segala ini terjadi? Ashuri hanya berfikir sendiri sambil mengharapkan adanya keajaiban yang terjadi suatu ketika nanti.

Kuakan pintu kamar Dewi mematikan segala lamunan. Langkah Tabib Fansuri longlai, diselangi wajah yang sedikit keresahan, dirinya menghampiri Ashuri yang tega menanti sedari tadi.

“Bagaimana keadaannya..apakah berhasil rawatanmu padanya Tabib..??”

Tabib Fansuri hanya terdiam. Cuma helaan nafasnya sahaja yang kedengaran. Namun riak wajahnya, mengundang resah Ashuri.

“Patik mencuba segala yang termampu..kini, terpulang pada dirinya sendiri untuk melawan saki baki racun yang mendiami tubuhnya..tidak kesemuanya dapat patik tawarkan..kerana racun itu sudah menular dalam tubuhnya Tengku..”

“Katakan dengan lebih jelas Tabib..usah berselindung di sebalik kata-kata..!” tubuhnya digoncang Ashuri. Bahunya dicengkam Ashuri.

“Berat untuk patik perjelaskannya Tengku..Senja, mungkin tidak akan sembuh seperti sedia kala..jangkaan patik, Senja hanya mampu bertahan untuk beberapa ketika sahaja..dia mungkin mampu bergerak seperti biasa, namun saki baki racun di dalam tubuhnya itu akan berterusan memakan dirinya…sehinggalah nafasnya terhenti suatu hari nanti..”

“Tidak Tabib..aku yakin kau sengaja membawa cerita..kau bukannya Tabib sembarangan..pasti sahaja Senja itu mampu kau sembuhkan..” Ashuri cuba tersenyum. Cuba mengandaikan itu hanyalah jenaka dari Tabib Fansuri. Namun Tabib Fansuri berterusan menggelengkan kepala. Menidakkan apa yang dikatakan Ashuri. Jelas, dia sudah tidak mampu lagi untuk berbuat apa. Kerana dia, telah berserah segalanya kepada takdir. Senja, tidak mungkin lagi mampu ditawarkannya.

Tidak tahu bagaimana hendak dilepaskan kesedihan itu. Perlahan genggaman di tubuh Tabib Fansuri dilepaskannya. Keluhannya berat. Wajahnya hilang segala sinar keceriaan. Ashuri seperti kehilangan arah. Berjalan dia lemah, menuju ke pintu kamar Dewi.

Wajah itu diperhatikannya. Terbaring lesu menghabiskan sisa-sisa kehidupannya. Diri itu yang tadinya bergelumang dalam keseksaan, menahan keperitan, kini hanya menanti saat dirinya pula ditarik pergi. Lesu.

“Berapa lama masa yang kita ada Tabib..??” Ashuri kembali berpaling. Selagi ada masa dan peluang untuk dia mendapatkan kembali kekanda sulungnya yang berada di genggaman kaum siluman, dia tetap akan mengusahakan cara. Dia tidak akan membiarkan Dewi pergi begitu sahaja tanpa dia memperoleh apa-apa.

Dia telah merancang segalanya. Mungkin pada saat mulanya mereka bertemu, perasaan cinta dan kasih itu menyemarakkan lagi keinginannya untuk bersama. Namun, setelah segala rahsia lama di antara dua kaum di belantara itu diketahui Ashuri, segalanya kini tampak berubah.

Dia, mengutamakan jalinan yang telah terputus lama.

Dia , menidakkan perasaan demi penyambungan legasi.

Dia, mendambakan kepulangan semula kekanda sulungnya yang telah terpisah lama.

Dan Dewi, adalah kunci kepada segalanya itu mungkin berlaku.

“Patik tidak berani menjangkakannya Tengku..semuanya bergantung terhadap dirinya sendiri untuk melawan racun dalam tubuhnya itu..” mereka saling memerhatikan Dewi yang terus terbaring, tidak sedarkan diri. Sungguh dirimu rupawan, bernasib malang meski hatimu disirami keikhlasan.

“Usahakan segala yang terbaik untuk dirinya..aku tidak mahu dia mati sebelum tiba waktu dan ketikanya..” kata Ashuri sebelum dia bergerak pergi. Perancangan perlu dilaksanakannya secepat mungkin. Masa tidak akan menanti dirinya. Sebelum sesuatu yang lebih malang terjadi pada Dewi, eloklah dia mengusahakan sesuatu sebelum semuanya jadi terlambat.

“Baiklah Tengku..” Tabib Fansuri akur. Melihat sahaja pemergian Ashuri sambil diekori rapat Tantira. Tiada apa lagi yang mampu menghalang kemahuan anak raja itu, melainkan kematian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience