BAB 30
Perkhabaran yang disampaikan oleh Tabib Fansuri ternyata merencatkan rancangan Ashuri. Kemunculan ibu Dewi ke istana itu seakan memberi petanda akan sesuatu yang tidak molek sedang berlaku di dunia siluman. Kata-kata Jalak dahulu kononnya kaum siluman bercadang untuk menyerang Istana Indera ditolaknya jauh. Tidak mungkin semua itu akan berlaku. Ternyata itu hanyalah fitnah yang dibawakan si Jalak penderhaka.
“Mungkin kaum siluman sekarang sedang dilanda permasaalahan Tengku..patik yakin, pemimpin siluman itu tidak sewenang-wenangnya menggadaikan anak dan isterinya untuk menjadi pengintip di istana ini..” Tabib Fansuri yang lebih arif dengan perihal itu memberikan nasihat. Tidak mahu Ashuri membuat keputusan yang terburu-buru.
“Benar..aku juga berfikir begitu Tabib..pasti ada sesuatu yang tidak kena di penempatan mereka..” Ashuri menuju ke tingkap istana. Dilihatnya ke arah hutan belantara di belakang istana itu. Menurut Dewi, dari sanalah dia muncul.
“Malah, keadaan ibu Senja itu membuatkan aku berfikir..siluman tidak mungkin dilahirkan cacat sebegitu..pastinya dia ditimpa bencana, dan kita seharusnya menyiasat terlebih dahulu..” nafasnya dihela sebentar.
“Eloknya kita pohonkan kebijaksanaan Raja Rasturi berkenaan hal ini Tengku..patik yakin, jika kita menyampaikan hal ini secara jujur, pasti Raja Rasturi tidak akan murka..patik yakin Tengku..” sambung Tabib Fansuri semula.
Walau ada benarnya kata-kata Tabib Fansuri itu, namun Ashuri sedikit gusar untuk menyatakannya. Selama ini dia hanya menyembunyikan perkara yang sebenar dari pengetahuan ayahandanya itu. Namun memandangkan keadaan semakin rumit..
“Arahkan Senja dan ibunya datang mengadap..kita khabarkan hal yang sebenar kepada Raja Rasturi..” ucap Ashuri diiringi senyuman di bibir Tabib Fansuri. Kebijaksaan Raja Rasturi akhirnya ditagih Ashuri. Sekurang-kurangnya, bebanan itu tidaklah terasakan benar di bahu dirinya. Pantas Tabib Fansuri melangkah pergi mendapatkan dua siluman yang dikehendaki Ashuri.
DEWI terleka di bucu katil. Membiarkan ibunya menyisir helaian rambutnya agar terusun rapi. Sudah lama dirasanya tidak bermanja sebegitu. Musliha yang berada di sisi, sekadar melihat dan menemani mereka di dalam kamar itu.
“Bonda..apa yang telah terjadi sebenarnya..?? Dewi lihat bonda seperti dilanda musibah..apakah ada sesuatu yang cuba bonda sembunyikan dari Dewi..??”
Usapan ke atas rambut anaknya itu terhenti. Dia melihat Musliha yang merenung dirinya. Dewi Siluman Bulan tidak tahu bagaimana caranya hendak disampaikan tentang apa yang telah terjadi. Malah, dia juga masih cuba berselindung tentang keadaan dirinya. Dia kematian akal. Sebolehnya, dia mahu menceritakan tentang Tok Aduka yang memporak porandakan Gua Muluk. Dia juga mahu menyampaikan cerita tentang diri ayahnya sendiri, Tok Kelana Siluman yang telah ditawan jembalang. Tetapi, dia tidak tahu bagaimana caranya.
Tubuh anaknya dipeluk erat dari belakang. Hendak dia menangis tetapi tidak kesampaian hati. Hendak diluahkan tidak terkata. Terperosok rasa kesedihan cuba disembunyikan Dewi Siluman Bulan.
“Bonda..mengapa bersedih..??” tubuhnya berpaling. Mendakap kedua belah bahu untuk menatapnya. Kesedihan itu pasti ada puncanya. Namun tetap Dewi Siluman Bulan menggeleng. Tidak sesekali dia cuba menceritakan. Biarlah penderitaan itu, dialaminya sendiri.
“Musliha..boleh kau temankan aku pulang ke penempatan aku..?? aku mahu lihat sendiri apa sebenarnya yang terjadi di sana..” kerana ibunya tidak mahu bercerita apa, Dewi putuskan yang dia perlu menyiasat sendiri. Dia bingkas berdiri lalu tercegat di hadapan Musliha yang terdiam. Dewi Siluman Bulan cemas. Wajahnya berkerut sambil tangan menggapai batang kaki anaknya itu. Dewi tidak boleh kembali ke Gua Muluk. Terlalu bahaya.
“Mengapa bonda menghalang..?? ada sesuatu yang terjadi di Gua Muluk..??” soal Dewi tegas. Ketegasan anaknya itu diselangi dengan nada kemarahan.
“Dimanakah ayahanda..adakah ayahanda yang menghantar bonda ke sini..?? untuk mendapatkan Dewi..??”
Dewi Siluman Bulan menunduk. Lalu menggeleng.
“Jika begitu..mengapa bonda berada di sini..?? pastinya ayahanda ditimpa bencana, lalu bonda melarikan diri..benar..??”
“Senja..janganlah kau marahkan ibumu begitu..” Musliha terpaksa masuk campur. Sedih rasa di hatinya melihatkan Dewi Siluman Bulan hanya tertunduk mendiamkan diri. Bertalu-talu dia diserang dengan pelbagai soalan yang tak mampu dijawabnya. Sedikit pun dia tidak mengendahkan kata-kata anaknya itu.
“Aku bukan marahkan ibuku..tetapi jika dia terus berdiam, aku jadi lebih keliru..” bidas Dewi.
“Mungkin ada sebabnya ibumu mendiamkan diri..bukan begini caranya kau hendak memaksa dia bercerita..”
“Ahh..kau tidak mengerti apa yang aku rasakan kini..!” Dewi membentak marah. Tertekan dengan situasi itu. Masakan dia hendak berdiam diri pabila melihatkan ibunya yang diam seribu bahasa.
“Benar kata Musliha itu Senja..pasti ada sesuatu yang tidak kena pada kaum siluman di penempatan kau..diam ibumu itu pastinya bersebab..” Tabib Fansuri yang sedari tadi tercegat di pintu kamar mula mencelah. Dia sekadar melihatkan sahaja perbalahan di dalam kamar itu sebelum dia masuk campur. Kesemua anak mata tertumpu padanya. Terkejut dengan kehadiran Tabib itu di ruang kamar itu.
“Kalian semua ternyata cuba menyembunyikan sesuatu daripada aku..berterus teranglah..! apa guna lagi berdalih terhadap perkara yang sebesar ini..aku bukannya lagi anak kecil yang boleh diperbodohkan..!” semakin mencanak kemarahan Dewi saat Tabib Fansuri pula menegurnya. Satu persatu wajah di dalam kamar itu diperhatikannya. Namun tiada seorang pun yang berani cuba mengatakan sesuatu.
“Mungkin saat untuk kau mengetahui segala kebenaran kini sudah tiba..mungkin ada beberapa perkara yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuanmu..mungkin juga selama ini, kaum siluman berselindung di sebalik suatu kisah lama yang akhirnya akan terbongkar jua..dan aku pasti, jawapannya hanya ada pada ibumu Senja..” ulas Tabib Fansuri lebih jelas.
Tiada guna berselindung jika kebenaran sudah terlihat di depan mata. Tiada guna berdalih jika kesalahan ternyata memakan diri.
“Ayuh..Tengku Ashuri mengarahkan kita untuk mengadap Raja Rasturi..pastinya, segala kebenaran akan dibongkarkan jua pada hari ini..” bingkis Tabib Fansuri mengajak kesemua di dalam kamar itu untuk mengikutinya.
Share this novel