Chapter 2

Romance Completed 4712


BAB 2

Laluan air jeram mengalir di celahan jari Dewi. Sesekali anak jarinya digodek melarikan pasir halus yang termendap di dasar sungai. Nyanyian merdu burung berlagu petang itu menyamankan suasana. Merbah berterbangan berpasang-pasang lalu hinggap di pohon renek berdekatan jeram. Leka memerhatikan sesusuk tubuh yang sering sahaja mendatangai jeram itu tiap kali purnama bersilih ganti.

"Burung kelicap..

terbangnya rendah..

mengintai madu..

di pohon rendang.."

Dewi berlagu sambil mengocakkan air dengan jarinya.

Alam dirasakan indah. Seli siulan unggas bersama teriakan kijang di kejauhan memecah keheningan. Deruan air jeram berlagu bersama desiran angin buatkan hati tertawan tak mahu berganjak. Suasana yang bezanya ketara jika dibandingkan dengan Gua Muluk tempat kediamannya. Tiada anak air yang membolehkannya bermain. Hanya sekadar tempatnya berteduh dari hujan dan panas. Jika tidak kerana Tok Kelana Siluman yang menghalangnya dari ke situ setiap hari, sudah tentu jeram itu akan jadi kunjungannnya saban hari.

Dari tempatnya melabuhkan duduk, dapat dilihatnya Telaga Air Biru yang duduk diam di atas bukit berdekatan jeram. Ditutupi pohonan renek mengelilingi telaga itu, membataskan penglihatan pada sesiapa yang melihatnya. Andai tersalah langkah, risau terjerumus ke dalam telaga yang gelap gelita itu.

Kata Tok Kelana Siluman, telaga itu telah wujud beratus tahun lamanya. Air yang terisi di dalam telaga itu bukanlah dari jeram yang mengalir. Air yang terisi asalnya dari titisan embun yang menitis masuk lalu memenuhi telaga itu. Kata Tok Siluman Kelana juga, air yang memenuhi telaga itu mampu untuk menawarkan penyakit andai betul cara ia dikendalikan. Bukan sebarangan Tabib yang mampu menggunakan air itu untuk dijadikan penawar. Perlu ilmu yang mencukupi meliputi langit dan bumi, barulah air itu mampu digunakan.

"Malam yang dingin..

embun menitis..

titis ke bumi..

ditelan hilang.."

Dewi terus sahaja berlagu menghiburkan hati. Renangan si ikan mengelilingi hujung kaki yang diunjam ke dasar sungai diperhatikan. Sesekali patukan halus ikan ke jari kakinya menghadirkan rasa geli yang mengundang tawa Dewi.

"Kenapa kau patuk kaki aku wahai ikan.." ucap Dewi geram. Dia mengocak muka air untuk mengusir pergi si ikan jauh-jauh.

Susup sasap dari celah belukar di hadapannya menggamit anak mata Dewi. Seolah ada sesuatu yang bergerak menghampiri Telaga Air Biru yang berdekatan dengan jeram itu. Dewi hanya memerhatikan sahaja menunggu tiba apa yang bakal muncul dari celah semak belukar itu. Mungkin sang kancil meranduk belukar untuk menghirup air jeram fikirnya. Namun telahannya meleset.

"Manusia..??" bisik Dewi sendirian. Dua susuk tubuh jejaka yang tegap diperhatikannya sedang mematahkan ranting-ranting halus yang menghalang laluan mereka. Dapat dilihat jelas oleh Dewi dua orang jejaka itu bersusah payah membelah belukar. Namun yang lebih merisaukannya, andai dua orang jejaka itu tidak menyedari bala di hadapan mereka itu. Telaga Air Biru yang melopong ditutupi semak belukar yang menjalar mungkin menjadi jerat yang tidak disangka mereka.

"Ashuri..apa kau yakin telaga itu ada di sini..??" Rungut Tantira, panglima istana yang diarahkan untuk menemani Ashuri ke Telaga Air Biru. Langkahnya dibesarkan sambil memijak-mijak pohonan menjalar yang menghalang laluannya. Ashuri hanya mengekori dari belakang.

"Aku pasti Tantira..di sinilah tempat mainku sewaktu kecil dahulu..masakan aku boleh lupa jalannya..mungkin kerana luput dek zaman dan kerana tiada siapa yang dibenarkan datang ke sini lagi sejak peristiwa hitam dahulu..semak mula makin menebal.." jawab Ashuri sambil melihatkan sekeliling. Air jeram yang mengalir jernih diperhatikan Ashuri.

"Kita berehat dahulu Tengku..??" Tantira melangkah turun ke gigi air. Aliran air jeram ditadahnya dengan telapak tangan. Hirupan air jeram yang sejuk dan menyegarkan itu sedikit sebanyak melegakan anak tekaknya yang memang kehausan. Jarak antara Istana Indera Sakti dengan Telaga Air Biru tidaklah jauh mana. Namun dek kerana cerun dan anak bukit yang terpaksa mereka tempuhi, keletihan itu jelas dapat dirasai.

"Berapa kali harus ku katakan padamu Tantira..jangan digelar aku begitu..kau tahu yang aku tidak menyukainya..!" rungut Ashuri. Memang darjat antara dia dan Tantira terlalu berbeza. Tantira hanyalah panglima istana manakala dirinya adalah bakal pewaris takhta kerajaan Indera Sakti suatu hari nanti. Namun kepantangan Ashuri bila Tantira menggunakan gelaran untuk berkata-kata dengannya.

Tantira terdiam seketika. Memang berulang kali sudah dirinya ditegah untuk menggunakan gelaran Tengku terhadap Ashuri. Namun lidah anak kebanyakan sepertinya, kadangkala celupar melawan kata. Arahan Ashuri sering kali dilupakannya.

"Maafkan aku Ashuri..namun aku hairan..kenapa kau asyik sahaja menidakkan gelaran yang sepatutnya kau gunakan..?? Bukan semua manusia mendapat peluang sebegitu..gelaran Tengku adalah untuk golongan diraja berdarah suci seperti kau..apa kau tidak suka..??" Soal Tantira untuk kesekian kalinya. Jawapan yang sering diungkapkan Ashuri jika ditanya soalan sebegitu adalah, aku selesa dengan namaku sahaja, tanpa Tengku. Sungguh mudah dia bermadah memberikan jawapan.

Ashuri bertinggung bersebelahan Tantira. Raut wajahnya hanya tersenyum. Air jeram dikocaknya perlahan. Lantas dicedok dan disuanya ke mulut. Puas dihirupnya sejuk air jeram itu, mulut dikesatnya dengan lengan baju. Sempat dia mendengus puas.

"Darjat dan pangkat tidak kubawa mati..tertinggal mati, siapa tak peduli.." Ashuri membalas bersahaja. Tantira tertawa besar dengan jawapan yang diberikan Ashuri.

"Kenapa kau tertawa wahai Tantira..??"

"Kerana kata-kata yang kau ungkapkan itu..hanya sesuai untuk golongan kerdil seperti diriku Ashuri..bukan untuk dirimu.."

Ashuri bangkit berdiri. Dia mengerut dahi mendengarkan tawa Tantira.

"Apa maksudmu Tantira..?? Jelaskan.."

"Aku golongan jelata yang tak punya apa Ashuri..andai aku pergi meninggalkan dunia ini, belum tentu lagi akan ada yang mengenangkan aku..namun jika engkau yang pergi..sekalian rakyat akan berduka..sekalian rakyat akan meratap sedih dengan pemergian kau..patah nama kau akan tetap diingati oleh sekalian rakyat jelata.." jelas Tantira tiada berselindung. Memang itu yang menjadi nyata. Antara bangsawasan dengan marhaen jelas ada beza yang ketara.

"Ahhh sudahlah Tantira..aku malas mahu berbalah denganmu..ayuh, kita teruskan mencari Telaga Air Biru..hari hampir senja..nanti gelap, susah pula untuk kita pulang ke istana.." Ashuri memanjat naik tebing yang memisahkan antara gigi air dengan cerun bukit. Matanya meliar mencarikan mulut Telaga Air Biru yang mungkin terselindung di sebalik semak yang menaik.

"Ayuh sini..aku tarik kau naik.." Ashuri menghulurkan tangannya untuk menarik naik Tantira yang terkial-kial seorangan mengais tanah. Tebing yang curam itu menjadi sukar untuk membawa dirinya naik. Saiz badannya yang sedikit gempal agak menyulitkan keadaan.

"Kau cari di sekitar pohon cemerai itu Tantira..aku cari di sekitar rimbunan buluh ini.." Ashuri menunjukkan ke arah kanan. Mengarahkan Tantira untuk mencari mulut telaga yang mungkin terselindung. Hari yang kian malap menyukarkan lagi keadaan.

Dewi hanya tertawa melihatkan telatah dua orang jejaka yang asyik sahaja berbual dan bertelagah sesama sendiri. Bual bicara dua orang teman itu didengarinya satu persatu. Yang seorang asyik bermadah. Yang seorang lagi asyik sahaja dengan gelak tawanya.

"Memang manusia perangainya pelik-pelik.." Dewi menggeleng dan tertawa. Hujung kakinya masih lagi diunjam jauh ke dasar sungai. Anak matanya terus sahaja memerhati Ashuri dan Tantira yang terkial-kial menebas semak seperti mencari sesuatu.

"Adakah mereka mencari Telaga Air Biru..?? Jika benar telahanku, pasti ada seseorang di perkampungan mereka yang dilanda sakit tenat..kerana itulah mereka memerlukan air embun yang bertakung di telaga itu.." Dewi berfikir seorangan. Dia mendapat satu akal. Jarang sekali dia bertembung dengan manusia. Sesekali bertembung, teringin jua dia merasa untuk menyakat nakal dua orang jejaka itu.

Tantira tergamam. Leka dia menebas dan tercari-cari Telaga Air Biru, halus suara wanita menyanyi merdu ditangkap telinganya secara tiba-tiba. Dia berpaling. Suara yang seolah datangnya dari jeram di belakangnya. Puas matanya mencari namun langsung tidak dapat dilihatnya sesiapa di situ. Senja yang makin kelam turut membataskan penglihatannya. Susuk Ashuri yang terbongkok-bongkok di sebalik rimbunan buluh dapat dilihatnya jelas. Namun bukan Ashuri yang mendendangkan lagu merdu itu. Dia yakin suara itu milik seorang wanita.

"Ashuri..!" Tantira menjerit perlahan. Menggamit perhatian Ashuri yang sedang leka.

Ashuri berpaling melihatkan Tantira. Kepalanya dianggukkan bertanya mengapa. Kerana Tantira dilihatnya seakan dalam kebingungan.

"Kau dengar apa yang aku dengar..??" Soal Tantira sambil menunjukkan ke arah aliran jeram. Ashuri menoleh dan memasang telinga.

"Pedihnya diri kutahan derita..

dipangkas-pangkas dipijak lalu..

lulur hatiku berkata seksa..

membiar diri dicantas orang.."

Jelas suara mendayu wanita seolah melontar puisi derita itu didengari Ashuri. Kedua-duanya terpaku. Siapakah gerangan yang bermadah itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience