BAB 8
Raihan mengeluh. Kepalanya berdenyut terasa seperti mahu pecah. Matanya dibuka perlahan melihatkan sekeliling. Terjahan cahaya memeritkan bola matanya.
"Apa dah jadi ni..??" Raihan menolak badannya naik perlahan-lahan. Dia memerhatikan sekeliling kawasan itu. Masih lagi di jeram yang sama. Cuma, seperti ada yang pelik diperhatikannya. Seingat dirinya sebelum dia tidak sedarkan diri tadi, dia dan Musliha terjunam jatuh ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelap gelita. Tapi kenapa kini dia masih berada di permukaan lantai bumi? Bukannya di sisi lantai telaga?
Raihan mengurut kepalanya yang perit berdenyut tidak terhenti. Fikirannya melayang seketika mengingatkan sesuatu. Musliha!
Raihan cemas. Musliha tiada di sisinya. Puas dia membuntangkan mata mencari kelibat Musliha. Namun hampa kerana bayang Musliha langsung tidak kelihatan. Dia yakin yang Muslihan turut bersamanya terjunam ke dalam telaga itu tadi. Dan pasti jua Musliha berada di sekitarnya ketika itu.
"Leha..!!" jerit Raihan. Bergema belantara itu dengan pekikan suaranya. Tiung yang sedang leka mencari makan di lantai bumi bertempiaran terbang terdengarkan teriakan Raihan itu. Dia segera bangkit berpusing di sekeliling kawasan itu mencarikan Musliha.
"Leha..!!" sekali lagi jeritannya memecah hening. Namun tetap tidak bersahut. Raihan cemas. Adakah Musliha tidak bersamanya. Apa yang mahu dijawabnya nanti andai ada yang bertanyakan padanya.
"Oii.." sayup kedengaran suara Musliha di sebalik mulut telaga. Dia terbaring lama tidak sedarkan diri di sisi telaga itu. Terpisat-pisat dia bangun sambil mengesat tubuhnya yang dipenuhi pasir sungai. Raihan menghela nafas lega. Hampir sahaja tercabut jantungnya bila menyedari Musliha tiada di situ bersamanya. Segera dia berkejar mendapatkan Musliha yang duduk tersandar di tepi batu besar bersebelahan telaga itu.
"Leha..kau tak apa-apa..??"
"Okay..aku tak apa-apa..kau..??"
"Aku pun okay..cuma siku aku je luka sikit.." ujar Raihan cuba memapah Musliha bangun. Dia masih lagi keliru. Dimanakah sebenarnya mereka ketika itu.
"Bukan ke kita terjunam masuk dalam telaga ni tadi An..??" dia juga turut keliru. Lain benar dirasakan kawasan sekelilingnya itu. Mungkin masih di tempat yang sama, tapi mengapa seolah berbeza fikirnya.
"Entah..aku pun tak pasti Leha.."
Musliha berinjak sedikit dari celah batu besar yang menghalang pandangannya. Ditolehnya ke kanan, terpampang satu keindahan yang tidak pernah disaksikan seumur hidupnya.
"An..kau tengok tu.."
Raihan dan Musliha bertukar pandangan. Masing-masing saling menggosok anak mata. Saling tidak percaya dengan apa yang terpampang indah di hadapan mereka berdua itu. Terpegun seketika merenung jauh ke hadapan mereka.
"Kita dah sampai Alaska ke ni An..??" Musliha perhatikan sekeliling. Aneh sungguh kawasan itu seperti tidak pernah dilihatnya. Seingat dirinya tadi, dia dan Raihan terpisah dari rakan-rakan mereka yang lain dan terus tersesat jauh ke dalam belantara. Perkara akhir yang diingatinya, mereka berdua terjerumus ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelita. Selepas itu, segalanya menjadi gelap bumin.
Dan kini, mereka seolah berada dalam dunia yang berlainan. Udaranya nyaman. Hutan yang menghijau tidak seindah hutan yang biasa diterokainya. Panas terik mentari terasa sejuk tak seperti biasa. Dan yang paling mengujakan, terjunan air di hadapan mereka yang membiru airnya. Benar-benar mempesonakan.
"Kalau dah sampai Alaska..mestilah ada saljinya.." ucap Raihan pula. Dia turut merasakan janggal dengan persekitaran barunya itu. Di mana sebenarnya mereka ini hatinya berbisik.
"Hoi jembalang..!!" Satu suara bertempik dari kejauhan. Raihan dan Musliha berpaling melihatkan siapakah gerangan yang menggelarkan mereka jembalang.
Ashuri muncul dari celahan semak setelah terdengar pekikan suara manusia dari arah Telaga Air Biru. Bergegas dia kesana kerana menyangkakan ada insan yang berada dalam kesusahan. Mungkin jua gadis yang menghantui dirinya sebelum ini turut berada disana fikirnya. Namun fikirannya meleset pabila diperhatikan ada dua susuk tubuh yang langsung tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
"An..selamat kita An..ada pun orang dekat kawasan ni.." Musliha tersenyum saat melihatkan Ashuri muncul mendekati mereka. Raihan turut merasakan sama namun seperti ada kejanggalan bila dilihatnya lelaki di hadapannya itu. Berpakaian umpama kerabat diraja zaman dahulu kala, berkeris, bertanjak dan bercapal. Segak mengenakan busana melayu klasik umpama pengantin diarak ke pelamin.
"Bro..ada photoshoot kahwin dalam hutan ke bro..??" tegur Raihan lantas menghulurkan salam untuk berjabat tangan. Pantas Ashuri menepisnya dengan keras. Mukanya terik menahan amarah. Sebegitu berani golongan jembalang ini menghampiri kawasan yang telah diharamkan untuk mereka. Benar kata Tabib Fansuri padanya dahulu, golongan jembalang tidak pernah merasakan aturan yang telah ditetapkan untuk dipatuhi. Bagi mereka setiap aturan ataupun rukun yang telah ditetapkan adalah untuk menyusahkan golongan mereka. Kerana itulah golongan jembalang harus dihapuskan tanpa sebarang kata.
"Aku tidak berjabat dengan golonganmu..kalian hanya layak menjadi amukan kerisku sahaja..!!" ucap Ashuri lantas memasang kuda-kuda kakinya. Bersiap sedia untuk berentap melawan musuh yang melintasi kawasannya.
"Ehh..chill bro..chill.." Raihan undur setapak ke belakang. Raut wajah lelaki di hadapannya itu benar-benar dirasakan seperti mahu diamuknya belantara itu. Dia berdiri melindungi Musliha. Entah orang gila manalah yang berkeliaran di dalam hutan ini fikirnya.
"Benar kata Tabib..memang adab tidak ada dalam dirimu wahai jembalang..tiada rasa bersalah langsung tika kau gelarkan aku beruk..!!"
Raihan tercengang. Dia tidak menggelarkan lelaki di hadapannya itu beruk. Jauh sekali tidak beradab. Sedangkan salam yang dihulurnya tadi ditepis keras oleh lelaki melayu klasik itu.
"Dari mana asalmu wahai jembalang..?!" Ashuri menghunus kerisnya menghadap ke arah Raihan dan Musliha. Pandangannya tidak langsung dibiarkan leka. Sesekali dia menoleh ke sisi kanan dan kirinya. Andai ada jembalang lain yang cuba menyerangnya secara curi. Kerana jembalang punyai pelbagai helah pada hematnya.
"An...aku takutlah.." Musliha bersembunyi di belakang Raihan. Badannya dirapatkan di sebalik tubuh Raihan yang sasa. Risau andai orang gila yang bersenjatakan keris itu akan menyerang mereka.
"Bro..for your information..kami ni bukan jembalang okay..and for your further information, kami tersesat dalam hutan ini..kami cuba nak keluar dari hutan ini sebelum gelap..nasib baik kami bertembung dengan bro..kalau tak, tak tahulah apa nasib kami.." Raihan cuba bertoleransi secara baik dengan lelaki yang mendepani mereka itu. Dia tidak merisaukan dirinya. Tetapi Musliha yang tidak tahu menahu tentang selok belok hutan ini yang menjadi keraguannya. Andai apa-apa terjadi padanya, gusar Musliha akan kehilangan punca. Sebaik mungkin dia cuba bertahan agar tiada apa-apa yang terjadi antara mereka.
"Usah kau ucap bahasa jembalang padaku..!"
"Duhh..bahasa jembalang apa pulak ni..??" detik hati Raihan. Mula merasakan tidak sedap hati. Asakan Ashuri perlahan-lahan membawa dia dan Musliha merapati tebing jeram itu. Raihan tidak punya pilihan selain dari cuba mempertahankan dirinya dan juga Musliha. Fikirannya ligat memikirkan cara untul melarikan diri dari lelaki gila dihadapannya itu.
"Usah jadi penakut wahai jembalang..! Ayuh bertempur denganku..!" Ashuri menerpa ke arah Raihan. Raihan menolak Musliha hingga terjatuh ke tepi. Terpaan Ashuri pantas dikilas Raihan dengan jayanya. Ilmu taekwando yang dipelajarinya selama ini kini dipergunakan sebaik mungkin. Ashuri dibawanya sedikit ke kawasan lapang. Agar jauh dari kelibat Musliha.
Ashuri memerhatikan pergerakan Raihan. Puas ditenungnya langkah kaki yang diatur Raihan. Tidak pernah dilihatnya pencak silat sedemikian rupa. Raihan terjingkit-jingkit di atas pasir sungai sambil kedua belah tangan dihalakan ke hadapan. Bersedia untuk berdepan dengan serangan balas dari Ashuri.
"Tidak kutahu bahwa jembalang kini punyai satu pencak yang baru..aku harus berhati-hati..aku pasti jembalang ini bukan calang-calang jembalang.." detik hatinya. Ashuri kembali merapati Raihan. Langkah kakinya diatur selangkah demi selangkah menghampiri. Raihan tetap bersedia untuk menepis.
Terpaan Raihan terhadap Ashuri berjaya dipatahkan hanya dengan sekali elak. Pantas lengannya mengunci leher Raihan yang kini melutut menahan keperitan dek kekunci silat Ashuri. Dia mengerang menahan keperitan yang tidak terbayangkan itu.
"Berhenti..!!" Musliha menjerit dalam keseduan tangisnya. Tidak sanggup melihatkan Raihan diapa-apakan oleh lelaki yang bagai menggila menyerang itu. Pandangan Ashuri berkalih melihatkan seorang lagi lelaki yang hanya terduduk di atas pasir meraung melihat rakannya diasak kekunci silatnya.
"Wanita..??" bisik hati Ashuri. Tidak menyangka bahawa jembalang yang berambut pendek separas telinga itu adalah wanita. Tidak pernah selama ini dia melihatkan wanita berambut pendek seperti itu. Dalam pada dia merenung bengis ke arah Musliha, pandangannya terhenti melihatkan anak mata Musliha yang kebiru-biruan. Kekunci di leher Raihan segera dilepaskan. Tubuh Raihan ditolaknya kasar hingga tersembam mengadap pasir sungai.
"Apakah dia seperti gadis yang kulihat dahulu..?? Warna matanya itu persis benar dengan gadis itu.." soal Ashuri dalam hatinya. Perlahan dia merapati Musliha yang ketakutan. Dia perlukan kepastian. Siapakah sebenarnya gerangan orang asing yang berada di Telaga Air Biru itu.
"Maafkan hamba kerana berkasar..hamba sangkakan kalian adalah golongan jembalang yang sering mengadakan kacau bilau di kawasan ini.." ucap Ashuri menghulurkan tangannya untuk menarik naik Raihan. Rentapan marah dalam hatinya segera diusir pergi. Dia perlukan kepastian dari dua orang yang tidak dikenalinya itu.
"Tak apa bro.." ucap Raihan tersekat-sekat. Lehernya diusap untuk menghilangkan perit akibat dicengkam padu oleh Ashuri tadi. Musliha pantas menerpa ke arah Raihan.
"Hamba, Ashuri.."
Raihan hanya menganggukkan kepalanya saat Ashuri memperkenalkan dirinya. Musliha kembali berlindung di belakang Raihan untuk melindungi dirinya.
"Aku Raihan..dan ini Musliha..kami tersesat dalam hutan ini..kami perlukan bantuan untuk keluar dari hutan ini..boleh bro tolong kami..??"
Ashuri mengerut dahi. Sudah dibilang namanya Ashuri, namun lelaki itu masih lagi menggelarkannya beruk.
"Tiada elok tuan hamba menggelarkan hamba beruk..panggil sahaja hamba Ashuri.."
Raihan menggaru kepalanya.
"Apa-apa jelah Ashuri..boleh kau tolong kami..??" Pinta Raihan tidak mempedulikan kata-kata Ashuri.
"Marilah..aku bawa kamu berdua ke istana..di sana nanti, kamu ceritakanlah segalanya padaku.." Ashuri mengatur langkah mendahului Raihan dan Musliha. Hari kian merunduk melewati petang. Mahu tidak mahu Raihan dan Musliha terpaksa jua merelakan ajakan Ashuri yang mengajak mereka ke istana miliknya. Asalkan ada tempat berteduh semalaman, sudah dikatakan baik. Daripada bermalam tanpa sebarang cahaya di dalam belantara tebal itu.
"Dia cakap apa dengan kau tadi Leha..??" Raihan berbisik perlahan ke arah Musliha. Langkahnya tetap menuruti di belakang Ashuri yang maju ke hadapan melalui denai di tengah belantara tebal itu.
"Entah..dia pandang mata aku tadi..lepas tu terus dia berhenti serang kau..dia takde cakap apa-apa pun dengan aku.."
"Hmmm.." Raihan hanya bermonolog dalam hati. Apa sebenarnya yang terjadi pada mereka. Adakah dia bermimpi? Pandangan dialihkan melihatkan anak mata Musliha. Cuba mencari jawapan di sebalik anak mata itu. Punca Ashuri menjadi tawar hati untuk terus menyerangnya tadi.
"Kau ni apehal tengah-tengah hutan pun nak pakai contact lens ni..??" soal Raihan terhadap Musliha. Dia tergelak kecil keraba baru kala itu dia terperasankan anak mata Musliha yang ditutupi kanta mata kebiru-biruan itu.
"Biar arr..!!" jawab Musliha tidak pedulikan ejekan Raihan. Mereka hanya terus berdiam diri mengikuti Ashuri hinggalah tiba ke perkarangan Istana Indera Sakti. Pandangan kedua-duanya terpegun. Keindahan persekitaran istana itu benar-benar memukau mata mereka. Binaan mirip istana lama zaman dahulu kala itu benar-benar dirasakan indah. Merasakan seolah berada di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala.
"Inilah istanaku.." ucap Ashuri melangkah masuk ke dalam perkarangan istana. Dari kejauhan dia dapat melihat kelibat anak teruna menuju ke arahnya. Selang melewati dirinya, anak muda itu tunduk menghormati dirinya. Ashuri sekadar membalasnya dengan senyuman terhadap jejaka yang tidak dikenalinya itu.
"Ashuri..kemana kau seharian tadi..??" tegur Tantira yang kebetulan mengiringi lima orang jejaka itu keluar dari pintu istana.
"Aku ke Telaga Air Biru tadi Tantira..puas aku mencarikan kau untuk diajak kesana.."
"Maafkan aku Ashuri..aku ke hujung kampung atas titah tuanku pagi tadi.."
Ashuri mengangguk perlahan kerana dia sudah tahu mengenai perkara itu dari mulut bondanya tadi. Raihan dan Musliha hanya duduk diam di belakang Ashuri sementara menanti Ashuri berbual bersama Tantira. Raihan semakin keliru. Semua orang yang dilihatnya sepanjang menuju ke istana itu, pakaian masing-masing seolah dari zaman dahulu kala. Segalanya nampak pelik. Dia hanya berdiam diri tidak mahu menanyakan lebih kepada Ashuri. Mungkin belum tiba waktunya untuk dia bertanya.
"Siapakah mereka yang baru melintasiku itu Tantira..??"
"Ahh..itulah anak muda yang aku jumpa di hujung kampung sana tadi..kata mereka ingin mencari guru untuk menuntut ilmu persilatan..sengaja aku bawakan ke istana ini untuk mengadap Raja Rasturi.."
"Dari mana datangnya anak muda itu..lagak gaya mereka seolah tidak melambangkan mereka dari kalangan kita.."
"Menurut kata salah seorang darinya, mereka dari Melaka..merantau jauh mencari guru untuk melengkapkan ilmu persilatan mereka.." Tantira terhenti katanya seketika.
"Siapakah ini Ashuri..??" Tantira menunjukkan ke arah Raihan dan Musliha yang tidak dikenalinya. Janggal benar perilaku dua orang yang dibawa pulang Ashuri ke istana itu.
"Ohh..aku terlupa untuk perkenalkan padamu..ini rakan baruku yang aku temui di Telaga Air Biru tadi..katanya mereka tersesat di belantara tika menjelajah..lalu aku menawarkan mereka tempat berteduh untuk seketika.." jawab Ashuri lantas memperkenalkan Tantira kepada Raihan dan Musliha.
"Mereka dari Kuala Lumpur..apa pernah kau dengar negeri yang mempunyai nama sedemikian wahai Tantira..??"
Berkerut dahi Tantira. Tidak pernah seumur hidupnya mendengarkan nama negeri seperti itu. Dia hanya menggeleng menjawab kata-kata Ashuri.
"Tak mengapa..biar sahaja aku bertanyakan pada Raja Rasturi nanti.." ucap Ashuri lantas mengiringi naik Raihan dan Musliha ke pintu besar istana.
Share this novel