BAB 33
Di suatu senja sekitar tahun 1796 AD..
Indera Sakti mula dikepung dari setiap pelusuk. Barisan-barisan pahlawan siluman bersedia di perbatasan terakhir mereka sambil menantikan arahan akhir. Masing-masing kian bersemangat tanpa mengira perbezaan usia. Riak wajah penuh kebengisan. Kata-kata kebencian terhadap kaum manusia diperdengarkan bertalu-talu oleh Tok Aduka. Perasaan mereka kini dihasut agar membunuh tanpa belas.
Amuklah di perkampungan itu..!
Tetaklah mana-mana manusia yang terlihat di hadapan mata..!!
Bakarlah rumah-rumah mereka hingga menjadi abu..!!
Jangan pernah ada belas kasihan..!!
Saat sinar mentari tinggalnya sekelumit di ufuk barat, genggaman pada senjata dipereratkan. Pandangan mata dipertajamkan. Masing-masing memilih sasaran yang telah terhidang di depan mata. Dendam lama telah tiba ke kemuncak. Tiada lagi pengunduran di saat itu. Yang nyata, pertumpahan darah tetap jua akan berlaku.
Anak-anak kecil manusia berlari berkejar-kejaran menuju ke pintu rumah. Puas bermain, pulamnglah mereka. Disambut ibu yang menanti di tepian tangga rumah. Melompat anak kecil keriangan saat punggungnya dilibas si ayah. Ratap tangisan anak kecil itu tetap dipujuk. Memeluk erat si ibu dengan hela tangisan. Kelihatan juga ibu-ibu, para isteri menutup tabir jendela saat senja kian berarak. Kaum-kaum bapa, bersidai di tangga menantikan hari kunjung gelap. Menghidupkan api obor untuk menerangkan gelita. Kerana mereka, adalah pelindung kepada anak-anak kecil yang tidak ketahui apa itu.
Saat hilangnya cahaya di ufuk barat, gelap pun tiba, Juara bangkit dari sembunyiannya. Menghela nafas sepanjang mungkin. Menggenggam erat pedang tajam milik dirinya. Helaan nafas panjang itu, mungkin untuk kali yang terakhir. Istana Indera yang teguh berdiri di atas bukit di pertengahan kampung diperhatikannya. Wajah-wajah pahlawan siluman tidak mengira usia tertumpu pada dirinya. Menantikan satu teriakan keramat dari mulut pahlawan siluman itu.
“Serang..!!”
Terpaan tanpa ada lagi kegusaran dimulakan Juara. Amukan kaum siluman di tanah kaum manusia akhirnya terlaksana jua. Rumah-rumah diselongkar lalu dicampakkan semua isi rumah ke halaman. Nyawa-nyawa tidak berdosa, dipancung, ditetak dan dilapah tanpa adanya lagi belas. Hamburan mata pedang dan lembing merobek kulit-kulit manusia yang terdesak mencari perlindungan. Mata panah terbang bersimpang siur mencari sasaran yang langsung tidak mengenal usia malahan jantina.
Indera Sakti bergelimpangan mayat..
Rumah-rumah diroboh dan dibakar sehingga punah semuanya..
Anak-anak kecil dikumpulkan di suatu tempat lalu dipanah diri mereka hidup-hidup..
Segalanya pincang. Tidak sempat mereka, manusia, untuk berbuat apa. Kerana siluman ternyata lebih utuh menghunus senjata.
Ketenangan yang dahulunya milik Indera Sakti, kini hilang sekelip mata. Tubuh-tubuh bergelimpangan bermandikan darah. Jerit lolongan menguasai keheningan malam. Tangisan anak kecil mencarikan ibu dan bapa kedengaran jelas dari tiap pelusuk. Dan siluman, tidak berhenti dengan amukan itu. Terus sahaja dihambat, ditangkap lalu dikelarnya manusia yang melintasi mereka.
Berita pencerobohan Indera Sakti sampai jua ke istana. Sedang mereka cuba bersedia untuk menangkis serangan musuh, semuanya telah terlewat. Keliling istana telah dikepung. Setiap penjuru telah dihuni oleh siluman yang mendengus penuh kemarahan. Kemaraan mereka tidak lagi mampu dibendung.
Pengawal di gerbang istana ditawan lalu disembelih hidup-hidup. Dayang-dayang istana bertempiaran lari berpelukan sesama sendiri. Barisan pertahanan hadapan istana ternyata tidak cukup ampuh untuk melawan terpaan musuh yang bertali arus. Satu persatu nyawa rebah bergelimpangan di laman istana. Tantira bertungkus lumus cuba menangkis serangan. Namun ternyata dia terkekang, bilangan musuh yang menyerbu ternyata di luar jangkaannya.
“Bawakan aku anak siluman yang sedang kau tawan di istana ini..!!” jerit Buragas mengepalai kelompok serangan. Tok Aduka serta Juara mengekori dari belakang. Mendekati pintu istana yang ditutup rapi dan diperkuat dari dalam.
“Usah menjadi pengecut wahai manusia..! ayuh keluar..tunjukkan penguasaan kau yang kononnya raja di belantara ini..!!” tempik Tok Aduka lantang. Diperhatikannya keseluruhan istana yang tertutup rapi. Diikutkan amarah, hendak sahaja dibakarnya istana itu biar roboh menyembah bumi.
Sementara itu di dalam istana, semua penghuni bagaikan kehilangan punca. Masing-masing berserah saat melihatkan tiada lagi jalan keluar daripada bencana itu. Suasana kian berserabut saat dinding-dinding dan pintu istana mula dihentak dan ditembusi mata lembing. Liang-liang hasil tusukan senjata jelas kelihatan.
“Tantira..! angkara siapakah serangan ini..??” Raja Rasturi menyoal cemas. Angkatan perangnya tidak sempat bersedia. Malah begitu mudah mereka dikalahkan di laman mereka sendiri. Panglima istana itu juga tidak mampu untuk merencana pertahanan dalam masa sesingkat itu.
“Ampun Tuanku..patik merasakan ini adalah angkara siluman dan jembalang Tuanku..mereka berpakat bersama untuk menyerang kita tanpa amaran..malah, perkampungan kita sendiri telah hancur mereka kerjakan..kita kini tidak mempunyai apa untuk dipertahankan..”
Saat habis dia menyampaikan berita itu, terpecahnya pintu besar istana lantas menghirukkan lagi suasana. Mereka terdedah kepada bahaya. Ancaman kini telah menular ke dalam istana. Nyawa-nyawa pembesar Istana indera dalam bahaya. Malah, kerabat diraja di istana itu juga tidak mampu lagi mereka pertahankan.
Langkah Buragas langsung tidak terhalang. Pengawal yang mepertahankan istana tidak lagi mampu menangkis asakan musuh. Ruang istana telah dikerumuni. Menuju Buragas dan Tok Aduka ke balai penghadapan istana. Di mana semua pembesar berkumpul dan berlindung di benteng terakhir mereka. Raja Rasturi dan Permaisuri Dahlia dilindungi serapat mungkin. Namun tiada gentar terlihat di wajah Buragas. Berdiri dia dengan angkuhnya di tengah balai penghadapan dengan letus tawa yang meledak.
“Selama ini kalian bermukim tanpa ada rasa bersalahnya di wilayah ini..sudah tiba masanya tampuk pemerintahan itu bertukar..!” tempiknya ke arah Raja Rasturi yang berlindung di singgahsana istana. Diperhatikannya sekeliling, mencari-cari sasaran utamanya.
“Aku serahkan mereka pada dirimu Aduka..” hela Buragas lantas berundur. Diarahkannya pula jembalang kecil pengikut setianya untuk menggeledah ruang istana. Keturunan Tok Kelana menjadi sasarannya.
“Rasturi..sudah terlalu lama kita tidak ketemu..” Tok Aduka tersenyum lebar. Diperhatikan waris keturunan Dewi Siluman Seroja, bekas kekasih hatinya itu terduduk termenung melihat dirinya. Pertelingkahan Tok Aduka dan keturunan raja itu akhirnya tiba ke kemuncak. Sudah terlalu lama dia menantikan saat itu.
“Tangkap semuanya yang berada di dalam balai ini..jangan biarkan ada seorang pun yang terlepas..!” arah Tok Aduka pada Juara dan sekalian pahlawan silumannya. Satu persatu pembesar dan pahlawan istana ditangkap. Meninggalkan Raja Rasturi dan Permaisuri Dahlia di atas singgahsana sendiri.
“Apa mahumu Aduka..kita tidak pernah bertelingkah..mengapa kau seperti tiada perasaan belas menghukum rakyat jelataku..?!”
“Tiada pertelingkahan kata kau..??” sindir Tok Aduka. Raja Rasturi dihampiri Tok Aduka. Tiada siapa lagi yang mampu menghalang. Malah Tantira sendiri telah dihenyak ke lantai istana tak mampu berbuat apa. Semua mata hanya mampu melihat.
“Dendam lama antara kita akan aku lunaskan hari ini..!” tempik Tok Aduka lalu terus sahaja menerpa mendapatkan Permaisuri Dahlia. Tubuh itu diseretnya turun dari singgahsana. Teriakan Permaisuri Dahlia langsung tak mampu dibantu sesiapa. Raja Rasturi cuba menerpa namun dia sendiri telah dihalang oleh Juara.
“Dendam kau adalah pada keturunanku..!! jangan sesekali kau sakiti isteriku wahai Aduka..!!”
Tiada langsung diendahkan kata-kata Raja Rasturi itu. Permaisuri Dahlia yang diheretnya ke tengah-tengah balai penghadapan dihempaskannya ke lantai. Tiada lagi erti belas dalam dirinya. Hutang tetap hutang. Melunaskannya adalah wajib bagi dirinya.
Rambut Permasuri Dahlia dijerutnya. Dicengkam erat lalu didongakkan wajah menghadap ke arah suaminya sendiri. Tok Aduka tersenyum lebar. Sebilah pisau sejengkal panjang dilurutnya di leher Permaisuri Dahlia.
“Kanda..” rintih Permaisuri Dahlia pintakan pertolongan. Meronta Raja Rasturi namun dikekang Juara.
“Tolonglah Aduka..jangan kau apa-apakan isteriku..ambillah nyawaku jika benar kau mahu melunaskan hutang lamamu..janganlah sakiti isteriku itu..aku merayu padamu Aduka..”
Semakin melebar senyuman Tok Aduka. Ditekannya mata pisau ke batang leher Permaisuri Dahlia. Merintih dia pohonkan pertolongan. Rayuan Raja Rasturi itu semakin membuakkan perasaan amarahnya.
“Dahulu..aku pernah merasakan kehilangan..kerana keangkuhan keturunan kau yang terdahulu, aku terseksa membawa luka yang lara..kini tibanya masa, kau merasainya pula..!”
Terpercik darah memancut dari batang leher Permaisuri Dahlia. Batang lehernya dikelar dengan sekali lilisan. Memancut darah membasahi lantai istana. Rebah tubuh itu menggeletek ke lantai. Lambakan aliran darah mula membasahi. Teriakan Raja Rasturi menggamatkan Istana Indera. Wajah isteri diperhatikannya terseksa diperlakukan seperti binatang tenusu. Tubuhnya menggeletar. Semua yang menyaksikan meratap hiba. Tiada apa yang mampu dibantu. Permaisuri yang menyinari istana itu akhirnya terkujur layu.
Puas! Tok Aduka tertawa puas melihatkan manusia rebah di tangan siluman. Satu persatu nyawa dirobek tanpa belas. Seperti mana mereka diperlakukan dahulu, begitu juga dia membalasnya. Malah mungkin lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialaminya dahulu. Yang nyata, dia akhirnya mampu tersenyum puas. Hutangnya sudah terlaksana!
Rebahnya pemerintahan Raja Rasturi, maka tamatlah pemerintahan manusia di wilayah itu. Tampuk pemerintahan jatuh ke tangan siluman. Istana Indera kembali menjadi milik siluman setelah sekian lama mereka disisihkan. Nyawa-nyawa yang berbaki, dikurung di kurungan istana. Tok Aduka diangkat menjadi raja di wilayah itu. Kelompok-kelompok siluman mula mendiami istana itu. Tempat asal mereka dahulu.
Namun, Buragas tetap masih memburu. Hutang Tok Aduka padanya tetap ditagih. Nyawa-nyawa keturunan Tok Kelana masih menjadi buruannya. Tiada pernah dia melupakan perjanjian itu. Sehingga suatu masa, pastinya mereka akan kembali semula ke istana itu. Dan saat itu, pastinya tiada lagi belas ihsan Buragas terhadap keturunan Tok Kelana yang menjadi buruannya itu.
Hari demi hari, keamanan di wilayah itu kian tergugat. Kerakusan Tok Aduka telah membinasakan lebih banyak perkampungan manusia. Tiada dia berhenti sehinggalah nanti ketemu jua dia dengan waris terakhir Raja Rasturi. Itu tekadnya.
Beratus batu jauhnya, Ashuri meneruskan pengembaraan menuju ke Langkasuka tanpa dia menyedari apa yang telah terjadi. Berbekalkan keazaman membongkar rahsia lama, dia membawa diri dalam buangan ke negeri orang. Sehingga suatu masa, dia berjanji untuk pulang semula ke tanah halaman. Setelah apa yang dicarinya, terbukti jua akhirnya. Kerana tekadnya hanya satu..
MERUNGKAI SEGALA KEBENARAN..
TAMAT
Share this novel