Chapter 23

Romance Completed 4712


BAB 23

Awan mendung berarak perlahan menggelapkan suasana. Dingin pagi berterusan dibayangi titis embun. Kini, hujan pula seakan mahu turun sebelum terbitnya mentari. Tabib Fansuri termenung di hujung istana sebelum dirinya dirapati seseorang. Langkah yang perlahan, namun dapat ditelahnya siapa di belakangnya saat itu.

“Lena tidurmu malam tadi Tengku..??” Tabib Fansuri segera berpaling sebelum dirinya disapa terlebih dahulu oleh Ashuri. Dia menunduk menghormati kerabat raja yang menaungi dirinya selama ini.

“Pantas sahaja Tabib menyedari kehadiranku di belakangmu..” rungut Ashuri sambil mengurut batang lehernya yang kelenguhan. Berkerut wajahnya saat kesakitan itu mula berdenyut.

“Pengalaman patik telah mengajar segalanya Tengku..” ucapnya tersenyum lalu terus merapati belakang tubuh Ashuri. Tubuh itu diarahnya untuk duduk sementara dia mengurut menghilangkan kesakitan di leher anak raja itu.

“Pengalaman..hmmm..” mungkin itu adalah masa yang dirasakan sesuai Ashuri untuk bertanya. Sekeliling kawasan itu dilihatnya tiada siapa. Hanya pengawal dan dayang istana sahaja yang lalu lalang melakukan tugas mereka sendiri.

“Apa yang Tabib tahu mengenai siluman..??” soal Ashuri sambil menahan keperitan dek asakan jemari Tabib Fansuri di belakang tubuhnya.

“Siluman adalah kaum ghaib yang tidak mungkin dapat kita lihat Tengku..mengapa Tengku bersoal demikian..??” tubuh itu terus digasaknya perlahan-lahan. Soalan Ashuri juga dijawabnya acuh tidak acuh. Mungkin sekadar perbualan kosong sahaja di pagi hari fikirnya.

“Bagaimana pula mereka mampu mengaburi mata kita dari pandangan..??’ soal Ashuri lagi.

“Menurut kata orang yang terdahulu, siluman ini mempunyai satu ilmu untuk melindungi mereka..dengan ilmu itu juga mereka telah mencipta pelbagai senjata-senjata ampuh dan alatan yang tidak mampu kita fikirkan sendiri..ada juga yang berkata, kaum siluman ini hanya dilindungi oleh sehelai selendang yang digelarkan Selendang Hayat..terlindungnya mereka dari pandangan, selagi Selendang Hayat itu ada bersama diri mereka..” ulas Tabib Fansuri jelas. Jemarinya leka mengetuk urat-urat yang dirasakan berselirat di bahu Ashuri.

“Dan jika terpisahnya mereka dari Selendang Hayat itu, maka terlihatlah mereka di mata manusia..begitu..??”

“Benar Tengku..tapi mengapa asyik bertanyakan soalan mengenai siluman di pagi hari ini..?? adakah Tengku bermimpikan puteri siluman sewaktu tidur malam tadi..??” tergelak kecil Tabib Fansuri mengenangkan raja mudanya itu. Mungkin ada sesuatu yang menganggu tidurnya malam tadi.

Ashuri terdiam seketika. Selendang pemberian Dewi pada dirinya dahulu, sewaktu Tantira terjerumus ke dalam Telaga Air Biru masih berada dalam genggamannya. Disimpan rapi di dalam kamarnya tanpa pengetahuan sesiapa. Mungkinkah itu Selendang Hayat yang dimaksudkan Tabib Fansuri?

“Jika selendang itu dipakai ke atas manusia, adakah ia mampu melaksanakan kuasanya itu terhadap kita..??”

“Tidak..kerana selendang itu hanya boleh digunakan oleh mereka yang mempunyai darah siluman..manusia seperti kita tidak mungkin mampu menggunakan kuasa Selendang Hayat itu Tengku..” urutan di bahu Ashuri terhenti saat dia bingkas berdiri. Tubuhnya berpaling melihatkan Tabib Fansuri yang terpinga-pinga memerhatikan dirinya.

“Ada sesuatu yang perlu aku buktikan..dan aku perlukan bantuan Tabib untuk membantuku..” Ashuri perjelaskan niat di hati. Hanya itu sahaja caranya untuk dia membuktikan apa yang bermain di fikirannya beberapa hari ini. Sejak kematian Jalak tempoh hari.

“Ikut aku..” arah Ashuri melangkah laju menuju ke kamar miliknya sementara Tabib Fansuri sekadar menanti di luar. Hanya untuk seketika, Ashuri muncul semula di hadapan pintu kamarnya dengan sehelai selendang kuning. Terlipat rapi terletak di telapak tangannya.

Gumam seketika Tabib Fansuri. Dalam masa yang sama dia tertanya di dalam hati apakah yang sebenarnya cuba dikatakan oleh Ashuri kepadanya. Melihatkan selendang kuning itu, mengingatkan dia terhadap peristiwa yang lalu. Saat dimana pertama kali dia melihatkan selendang itu terikat rapi di pinggang Ashuri dahulu. Namun ketika itu dia hanya menyangkakan itu hanyalah sekadar selendang biasa seperti yang dilihatnya selalu.

“Adakah ini..??” Tabib Fansuri menyambut huluran selendang. Dibeleknya seketika. Merona naik bauan kemboja menusuk hidungnya. Anak matanya tertumpu ke arah Ashuri.

“Terlalu rumit untuk aku perjelaskan hal itu sekarang Tabib..sekarang kita perlu ke kamar Senja..perihal dirinya perlu kita buktikan hari ini juga..” ucap Ashuri tegas lantas membawa langkahnya menuju je kamar Dewi. Pintu ditolaknya perlahan. Pengawal yang berjaga sekadar memerhatikan sahaja Ashuri dan Tabib Fansuri melangkah masuk. Musliha yang kebetulan berada di dalam bilik itu bersama Dewi, gumam dengan kehadiran mereka.

“Sekarang..aku mahu kau perjelaskan padaku..siapa diri kau yang sebenarnya..” matanya kembali menatap Dewi yang seakan terkejut dengan kehadirannya. Wajah Tabib Fansuri turut diperhatikannya seakan tidak mampu berbuat apa. Apakah telah tiba masa dan ketikanya?

Dewi berkeras. Terus berdiam diri malah memalingkan wajahnya dari menatap Ashuri yang amat dibencinya itu. Pertanyaan Ashuri ibarat angin yang berlalu sahaja di telinganya. Sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dengan wajah yang mencemik.

“Sarungkan selendang itu pada Senja..” ucap Ashuri mengarahkan Tabib Fansuri sambil membentangkan selendang kuning itu untuk disarungkan kepada Dewi. Jika benar Dewi adalah dari kalangan siluman, sudah pasti dirinya akan menghilang di sebalik selendang yang menutupi kepalanya itu. Dengan harapan, benarlah itu adalah Selendang Hayat seperti yang diceritakan Tabib Fansuri awal tadi.

Bentangan selendang yang berkibar di tangan Tabib Fansuri mula mendatangkan keresahan dalam dirinya. Itu adalah selendang miliknya dahulu! Diberikan pada Ashuri tanpa diambilnya semula. Dan kini, selendang itu muncul semula. Jika Tabib Fansuri menyarungkan selendang itu padanya, nescaya rahsianya akan terbongkar!

“Lepaskan aku..!” genggaman tangan Ashuri pada tubuhnya diikuti dengan rontaan hingga menggegarkan katil. Musliha sekadar memerhatikan tidak mampu berbuat apa. Dia tidak punya kuasa untuk berkata apa.

Selendang telah terletak kemas dikepalanya. Dilurutkan turun ke bahu hingga menutupi tubuh. Perlahan Tabib Fansuri melepaskan selendang itu agar ia terlekap rapi di tubuh Dewi. Kerana andai ada denyut nadi manusia yang memegang selendang itu, kuasa selendang itu pasti tidak akan terlihat. Hanya siluman sahaja mampu menghilangkan diri mereka dari pandangan manusia.

Perlahan, tubuh itu menghilang. Dalam terang tidak ternampakkan apa. Lenyap.Dewi kini di bawah lindungan Selendang Hayat yang membataskan pemandangan manusia. Terlindung tanpa ada siapa dapat melihat. Dapat disaksikannya kesemua di dalam bilik itu tercengang melihatkan dirinya yang kini tidak lagi kelihatan.

“Tutupkan pintu kamar ini Musliha..” terketar nada Ashuri. Anak tekak tergerak-gerak melihatkan katil yang kini telah kosong tidak menempatkan susuk tubuh Dewi seperti yang dilihatnya tadi. Kini telah terjawab persoalan itu. Nyata dan jelas. Dewi adalah siluman yang selama ini bersembunyi di belantara. Namun kini, muncul semula ke istana itu mendambakan sesuatu.

“Bukakan selendangmu..” arah Ashuri. Keterpaksaan itu tetap perlu ditempuhi Dewi. Dirinya kini telah terdedah pada ancaman. Mungkin saat itu tiada apa lagi yang mampu hendak dilakukannya. Perlahan Selendang Hayat disingkap lalu menampakkan semula dirinya di atas katil itu. Tertunduk tak mampu lagi berbuat apa. Hanya berserah.

“Senja..adakah kau..??” Tabib Fansuri turut merasakan debar. Sekian lama tidak dilihatnya siluman di hadapan matanya. Kini ia muncul kembali.

Dewi menghela nafasnya tenang. Cuba menenangkan dirinya yang sedang mendapat perhatian tiga orang manusia yang mengelilingi dirinya itu. Tiada apa lagi yang hendak disembunyikan. Segalanya sudah terdedah.

“Akulah Dewi Siluman Senja..puteri tunggal kepada pemerintah siluman yang bernama Tok Kelana Siluman..” ucapnya perlahan disambut cemas oleh Tabib Fansuri. Nama itu!

“Ternyata kau adalah pengintip yang dikirimkan siluman..!” tempik Ashuri. Musuh telah terlihat di hadapannya kala itu. Musuh yang ternyata mampu menggugat kedaulatan istana itu.

“Tidak..! aku bukan pengintip..!” bentak Dewi. Agar dirinya tidak diperapa-apakan, maka diceritakanlah segala tentang dirinya. Satu persatu disingkapnya agar tiada keraguan yang tersimpan di benak Ashuri dan Tabib Fansuri.

Dari permulaan kisah dia bertemukan Ashuri dan Tantira di Telaga Air Biru, sehinggalah kepada arahan Tok Kelana untuk mengarahkannya ke dunia manusia. Mereka hanya mendengar tekun. Tiada satu butir kata pun terlepas dari pendengaran mereka. Segalanya diperjelaskan agar dirinya tidak dipandang seperti seorang pengintip yang dikirimkan kaum siluman.

“Bermakna..siluman terpaksa menggunakan khidmat aku untuk menawarkan racun dalam tubuhmu rupanya..” Tabib Fansuri seakan tidak percaya tembok di antara siluman dan manusia telah pun terbuka. Dia berfikir sejenak sementara Ashuri terus berdiam tidak mengatakan apa-apa. Selendang Hayat yang terletak bersebelahan Dewi dilipatnya kemas lalu diletakkan bersebelahan dirinya.

“Benar Tabib..hanya sekadar itu yang aku ketahui..tidak pernah kaum siluman menaruh dendam terhadap manusia selama ini..kami hanya bersembunyi kerana menuruti Aturan Muluk yang telah termaktub..”

“Aku percaya dengan kata-katamu..” Ashuri mencelah lalu berdiri. Mundar mandir bersebelahan Tabib Fansuri. Kepalanya ligat memikirkan cara. Jika benar segala yang diperkatakan Dewi, itu bermakna peluang untuk dia mengetahui tentang perihal kekanda kandungnya dahulu, pasti akan tercapai. Rahsia lama itu seharusnya dibongkarkan.

“Tabib..bilakah kalanya Tantira dan rombongan hulubalang kita akan tiba semula ke istana ini..??” soal Ashuri ringkas. Dia mendapat helah untuk sesuatu dilakukannya.

“Dalam masa beberapa hari sahaja lagi Tengku..jika tiada aral yang melintang pasti mereka akan tiba semula ke istana ini..” Tabib Fansuri menjawab pantas. Berdasarkan perkiraannya, rombongan itu pasti akan tiba semula ke istana itu dalam masa tiga hari lagi.

“Dan kau perlu bertahan sehingga ke hari itu..” kata-kata itu ditujukannya terhadap Dewi. Wajah Ashuri itu dilihat Dewi cukup tenang. Namun di sebalik ketenangan itu, rancangan diaturnya untuk mendapatkan semula kekanda kandungnya yang kini mungkin berada di dalam genggaman kaum siluman. Ashuri meninggalkan ruang kamar itu dengan pelbagai persoalan di benak Dewi. Malah Tabib Fansuri dan Musliha juga turut tidak memahami apakah yang cuba direncanakan Ashuri ketika itu.

“Berehatlah Dewi..kau adalah anak kepada rakan karibku dahulu..tidak mungkin aku akan membiarkan kau mati sebegitu mudah..” sebak di hatinya saat mengenangkan kisah yang lalu. Tabib Fansuri mengatur langkah, tertunduk, meninggalkan kamar itu dengan bermacam persoalan yang terpendam. Akhirnya, waktu itu tiba jua..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience