Chapter 3

Romance Completed 4712

BAB 3

Ashuri dan Tantira bertukar pandangan. Masing-masing membuka mata menadah telinga. Tercari-cari suara yang mendayu kedengaran berhampiran jeram itu. Buntang anak mata Tantira memerhatikan sekeliling. Namun tiada satu susuk tubuh manusia pun yang dapat dilihatnya. Pandangan dialihkan semula melihatkan Ashuri yang berinjak sedikit ke hadapan di tepi tebing jeram. Dari situ dia mengintai, melihat andai ada sesiapa yang berselindung di balik lereng tebing.

"Ada kau nampak sesiapa Tantira..??" Ashuri menghampiri Tantira yang hanya memaku tubuh bersebelahan pohon jati. Dia hanya mengusap hulu keris yang tersisip rapi di pinggang kirinya. Pahlawan Melayu yakni panglima istana itu tidak boleh terleka. Sedari kecil dia telah diajar agar senantiasa bersedia untuk menghadapai musuh atau apa jua ancaman. Kini adalah menjadi tanggungjawab dirinya untuk melindungi Tengku Ashuri dari di apa-apakan musuh.

"Ashuri..jangan mundar mandir di tebing sungai..aku risau andai itu hanyalah helah musuh untuk memerangkap kita.." ujar Tantira. Lengan kiri Ashuri digamitnya. Diasak agar merapati dirinya. Dia perlu bersedia tidak kira apa jua ancaman. Kerana itu adalah tugasnya.

"Mengarut..! Mana mungkin wanita digunakan sebagai umpan untuk menewaskan musuh..!" lengan kirinya yang digenggam Tantira segera direntap kasar. Rimas diperlakukan sebegitu. Ashuri bukan lagi anak kecil yang perlu sentiasa dikawal. Perilaku Tantira yang seakan cuba melindunginya langsung dirasakan tidak berguna. Ashuri yakin yang dia lebih tangkas berpencak silat jika dibandingkan dengan Tantira. Andai musuh menyerang sekalipun, dia lebih tahu apa yang perlu dilakukannya. Walaupun tanpa kehadiran Tantira.

"Bukan itu maksudku Ashuri..helah manusia tidak kita ketahui..sebelum apa-apa terjadi, wajarlah untuk kita bersedia..mungkin musuh hanya mempergunakan wanita sekadar untuk menarik perhatian kita.." jelas Tantira. Mata masih meliar tercari-cari jika dapat dilihatnya bayang manusia yang bersembunyi di balik belukar.

"Kita cari..aku yakin itu bukanlah seperti apa yang kau fikirkan Tantira.." Ashuri tidak mengendahkan kata-kata Tantira. Bait kata mendayu yang dilagukan oleh lunak suara wanita itu menggamit nalurinya. Tidak pernah seumur hidupnya mendengarkan kemerduan suara seperti itu. Tidak di istana. Tidak juga di mana-mana tempat yang pernah ditujuinya sebelum ini.

Ashuri melangkah menuju ke hilir jeram. Sebatang silangan kayu yang tumbang merentangi jeram diperhatikannya. Mungkin ada seseorang yang berlagu di situ fikirnya. Dia berganjak menghampiri pohon kayu yang tumbang itu dan menjengah melihatkan di sebalik pohon itu. Namun tiada apa. Hanya lintasan air yang memundak lalu sahaja kelihatan.

"Ada apa di situ Ashuri..??" Tantira hanya mengekori Ashuri dari belakang. Tetap berjaga-jaga. Resah andai ada musuh yang muncul dari belakang dan memukul curi. Bahaya akibatnya nanti andai dia terleka.

"Tiada.." Ashuri menggelengkan kepala. Suasana kembali seperti sedia kala semula. Hanya deruan air jeram dan siulan unggas sahaja kedengaran jelas. Tiada lagi bait-bait merdu suara yang kedengaran.

"Mungkin hanya khayalan kita Tantira.." Ashuri melangkah turun semula ke perdu buluh tempat Tantira sedang menunggunya. Setelah puas diselongkarinya kawasan itu namun tidak berjumpa apa, Ashuri menghelakan nafas melepaskan lelah. Hari diperhatikannya semakin kelam. Malam hampir kunjung tiba. Dia perlu segera menyudahkan niat asalnya ke situ. Untuk mengambil semangkuk air di Telaga Air Biru. Dia tidak boleh terlewat. Risau andai Permaisuri Dahlia yang menantinya di istana menjadi resah.

"Teruskan mencari Telaga Air Biru..mungkin merdu suara itu hanya khayalan kita Tantira.." Ashuri kembali menebas semak yang menyekat laluannya. Tantira hanya mengangguk menuruti kata-kata Ashuri.

"Hi hi hi.." Dewi tertawa kecil. Dia keriangan kerana dua orang jejaka yang diganggunya seakan gelisah. Tercari-cari gerangan siapa yang bersuara di dalam belantara itu. Dewi merasakan teruja kerana bukan selalu dia bertembung dengan manusia seperti sekarang.

Seumur hidup Dewi hanya sekali sahaja dahulu dia pernah bertembung dengan sekeluarga manusia yang datang bermain-main di Telaga Air Biru itu. Ketika itu dia masih lagi kecil. Namun ibunya, Dewi Siluman Bulan segera mengajaknya pulang. Pesan ibunya, manusia adalah makhluk durjana. Mereka merosakkan hutan dan alam. Berbeza dengab kaum siluman yang sentiasa menjaga dan memelihara hutan belantara yang mereka diami. Kerana itulah siluman dan manusia tidak boleh bersatu. Kerana itulah pandangan manusia ditutup terus dari mampu melihatkan kaum siluman yang hidupnya saling berhampiran. Walaupun saling berkongsi belantara yang sama antara manusia dan siluman. Cuma satu kelebihan siluman sepertinya, mereka dilindungi suatu hijab yang membataskan penglihatan manusia.

Dewi segera bangun dari tempat duduknya di atas batu jeram itu. Dia melangkah sambil mengirai lembut selendang yang menutupi hujung kepalanya. Kiraian selendang itulah yang menjadi hijab untuk menutupi dirinya dari dilihat terus oleh manusia. Dia terjingkit-jingkit menghampiri Tantira yang masih terbongkok-bongkok mencari mulut Telaga Air Biru. Dicapainya satu ranting halus dan diusiknya cuping telinga Tantira.

Menggelupur Tantira terus sahaja menghunuskan keris yang dicapainya dengan pantas. Alangkah terkejut dirinya saat ada sesuatu yang mengusik hujung cuping telinganya. Diperhatikan sekeliling namun tiada apa yang dapat dikaitkannya. Mustahil Ashuri menyakatnya. Kerana Ashuri berada terlalu jauh dengan dirinya. Keris dihunusnya semula ke dalam sarung yang tersisip. Mungkin daunan gugur yang hinggap di telinga fikirnya.

Dewi melompat sambil tertawa riang. Wajah pucat Tantira yang terkejut saat cuping telinganya dicuit menjadi bahan jenakanya. Pertama kali dia berdepan rapat dengan manusia. Peluang yang terhidang dipergunakan sebaik mungkin. Hanya sekadar untuk bergurau menghiburkan hati. Dia tidak gusar kerana manusia langsung tidak mampu melihatnya. Kerana itulah dia berani berjalan dekat dan menyakat kedua orang jejaka itu.

"Andai aku bersuara..mestilah si gempal ini akan lebih terkejut.." bisik Dewi dalam hatinya. Dia berundur sedikit ke belakang. Menjarakkan dirinya dengan Tantira. Mulutnya ditekup cuba menahan ketawa. Dewi terlalu kegirangan.

"Ehemm.." Dewi berdehem perlahan. Segera mulutnya ditekup agar tawanya tidak meletus keluar. Tantira diperhatikannya terpaku terbongkok-bongkok. Ashuri masih leka di hujung perdu buluh sana menebas belukar.

Tantira tergamam kembali. Air liur diteguknya meluncur laju menerusi tekak. Suara wanita yang didengarinya awal tadi kunjung tiba lagi. Peluh renek turun menerpa wajahnya. Raut muka segera diraup perlahan. Hulu keris diusapnya perlahan-lahan. Kuda-kuda kaki segera diperkuatkan.

"Siapa..!!" jerit Tantira lantas segera berpusing mengadap belakangnya. Keris dihunus mara ke hadapan. Anak mata liar mencari-cari gerangan sipolan yang berdehem padanya. Namun masih seperti tadi, tiada apa yang kelihatan.

Ashuri terpempan. Jerit pekik Tantira menggamit dirinya. Segera dia berlari keluar dari celahan rimbunan perdu buluh untuk melihatkan Tantira. Adakah rakannya itu dalam musibah. Kerana jerit Tantira seakan dalam kesulitan.

"Mengapa Tantira..?!" jerit Ashuri dari kejauhan. Diperhatikan Tantira sedang teguh memacak kuda-kuda kakinya. Keris terhunus menuju ke hadapan. Sesekali menerawang lengannya ke udara seolah menghunus kerisnya menikam musuh di hadapan. Seolah bersedia untuk berentap dengan musuh.

"Ada yang berdehem padaku Ashuri..suara perempuan yang kita dengari tadi..!" balas Tantira tanpa melihatkan Ashuri yang masih terpinga-pinga. Lagak Tantira disambut hilai tawa Ashuri. Tidak menyangka yang Tantira terbawa-bawa akan perkara tadi. Mana mungkin ada insan lain di hutan itu. Hanya dia sahaja berdua bersama Tantira. Mana mungkin seorang wanita berani keluar berseorangan meranduk belukar menuju ke kawasan itu. Andai ada jua, tidak mungkin wanita itu seberani itu untuk menegur dan mengusik Tantira. Kerana dia tahu, wanita Melayu tinggi budi pekertinya. Sopan santun dan adab terjaga rapi.

"Sudahlah Tantira..jangan asyik bersangka yang bukan-bukan..itu hanya perasaanmu sahaja..teruskan mencari mulut telaga..hari hampir gelap..aku tidak mahu bermalam di dalam hutan..!" balas Ashuri sambil tertawa. Asyik sahaja Tantira menjadi bahan jenakanya. Dari istana hinggalah kini ke hutan belukar. Masih lagi mahu berjenaka riang.

Dewi tertunduk-tunduk menahan tawa. Dapat dilihatnya pucat melesi wajah jejaka yang diusiknya. Hinggakan kini dia bersilat seorangan bertempur melawan angin. Patutlah ibunya mengatakan perangai manusia ini pelik-pelik. Baru kini Dewi mengerti akan maksud kata-kata ibunya itu.

Tantira mendengus. Berkerut dahinya menahan geram yang berkaluk dalam hatinya. Entah siapa gerangan yang mengusiknya. Dia pasti yang itu bukanlah angannya. Dia pasti yang itu memang benar-benar terjadi padanya. Mustahil dia berkhayal padahal dia sedang tekun mencarikan mulut telaga. Keris kembali disarungnya semula.

"Kalau aku dapat siapa yang mengusikku..akan ku tikam dengan keris ini biar terbenam menusuk tubuhmu.." rungut Tantira sendiri. Berbicara bersama angin.

Buntang anak mata Dewi saat mendengarkan kata-kata Tantira yang seakan mengugut dirinya. Kedua lengan mencekak pinggang. Terangguk-angguk Dewi menahan geram bila mendengarkan kata yang terucap dari mulut Tantira.

"Ada hati hendak menikam aku ya.." bisik Dewi. Hatinya geram. Puput angin sahaja sedari tadi ditikam, ada hati Tantira hendak menikam dirinya pula. Terjingkit-jingkit Dewi kembali menghampiri Tantira. Sebatang anak kayu sebesar lengan dicapai Dewi. Dilontarnya perlahan tepat mengenai belakang badan Tantira.

"Aduh...!!" Tantira duduk melutut sambil mengusap belakang badannya. Entah apa pula kali ini yang hinggap di belakang badannya. Tepat mengenai belikat hingga mengundang perit tidak terperi. Dalam imbangan badan yang tidak seimbang Tantira melangkah sedikit ke hadapan. Kali ini dia nekad untuk diamuknya hutan itu. Saat dia berpusing Tantira terpijakkan ranting kayu yang menutupi mulut Telaga Air Biru. Belum sempat hendak diamuknya hutan itu, kini Tantira telah terperosok jatuh ke dalam Telaga Air Biru.

Dewi tercengang. Dia tidak menyangka usikannya kini mengundang bala pada jejaka itu. Dia berlari merapati mulut telaga itu sambil melihatkan Tantira yang sedang meronta kesakitan. Tersangkut pada sebatang kayu yang melintang di pertengahan telaga. Mujur batang kayu itu ada melintang di situ untuk menahan Tantira daripada terjatuh terus ke dalam telaga. Tantira terkapai-kapai cuba bergayut sambil mengimbangi badan supaya tidak terus terjerumus jatuh. Dewi hanya memerhatikan sahaja Tantira yang sedang menggelupur seorangan. Rasa bersalah mula menyelinap dalam dirinya. Tapi dia tidak mampu membantu.

"Ashuri..!! Tolong aku..!!" jerit Tantira mohon pertolongan. Dahan yang melintang itu tidak mungkin dapat bertahan lama. Kerana mungkin telah agak lama dahan itu tersangkut di situ. Andai reput, ia hanya menanti masa sahaja untuk patah kerana kini Tantira sedang bergayut padanya. Cemas seketika detik itu. Dewi hanya mundar mandir di sekeliling mulut telaga. Dengan harapan agar Ashuri mendengar jeritan Tantira tadi.

"Maafkan aku manusia..aku tidak sengaja..aku hanya ingin bergurau denganmu.." bisik Dewi perlahan. Dewi menoleh ke belakang. Dapat dilihatnya Ashuri bergegas berlari menuju ke arah jeritan Tantira. Dewi menginjak sedikit ke tepi. Dia hanya memerhatikan sahaja langkah Ashuri menghampiri telaga itu.

"Tantira..!!" jerit Ashuri terus sahaja melutut di tepian telaga. Dapat diperhatikan Tantira sedang bermandi keringat cuba keluar dari situ. Dahan yang dipautnya semakin lama semakin menyendeng seperti mahu tergelincir dari dinding telaga.

"Tolong aku Ashuri..!" Tantira mendongak melihat ke atas. Dapat dilihatnya Ashuri cemas sedang memerhatikannya.

"Bertahan Tantira..! Aku carikan akal untuk membawamu ke atas semula..!" Ashuri melihat keliling. Ranting-ranting kayu yang mereput menyembah bumi segera dicapainya. Andai mampu dihulurkan pada Tantira untuk dijadikan pengalan membawa naik Tantira.

"Pegang erat pada kayu ini Tantira..! Aku cuba tarik kau naik ke atas..!" sebatang kayu dihulurkan ke dalam telaga. Ashuri perlu pantas. Andai terlewat, gusar Tantira akan menjadi korban di dalam telaga itu. Nyawa Tantira kini seperti di hujung tanduk!

Dewi hanya memerhatikan sahaja Ashuri yang keseorangan membantu Tantira. Dia mundar mandir di belakang Ashuri. Sesekali dijengahnya ke dalam telaga melihatkan Tantira. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia tiada ikhtiar untuk membantu Tantira dan Ashuri.

"Maafkan aku manusia..aku tidak sengaja.." rintih hati Dewi keresahan.

"Ranting ini tak akan bertahan Ashuri..! Carikan ranting lain yang lebih teguh..!" jerit Tantira bila ranting pertama yang dihulurkan Ashuri terus patah saat digapainya. Kayu yang telah lama mereput. Mustahil kayu itu mampu menariknya naik ke atas.

Mendengarkan kata-kata Tantira. Segera Ashuri berlegar mencarikan kayu lain yang lebih teguh. Dia gundah. Dalam hati berbisik agar Tantira tidak mengalami apa-apa.

Prapp!

Dahan kayu yang dipaut Tantira tidak lagi mampu menampung. Ashuri makin gelisah saat terdengarkan patahan kayu itu. Tantira makin cemas. Dewi tidak henti mundar mandir melihatkan Ashuri yang makin tidak keruan.

Ashuri kembali melutut di mulut telaga. Sebatang kayu dibawanya bersama. Kali ini kelihatannya lebih teguh berbanding kayu yang pertama. Dihulurnya masuk ke dalam telaga. Namun kayu itu terlalu pendek. Tantira tak mampu menggapainya. Dia hanya menggeleng ke arah Ashuri yang gumam tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukannya. Ashuri menumbuk lantai bumi. Dia kecewa.

"Gunakan selendang ini untuk menarik temanmu naik.."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience