BAB 24
Kicau unggas kedengaran melesu di atas pohon. Di kala keredupan, di saat terik mentari dipayungi awan, Ashuri melangkah menyusuri taman istana. Sendiri. Usai sahaja dirinya bersantap bersama keluarga di ruang santapan istana, dia membawa diri ke luar mengambil angin.
Lazimnya ruang santapan dipenuhi gelak dan tawa di antara mereka. Kehadiran beberapa tamu yang tidak pernah diundangnya sebelum ini menggamatkan lagi suasana. Namun sekelip mata ia berlalu pergi. Seolah tiada keizinan untuk keceriaan itu diteruskan. Ada kalanya terdetik di dalam hatinya sendiri, apakah wajar segala tindakan yang telah diambilnya selama ini?
“Ashuri..mengapa menyendiri..??” Permaisuri Dahlia mengekori rapat langkah anaknya itu. Seperti menyedari ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuannya. Elusan lembut jemari pada diri anaknya itu telah menghentikan langkah Ashuri.
“Ada sesuatu yang menggangu fikiranmu Ashuri..??” wajah itu diraupnya perlahan. Walau bibir itu mengukirkan senyuman, namun nalurinya tetap berkatakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan Ashuri.
“Masihkah bonda teringat dengan kata-kataku yang lalu..di taman ini..??”
Pelik. Entah mengapa persoalan yang lalu diungkapnya semula. Cuba mengingati namun tidak terlintas. Terlalu banyak kata-kata yang telah diungkapkan Ashuri padanya sebelum ini. Terlalu banyak.
“Tidak Ashuri..terlalu banyak untuk bonda ingati..”
Di bawah sepohon kundang yang merimbun mereka diami menghilangkan lelah. Punggung dihenyak perlahan sambil pandangan terarah melihatkan perkampungan Indera Sakti yang terbentang di hadapan mereka. Aman dan permai.
“Damaikah kita sekarang..??” soalan itu pernah diajunya dahulu. Di taman itu, pada insan yang sama. Cuma waktunya kata itu terungkap, ada bezanya.
“Kita terperangkap di dalam keindahan yang kita cipta..luarannya kelihatan indah..sedangkan isi dalamnya berulat merobek kita perlahan-lahan..adakah itu kedamaian yang kita carikan..??” soal Ashuri lagi.
“Ashuri..jangan terlalu banyak bermadah..katakan dengan jelas apa sebenarnya yang cuba anakanda katakan..” hatinya kini diulit resah. Kata-kata itu telah didengarinya untuk kedua kalinya. Keresahan itu ternyata masih belum pergi lagi dari diri anaknya itu.
Ashuri menghela berat nafasnya. Seolah ada batu besar yang menghimpit dadanya ketika itu. Hendak diluahkan terasa berat, hendak disimpannya risau kan menjadi gundah. Dia bingkas berdiri semula mengumpul segala kekuatan. Dia perlu meleraikannya. Saat itu juga.
“Kanda..semua ini tentang kanda, bonda..” ucapnya ringkas, berulang, namun sudah cukup mudah untuk difahami.
“Tidakkah ada perasaan rindu bonda terhadap dirinya..?? kita meminggirkan dia sedangkan kita bergelak tawa di sini..kesusahan dia, keperitan yang mungkin dialaminya tiada siapa tahu..apakah bonda tidak pernah memikirkan segala itu..??” seketika dia terhenti. Menghela nafas, mengumpul bicara.
“Walau dirinya kita buang, tidak bermakna tautan itu terputus semudah itu..aliran darah yang mengalir dalam tubuhnya serupa kita..detak jantungnya seirama kita..malah mungkin juga di saat ini, dia turut merindui kita seperti mana kita merinduikan dirinya..” tuturnya cermat berisi kekecewaan. Pasti itu memeritkan.
“Dan saat bonda membiarkan sahaja kanda diambil pergi, seolah nyawa itu tiada ertinya pada dirimu bonda..” tohmahan itu cukup berat. Daripada seorang anak kepada seorang ibu. Permaisuri Dahlia gumam bermandikan peluh renek yang mula membasahi dahi.
Permaisuri Dahlia berdiri berteguhkan batang kundang yang dirasakan seolah tidak mampu menampung tubuhnya kala itu. Tubuhnya seolah tidak lagi bersendi untuk berdiri. Aliran darah seakan terhenti. Jasad seakan termati. Panahan bicara si anak terbenam menusuk tangkai hati. Seolah diri itu tidak lagi bererti.
“Tidak Ashuri..kandamu pergi kerana saat ajalnya telah tiba..mati di perigi kerana kelekaannya bermain..” terucap kata itu penuh duka. Cuba bertahan selagi dia mampu. Permaisuri Dahlia tertunduk lesu mengait memori usangnya.
“Atau mungkin juga jasadnya disedekahkan bonda kepada kaum siluman untuk dijadikan tawanan..seperti mana kaum kita terdahulu menjadikan nenda sebagai tawanan untuk kekal bertahan di istana ini..”
“Ashuri..!!”
Anak itu tidak pernah dicuitnya. Anak itu tidak pernah dijentiknya. Anak itu juga tidak pernah dimarahinya. Selama ini Ashuri dibelainya penuh kasih dan saying. Dimanjakan seperti mana ibu yang lain memanjakan anak-anak mereka. Ditatang bagai minyak yang penuh. Tidak pernah sekali diri anak itu disakitinya.
Namun saat itu, wajah mulus itu telah dihinggapi tamparannya. Merah merona. Diiringi tangis sedu Permaisuri Dahlia. Alam menyusul hening. Seakan terkesima dengan apa yang mereka saksikan.
“Tidak pernah sekali di hati bonda untuk melupakan zuriat yang bonda lahirkan di dunia ini..apatah lagi untuk menyakiti diri kalian..setiap waktu diri itu tidak pernah bonda lupakan..walaupun sedetik..”
Kala itu, sudah terlambat untuk diputarnya kembali kata-kata. Luka di hati itu telah dikopaknya berdarah semula. Ashuri mengusap pipinya yang merona dek tamparan Permaisuri Dahlia. Kebas. Tidak pernah seumur hidupnya merasakan kesakitan seperti itu. Wajah Permaisuri Dahlia seakan mengiringi bias tamparan itu. Wajah sugul itu dilihatnya tanpa kelipan.
“Andai mampu bonda korbankan diri ini sendiri sebagai galang ganti agar kandamu it uterus bernyawa, pastinya bondda telah lakukannya tanpa sebarang paksaan..namun tiada siapa yang mengerti perkara apa yang tersemat di hati bonda ini..anakanda menuduh bagaikan bonda ini tiada hati ddan perasaan..!” bingkisnya meratap sedih. Mengapa sebegitu sekali dirinya diadili? Ashuri gumam tidak terkata apa. Namun dia masih berkeras. Dalam hatinya ketika itu hanya teringatkan kekanda sulungnya yang telah diambil siluman. Kerana itu dia menuding pada kesalahan lama keluarganya.
“Tengku..!!”
Jeritan Musliha dari kejauhan memecahkan keheningan. Pantas dia berlari, cemas, ke arah Ashuri dan Permaisuri Dahlia di taman istana itu. Termengah-mengah mengatur nafasnya saat Ashuri yang digamitnya tadi dihampiri.
“Senja Tengku..!” jarinya menuding ke arah istana. Musliha terbongkok menopang telapak tangan di peha. Peluh merenjis turun membasahi tubuhnya. Ashuri pautkan pandangan pada Permaisuri Dahlia.
“Maafkan anakanda kerana mengasari bonda..hal ini akan kita bincangkan di lain hari..tekad anakanda tidak akan membiarkan kanda terbiar di dunia siluman sana..” ucap Ashuri mengakhiri perbualan. Kata-kata itu bagaikan menampar gelisahnya. Permaisuri Dahlia terduduk saat didengarinya apa yang diperkatakan Ashuri.
“Apakah Ashuri telah mengetahui segalanya..??” bisiknya sendiri.
BERGEGAS Ashuri mendaki anak tangga istana sambil diekori Musliha. Kamar Dewi telah dikerumuni saat dirinya menjengah tiba. Tabib Fansuri bertungkus lumus di sisi katil mempersiapkan segala kelengkapannya. Dayang-dayang istana ada yang menangis dan ada yang berpelukan sesama sendiri. Suasana diselebungi kesuraman. Ashuri melangkah merapati bucu katil.
“Apa yang telah berlaku Tabib..??” Dewi dilihatnya mengerang menahan kesakitan. Wajahnya mula membiru. Kesakitan itu seolah cuba dikongsinya bersama yang lain. Riak wajahnya menerik tidak tertahan dengan apa yang dialaminya ketika itu. Tubuhnya meliuk ke udara.
“Racun di dalam tubuhnya mula menular..patik gusar dia tidak mampu bertahan untuk menunggu ketibaan Tantira nanti Tengku..”
Gelisah kian memuncak saat Dewi menghamburkan darah pekat. Melikat ia mengalir membasahi wajah, bertompok di atas katil. Terlalu berat dugaan yang dialaminya ketika itu. Racun Seribu Lebah di dalam tubuhnya mula memberontak. Sedikit demi sedikit pembuluh darahnya dihuni dek bisa racun itu. Dewi tiada lagi pilihan. Nyawanya kini di hujung tanduk. Masa tidak lagi menyebelahi dirinya.
“Lakukan apa yang perlu Tabib..aku tidak mahu dia mati sebelum tiba waktunya..!” Ashuri bertegas dengan kata-katanya itu. Hanya itu sahaja peluangnya untuk mendapatkan semula kekanda sulungnya yang ditawan siluman. Itupun jika dia masih lagi bernyawa. Atau mungkin juga untuk mengetahui tentang kebenaran perjanjian lama yang pernah termetrai dahulu.
“Senja tidak boleh mati..!” palang bucu katil jadi mangsa amarahnya. Ashuri kian tertekan. Tabib Fansuri di ambang kegelisahan. Hanya Bunga Kudup Nyawa yang mampu memutarkan keadaan itu. Di saat genting itu, hanya keajaiban yang ditagihnya. Kesaktian ilmu perubatannya tidak mungkin lagi mampu untuk mengubati Dewi yang kian terseksa.
Tiada tangis yang mampu mengubati. Tiada air mata yang mampu dijadikan penawar. Walaupun ketika itu segenap ruang kamar dibalut kesedihan. Kesuntukan itu meresahkan. Dalam ketegangan tiada apa lagi yang mampu difikirkan. Ashuri kian tertekan. Dewi tidak boleh meninggalkannya. Sekurang-kurangnya di saat ini. Kerana Dewi adalah satu-satunya peluang untuk dia memutarkan kembali masa yang lalu.
Di saat kegelisahan kian memuncak, pintu kamar diterjah pengawal istana dengan wajah yang mencemaskan. Termengah-mengah dia mendapatkan Ashuri.
“Tengku..Panglima Tantira telah kembali bersama rombongannya dari Lembah Cahaya..!”
Mentari seolah muncul dari celahan awan. Menyinar kembali menerangkan kesuraman hari yang memuramkan. Tiada apa lagi yang mampu hendak diucapkan Ashuri melainkan syukur. Kerana peluang itu masih ada.
Ashuri yang paling pantas di kalangan semua. Langkahnya dihamburkan ke pintu istana menantikan ketibaan Tantira dan rombongan yang lainnya. Di hati kecilnya bersorak gembira. Ternyata Tantira tidak mengecewakan dirinya. Dari kejauhan dapat dilihatnya Tantira melangkah, kelesuan, namun tetap digagahinya jua melangkah. Ke pintu istana dia menuju. Bersama tiga hulubalang yang mengiringinya ke Lembah Cahaya.
“Tantira..! aku gembira melihatkan kau selamat tiba ke Indera Sakti..bagaimanakah perjalananmu..??” ucap Ashuri sedikit mendatar. Kerana dia tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena pada perjalanan sahabatnya itu. Dimanakah rombongan besarnya?
“Akan aku ceritakan di lain masa Ashuri..” ucapnya sambil menyeluk sesuatu dari celahan bajunya lalu dipersembahkan kepada Ashuri.
“Adakah ini..??” huluran Tantira disambutnya. Dibuka dan dilihatnya tidak berkelip.
“Aku persembahkan kepadamu, Bunga Kudup Nyawa..” ucap Tantira ringkas.
Share this novel