BAB 6
Ashuri duduk termenung di singgahsana istana. Matanya jauh merenung ke arah belantara yang menebal di sebalik istana itu. Ingatannya dibawa angin mengingatkan gadis yang dilihatnya semalam. Wajah itu bernaung tidak mahu pergi dari fikirannya. Puas disanggahnya pergi, namun ia tetap duduk kekal dalam fikirannya. Selendang kuning peninggalan gadis itu digenggamnya rapi. Bauan kemboja yang menusuk tidak pernah lekang dari selendang itu.
"Siapa gerangan gadis itu..tidak pernah aku melihat gadis secantik dirinya.." Ashuri bicara sendiri dalam hati. Dia terpesona saat pertama kali bertentang mata dengan gadis itu. Kesucian wajah yang menjadi milik gadis itu benar-benar menikam hatinya. Susah hendak diusirnya pergi. Kini hanya selendang kuning itu sahaja yang menjadi tatapannya bila dia teringatkan gadis itu.
"Jauh Tengku termenung..??" Tabib Fansuri menjengahkan diri dari balik tirai di singgahsana istana. Dia yang baru sahaja keluar dari kamar Raja Rasturi terhenti di pintu singgahsana tika melihatkan Tengku Ashuri duduk seorangan mengadap belantara. Terdetik di hatinya untuk bertanya khabar akan perihal anak rajanya itu.
"Ohh..Tabib Fansuri..bagaimana keadaan ayahanda..??" Ashuri berpaling melihatkan Tabib Fansuri yang berdiri di belakangnya. Kedut yang kelihatan di wajah Tabib itu sahaja telah menunjukkan usianya yang kian senja. Terlalu lama sudah dia berkhidmat di dalam istana ini. Segala selok belok istana dan perihal istana ini hidup bersama dirinya. Sejak dari permulaan tertubuhnya perkampungan itu hinggalah sekarang, dia kekal berbakti tanpa ada rasa sangsi. Dia taat pada raja yang satu.
"Tuanku beransur pulih selepas patik berikan Air Telaga Biru yang Tengku bekalkan semalam..mujur Tengku bertindak pantas.." ujar Tabib Fansuri menunduk hormat pada Ashuri.
"Hmm..baguslah begitu wahai Tabib.." Ashuri kembali memalingkan wajahnya ke arah belantara tebal. Tabib Fansuri dapat melihatkan seperti ada kemurungan yang dihadapi anak rajanya itu. Jarang benar dia bermuram seperti itu. Ashuri tidak seperti selalu. Seorang yang periang dan sering sahaja tidak lekang dengan puisi indah yang terbit dari bibirnya itu. Namun hari ini, semua itu hilang seperti direntap pergi sesuatu.
"Tengku tidak apa-apa..??"
Ashuri kembali berpaling melihatkan Tabib Fansuri. Dia hanya menggeleng mempamerkan senyuman tawar.
"Namun patik melihatkan seperti ada sesuatu yang membelengu Tengku.."
Ashuri menghela nafasnya dalam-dalam. Mana mungkin dia mampu menyorokkan perasaan yang dari semalam bersemi dalam jiwanya. Kini perasaan itu dihidu oleh Tabib Fansuri pula.
"Bahan indah jadi kengangan,
bahan lapuk jadi siulan,
hati tersentuh hati tertawan,
pemilik wajah siapa gerangan.."
Dia hanya berpantun melontarkan kata kiasan. Tabib Fansuri serta merta dapat mengagak apa yang bermain di fikiran anak rajanya itu.
"Tengku dilamun cinta..??"
Ashuri mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu perasaan apakah yang bermain dalam dirinya. Dia sendiri tidak tahu apakah maknanya jatuh cinta. Kerana selama ini tidak pernah seumur hidupnya bercinta. Apatah lagi jatuh cinta pada seseorang. Namun yang pasti, wajah gadis yang dilihatnya semalam asyik sahaja muncul dalam fikirannya. Mungkinkah itu tandanya cinta mula berputik?
"Indah melur sejambak mekar,
terpaut hati pada setangkai,
usah dinanti usah dibiar,
gusar dipetik andai dinanti.."
Usik Tabib Fansuri mengundang tawa Ashuri. Jarang sekali dia mendengarkan Tabib itu bermadah. Sesekali dia bersuara sudah cukup untuk menusuk dalam hatinya.
"Tak kusangka yang Tabib juga handal bermadah..rupa-rupanya bukan sahaja handal merawat pesakit..handal juga melontarkan kata.."
"Budaya kita mengajar patik Tengku..andai bukan kita yang menjaga keindahan bahasa kita..siapa lagi yang hendak menjaganya..??"
Tabib Fansuri terhenti seketika. Perkara ini bukan mainan untuk anak rajanya itu. Soal jodoh harus dibincangkan terlebih dalam bersama ayahanda dan bondanya. Apa gunanya bercinta andai hubungan tidak direstui keluarga. Bahkan pula dia sendiri bukan dari golongan biasa. Mana mungkin Ashuri dibenarkan bercinta sewenang-wenangnya dengan rakyat jelata. Namun siapakah yang berjaya menambat hati anak rajanya itu?
"Siapakah dia Tengku..??" Soal Tabib Fansuri ingin tahu.
"Aku tidak mengenalinya Tabib..aku hanya terpesona hingga tak mampu mengatakan apa tentang dirinya.."
"Langsung tidak mengenali..??"
Ashuri hanya mengangguk. Tabib Fansuri mengurut janggut yang putih tidak tersusun miliknya. Pelik.
"Itu bermakna Tengku tidak tahu asal usulnya..??"
"Tidak..aku langsung tidak mengetahui tentangnya.."
"Bagaimana pula Tengku berjumpa dengannya..??"
"Sewaktu aku ke Telaga Air Biru semalam..aku terserempak dengannya..tika itu Tantira dilanda musibah..gadis itu yang membantuku.."
Tabib Fansuri bersoal sendiri dalam hati. Mana ada gadis yang seberani itu pergi ke telaga itu. Lagipun itu adalah kawasan yang dilarang oleh istana kepada setiap penduduk kampung itu. Mana mungkin ada yang berani mengingkari arahan istana. Melainkan..
"Bagaimana paras rupanya Tengku...??" soal Tabib Fansuri. Hatinya terdetik rasa tidak senang. Seolah ada sesuatu kembali mengait memorinya dari masa lalu.
"Indah...terlalu indah.." hanya itu jawapan yang terpacul dari mulut Ashuri. Dia tidak punya kata yang dapat mengambarkan kecantikan pemilik wajah itu. Andai siapa melihat pastikan tertawan. Andai siapa yang melihat pastikan terpikat. Begitu jua dirinya.
Tabib Fansuri masih tidak berpuas hati. Dia hanya mundar mandir di belakang Ashuri memikirkan sesuatu. Dia cuba menyangkal apa yang hinggap di fikirannya. Tidak seperti apa yang dibayangnya ketika itu. Mungkin hanya gadis biasa. Tidak mungkin dari golongan itu fikirnya.
"Tidak mungkin..." bisik Tabib Fansuri dalam hatinya.
Saat sedang leka berfikirkan perihal gadis yang menjadi pujaan anak rajanya itu, Tabib Fansuri terpandangkan sehelai selendang yang berada dalam genggaman Ashuri. Pandangannya terhenti melihatkan selendang itu. Jantungnya terus berdegup kencang kala ternampakkan selendang kuning itu. Sudah sekian lama dia tidak melihatkan selendang itu. Dan kini, selendang serupa dulu berada dalam genggaman Ashuri. Selendang yang pernah menghadirkan gempita di istana itu dahulu.
"Tengku..selendang apakah itu..??" perasaan Tabib Fansuri dihujani pelbagai rasa. Dia tidak mampu menahan diri dari menyoal Ashuri. Dia perlu tahu mengenai selendang itu.
"Ahh..selendang ini pemberian gadis itu padaku wahai Tabib..mengapa..??" jawab Ashuri jujur.
Tabib Fansuri makin berdebar. Tidak mungkin!
"Adakah gadis itu punyai anak mata berwarna biru..??" Soal Tabib Fansuri lagi.
Ashuri merasakan janggal. Seingat dirinya tidak pernah pula dia menceritakan pada sesiapa tentang gadis itu. Bahkan Tantira juga tidak mengetahuinya. Bagaimana pula Tabib Diraja ini dapat mengetahui perihal gadis itu?
"Bagaimana Tabib mengetahui tentang gadis itu..adakah Tabib mengenalinya..??" Ashuri jadi teruja. Jika benar Tabib Fansuri mengenali gadis itu, maka mudahlah urusannya selepas ini. Kerana mungkin Tabib itu tahu dimana tinggalnya gadis itu.
"Tidak.." Tabib Fansuri hanya menggeleng menidakkan kata-kata Ashuri. Dia tergamam. Tidak percaya kini mereka muncul lagi setelah lama tidak bersemuka. Perjanjian lama yang termetrai seolah diingkari. Tabib Fansuri meminta izin untuk pergi. Dia meninggalkan Ashuri dengan pelbagai persoalan.
"Hmmm..apa sebenarnya bermain di fikiran Tabib ini..??" Ashuri membiarkan sahaja Tabib Fansuri melangkah pergi. Dia kembali menatap belantara tebal di belakang istananya. Dia duduk bersandar membuai angan mengingati wajah gadis yang menjadi dambaan hatinya. Dia nekad untuk mencarinya semula esok hari. Tidak mungkin kali itu akan dilepaskannya sesenang wenangnya.
Leka membuai angan Ashuri terus terlena bersandar di tepi singgahsana istana. Selendang kuning digenggam rapi tidak dilepaskan dari genggaman jemarinya.
Share this novel