Chapter 26

Romance Completed 4712

BAB 26

Kicauan unggas dari luar Gua Muluk seakan memanggilnya keluar. Berkicau nyaring sepertinya ada sesuatu yang berlaku. Juara menjengah ke luar di saat mereka yang lain, tekun mengasah keringat, menajamkan kemahiran tempur seperti yang diarahkan Tok Aduka.

Di luar gua, tidak kelihatan apa. Cuma pokok-pokok hutan meliuk ditiup angin dan unggas-unggas yang berterbangan melintasi. Sedikit rasa khuatir menular dalam dirinya. Andai musuh terlebih dahulu berjaya mengesan penempatan kaum siluman itu.

“Apa yang kau perhatikan itu Juara..??”

Pantas dia mengerling ke arah sisi kiri gua. Sesusuk tubuh duduk seorangan di atas sebuah batu besar. Dahulunya, di situlah kawasan kegemaran Tok Kelana menghabiskan waktu petangnya. Sambil ditemani Dewi sesekali adanya.

“Aku terdengarkan bunyi hiruk di luar ini..kerana itu aku menjengah untuk melihat, Tok Aduka..” jawab Juara terhadap pertanyaan Tok Aduka yang duduk seorangan mengadap belantara tebal.

“Sudahkah mereka semua bersedia..??” soal Tok Aduka ringkas.

Juara memerhatikan semula ke arah dalam gua. Dia mengerti apa yang disoalkan Tok Aduka padanya. Dilihatnya deretan pahlawan siluman gigih berlatih, bertarung sesama sendiri memantapkan ilmu tempur. Dilihatnya juga, anak-anak kecil begitu bersemangat bermain tombak dan pedang. Namun, itu semua tidak langsung mengembirakan hatinya.

“Perlukah kita pergadaikan anak kecil menjadi pejuang di dalam peperangan kita tok..??” Juara menyoal lembut namun anak matanya tidak dialihkan dari melihat anak kecil yang tertawa riang bermain senjata.

Berang Tok Aduka pabila terlalu kerap Juara mempertikaikan perintahnya. Tongkat pusaka dicapainya dari atas bentangan peha, lalu dibawanya tubuh untuk berdiri. Wajahnya menyorot kebengisan. Dihampirinya Juara lalu dicekaknya belakang leher Juara sekuat hatinya.

“Apakah kau menidakkan rancanganku Juara..??” cengkaman jemari itu erat. Memaksa Juara meliukkan tubuh menahan keperitan itu.

“Tapi anak-anak itu masih terlalu kecil untuk kita korbankan di medan perang tok..” jawapannya tetap telus. Tidak sesekali dia merasakan mempertaruhkan nyawa anak kecil yang tidak berdosa di medan perang, sebagai perbuatan yang membanggakan.

“Apakah bezanya andai anak kecil itu dilapah di dalam gua ini..?? jika kelak kita tewas di medan perang..??”

Tubuh Juara ditolaknya kasar. Tersungkur Juara melutut ke atas tanah. Belakang lehernya diusap. Meretap giginya menahan kemarahan. Namun, dia cekal bersabar. Bangkit dia semula, bertongkatkan pedang yang tersisip di pinggangnya. Berteleku Juara sebentar mengenangkan apa yang telah Tok Aduka lakukan terhadap dirinya sebentar tadi.

“Peperangan ini adalah peperangan kita..kaum siluman yang selama ini teraniaya..apa gunanya jika anak-anak kecil itu ditinggalkan di gua sementara kita bergadai nyawa berperang..?? jika kekalahan kita hadapi..bukankah manusia akan tetap memburu saki baki siluman yang tertinggal..??”

“Dan kerana itu, Tok jadikan alasan agar anak-anak kecil ini dibawakan ke medan peperangan..?? untuk menempah mati yang sudah pastinya milik mereka..??” segera kata-kata Tok Aduka dipintas Juara. Hatinya menggelegak menahan api kemarahan. Sehalus mungkin cuba diperbetulkan apa yang dilihatnya salah.

“Anak kecil bukannya perisai di medan perang..!” hujung pedang terhentak ke tanah. Erat jemarinya menggenggam hulu pedang. Juara menyambung kata-katanya kali ini dengan penuh ketegasan. Semua itu perlu dihalangnya.

“Mengangkat senjata pun tidak terdaya, inikan pula hendak membunuh manusia..” sindir Juara pula kali ini. Dipusingkan tubuh menghala ke arah Tok Aduka yang merengus kemarahan. Pandangan antara mereka saling bertaut. Kesetian kini mula diuji. Hanya kepandaian helah Tok Aduka sahaja yang mungkin melembutkan hati Juara di kala itu.

Melihatkan ketegasan Juara yang kini seolah dibalut api kemarahan, Tok Aduka mengendurkan terik wajahnya. Berpaling, lalu melangkah sedikit menjauhi Juara. Di saat seperti itu, dia tidak mahu kehilangan pahlawan seperti Juara. Tidak sekali dia mahukan Juara berpaling tadah terhadap dirinya pula. Pahlawan sekental Juara, merupakan keampuhan yang didambakannya di dalam peperangan.

“Kita adalah kaum ulung di belantara ini..aku hanya mahukan kita menjadi sehebat dahulu..bukannya seperti sekarang, lemah dan tertindas di tanah sendiri..” Tok Aduka lepaskan keluhan. Sesungguhnya perjuangan itu terlalu berat. Lebih berat jika dia tidak meraih sokongan daripada siluman yang lain.

“Tapi bukan begini caranya tok..” Juara turut berlembut. Melihatkan Tok Aduka seolah mula menerima setiap butir katanya tadi.

“Tidak Juara..hanya ini sahaja caranya..atau kelak, kita sekadar bertaruh nyawa di atas api..melawan tidak, bertahan juga tidak..terbiar dibakar api hingga berkecai menjadi abu..”

Terdiam seketika antara mereka. Membiarkan angin yang sepoi bertiup menampar tubuh. Juara seringkali terpedaya dengan kata-kata Tok Aduka. Siluman tua yang selama ini membesarkannya, ternyata begitu petah memainkan lidahnya. Sekelip mata, hati itu dilembutkannya hanya dengan kata-kata.

“Selama kau aku besarkan, sehingga menjadi pahlawan siluman yang terulung, tidak pernah sekali aku meminta kau memenuhi setiap kehendak diriku Juara..namun kali ini..” kata-kata Tok Aduka terhenti. Dia berpaling melihatkan Juara semula. Tongkat pusaka dilepaskannya hingga menyembah bumi, lalu terus sahaja di melutut, ibarat penyembah berhala yang memohon keampunan.

“Aku pohon padamu..berjuanglah bersamaku Juara..” rintihnya menitiskan air mata. Kedua telapak tangan ditekup ke lantai bumi. Tertunduk dia merayu mengharapkan belas ihsan Juara.

“Tok..!” tergamam Juara dengan tindakan Tok Aduka yang amat dihormatinya itu. Segera dia menerpa, dipautnya kedua belah bahu, lalu dibawanya Tok Aduka berdiri semula. Sungguh dia merasakan bersalah di atas keingkarannya tadi. Sehingga memaksa Tok Aduka melutut merayu pada dirinya.

“Mengapa tok sanggup berbuat begini tok..”

Wajahnya diangkat sedikit memerhatikan Juara. Lengan Juara yang erat menggengam bahunya dipaut perlahan. Dilurutnya sehingga tergenggam kedua belah telapak tangan milik Juara.

“Kerana apa yang aku lakukan ini adalah untuk kaum silumanku Juara..untuk dirimu dan juga untuk kesemua isi Gua Muluk..perjuangan ini bukanlah perjuanganku sendiri..tapi ia adalah milik kita..dan..andai perlu aku bersujud padamu, juga aku relakan asal kau menuruti setiap rancanganku..” suara Tok Aduka sedikit tersekat-sekat. Batuk kecil dilepaskan lalu dadanya diurut. Mendengarkan runut kata Tok Aduka bagai menyedarkan Juara dari kelekaannya.

Pautan ke bahu terlepas saat Tok Aduka melangkah menjauhi. Terpaan wajahnya melihatkan barisan pahlawan yang gigih menghunus senjata, memperkasakan diri. Tok Aduka mengeluh kesekian kalinya. Namun sudah cukup untuk merentap jiwa Juara yang tadinya mengeras bak batu kelikir.

“Jika matiku adalah untuk kaum silumanku..sehingga kering darah di tubuh ini akan aku terus berjuang..”

Hampir sahaja Juara menitiskan air mata mendengarkan kata-kata perjuangan Tok Aduka itu. Selama ini, merasakan perjuangan itu hanyalah demi kepuasan peribadinya sahaja. Berbunuh bermandikan darah demi mencapai kepuasan. Namun ternyata, niatnya utuh bersendikan ketaatan terhadap kaumnya sendiri.

“Maafkan Juara tok..Juara berjanji, diri ini akan mengabdikan seluruh tenaga dan keringat demi untuk kaum kita..itu janjiku..” Juara berteleku. Bungkam.

Kata-kata, resamnya melebihi ketajaman sebilah pisau, mampu membunuh dan juga mampu menundukkan seseorang. Tanpa perlu dihunus, malah tanpa perlu membazirkan keringat ketika mengucapkannya. Hanya sedikit linangan air mata dan pembawakan diri yang mendambakan belas ihsan, sudah mencukupi untuk meraih simpati.

Juara terdiam tanpa seulas kata melawan lagi. Pasrah walaupun pendirian diri kini ditempelak bagaikan awan yang ditiup angin. Tok Aduka tersenyum sinis. Semudah itu Juara ditundukkannya. Sesungguhnya darah muda berakal cetek seperti Juara, bagaikan permainan dalam dirinya.

“Bodoh..” getus Tok Aduka dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience