BAB 7
"Kau la ni..! Heboh sangat nak ambil gambar burunglah, nak ambil gambar jeramlah..kan kita dah sesat sekarang ni..!"
"Apesal aku pulak..kau yang suruh aku temankan kau pergi ambil air jeram..nak buat air minum konon..kau ingat ni zaman purba ke nak minum air jeram..??"
"Ahhh..aku tak kira..engkau punya pasal jugak yang buat kita sesat macam ni..kalau aku tak ikut cakap kau tadi, mesti kita tak terpisah dari kumpulan kita tadi.."
"Aku jugak yang jadi punca..??"
"Memang..!"
"Huh..!"
Raihan dan Musliha saling berbalah menegakkan benang yang basah. Masing-masing tidak mahu mengalah. Saling tuduh-menuduh antara satu sama lain dalam saat getir itu.
Raihan dan Musliha adalah penuntut universiti yang sedang mengikuti eksplorasi untuk mendaki Bukit Pelanduk di pinggir hutan itu. Tujuan mereka adalah satu, untuk mencari tanda-tanda peninggalan arkeologi di sekitar kawasan itu terutamanya di dalam sebuah gua yang dikatakan berada di sekitar Bukit Pelanduk itu.
Dek kerana leka dengan keindahan hutan yang melalaikan mereka berdua, kedua-duanya terpisah daripada kelompok peserta yang lain. Puas sudah mereka cuba mengikuti denai yang mereka tempuhi awal tadi namun hampa. Mereka tetap berpusing-pusing dalam satu kawasan yang sama. Semakin jauh mereka tersesat di dalam belantara tebal itu.
"Haishh.." Raihan mengeluh berat. Dia menjeling melihatkan Musliha yang sedang tercangak-cangak melihatkan pokok hutan di kelilingnya. Sesekali butang kamera dipetik Musliha untuk merakamkan kenangan mereka di situ. Hutan hijau itu tidak seindah belantara konkrit di ibu kota. Segalanya nampak tenang di sini.
"Sudah-sudahlah nak bergambar tu..cuba kau cari akal sikit macam mana nak keluar dari sini..ini tidak, heboh dengan selfie melpie kau tu..!" rungut Raihan. Dia kebuntuan akal untuk mencari jalan keluar dari belantara itu. Dia kehilangan punca tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hanya mampu mengeluh sambil menunggu andai ada rakan-rakannya dari pasukan eksplorasi itu untuk datang menyelamat.
Musliha hanya berdiam diri. Malas lagi hendak bertekak dengan Raihan. Asyik membebel sahaja dari tadi. Naik tersumbat lubang telinganya menahan leteran Raihan.
"Kau boleh senyap sekejap tak An..?? Aku tak boleh fikir kau tau tak pasal kau asyik membebel je dari tadi..semua tak kena dekat mata kau..macam mak nenek lah kau ni..!" Musliha menyumbat lubang telinganya dengan earphone. Sengaja membingitkan telinga dengan dendangan lagu yang diputarkan di corong radio. Cara itu sahaja dia dapat mengelak dari terus mendengarkan leteran Raihan.
"Haa..itulah dia..asal tension je sumbat telinga..asal tension je sumbat telinga.." bebelan Raihan kali ini langsung tidak didengari Musliha. Hanya duduk seorangan mengadap jeram yang sedikit keruh airnya yang mengalir. Mungkin dek kerana hakisan tanah di hilir sungai akibat hujan lebat malam tadi.
"Oi Leha..! Aku cakap ni kau tak dengar ke..??"
Musliha membatukan diri.
"Oi Leha oiiii...aku panggil kau ni..dengar ke tak..??" sekali lagi Raihan terus memanggil Musliha. Sakit hatinya bila Musliha tidak mengendahkannya. Namun Musliha tetap buat tak dengar. Dia hanya melenggok-lenggokkan kakinya di tepi batu jeram melayan dendangan lagu yang berkumandang di cuping telinganya.
Papp!
"Aduh..!!" Rengek Musliha. Belakang badannya diusap perlahan menahan sakit. Pantas dia menoleh ke belakang. Raihan mengekek tertawa. Batu kecil yang dilontarnya ke arah Musliha tepat mengenai belakang badannya. Balasan buat dirinya yang tidak endah akan kata-katanya.
"Lain kali orang bercakap dengar..bukan duduk diam sumbat telinga dengan earphone.." leter Raihan lagi lalu bangkit mengesat punggungnya yang berpasir. Matahari kian naik meninggi hingga mencengkam ubun-ubun kepalanya. Peluh renek yang mengalir di dahi akibat kebahangan dikesatnya. Musliha hanya memerhatikan sahaja gelagat Raihan dengan wajah yang mencuka.
"Sakitlah bodoh..!"
Raihan tertawa geli hati. Rengek Musliha tidak diendahkannya. Yang menjadi keutamaan dirinya sekarang adalah untuk mencari jalan keluar dari kesesatan mereka itu. Tidak sanggup bermalam berdua bersama Musliha. Khuatir akan terjadi pula perkara yang tidak diingini bila malam menjengah tiba. Bukan sekadar binatang buas di rimba itu sahaja yang menjadi persoalannya, malah dirinya sendiri juga ditakutinya. Gusar andai syaitan pula merasuk dirinya sendiri malam nanti. Dan tika itu tiada siapa yang mampu menyelamatkan Musliha. Kerana antara dua pasangan bukan muhrim seperti mereka di tengah-tengahnya adalah syaitan. Itu semua adalah risiko yang berlegar dalam kepalanya sendiri.
"Dah..jom kita susur ikut tebing jeram ni..kata orang kalau tersesat dalam hutan, ikut sahaja aliran sungai..mesti akan berjumpa dengan jalan keluar nanti.." ucap Raihan terus melangkah memanjat tebing jeram itu. Musliha hanya mengangguk akur dengan arahan Raihan. Sekurang-kurangnya Raihan cuba mencari ikhtiar untuk melepaskan mereka dari belengu itu.
Hampir sejam mereka menyusuri jeram yang dipenuhi bongkah-bongkah batu itu, akhirnya mereka tiba di satu kawasan yang sedikit lapang kawasannya. Raihan berhenti sambil membuka bekas minumannya. Dia meneguk laju kerana bahang panas tengahari itu benar-benar membuatkan tekaknya kering.
"Kita rehat dekat sini sekejap..letak beg kau dekat sini.." Raihan turut melurutkan beg galasnya dan meletakkan di atas lantai bumi. Dia memerhatikan keliling mencari teduhan redup untuk mereka melepaskan lelah. Satu bongkah batu besar yang diteduhi serimbun pokok hutan mendakap perhatiannya. Kawasannya agak landai dan redup untuk dijadikan tempat rehat mereka sementara.
"Kita rehat dulu dekat tepi batu besar tu Leha.." Raihan menunjukkan ke arah teduhan redup yang diperhatinya tadi. Wajah Musliha berkerut tidak berpuas hati.
"Aku tak sukalah kau panggil aku Leha..!" Muka dicemik memuncungkan bibir.
"Alaaaa comelnya kau buat muka itik macam tu..." usik Raihan tertawa kecil melihatkan telatah Musliha yang manjanya tidak bertempat itu. Namun bila makin galak ditenungnya wajah Musliha itu, makin dia terpesona pula dengan raut wajah itu. Comel.
"Apa tengok-tengok..!!"
Pek!
Dahi Raihan ditampar kuat Musliha. Merah menyala kesannya berbekas di dahi Raihan yang kebasahan dek peluh. Buntang biji matanya memerhatikan Musliha yang mengekek tergelak sambil cuba melarikan dirinya dari Raihan. Pukulan curi yang tak disangka Raihan.
"Sini kau..!!" Ugut Raihan terus mengejar Musliha yang terkedek-kedek berlari meninggalkannya dalam letus tawa. Dia tidak mahu Raihan membalas tamparan itu pada dirinya pula. Melihatkan kekar otot milik Raihan sudah dapat dibayangkan betapa sakitnya nanti andai tapak tangan Raihan itu hinggap di dahinya pula.
Musliha terus berlari menuju ke bongkah batu yang dikatakan Raihan. Hampir sahaja Raihan dapat menggapai tangannya tika mereka tiba di tepi batu besar itu. Leka bergurau tanpa disedari mereka berada tepat di atas satu lubang telaga lama yang telah ditinggalkan ratusan tahun lamanya. Hanya ditutupi ranting kayu dan dedaun layu yang berselerak di atas permukaan mulut telaga. Raihan terhenti langkahnya bila terdengarkan seolah bunyi rekahan kecil di telapak kakinya. Dia terus memasang telinga.
"Leha..jangan bergerak.." ucap Raihan cemas. Dia langsung tidak bergerak kerana risaukan sesuatu yang sedang dipijaknya. Derapan halus yang ditangkap anak telinganya mula menghadirkan gusar. Musliha terhenti. Dia berpaling merapati Raihan yang terbongkok-bongkok mengimbangi badannya.
"Kau apehal..??"
"Aku rasa kita berada pada tempat yang tak betul pada masa yang tak betul.." Raihan mendongakkan wajahnya memerhatikan Musliha. Kelihatan jelas anak tekaknya turun naik menelan air liur. Wajahnya cemas seperti melihatkan hantu.
"Ha ha ha..!" Musliha tergelak sambil memikirkan apalah helah Raihan kali ini. Mungkin hanya sekadar muslihat untuk mendapatkan dirinya. Mungkin dia berlari terlalu laju hinggakan Raihan tidak mampu mengejarnya. Dan kini diusahakannya pula muslihat lain untuk menjerat dirinya.
"Kau jangan nak buat akal An..kau sengaja nak buat helah biar aku rapat dengan kau..lepas tu kau nak tangkap aku kan..?? Nak tepuk dahi aku kan..??" sambung Musliha dan terus tertawa. Hanya mengejek Raihan yang masih menjadi batu tidak bergerak di atas rimbunan ranting kayu itu.
"Diamlah..! Aku rasa kita berpijak atas sesuatu ni..ada sesuatu kat bawah ranting kayu ni.." Raihan menuding jari ke arah bawah. Musliha turut melihatnya. Dia berdiri di atas selerakan ranting yang sama.
"So..??"
"Sooo..jangan buat pergerakan secara mengejut..aku risau kalau ini mungkin jerat yang dibina oleh orang asli dalam hutan ini.." ujar Raihan cuba menguis perlahan rating di kakinya satu persatu. Perlahan dia mengerjakannya.
Dan Musliha...
Terlompat-lompat menghentakkan kakinya di atas rimbunan ranting itu. Tidak percaya dengan kata-kata Raihan. Dia percaya itu hanyalah dakyah palsu Raihan cuba memerangkap dirinya.
"Jangan Leha..!!" pekik Raihan memecah hening belantara itu. Musliha terhenti. Tak disangkanya Raihan begitu serius. Disangkanya hanya bergurau seperti tadi.
"Yelah..!" Musliha berpusing membelakangi Raihan. Tubuh dipeluk rapat. Kaki dihentaknya sedikit melepaskan geram akibat dimarahi Raihan. Dan itu adalah perkara paling bodoh dilakukan Musliha.
Tidak semena-mena ranting yang menutupi mulut telaga itu runtuh lalu membawa mereka berdua terjerumus masuk ke dalam sisi gelap telaga. Musliha terjerit-jerit meminta pertolongan kala tubuhnya melayang turun menanti saat menyembah lantai telaga. Suasana gelap telaga yang diselangi bauan tidak menyenangkan menyekat helaan nafasnya. Musliha dan Raihan terus melayang terjunam ke dalam gelap telaga yang bumin tidak bercahaya itu.
ASHURI berlegar di sekeliling istana. Pandangannya tercari-cari kelibat Tantira yang sedari tadi tidak dapat dilihatnya. Yang kelihatan hanya hulubalang istana berlegar berkawal di sekitar istana. Puas dijengahnya kepala namun bayang Tantira langsung tidak kelihatan.
"Anakanda mencari apa..??" tegur Permaisuri Dahlia yang muncul dari pintu besar istana. Tingkah laku Ashuri yang seolah cemas berdiri sendiri di hadapan pintu istana itu menghadirkan pelik di matanya. Jarang siang-siang begini Ashuri berada di istana. Selalunya dia akan menghilang selepas sahaja santapan pagi. Anak muda seperti Ashuri yang sering sahaja tidak pernah duduk diam, ada sahaja pekerjaan yang ingin dilakukannya.
"Bonda..Ashuri mencari Tantira..ada bonda lihatkan dia..??" Langkahnya mundar mandir di hadapan pintu istana.
"Ohh..tadi bonda ada terdengar titah ayahanda yang mengarahkan Tantira untuk ke hujung kampung kita ini.."
"Ke hujung kampung..?? Atas urusan apa wahai bonda..??" Ashuri langsung tidak tahu menahu akan titah Raja Rasturi itu. Kelazimannya setiap titah ayahandanya turut akan diketahui olehnya. Entah mengapa hari ini dia seolah dipinggirkan dari kebiasaan.
"Menurut pengawal yang berjaga di hujung sempadan kampung kita ini..mereka ada menangkap penceroboh yang melalui laluan ke perkampungan kita ini..lalu ayahanda mengarahkan Tantira untuk pergi menyiasat siapakah gerangan yang telah melangkaui sempadan kita itu..mungkin ayahanda gusarkan andai ada musuh ingin datang menyerang perkampungan kita anakanda.." jawab Permaisuri Dahlia. Dia melangkah merapati Ashuri.
"Ashuri mahu kemana bersama Tantira..??" dia pasti andai Ashuri memerlukan Tantira, pastilah ia berkenaan sesuatu yang mustahak. Pasti ada sesuatu keinginan anakandanya itu yang dikehendakinya. Dan mungkin hanya Tantira sahaja yang boleh membantunya.
"Anakanda mahu ke Telaga Air Biru..cadangnya mahu mengajak Tantira menemani anakanda ke sana.."
Raut wajah Permaisuri Dahlia berubah muram. Dia tidak senang sekali dengan hajat Ashuri yang mahu pergi semula ke Telaga Air Biru itu. Walhal baru dua hari yang lepas dia ke sana mengambil air penawar untuk Raja Rasturi yang sedang gering. Kala itu, dia terpaksa mengizinkan jua pemergian Ashuri walaupun tanpa kerelaannya. Kerana dia cukup gusar akan sumpahan di telaga itu. Peristiwa lalu kembali menggamit memori masa lampaunya.
"Apa lagi urusanmu hendak ke sana Ashuri..?? Bukankah telah berkali bonda katakan usah dihampiri kawasan itu..apakah susah benar dirimu untuk mengerti maksud kata-kata bonda..??" Permaisuri Dahlia tidak mampu mengekang kesedihan yang tiba-tiba sahaja menyelaputi dirinya. Ditambah lagi dengan keingkaran Ashuri yang tetap berdegil melawan kata-katanya. Hati seorang ibu mudah sahaja tersentuh bilamana seorang anak menjentik perasaannya.
"Bonda.." langkah diatur menghampiri Permaisuri Dahlia. Bahu bondanya itu dipaut perlahan Ashuri. Dia tahu kelakuannya telah menghadirkan sedih pada diri bondanya itu. Dagu dilampiaskan di atas bahu Permaisuri Dahlia. Sengaja Ashuri melagakan lembut pipinya mengenai pipi Permaisuri Dahlia. Rajuk bondanya itu perlu dipujuk.
"Maafkan Ashuri bonda..bukan niat mengingkar kata..nafsu melingkar pinta dibelai.."
Permaisuri Dahlia mengeluh. Jemari Ashuri yang hinggap di kedua belah bahunya itu diusapnya perlahan. Pandangannya dibuang jauh melihatkan taman bunga istana yang berada di perkarangan istana.
"Usah nafsu jadi pedoman..kelak binasa memakan badan.." ujarnya tertunduk. Air mata yang cuba disekangnya tidak mampu ditahannya lagi. Hatinya terlalu hiba. Peristiwa lama itu benar sukar dilupakannya. Saat anak sulungnya yakni kekanda kepada Ashuri hilang tanpa jejak di jeram itu, hatinya makin diruntun sedih. Mengingatkan itu sahaja sudah cukup untuk menumpahkan air matanya. Dia enggan peristiwa itu berulang kedua kalinya. Tidak mahu Ashuri pula menjadi mangsa telaga itu.
"Bonda..Ashuri telah besar panjang..pandailah Ashuri menjaga diri..saat muda inilah Ashuri perlu belajar tentang segala hal bonda..andai ayahanda sudah tiada nanti, pewaris takhta tentulah perlu diisi Ashuri..mana mungkin Ashuri mampu memikul tanggungjawab sebesar itu jika ilmu Ashuri tidak seteguh ayahanda.." Ashuri terhenti seketika menghela panjang nafasnya. Titis air mata Permaisuri Dahlia yang berlinangan di pipi dikesatnya.
"Barang yang lama usah dikenang bonda.." sambungnya semula. Pautan ke atas bahu bondanya itu dibawa mengadap dirinya. Dalam wajah bondanya itu diperhatikan Ashuri. Jelas dapat dilihatnya kemurungan itu terpamer di wajah Permaisuri Dahlia.
"Izinkan anakanda untuk pergi ke jeram sana bonda..??" pinta Ashuri semula. Dia tegar untuk kesana. Hatinya dialun rasa ingin tahu siapakah gerangan si gadis yang berjaya menambat hatinya. Walau cuba dinyahkan pergi wajah itu, ia tetap berlegar-legar dalam fikirannya.
"Tapi.."
"Tiada tapi bonda..boleh atau pun tidak..??" Belum pun sempat Permaisuri Dahlia menghabiskan kata-katanya, Ashuri terlebih dahulu mencantas kata bondanya.
"Ashuri..anakanda tahu betapa sayangnya bonda padamu bukan..??"
Ashuri hanya mengangguk.
"Dan Ashuri juga tahu betapa bonda tidak sanggup kehilangan Ashuri bukan..??"
"Benar bonda.."
Permaisuri Dahlia menarik nafasnya dalam-dalam. Wajah Ashuri ditatapnya penuh belas. Dia tidak mampu lagi untuk menghalang niat anak terunanya itu yang semakin hari semakin membesar menjadi dewasa. Dia berhak untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Andai ditegah sekalipun, belum tentu Ashuri akan mengikuti segala kata-katanya. Daripada Ashuri berkata nista padanya, adalah lebih baik dia mengizinkan sahaja pemergian anaknya itu mengikut kehendak dirinya.
"Pergilah Ashuri..hanya satu permintaan bonda, dalam apa jua tindakan anakanda, fikirlah semasak-masaknya sebelum keputusan dibulatkan..hanya itu permintaan bonda.."
Ashuri tersenyum gembira bukan kepalang. Dahi bondanya dikucup bertalu-talu. Tidak mempedulikan dayang-dayang istana yang mengiringi bondanya ketika itu.
"Terima kasih bonda..anakanda tidak akan lupa setiap nasihat yang bonda titipkan untuk anakanda.."
Ashuri pantas berlalu pergi meninggalkan perkarangan pintu istana itu meninggalkan Permaisuri Dahlia. Tika dia melintasi di sisi Permaisuri Dahlia, satu bauan yang amat dikenali Permaisuri Dahlia menerpa ke hidungnya. Permaisuri Dahlia jadi gumam seketika. Diperhatikan sekeliling kawasan itu. Bauan itu amat dikenalinya. Kemboja Sari bauan kegemarannya suatu ketika dahulu. Dan kini ia muncul kembali setelah sekian lama ia hilang dari hidupnya.
Mungkinkah...
Permaisuri Dahlia ligat membawa anak matanya melihatkan sekeliling. Dia mencari punca bauan yang tiba-tiba menerpa datangnya itu.
"Mungkin hanya perasaanku sahaja..tidak mungkin mereka berani muncul semula.." selanya sendiri dalam hati.
Share this novel