BAB 5
Gua Muluk terbentuk di antara dua bongkah bukit yang letaknya saling bersebelahan. Terletak di pertengahan antara timur dan barat. Sinar mentari jarang sekali menembusi masuk ke halaman gua kerana duduknya yang terlindung di celahan bukit. Meningkah naiknya mentari di timur, Bukit Pelanduk lindungkan cahaya. Runduknya mentari di ufuk barat dilindung pula dek Bukit Cempaka. Saat tegaknya mentari menikam ubun-ubun, pohonan rimbun belantara yang memuncak naik menjadi payung meredupkan suasana.
Lantai bumi kehijauan disimbahi embun pagi menyamankan helaan nafas. Rintik kabus menyelinap turun menyembah bumi. Dedaun hijau jadi tenggek si beluncas mencari makan di pagi hari. Tiung dan merbah berterbangan saling bersaing merebutkan unggas kecil yang terbang tiada arah.
Tok Kelana Siluman menghirup segar dingin pagi itu sedalam-dalamnya. Kembang dadanya dipenuhi udara segar pagi itu. Matanya tertutup rapi sambil jarinya mengelus lembut tongkat pusaka peninggalan nenek moyangnya yang terdahulu. Detak kakinya perlahan mengetuk lantai bumi mengalunkan irama yang dirinya sendiri tahu. Tok Kelana Siluman mengangguk seorangan di luar tabir pintu Gua Muluk.
"Tok Kelana..??" tegur Fawas yang sedari tadi hanya memerhatikan sahaja siluman tua itu duduk seorangan di tabir pintu gua itu. Memang menjadi kelaziman Tok Kelana Siluman untuk duduk seorangan di situ setiap pagi. Kadangkala hingga ke tengahari dia akan duduk diam di situ.
Teguran Fawas langsung tidak diendahkan Tok Kelana Siluman. Matanya masih dipejamkan rapi sambil jemari terus sahaja mengusap tongkat yang sentiasa dibawa kemana-mana. Fawas tidak mahu lagi menegur paksa Tok Kelana Siluman. Bisik hatinya mengatakan bahawa Tok Kelana Siluman mungkin mahu sendirian. Memang selama ini jarang sekali dirinya dapat berbual dengan siluman tua itu. Entah mengapa dirinya terasa seperti dibenci sahaja oleh Tok Kelana Siluman. Semenjak dari kecil dia dilayan tidak seperti penghuni-penghuni gua yang lain.
Fawas masih lagi teringatkan satu peristiwa tika dia masih kecil dahulu. Peristiwa yang membawa kemurkaan Tok Kelana Siluman terhadap dirinya. Saat dia leka bermain bersama Dewi dan Juara di anak sungai yang memisahkan antara Bukit Pelanduk dan Bukit Cempaka.
Penduduk sekitar menggelarkan kawasan itu adalah lidah bukit. Anak air cetek yang mengalir di celahan batu menjadi tempat main mereka bertiga. Leka bermain hinggakan tidak sedar senja kian menjelang. Sudah acap kali dipesan oleh Tok Kelana Siluman, jangan bermain hingga senja berlabuh. Khuatir akan diganggu dek jembalang yang sering sahaja berkeliaran di kala senja. Namun kedegilan Dewi yang enggan pulang semula ke Gua Muluk membuatkan mereka terleka lama di situ.
Juara dan Fawas tidak punya daya untuk melawan kehendak si puteri kecil yang nakalnya bukan kepalang itu. Andai ditegah, Dewi akan bermasam muka dan enggan bertegur lagi dengan mereka. Juara dan Fawas telah lali dengan perangai Dewi. Lantaran itu kehendak Dewi sering sahaja mereka turutkan. Walaupun pada akhirnya, mereka sedar yang hukuman berat menanti. Namun kerana Dewi, mereka turuti.
"Dewi..marilah kita segera pulang..hari makin gelap..aku risau kita akan dimarahi Tok Kelana.." ujar Fawas sambil melihatkan Dewi yang leka bermain air. Juara turut memerhatikannya. Dia sependapat dengan kata-kata Fawas. Andai mereka terus berada di situ, nescaya tika malam gelap baru mereka akan sampai semula ke Gua Muluk. Dan dia amat pasti Tok Kelana pasti akan berang dengan mereka bertiga.
"Benar kata Fawas itu Dewi..marilah kita pulang..aku mula tidak merasakan sedap hati..kau bukan tidak tahu akan suasana kawasan ini bila malam menjelma.." Juara turut menasihati Dewi yang masih berdegil. Kata-kata Juara dan Fawas mengundang kerutan di raut wajah Dewi.
"Apa yang kalian berdua khuatirkan..?? Kita bukannya terlalu jauh dari Gua Muluk..sepelaung jeritan sahaja sudah dapat didengari isi gua andai kita ditimpa bencana..apa yang hendak digusarkan..??" Dewi tetap dengan pendiriannya. Tidak mahu pulang selagi dia masih tidak puas bermain. Dan yang menjadi mangsa adalah Fawas dan Juara.
Fawas hanya menggelengkan kepala. Dia mendongak ke langit yang makin kelam. Mentari makin merunduk ke ufuk barat. Susuk cahaya kian memudar berlindung di tabir senja. Kata-kata Dewi hanya mampu dibalasnya dengan helaan kecewa. Dewi terlalu degil.
"Kalian gusarkan jembalang dan puaka di belantara ini..??" Ujar Dewi mengusik Fawas dan Juara. Kata-kata Dewi mengundang pandangan kedua-dua anak teruna yang menemaninya itu. Dewi tergelak kecil melihatkan Fawas dan Juara seakan makin gusar.
Bukan hanya mereka sahaja yang mendiami belantara itu. Selain mereka yang mendiami Gua Muluk, terdapat juga manusia yang mendiami nun jauh di hujung sungai yang mengalir itu. Perkampungan kecil yang didiami manusia berjunjungkan seorang raja di kalangan manusia. Namun mereka tidak pernah bersemuka. Tidak pula dijelaskan oleh Tok Kelana mengapa mereka tidak dibenarkan bercampur gaul dengan manusia.
Dan di hilir sungai berpuncanya air yang mengalir itu, menetapnya satu perkampungan jembalang yang sering sahaja melakukan kacau bilau di tempat itu. Ada sahaja yang mengganggu andai mereka terserempak. Jembalang yang sering menjelmakan diri mereka seakan binatang di hutan dan kadangkala menyerupai susuk tubuh yang menyeramkan itu sentiasa mengintai peluang andai ada kalangan siluman yang terleka. Golongan jembalang mampu merubah diri menjadi apa sahaja yang mereka ingini.
Adakalanya kehadiran jembalang itu mendatangkan bahaya pada kaum siluman terutamanya anak kecil yang dibiarkan sendiri bermain dalam belantara. Kerana itulah Tok Kelana melarang anak-anak kecil dari bermain sendiri berjauhan dari Gua Muluk. Khuatir akan diganggu jembalang dan puaka yang merayap kala senja.
Juara dan Fawas berpandangan sesama sendiri. Fawas meneguk liur kala Dewi berkata demikian. Juara hanya menunduk.
"Bukankah andai aku diganggu jembalang dan puaka, aku punya kalian untuk melindungiku..??" Ujar Dewi lagi sambil dia memercikkan air jeram ke arah Fawas. Tergelak Dewi bila melihatkan Fawas yang mencuka bila dirinya dibasahi air jeram yang disimbahi Dewi.
Juara tersenyum.
"Benar..mana mungkin kami biarkan kau keseorangan ditimpa musibah wahai Dewi..andai nyawa perlu kami korbankan untukmu, akan kami gadaikan asalkan dirimu tidak tercela.." ujar Juara mengundang sengih Dewi. Fawas turut mengangguk mengiakan kata-kata Juara. Mana mungkin Dewi dibiarkan sendiri tanpa perlindungan. Selama ini memang itu yang seringkali dilakukan mereka berdua. Menjadi hulubalang tanpa iktiraf yang melindungi puteri hati mereka berdua itu.
"Jadi..bolehlah kita bermain hingga ke larut malam..!" Dewi terpekik riang. Air jeram dikocaknya makin galak. Disimbahnya ke arah Juara dan Fawas yang hanya tergelak melihatkan telatah Dewi.
"Apa sahaja untukmu Dewi.." Fawas tidak tahu untuk perkatakan apa lagi dengan gesaan Dewi. Hanya mampu menuruti. Walau hati gelisah memikirkan apa yang bakal berlaku setibanya mereka nanti ke Gua Muluk.
Leka bermain hinggakan tidak menyedari ada anak mata menyorot penuh bernafsu melihatkan mereka bertiga. Hanya mengintai di balik semak menantikan peluang untuk melakukan kacau bilau. Jembalang kecil yang turut menjadikan anak sungai itu sebagai tempat bermain, kini tersenyum penuh kesinisan saat melihatkan ada siluman yang turut berada di situ. Lumrah jembalang untuk melakukan huru hara yang memperosakkan alam. Kini peluang telah terhidang. Dia hanya menanti.
"Ayuh Fawas..kita petik buah cemerai yang sudah ranum masak itu..??" Dewi menunjukkan pohon cemerai yang terletak di seberang jeram. Buah cemerai yang masak ranum itu menggamit selera Dewi. Ranum buah kecil yang berwarna kehitaman itu tidak seperti kelihatan rupanya. Isinya masam dan manis sesedap rasa.
"Ahh..berapa kali mahu kau petik buah itu..apa kau tidak muak Dewi..??" Fawas hanya membiarkan Dewi berjalan seorangan menuju ke pohon cemerai itu. Malas hendak ditemaninya Dewi yang tidak pernah duduk diam itu. Ada sahaja perkara yang ingin dilakukannya.
"Jangan dipanjat pula pohon itu Dewi..nanti jatuh, terluka kakimu..!" Juara memberikan amaran. Namun dia yakin, kata-kata itu hanya masuk dan keluar sahaja di cuping telinga Dewi. Dia turut memerhatikan Dewi berjalan seorangan menuju ke pohon cemerai yang tidak jauh daripada mereka. Tidak mampu hendak dibendungnya tingkah Dewi yang degil itu.
"Fawas..aku merasa tidak sedap hati..entah mengapa dari tadi aku asyik sahaja berdebar seolah ada sesuatu yang akan terjadi.." kata Juara sambil menghampiri Fawas yang sedang duduk seorangan di atas batu jeram. Pandangannnya dialihkan ke arah Juara.
"Apa maksudmu Juara..??"
"Entahlah..perasaan tidak enak itu sering sahaja keluar dan pergi mengisi fikiranku sejak dari tadi.." kusam pandangan Juara melihatkan Fawas.
"Mungkin kau sudah menjangkakan yang kita akan dikurung di dalam sangkar setibanya kita pulang ke gua nanti.." Fawas tergelak besar. Dia awal-awal telah dapat mengagak apa yang akan terjadi pada dirinya dan Juara sekembalinya mereka ke Gua Muluk malam nanti. Pasti Tok Kelana akan memarahi mereka. Dan yang akan dipersalahkan tentulah Juara dan Fawas. Seingat Fawas, sudah hampir enam kali mereka dikurung di dalam sangkar yang menjadi tempat untuk menghukum kepada mereka yang mengingkari Aturan Muluk. Dia pasti yang itulah menyebabkan Juara merasakan tidak sedap hati.
"Bukan..perasaan ini lain benar Fawas.." Juara menghentakkan kakinya ke batu jeram. Anak kayu yang dipegangnya dilontarkan ke arah tepi jeram. Resah sungguh hatinya memikirkan perihal itu. Fawas hanya berdiam diri. Tidak tahu untuk mengatakan apa lagi untuk mententeramkan Juara.
Sedang rancak mereka berbual tanpa disedari Dewi telah dirangkul oleh jembalang yang sedari tadi menunggu peluang. Kini Dewi dalam dakapan salah seorang jembalang yang susuknya lebih besar berbanding tiga temannya yang lain. Bibirnya mengukir senyuman sambil anak mata menyorot ganas memerhatikan Fawas dan Juara.
"Abang Juara..!! Tolong Dewi..!" Teriakan Dewi membuatkan pandangan Juara dan Fawas terus menerpa memerhatikan pohon cemerai yang ditujui Dewi.
"Dewi..!!" Fawas terjun dari batu yang menjadi tempat duduknya. Kedua-duanya menerpa ke arah Dewi yang meronta minta dilepaskan. Makin kuat rontaannya, makin kuat cengkaman si jembalang memaut dirinya.
"Lepaskan dia jembalang..!!" jerit Fawas. Dia gumam seketika. Belum pernah lagi mereka bertembung dengan jembalang penghuni belantara itu. Sebelum ini hanya mendengarkan cerita dari siluman tua di gua tempat tinggal mereka. Fawas dan Juara tidak tahu untuk melakukan apa. Mereka saling berpandangan.
"Berani sungguh kamu siluman bermain di kawasan kami ya..!" Kasar ucapan dari jembalang yang memaut Dewi. Perlahan rambut Dewi yang mengurai diusapnya. Lidahnya terjelir penuh rakus melihatkan siluman kecil yang berada dalam dakapannya.
"Apa yang kau mahu..! Lepaskan dia..dia tidak punya apa salah denganmu..!" Juara cuba menghampiri Dewi. Namun belum sempat dia berbuat apa. Satu tendangan deras tepat mengenai perutnya. Dia tercampak ke belakang sambil menahan perit di perut. Fawas segera mendapatkan Juara yang tersandar tidak bermaya.
"Aku hanya berkehendakkan darah milik siluman..tidak lebih dari itu..ha ha ha.." hilai tawa jembalang itu kian memuncak. Dewi semakin lemas dalam dakapan. Tidak mampu lagi meronta. Hanya menangis melihatkan Juara yang tersandar dipapah Fawas.
"Fawas..bantulah Dewi.." perlahan rintih suara yang diucap Dewi. Dia tersedu menangis menahan pautan kemas si jembalang. Fawas meretap geram melihatkan Dewi yang makin lemah.
"Celakalah ke atasmu jembalang..aku sanggup bermandi darah asal temanku tidak teraniaya..!" Pautan ke atas Juara dilepaskan Fawas. Segera dia menerpa untuk mendapatkan Dewi. Dia nekad. Walau apa terjadi, Dewi perlu diselamatkan terlebih dahulu.
"Berhenti..!!" satu garau suara menerjah membingitkan keadaan. Fawas terhenti mengatur langkahnya. Empat jembalang yang dari tadi tergelak besar kini mula diundang resah. Tiga susuk tubuh yang berada di atas anak bukit berhampiran jeram itu diperhatikan mereka. Jembalang yang memaut Dewi mendengus kemarahan pabila melihatkan Tok Kelana Siluman, Aduka Siluman dan Kurnia Siluman berdiri gagah memerhatikan mereka.
"Lepaskan anak kecil itu jika kau tidak mahu diapa-apakan wahai jembalang..ini bukan tempatmu..!!" Ujar Tok Kelana tegas. Tongkat pusaka miliknya dihentakkan ke lantai bumi.
"Ahhh..!! anak kecil ini bermain di kawasanku..aku berhak berpunyakan dia..!!" bentak jembalang tidak mahu melepaskan Dewi. Dia kehausan darah yang selama ini didambanya. Mana mungkin dia melepaskan hidangan itu begitu sahaja.
"Jika kau tetap berdegil..aku tidak teragak-agak untuk merentap nyawamu wahai jembalang..!" Ujar Tok Kelana lagi memberikan amaran. Fawas hanya memerhatikan sahaja pertelingkahan antara Tok Kelana dan jembalang yang mendakap Dewi. Dia tidak tahu untuk melakukan apa-apa. Nasib baik kemunculan Tok Kelana tepat pada waktunya. Jika tidak, entah apalah nasib yang bakal menimpa Dewi.
"Hrrrrr....hrrrrr.." jembalang mendengus terketar. Amarah Tok Kelana benar dirasainya. Dia tahu yang dihadapinya itu bukan calang-calang siluman. Nyawanya pasti melayang andai dia berkeras untuk berentap dengan pahlawan siluman itu. Bukan tarafnya untuk bertarung bersama mereka. Perlahan pautan ke atas Dewi dilepaskan. Mereka berundur perlahan menjauhi Dewi yang terbaring di permukaan jeram. Fawas segera mendapatkan Dewi yang tidak bermaya.
"Sekali lagi aku lihatkan ada anak kecil bermain di sini..aku pasti kau semua tidak akan dapat melihat mereka lagi selepas itu..itu amaranku wahai siluman..!!" bentak jembalang lantas melarikan diri menghilang dalam semak. Tok Kelana bernafas lega. Mujur dia tiba tepat pada waktunya. Dia hanya memerhatikan Fawas mendukung Dewi yang kelesuan tidak bermaya untuk berjalan lagi.
"Pulang segera ke Gua Muluk..!" Arah Tok Kelana tanpa dibantah oleh Fawas. Dia hanya menuruti perintah yang diberikan. Setibanya di Gua Muluk. Dewi segera diberikan pada ibunya, Dewi Siluman Bulan. Juara pula segera dirawat oleh Tabib Sakti Alam Siluman. Kecederaan Juara tidaklah teruk mana. Namun memerlukan rawatan segera agar dia tidak tercedera dengan lebih teruk.
"Kurungkan mereka dalam sangkar..! Jangan diberikan makanan tanpa kebenaran dariku..andai ada yang ingkar, akan aku hukum setimpal dengan keingkaran kalian..!" Tegas Tok Kelana. Fawas terkedu. Dia hanya memerhatikan Juara dan Dewi yang berlinang air mata menahan kesakitan. Benar mereka telah melanggar Aturan Muluk yang ditetapkan. Namun dengan keadaan Dewi dan Juara yang kesakitan, mana mungkin mereka mampu bertahan jika dikurung dalam sangkar itu tanpa makan dan minum.
"Tok Kelana..Dewi dan Juara tidak bersalah..Fawas yang bersalah kerana mengajak mereka pulang lewat..berkali Dewi mengajak kami pulang, namun Fawas yang ingkar dengan ajakannya tok..janganlah dihukum Juara dan Dewi..Fawas merayu tok.." Fawas melutut di hadapan Tok Kelana. Dia tahu dia perlu memastikan Juara dan Dewi tidak dikurung sama. Biarlah dia dihukum seorang asalkan dua rakan karibnya itu tidak mendapat bala yang lebih dahsyat.
Tok Kelana Siluman meretap gigi dan memandang geram ke arah Fawas. Harapkan pegar, pegar makan padi!
"Kurungkan Fawas dan pastikan tiada sebutir nasi pun yang dihidangkan padanya..!!" Ucap kata Tok Kelana hanya dituruti Aduka Siluman. Fawas dibawa ke kurungan sangkar yang terletak di tepi gua. Dia dikurung dalam kedinginan malam. Esak tangisnya hanya dia sendiri sahaja mengerti. Juara dan Dewi tidak mampu berbuat apa kerana arahan Tok Kelana Siluman adalah muktahir. Tiada siapa berani membantah kata akhirnya.
"Ahh..itu semua dulu.." bisik Fawas mengingati semula peristiwa lalu. Dia hanya tersenyum sendiri. Dek kerana peristiwa itulah dia dibiarkan sendiri menghuni di luar Gua Muluk menjadi penjaga pintu gua. Dan kerana peristiwa itu jugalah, dia ditegah sama sekali untuk bergaul bersama Juara dan Dewi untuk selamanya. Fawas pasrah dengan ketentuan terhadap dirinya.
Dia berlalu meninggalkan Tok Kelana yang tidak mengendahkan dirinya. Mungkin masa yang tidak sesuai untuk siluman tua itu diajak berbual. Mungkin dia perlu bersendiri tanpa diganggu. Fawas kembali melangkah menghampiri pintu gua sebelum Tok Kelana berdehem garau.
"Fawas.." ucap Tok Kelana. Segera Fawas berpaling melihatkan Tok Kelana semula. Hatinya berbunga bila mendengarkan Tok Kelana memanggil namanya.
"Ya Tok..??" ucap Fawas. Tersenyum. Akhirnya lembut hati siluman tua itu untuk menyebut namanya semula.
Share this novel