BAB 32
Apakah yang sebenarnya dicari oleh kita di dunia ini? Harta kemewahan yang melimpah ruah seakan hanya lambakan dedaun kering. Keriangan hilai tawa sesisi keluarga seakan tidak mampu mendatangkan ketenangan yang didambakan. Hati merasakan sempit melihatkan kepura-puraan dalam kehidupan. Malah, hingga ada yang sanggup menyisihkan keluarga oleh kerana keinginan untuk mencapai sesuatu yang dinamakan ketenangan. Berbaloikah?
Sedangkan kita diciptakan Allah untuk berkhidmat pada alam ini. Menjadi khalifah agung yang sentiasa bertahmid, berdoa dan berzikir padanya. Tetapi kita? Ternyata mendambakan keindahan abadi yang kononnya adalah milik kita. Tanpa kita sedari, semua itu adalah kekal milik Allah SWT. Kerana kita manusia, yang mempunyai nafsu hingga mampu membutakan mata hati kita daripada melihatkan semua itu.
Begitu jugalah Ashuri. Ketenangan yang dicarinya seakan tidak pernah wujud dalam diri. Bagi dirinya mencari kesempurnaan dalam kehidupan itu adalah wajib. Sepanjang umurnya tidak pernah sekali dia merasakan tenang. Malah yang lebih memeritkan saat dia mengetahui akan perihal kekanda sulungnya yang disisihkan keluarga akibat daripada suatu perjanjian lama.
Dan kerana itu, dijadikan alasan untuk dia tidak merasakan tenang sepanjang riwayatnya. Kerana itu jugalah, dia nekad meninggalkan Istana Indera. Merungkai pergi segala peristiwa lama untuk dia mengecapi apa yang dinamakan ketenangan.
“Ashuri..” tegur Dewi yang sedari tadi hanya mengekori langkah anak raja itu. Semenjak dari diusir dari Istana Indera, dia tidak bercakap banyak. Hanya mengarahkan Dewi, Musliha dan Dewi Siluman Bulan untuk mengikuti langkahnya. Kemana arah tujunya, tiada yang mengetahui. Mereka sekadar menyusuri sebatang anak denai yang menyisir di sempadan perkampungan itu.
“Izinkan aku dan ibuku untuk pulang semula ke penempatan kami..” pinta Dewi lembut. Bukan menidakkan permintaan Ashuri untuk mengikuti perjalanan hidupnya, namun, ada beberapa perkara yang perlu dipastikannya di Gua Muluk. Dewi perlu melihat sendiri apa yang telah terjadi di sana. Terhenti langkah Ashuri dengan permintaan itu.
“Penempatan kau tidak lagi selamat.. kerana itulah kau perlu mengikuti aku untuk sementara waktu..ke mana hala tujunya, akan aku fikirkan kemudian..namun yang lebih penting, kalian semua adalah kunci kepada segala permasaalahan ini..tidak akan sesekali aku membiarkan kalian berjauhan dengan diriku..tidak sama sekali..”
Kata-kata Ashuri itu cukup disenangi oleh Dewi Siluman Bulan. Tika wajah anaknya itu merenung dirinya, dia sekadar mengiakan apa yang dikatakan Ashuri. Tidak sesekali dia berhajat untuk pulang ke Gua Muluk yang kini ditawan oleh pengkhianat siluman itu. Walau anaknya itu mendesak dirinya agar menemaninya pulang, sesungguhnya dia akan menghalang juga sedaya upayanya.
“Tapi..” Dewi mengeluh. Dia tidak mengerti mengapa ibunya juga menuruti kata-kata Ashuri itu. Dia menjadi bingung.
Ashuri berpaling lalu melangkah menghampiri Dewi yang seolah tidak yakin dengan apa yang diperkatakannya. Terlalu banyak hal yang disembunyikan daripada dirinya selama ini.
“Usahlah kau bertapi lagi Senja..aku berjanji, dengan nyawaku sendiri..kalian semua akan aku pertahankan selagi mampu aku berdiri..kita mungkin berbeza fahaman, namun yakinlah dengan kata-kataku..” pujuk Ashuri meyakinkan Dewi. Dia tidak lagi mahu kehilangan di saat itu. Kerana dia sendiri tidak mampu untuk melakukan hal itu sendiri.
“Mungkin aku tidaklah sesempurna mana..namun aku punya keazaman untuk mengatur semula apa yang telah tergelincir dari landasan kita dahulu..kemakmuran antara siluman dan manusia akan aku jalinkan semula..walaupun bulan dan bintang itu tidak mampu aku janjikan, tetapi teguhlah bersamaku..di dalam perjuangan ini..” sayu apa yang diperkatakan Ashuri.
“Ashuri..!!”
Terdengar pekikan dari kejauhan memanggil namanya. Dari hujung denai kelihatan Tantira dan Tabib Fansuri berkejar ke arah dirinya. Termengah-mengah dua orang pembesar istana itu menghampiri.
“Izinkan kami untuk mengikuti dirimu Tengku..” pinta Tabib Fansuri.
“Benar Ashuri..kami tidak sanggup melihat kau sebegini..” getus Tantira pula.
Pandangan itu terarah pada dua susuk yang begitu teguh mendampingi dirinya. Selama ini, tiada sekali pun dua orang pembesar istana itu pernah mengecewakan dirinya. Darjat mereka ternyata lebih daripada seorang sahabat. Tidak pernah mereka ingkar dengan setiap arahannya. Malah mereka cekal mengabdikan diri untuk kesejahteraan dirinya. Akan tetapi..
“Perjuangan ini telah menjadi perjuangan aku sendiri..usahlah kalian pula digelar penderhaka kepada Indera Sakti dek kerana kemahuan kalian bersama diriku ini..bukan aku menidakkan keikhlasan kalian, akan tetapi..” Ashuri mengeluh berat.
“Pulanglah semula kalian ke Indera Sakti..berkhidmatlah kalian pada ayahandaku agar kemakmuran itu dapat dikekalkan..perjalanan ini biarlah aku tempuhinya sendiri..suatu ketika nanti, pastinya aku akan kembali ke Indera Sakti..”
Kesuraman jelas terlihat di wajah Tantira. Sahabatnya sedari kecil itu kini dilambung ombak, dibelenggu pelbagai dugaan, namun dia tidak dapat membantu apa.
“Jika begitu katamu Ashuri, aku turutinya tanpa sebarang bantahan..tetapi, bawalah Tabib Fansuri bersama dirimu..aku yakin, Tabib pastinya lebih arif dengan segala perihal di wilayah ini..dan aku juga pasti, kau benar-benar memerlukan khidmatnya kelak..bawalah Tabib Fansuri bersama kau Ashuri..” rayu Tantira semula. Berat hatinya untuk membiarkan Ashuri berkelana hanya bertemankan tiga orang wanita di sisinya. Dugaan di luar sana terlalu besar untuk ditempuhi mereka.
“Patik sudah terlalu tua untuk berkhidmat di istana Tengku..apatah lagi mengangkat senjata pun sudah tidak termampu..ada benarnya kata Tantira itu..pengembaraan Tengku untuk mencari kebenaran, pastinya tidak semudah yang Tengku sangkakan..izinkan patik mengikuti Tengku kemana sahaja arah tujuanmu..lebih-lebih lagi, Senja dan ibunya masih tidak cukup kuat untuk menghadapi semua ini..”
Melihatkan keadaan dua siluman yang diarahkan untuk mengikuti dirinya itu, membuatkan Ashuri berfikir semula dengan kata-kata Tabib Fansuri. Ada benarnya apa yang dikatakannya itu. Kesihatan dan kebajikan mereka pastinya sedikit terbela jika Tabib Fansuri ada bersamanya.
“Namun, bagaimana dengan hal di istana jika Tabib tidak lagi berada di sana..?? pastinya agak menyukarkan pada penghuni istana jika ada sesiapa yang jatuh gering kelak..”
Tabib Fansuri tergelak kecil. Janggut putih yang memenuhi dagunya dilurutnya perlahan sebelum dia menjawab persoalan Ashuri itu.
“Masih ramai lagi tukang ubat di istana itu telah patik didik Tengku..pastinya mereka sudah lebih bersedia walaupun tanpa ketiadaan diriku ini..” ulasnya cuba meyakinkan Ashuri. Keutamaan dirinya sekarang, adalah untuk membantu anak raja itu dalam membongkarkan rahsia-rahsia lama kerajaan itu. Tanpa berfikir panjang, terus sahaja permintaan Tabib Fansuri itu dipersetujui Ashuri. Dia cuba mengurangkan beban yang dipikulnya. Adalah lebih molek jika ada yang lebih berpengalaman bersama dirinya fikir Ashuri. Dan pemilihan Tabib Fansuri adalah yang paling tepat fikirnya.
“Tantira..” Ashuri hulurkan tangan untuk berjabat dengan sahabat karibnya itu. Genggaman erat kedua belah tangan itu menzahirkan segala pengharapan terhadap panglima istana itu.
“Berjanji denganku..sepanjang ketiadaan aku, jagalah kedua orang tuaku seperti mana kau menjaga dirimu sendiri..mungkin perjalanan aku mencari kebenaran, tidak selama mana..aku pasti akan kembali semula kesini kelak..” berat untuk dilafazkannya, namun tetap perlu dituturkannya. Hanya pada Tantira sahaja dia berharap.
“Baiklah..aku berjanji..” Tantira akur dengan kehendak itu.
“Tapi..kemana hala tuju kalian..?? pastinya tidak mudah untuk menggerakkan kerja jika tiada tentera yang dapat kau kumpulkan..” getus Tantira lagi. Mengenangkan Ashuri kini bagaikan gelandangan yang tidak punyai sebarang pengaruh. Mana mungkin dia mampu untuk melaksanakan rancangannya terhadap kaum siluman tanpa bala tentera.
“Untuk sementara..mungkin ada wajarnya kita meminta bantuan rakan patik Tengku..patik punyai seorang kenalan di Langkasuka yang pastinya mampu membantu kita..” celah Tabib Fansuri.
“Siapakah dia Tabib..??” soal Tantira.
“Pakdak Mayah..orang kaya-kaya di Langkasuka..pastinya dia mampu membantu kita kelak..” ujarnya mengakhiri pertemuan itu. Usai bersalaman, mereka lalu terpisah dengan haluan yang sendiri. Tantira sekadar melihat bayangan Ashuri yang akhirnya hilang dalam kejauhan.
Perjalanan itu masih jauh, namun kecekalan dalam diri anak raja itu menjadi titik semangatnya. Kelak dia kembali, pastinya dengan kejayaan yang diraih. Walau berat apa yang perlu ditempuhinya, dipaksanya jua agar terlaksana. Itulah dia, Tengku Ashuri. Pewaris takhta Indera Sakti yang kini hidupnya dalam buangan.
“Aku pasti kau akan kembali Tengku Ashuri..” getus Tantira lantas melangkah pulang ke Istana Indera. Membawa azimat dan harapan Ashuri untuk mempertahankan kedaulatan Indera Sakti.
Share this novel