BAB 13
Tok Kelana membuka kelopak matanya perlahan. Kebas tangan dirasakan begitu perit. Juntaian hujung rambutnya yang memanjang diikat bersama seketul batu yang amat berat. Kepalanya didongakkan mengadap ke atas menyembah langit. Samar cahaya yang sipi memasuki ruang tempat kurungannya itu menerpa tepat mengenai raut wajahnya. Bahang yang terasa di wajah tidak dapat menandingi bahang dalam hatinya sendiri. Ditikam dari belakang oleh rakan yang amat dipercayainya sendiri lebih memedihkan jika hendak dibandingkan dengan cahaya yang menyimbah mukanya kala itu.
Ingatannya melayang mengingatkan Dewi. Anak kandungnya yang dihantar ke dunia manusia entah apa khabarnya sekarang. Hatinya diruntun perasaan kecewa kerana risaukan nasib yang menimpa kaumnya. Apakah tindakannya benar-benar menjadi punca kepada segala kekalutan yang timbul? Adakah selama ini tindakannya berlembut hati terhadap manusia menyebabkan Aduka dan Juara berpaling tadah? Tok Kelana mengeluh berat.
Dia cuba menongkah wajah untuk melihatkan tubuhnya yang tidak dibaluti seurat benang. Namun berat batu yang mengikat hujung rambutnya telah menghalangnya berbuat demikian. Kepalanya tidak mampu didongakkan. Kaki dan tangan diikat teguh ke palang kayu yang tertusuk ke dalam tanah. Segalanya terkekang. Tok Kelana cuba melawan keperitan yang dialaminya kala itu. Hanya anak matanya sahaja mampu digerakkan ke kiri dan kanan melihatkan sekeliling. Ruangan kelam dan berbau hanyir itu sudah pasti adalah kediaman jembalang fikirnya.
"Hrrr....hrrr.." dengusan jembalang merapati dirinya. Tok Kelana menguatkan diri untuk mengangkat kepala namun masih tidak punya kekuatan. Jelingannya ke arah kanan memperlihatkan satu susuk jembalang mendekatinya dengan wajah penuh kebencian. Mungkin itu adalah jembalang yang diarahkan untuk mengawal dirinya fikir Tok Kelana.
Tok Kelana cuba meronta untuk melepaskan ikatan tali yang membelengu hujung kaki dan tangannya. Jembalang penjaga itu tidak menunggu lama untuk menghukum Tok Kelana yang cuba melepaskan dirinya. Libasan cemeti hinggap di depan badan Tok Kelana saat dia berbuat demikian. Hanya erangan menahan perit libasan itu sahaja kedengaran dari mulutnya. Tubuhnya menggigil. Giginya meretap menahan kesakitan bukan kepalang itu.
"Hrrr..hrrr.." jembalang penjaga makin bernafsu kala melihatkan Tok Kelana mengerang kesakitan. Erangan itu seolah nada indah di cuping telinganya. Sekali lagi libasan cemeti hinggap ke tubuh Tok Kelana lalu menerbitkan coretan halus di tubuhnya. Lelehan darah yang mengalir membasahi tubuhnya dijilat penuh bernafsu oleh jembalang penjaga.
"Bodoh..!!" Buragas muncul dari kegelapan sisi kurungan itu sambil mengherdik si jembalang yang leka menghirup darah milik Tok Kelana. Berang wajahnya melihatkan tawanan emasnya itu diperlakukan sebegitu tanpa arahannya.
"Hrrr...hrrr.." jembalang penjaga yang mulutnya berlumuran darah siluman berundur ke belakang menjauhi Buragas dan Cempaka Sari yang masuk berdua ke ruangan itu. Hujung cemeti Cempaka Sari pula melayang hinggap ke belakang tubuh jembalang penjaga itu.
"Tawanan ini bukan milik kau..! Ini adalah santapan akhirku setelah puas kuseksanya nanti..!" Herdik Buragas. Pandangan dialihkan pada Tok Kelana yang tegak diikat menghadap langit. Dia tersenyum melihatkan penderitaan itu. Puas!
"Selama ini kusimpan segala dendam..menunggu masa untuk kulunaskan..dan kini, akhirnya kau dalam genggamanku Kelana..!"
Saat Tok Kelana cuba meronta, Buragas merentap kasar hujung rambut Tok Kelana. Kepala Tok Kelana disentap kuat untuk melihatkan dirinya. Buragas meludah tepat mengenai wajah musuhnya itu.
"Sudah bertambat kau masih lagi mahu melawan..?!" Genggaman erat tangannya menyentak rambut di ubun-ubun Tok Kelana. Ikutkan dendam dan kemarahan yang meluap-luap, hendak sahaja disiatnya kulit musuhnya itu biar berpisah dari tubuhnya. Hendak sahaja dilapahnya daging Tok Kelana itu tika dia masih bernyawa.
"Dendam kau hanya padaku Buragas..usah kau kaitkan keluarga serta kaumku dalam persengketaan kita..!"
Buragas mendengus kasar mendengarkan kata-kata Tok Kelana. Sungguh kau masih belum mengerti fikirnya. Kepala Tok Kelana diunjamnya pula hingga memercikkan peluh yang membasahi muka. Tok Kelana hanya berserah. Andai nyawanya terpaksa dipertaruhkan demi keamanan kaum silumannya, dia sanggup berkorban.
"Aku mahu kau melihat sendiri aku menyeksa satu persatu nyawa siluman yang akan ku tawan..nyawa yang pertama akan kutarik nanti pastinya nyawa anakmu sendiri..akan ku perlihatkan dihadapan dirimu betapa dia merintih memohon pertolonganmu..saat dia mengerang kesakitan menahan segala seksaan, kau hanya mampu memerhatikannya tanpa mampu berbuat apa..aku mahu kau rasakan penderitaan itu..!" Usai berkata demikian Buragas meledakkan tawanya. Bergema isi ruang kurungan itu dengan hilai tawanya.
"Kau bunuh sahaja aku Buragas..cabut nyawaku agar tertunai segala hutang lamaku..!"
"Usah kau berlagak angkuh Kelana..saat matimu bakal tiba..hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja..sebelum itu biarlah aku menikmati keindahan menyeksa dirimu..!"
Anak mata Tok Kelana hanya mampu mengerling melihatkan Buragas tertawa kesenangan hati. Dirinya sendiri bergelodak rasa marah tidak terperi. Hanya mampu meronta dengan lebih kasar untuk dia terjemahkan kemarahan di hati. Buragas makin galak tawanya melihat siluman tua itu kini terseksa. Cempaka Sari melibas cemetinya tepat mengenai tubuh Tok Kelana. Birat berselirat kelihatan jelas dek libasan bertalu-talu yang dilepaskan Cempaka Sari. Tok Kelana hanya mampu menahan dan mengerang kesakitan dek perbuatan pawang jembalang itu.
"Cukup..! Aku tidak mahu dia mati dengan terlalu mudah..!" libasan rakus Cempaka Sari dihentikan Buragas serta merta. Dia mahu menyeksa musuhnya itu sendiri. Dendam yang diperamnya selama ini hanya akan terlupus tika melihatkan rintihan Tok Kelana.
Seksaan jembalang pelbagai jenis caranya. Segalanya bertujuan untuk memastikan musuh mereka merintih dan memohon untuk diampunkan. Namun bukan keampunan yang menjadi dambaan Buragas, tetapi rintihan Tok Kelana yang menahan kesakitan akibat diseksa itu yang mahu didengarinya. Sebatang buluh yang telah diraut halus umpama mata pedang dicapai Buragas. Hujung jari Tok Kelana direntap lalu dikangkangnya luas. Buluh dililis perlahan di celahan antara jari manis dan jari hantu Tok Kelana. Perlahan hirisan itu hingga mengoyakkan celahan kulit di antara dua jari itu. Percikan darah menghambur keluar disertai teriakan Tok Kelana yang kesakitan. Makin kuat terikan itu menahan kesakitan, makin girang Buragas menikmati perlakuannya itu. Tok Kelana diseksanya sepuas hati.
"Aku akan pastikan anak dan isterimu turut merasakan penderitaan ini Kelana..aku akan pastikan..!"
Tok Kelana tidak mampu berbuat apa. Hatinya diruntun rasa sedih. Bukan meratapi keadaan dirinya, tetapi memikirkan perihal anak serta isterinya yang kini menjadi buruan Buragas. Terlintas di fikirannya untuk terus sahaja membunuh dirinya ketika itu. Tetapi kepantangan dirinya menyerah tanpa usaha dikerahkan terlebih dahulu. Dia tak punya pilihan. Kepada siapa hendak dia bergantung harap untuk membantu? Tok Kelana mengerah segala buah fikirannya memikirkan bagaimana untuk melepaskan diri sambil Buragas menikmati lelehan darahnya yang mengalir di celahan jari akibat dihiris buluh.
Buragas menghela kepuasan. Baki darah Tok Kelana yang terpalit di bibirnya dikesat. Cukup sudah buat ketika ini fikirnya. Masih ada rencana lain yang harus diuruskannya. Cempaka Sari sekadar mengekori Buragas meninggalkan Tok Kelana menahan seksa seorangan.
"Bagaimana caranya untuk kita mendapatkan Dewi itu Buragas..apa kau punya buah fikiran..??"
Kerana kealpaan Cempaka Sari, Dewi telah terlepas dari genggamannya. Watak penting dalam hidup Tok Kelana itu merupakan sasaran Buragas selama ini. Sekian lama diaturnya rancangan demi rancangan untuk menawan Dewi. Namun segalanya tidak pernah menjadi. Dara siluman itu terlalu sukar untuk ditawannya. Mujur dengan pelbagai helah yang direkanya berjaya menghasut Tok Aduka dan Juara untuk bersetongkol dengannya. Semuanya gara-gara sebuah dendam lama yang tersemat rapi dalam diri Tok Aduka. Dirinya diperalat oleh Buragas hingga berjaya menerobos masuk ke alam siluman.
Juara sekadar kambing hitam yang menjadi batu loncatan Buragas untuk melaksanakan semua perancangannya. Kata-kata Tok Aduka berjaya memperalatkan Juara agar berjuang bersamanya. Namun ada jua kebijaksanaan Tok Aduka menyusun langkah tampaknya tidak berjaya. Kerana tindakan Tok Kelana yang akhirnya menggunakan manusia sebagai tukang rawat kepada Dewi amat mengejutkannya. Satu keputusan yang di luar jangkaannya. Satu keputusan yang telah mengubah segala rentak yang cuba diolah Tok Aduka.
"Aku punyai satu akal.." ringkas jawapan balas Buragas lantas dibisiknya sesuatu ke cuping telinga Cempaka Sari. Selesai berbisik, kedua-duanya tertawa memecah hening penempatan jembalang itu. Sekalian jembalang yang berada di sekeliling mereka hanya memasang telinga dan merengus saat hilai tawa itu kedengaran.
"Akan kulaksanakan perintahmu itu Buragas.." ucap Cempaka Sari lalu berlalu pergi. Buragas tersenyum sinis. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang Dewi kini mungkin berada di dunia manusia, peluang itu akan digunakannya untuk memecahkan lagi tali persaudaraan antara manusia dan siluman. Tali persaudaraan yang seakan retak hanya menanti belah itu akan diapikannya lagi. Biar musnah kedua-dua kaum itu dari muka bumi itu. Alang-alang mandi biar basah!
Pemergian Cempaka Sari hanya diperhatikan Buragas. Dia yakin pawang yang menjadi orang kanannya itu pasti tidak akan mengecewakannya kali ini. Perintah akhirnya, Dewi harus ditangkap dan diseksa seperti mana dia menyeksa Tok Kelana. Mungkin lebih hebat lagi agar Tok Kelana merintih padanya memohon keampunan. Tika itu barulah hatinya puas.
Buragas melangkah mendekati satu susunan kayu di sisi kiri tempat tinggalnya itu. Deretan senjata yang ditempa khas untuk memburu siluman dan kaum manusia yang lain telah tersedia. Hanya menunggu masa untuk dimandikan dengan darah. Seperti juga dirinya, senjata-senjata itu turut kehausan darah. Dua ketul tengkorak yang terletak rapi di atas satu susunan kayu berlapis itu dibeleknya. Diusapnya penuh kasih sayang lalu dikucupnya.
"Aku pasti akan membalas segala kejahatan yang dilakukan manusia dan siluman ke atas kaum kita..aku berjanji..!" dua ketul tengkorak itu diletaknya semula di tempat asal. Hatinya tiba-tiba dirundung perasaan benci yang mendadak tibanya. Sebilah pedang panjang dicapainya lalu dia menuju laju ke arah belakangnya semula. Dia menuju ke bilik kurungan Tok Kelana semula.
Share this novel