BAB 10
Juara bergegas meluncur turun meninggalkan tempat persembunyian dia dan Dewi. Pautan rotan dan anak pokok yang melingkari denai dirempuh deras oleh Juara. Buragas yang sedari tadi memburu dirinya dan Dewi segera berlalu pergi ketika mendengarkan patahan anak kayu di bawah anak bukit itu. Sangkaan mereka itu adalah Juara yang sedang melarikan diri. Berkejar Buragas serta jembalang-jembalang yang lain mengejar ke arah itu pula. Peluang itu diambil Juara untuk segera melarikan diri dari terus diburu Buragas si jembalang.
Fawas dari kejauhan dapat melihat Juara berlari tergesa-gesa ke arah pintu Gua Muluk. Dewi berada dalam dakapannya. Pucat wajahnya seperti tiada darah yang mengalir. Tangannya terkulai berlumuran darah akibat dipanah dek jembalang durjana.
"Dewi..!" Fawas segera mendapatkan Juara yang jelas kepenatan. Dia melutut ke tanah sambil mencungap melihatkan Dewi yang masih berada dalam dakapannya. Wajah itu seperti tiada nyawa.
"Apa yang terjadi Juara..?? Mengapa Dewi berlumuran darah..??" Juara ditatapnya penuh geram. Hatinya bagai disiat-siat tika melihatkan Dewi seperti nyawa-nyawa ikan. Juara mengambil nafas panjang. Dadanya berombak kencang.
"Jembalang..! Kami diserang jembalang sewaktu menuruni Gua Pelanduk..! Kami diekori hingga satu waktu, aku berjaya melepaskan diriku Fawas.." tubuh Dewi digoncang sedikit oleh Juara. Nyata tiada perubahannya. Tetap sama. Dewi masih kaku tidak sedarkan diri.
"Jahanam..!!" Lembing hitam miliknya digenggan erat. Matanya merah menahan kemarahan. Segala rasa amarah dibawanya ke pangkal hati. Dendam pada jembalang dicanang semula hingga memundat. Fawas meretap gigi menahan geram.
"Biar sahaja aku hapuskan jembalang itu..!!" Terus Fawas berdiri. Berlari menuju ke arah tangga kaki Bukit Pelanduk. Juara hanya mampu memerhati. Tidak mampu menghalang.
"Jangan Fawas..! Pulang..!" Langkah derasnya terhenti bila suara Tok Kelana bergema menghalangnya dari memburu golongan jembalang yang melukai Dewi. Fawas hanya menghentakkan lembing hitamnya ke tanah. Arahan Tok Kelana benar-benar dikesalinya. Dia telah nekad untuk membalas dendam, namun dihalang.
"Bawakan Dewi ke dalam Juara.." bergema semula suara Tok Kelana dari arah dalam gua. Mengikutkan arahan yang diberi, Juara perlahan melangkah masuk membawa Dewi ke dalam perut gua.
"Aku bersumpah..akan aku hapuskan kau suatu hari nanti jembalang..!" Fawas kembali semula ke arah Gua Muluk. Langkah Juara diturutinya dari belakang.
Di dalam isi gua, Dewi Siluman Bulan berlari mendapatkan anaknya yang tidak sedarkan diri itu. Mata-mata yang lain hanya memerhatikan sahaja Dewi dipapah Juara hingga ke hadapan Tok Kelana. Siluman mula mengerumuni. Riuh sedikit terdengarkan bisik-bisik penghuni gua. Fawas turut meninggalkan pintu Gua Muluk. Jiwanya tidak tenteram andai perihal Dewi tidak diketahuinya.
"Angkara siapakah ini wahai Juara..??" nada mendatar Tok Kelana mengiringi langkahnya menuju ke arah Dewi yang dibaringkan di atas lantai gua. Dewi Siluman Bulan, ibu kepada Dewi Siluman Senja meratap kesedihan di tepi anaknya itu. Sedu tangisnya jelas kedengaran memecah hening dalam Gua Muluk.
"Buragas..kami diserang oleh Buragas dan jembalang kecilnya ketika menuruni Bukit Pelanduk.." ujar Juara ringkas.
Anak mata Tok Kelana memerhatikan sekujur tubuh yang terbaring lesu. Dalam hatinya menggelodak api kemarahan. Dendam pada Buragas kembali menyala. Musuh yang selama ini berdiam diri di hujung belukar kembali semula. Dendam lama dibawanya bersama.
"Ketepi.." Tok Kelana bertinggung bersebelahan Dewi. Caritan luka kecil di bahu Dewi dilihat lalu diusapnya perlahan. Darah di telapak tangan dirasanya dengan lidah. Segera mimik mukanya berubah.
"Racun Seribu Lebah.." bisiknya perlahan. Usai berbisik demikian, dia bangkit lalu duduk seorangan di tepi dinding gua. Cahaya samar obor di dalam gua melindungi wajah sugulnya dari diperhatikan kaum siluman yang lain. Tok Kelana berfikir panjang.
Kaum jembalang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis racun untuk membunuh musuh mereka. Setiap senjata yang dibina pasti akan disaluti dengan racun agar musuh dapat ditewaskan dengan mudah. Helah yang sekian lama telah diketahui Tok Kelana. Sejak dari dahulu itu sahaja helah yang digunakan jembalang. Namun jarang sekali Racun Seribu Lebah digunakan untuk menewaskan musuh. Kerana racun itu terlalu sukar untuk direneh. Hanya pawang jembalang sahaja mampu melakukannya dengan mengumpulkan pelbagai jenis bisa lebah untuk dijadikan racun. Pabila racun itu digunakan terhadap musuh, ternyata mereka tidak bermain-main untuk membunuh.
"Fawas.." kelibat Fawas dibalik puluhan siluman itu digamit Tok Kelana. Dipanggil mendekati untuk dikatakan sesuatu.
"Apa yang kau tahu tentang manusia..??"
Tiada jawapan. Sememangnya dia tidak langsung mengetahui tentang manusia. Kerana sejak dari kecil memang tidak pernah sekali dia bertemu dengan manusia. Apatah lagi cuba untuk mengenali diri mereka. Aturan Muluk menidakkan kehendaknya untuk bertemu dengan manusia. Fawas hanya mampu menggeleng.
"Bagus.." ucap Tok Kelana.
Fawas tidak mengerti dengan apa sebenarnya kemahuan Tok Kelana. Dewi dalam saat genting. Mengapa perihal manusia pula yang dititipkan di bibirnya?
"Semakin kurang pengetahuan kau tentang manusia..semakin selamat Dewi dalam jagaanmu nanti.." sambung Tok Kelana semula.
"Aku tidak mengerti Tok Kelana.."
"Hmm.." perlahan Dewi dirapati Tok Kelana semula. Raut wajahnya diusap perlahan. Renjisan air sedikit membasahi wajahnya. Semua yang berada di situ langsung tidak memahami apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh Tok Kelana.
"Dewi telah diracuni oleh racun yang amat berbisa..sejenis racun yang penawarnya hanya ada pada manusia..kerana itulah aku memutuskan Dewi perlu dilepaskan ke dunia manusia untuk dirawat..andai terlewat, nyawanya pasti akan melayang.." selesai berkata-kata, Tok Kelana menundukkan wajah. Dia terpaksa walaupun tidak merelakan. Riuh rendah sepelosok gua mendengarkan kata-kata dari pemimpin mereka itu. Selama ini siluman tua itu dihormati kerana pendirian tegasnya terhadap Aturan Muluk. Namun tidak pada hari ini. Siluman yang menegakkan aturan itu jugalah yang melanggar aturan yang telah ditetapkan.
"Tapi tok...!" Juara bersuara lantang di sebalik hiruk pikuk suara siluman yang lain. Wajah Juara dipandang lesu Tok Kelana. Kemudian dia menggeleng. Keputusannya adalah muktamad. Dia terpaksa. Kerana nyawa Dewi menjadi keutamaannya.
"Andai bencana ini terjadi pada siluman yang lain, tetap jua aku akan membelakangi aturan yang telah aku tetapkan..bukan kerana Dewi adalah anakku..tapi kerana setiap nyawa siluman adalah menjadi tanggungjawab diriku..!"
"Bukankah itu bermakna Tok Kelana telah mengingkari Aturan Muluk..??" sinis satu suara dari celahan puluhan siluman. Yang lain turut berbisik berkata tidak jelas selepas soalan itu dilontarkan pada Tok Kelana.
"Benar..dan aku akan menanggung akibatnya.." jawab Tok Kelana. Fawas dan Juara saling berpandangan.
"Apa maknanya semua kata-katamu Tok Kelana..??" Soal Juara kali ini memerlukan kepastian. Jika benar kaum manusia sahaja punyai penawarnya, rela dia bersemuka meminta belas untuk mendapatkan penawar bagi Dewi.
Tok Kelana sekadar mundar mandir bersebelahan Dewi. Janggut putihnya diraup berkali-kali. Riak wajah dibayangi resah.
"Fawas akan menemani Dewi ke dunia manusia..pergilah kau ke Istana Indera dan berjumpalah dengan Tabib Fansuri..penawar bagi Racun Seribu Lebah hanya ada padanya..hanya dia seorang sahaja mampu mengubati Dewi..tiada yang lain.." ucap kata itu kali ini ibarat satu tamparan hebat ke atas Juara. Namun pada Fawas, inilah masanya untuk dibuktikan pada sekalian siluman di Gua Muluk bahawa dia bukan sahaja sekadar penjaga pintu gua. Amanah yang diberikan Tok Kelana akan dilaksanakan sebaik mungkin.
"Izinkan aku pergi bersama menemani mereka berdua Tok Kelana.." Juara menawarkan diri ikut bersama. Dia gusar Fawas tidak akan mampu melindungi Dewi sekiranya mereka ke dunia manusia.
"Tidak..aku tidak izinkan Juara.." serak suara Tok Kelana dirasakan menusuk terus ke pangkal hati.
"Tapi tok..!" Juara tetap bertegas.
"Tiada tapi lagi Juara..arahanku adalah muktamad..!" Juara terpempan dengan kata-kata Tok Kelana. Tidak berani lagi membantah. Dia hanya berundur kembali merapati Dewi yang matanya terkatup rapat. Wajah bundar Dewi diperhatikannya penuh hiba. Dia gagal melindungi Dewi dari ancaman musuh seperti diamanahkan Tok Kelana sebelum ini.
"Menitiknya embun di pagi hari..aku akan lepaskan kau dan Dewi dari hijab yang melindungi kita selama ini Fawas..pergilah kau ke dunia manusia..rayulah pada mereka agar mengubati racun yang mengalir dalam tubuh Dewi.." Fawas mengangguk. Arahan itu akan dilaksanakannya sebaik mungkin.
"Dan kau perlu pastikan yang manusia tidak mengetahui siapa sebenarnya dirimu dan Dewi..mereka tidak boleh tahu bahawa kalian adalah dari golongan kaum siluman.." sambung Tok Kelana lagi.
"Tapi mengapa tok..??"
Tok Kelana berdehem seketika. Wajah-wajah siluman di hadapannya diperhatikan.
"Kerana manusia adalah kaum perosak.." hanya itu sahaja yang dikhabarkan oleh Tok Kelana sebelum dia duduk berdiam diri. Segala persoalan disekang tidak mahu dijawab Tok Kelana lagi. Biar sahaja rahsia itu jadi ingatan pada dirinya dan siluman tua yang lain. Fawas akur. Keutamaann dirinya sekarang adalah mempersiapkan dirinya sebelum berangkat ke perkampungan manusia yang tidak pernah dijejakinya sebelum ini.
Tika keadaan mula reda. Tika semua siluman mula meninggalkan ruangan perut gua dek kerana melihatkan Dewi yang dipanah racun tadi, Tok Aduka Siluman mula merapati Tok Kelana Siluman. Sejak dari tadi dia hanya menjadi penonton dan pendengar kepada setiap kata Tok Kelana sahabatnya itu. Masa diambilnya begitu lama untuk kembali menegur sahabatnya yang dilanda kemurungan itu. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya.
"Apa benar keputusanmu untuk melepaskan Fawas dan Dewi ke dunia manusia Kelana..??" Tok Aduka mula bersuara.
"Hmm.." garau suara balas dari Tok Kelana. Matanya terpejam rapat sambil hujung jemarinya mengusap hulu tongkat. Dia bersila di atas sebuah batu besar di tengah perut gua sambil menyendiri. Tidak mengendahkan Tok Aduka yang memerhatikannya sedari tadi.
"Bukankah itu adalah ancaman pada kita Kelana..?? Jika manusia mengetahui dimana penempatan kita, bukankah itu akan membawa petaka pada kita..??" Soal Tok Aduka lagi. Hal itu perlu diperhalusi. Setiap arahan yang melanggari Aturan Muluk perlu diperhalusi.
"Hmmm.." sekali lagi nada getar itu sahaja diperdengarkan oleh Tok Kelana. Dia masih ragu-ragu dengan keputusannya. Namun hanya itulah jalan terbaik untuk diri Dewi fikirnya. Tiada pilihan lain yang dapat difikirkannya.
"Kau tidak gusar andai Rasturi menuntut haknya kembali..??"
Mendengarkan sahaja nama itu telah menghadirkan retapan di gigi Tok Kelana. Wajah itu benar-benar diingatinya. Namanya benar-benar dipahat rapi dalam hatinya.
"Tak usah kau ingatkan aku lagi tentang nama itu Aduka..! Segala arahanku pada Fawas adalah muktamad..aku tidak akan membiarkan sahaja anakku itu mati diracuni..kau perlu tahu yang hanya Dewi sahaja mampu menyatukan kita semula..!" Tok Kelana bangkit dan berdepan dengan Tok Aduka.
"Tetapi mengapa mesti Fawas yang kau hantarkan..bukankah..."
"Cukup Aduka..!!" tempik Tok Kelana memecahkan hening gua. Kelibat tiga siluman dara yang lalu lalang di dalam gua sekadar memerhatikan sahaja pertelingkahan antara Tok Kelana dan Tok Aduka. Tidak pernah selama ini dua siluman tua itu bertengkar. Apatah lagi meninggi suara sesama sendiri.
"Aku tahu apa yang aku lakukan..dan segala yang aku lakukan adalah demi kebaikan kita, Siluman Gua Muluk.." kali ini Tok Kelana hanya berbisik. Dia beredar meninggalkan Tok Aduka lalu menghala ke pintu gua. Tertunduk Tok Aduka bila diperlakukan sebegitu.
Share this novel