Chapter 31

Romance Completed 4712


BAB 31

Beberapa hari selepas ketiadaan Tok Aduka di Gua Muluk, keadaan di penempatan itu tetap berlangsung seperti biasa adanya. Masing-masing gigih berlatih dan terus berlatih. Tiada siapa tahu kemana perginya pemimpin mereka itu beberapa hari ini. Namun dengan adanya Juara, orang kanan Tok Aduka itu, latihan tetap diteruskan. Mempersiapkan pahlawan untuk dibawa ke medan perang.

Juara sentiasa merasakan resah. Sejurus Tok Aduka mendengar kehilangan Dewi Siluman Bulan dari kurungan itu, pasti dirinya akan dihukum. Atau mungkin juga dirinya akan dipersalahkan akibat lalai dalam menjaga tahanan penting di gua itu. Kerana tidak sanggup lagi membiarkan Dewi Siluman Bulan terseksa, maka dia bertindak berani, melepaskan siluman itu ke dunia manusia. Dengan harapan, dia dapat menjejaki anaknya, Dewi Siluman Senja untuk terakhir kalinya. Hanya itu sahaja harapannya.

Apabila serangan mula dilancarkan kelak, tiada lagi kesempatan untuk semua itu diundurkan. Belantara itu pastinya akan gegak gempita dengan jeritan dan desingan bunyi senjata bertembung. Pastinya tubuh-tubuh yang tidak berdosa akan bergelimpangan di lantai bumi kerana menjadi amukan mata senjata. Kemusnahan pastinya akan berlaku. Malapetaka sebesar itu tidak mungkin lagi dapat dihalangnya.

Mengeluh Juara sambil mengusap mata pedangnya yang berkilat. Pedang itu bakal merentap banyak nyawa kelak. Dan waktu itu, mungkin tiada lagi sisi kebaikan dalam dirinya yang dapat menghalang. Kerana dia, hanyalah pelaksana terhadap semua arahan yang diberikan oleh Tok Aduka.

“Kita akan menyerang Indera Sakti sewaktu senja mula berlabuh esok hari..” suara Tok Aduka memecahkan keheningan. Dia muncul dari mulut gua, lantas bergerak menghampiri semua pahlawan yang tersentak melihatkan dirinya.

Kata-kata itu disambut gegak gempita oleh siluman yang memerhati. Dendam terhadap manusia akhirnya sampai ke kemuncaknya. Mereka rela bermandikan darah asalkan dendam terhadap manusia terlaksana.

“Tapi tok..adakah kita sudah cukup bersedia..??” tergopoh gapah Juara menghampiri pemimpin siluman itu. Langsung dia tidak menyangka bahawa peperangan itu terlalu dekat untuk dilaksanakan. Apatah lagi dia masih lagi tidak yakin dengan keampuhan barisan pahlawan yang akan dibawa ke medan perang nanti. Terlalu tinggi natijah yang perlu dibayar jika Tok Aduka berkeras untuk menyerang.

Tok Aduka menghampiri Juara dengan wajah yang penuh bengis. Langkahnya cepat lantas terus mencekik batang leher Juara. Jarinya mencengkam erat membuatkan Juara tersentak tidak tahu hendak berbuat apa.

“Kau pengkhianat..” getus nada geram Tok Aduka. Semakin erat jemarinya mencengkam. Lekuk di leher Juara kian dalam ditusuk jemari siluman tua itu.

“Jangan kau fikir, perbuatan kau melepaskan Dewi Siluman Bulan itu tidak aku ketahui..kau perlu ingat dengan siapa aku berkawan Juara..mata-mata jembalang sentiasa sahaja mengekori kau..setiap gerak geri kau diperhatikan mereka..” Tok Aduka berbisik namun penuh kebencian. Dia tidak mahu siluman yang lain menyedari. Penglibatan kaum jembalang dalam persengketaan itu tidak boleh didedahkannya lagi. Biarlah mereka sendiri yang menyedari akan pertolongan jembalang ketika di medan perang kelak.

“Tapi…tok..” ulas kata Juara tersekat-sekat. Kerongkongnya semakin kuat dicengkam Tok Aduka. Hendak bercakap pun dia tidak mampu.

“Untungnya kau masih hidup ketika ini, adalah kerana aku mengizinkan kau untuk terus bernyawa..!” lantas dicampaknya tubuh itu hingga terjelepok ke lantai. Tok Aduka merengus kasar. Juara mengeluh berat.

“Dengar wahai kaum silumanku..! manusia tidak boleh kita biarkan terus bernyawa..! hunuskan setiap mata pedang ke tubuh mereka..! campakkan laras lembing tepat mengenai dada-dada mereka..! layangkan mata panah biar tembus mengenai tengkorak mereka..!” laung Tok Aduka lantang.

“Setiap manusia yang melintas, cabutkan sahaja nyawa itu seperti mana kamu menyembelih binatang ternakan.. usah ada lagi belas kasihan dalam dirimu..! kerana manusia juga tetap akan melakukan sebegitu pada dirimu..! cincang anak-anak kecil mereka, lapahlah daging-daging-daging serta tulang belulang isteri mereka..! usah dibiarkan satu pun berbaki..!” sambung Tok Aduka lagi. Dan pahlawan siluman yang mendengar berteriak penuh bersemangat.

“Bersiaplah kalian dengan segala kelengkapan..! pertajamkan segala senjata..perkuatkan segala perisai..sewaktu senja berlabuh esok hari..kita akan menyerang mereka..!”

Gamat. Setiap pelusuk gua hingar bingar dengan teriakan semangat. Tiada satu pun yang terlepas daripada arahan itu. Berkobar-kobar dari yang besar hingga yang kecil mempersiapkan segala alatan. Harinya telah tiba. Dendam lama kini akan dibangkitkan semula agar terlerai semuanya. Panji perang akan berkibar diiringi semboyan peperangan.

Juara menumbuk lantai gua. Geram berbaur kegelisahan. Terpaksa dituruti walaupun dia tidak merasakan mereka sudah bersedia. Namun, arahan tetap arahan. Dan arahan itu pastinya perlu dipatuhi. Lebih malang lagi, Tok Aduka sendiri telah mengetahui tentang dirinya yang membebaskan Dewi Siluman Bulan. Mungkin nyawanya dibiarkan hidup kerana dirinya itu diperlukan benar oleh Tok Aduka di medan perang.

“Jika kau berniat untuk mengingkari arahanku selepas ini, aku tidak akan teragak-agak untuk merentap nyawamu Juara..!” ugut Tok Aduka sebelum dia melangkah pergi. Tiada lagi belas ihsan dalam dirinya selepas ini. Cukup hanya sekali Juara menjadi pengkhianat. Desakan Buragas untuk menyerang kaum manusia akhirnya terpaksa diturutinya juga. Mereka harus mendapatkan semua keturunan Tok Kelana Siluman seperti yang diarahkan Buragas pada Tok Aduka. Tiada seorang pun yang dibenarkan untuk terlepas dari genggaman raja jembalang itu.

SEMENTARA itu di Istana Indera, ruang balai penghadapan telah mula dipenuhi. Ashuri berdiri di pertengahan balai penuh keyakinan. Di belakangnya berdiam diri dua orang siluman yang menjadi tetamu tidak diundang di istana itu. Satu persatu peristiwa dileraikan Ashuri, segala penceritaan dikupasnya satu persatu. Semua yang mendengar, terpegun dan seakan tidak percaya dengan apa yang disampaikan Ashuri.

Raja Rasturi tersandar seakan tidak percaya dengan apa yang telah diperkatakan Ashuri. Semenjak kemunculan Dewi ke istana itu, disangkanya gadis itu hanyalah pengembara yang tersesat di dalam belantara. Tiada sedikit pun dia menyangka bahawa dia adalah dari keturunan siluman yang disisihkan selama ini.

Tersingkapnya pula kisah-kisah lama yang diungkitkan Ashuri, tentang perjanjian lama kaum-kaum yang terdahulu, bagaikan menghiris ulu hatinya. Menggigil jemarinya menahan kemarahan. Namun dia sedar, segala itu berpunca daripada dirinya sendiri. Bagaikan sudah tertulis suratan itu, perkara sebegini besar akhirnya dibongkarkan. Namun yang lebih memeritkan, hal itu dikupas rapi oleh anakandanya sendiri.

Ditambah lagi dengan kehadiran Dewi Siluman Bulan di istana itu seolah memaksa dirinya untuk berkata benar. Kisah yang sudah terlalu lama dipendam, seolah cuba dilenyapkan seiring masa yang berlalu kini terpaksa disingkapnya semula. Walau berat di hati, namun kebenaran itu terpaksa juga dinyatakannya.

Raja Rasturi bangun dari singgahsana dengan semacam pandangan. Berkerut dahi, bertaut keningnya. Satu persatu wajah di dalam balai penghadapan itu diperhatikannya. Selama ini rahsia itu disimpan rapi. Sungguh tak disangkanya terbongkar jua akhirnya. Permaisuri Dahlia turut dilambung keresahan. Melihatkan ketegasan Ashuri yang cuba menegakkan kebenaran di atas segala perihal yang diketahuinya, mengundang suasana yang tegang di istana itu.

“Mungkin..apa yang telah terjadi di suatu ketika dahulu, ada hikmahnya Ashuri..pengorbanan keturunan kita yang terdahulu, sesungguhnya adalah demi untuk memastikan keterusan hidup anak cucu..yakni kita, pemegang amanah Rukun Indera yang telah termaktub lama..adalah menjadi amanah kepada kita untuk meneruskan segala apa yang telah diperturunkan..” ucap Raja Rasturi perlahan. Turun dia dari puncak singgahsana, berdiri di samping anakanda kesayangannya di istana itu.

“Apa gunanya jika kita hidup jika berniat untuk memusnahkan apa yang telah terbina..” terhenti bersela dengan helaan nafasnya yang ditarik perlahan. Dikumpulnya segala kekuatan untuk menerangkan hal itu satu persatu.

“Dan..segala apa yang telah aku lakukan juga dahulu, adalah untuk memastikan kita terus berkuasa dan unggul di wilayah ini..seperti apa yang dikehendakkan oleh keturunan kita yang terdahulu..walau berat tanggungan itu aku pikul, namun ia tetap perlu dilaksanakan anakku..” selembut bicara itu dilafazkan Raja Rasturi lantas bahu anaknya itu digenggam erat.

“Tidak ayahanda..” genggaman di bahu ditepisnya perlahan. Ashuri melangkah dingin.

“Mengorbankan kekanda sebagai galang ganti terhadap apa yang telah ditakdirkan untuk diri ayahanda, adalah perbuatan bacul yang langsung tidak boleh diterima..” anak mata Ashuri memandang tepat pada ibunya. Terkedu Permaisuri Dahlia dengan apa yang didengarinya. Melangkah dia perlahan ke arah singgahsana bertentangan dengan ibunya.

“Ashuri..” perlahan keluhan Permaisuri Dahlia, segera dia bangkit untuk menenangkan ketegangan dua beranak itu, namun niatnya dihalang Ashuri.

“Anakanda berkata seolah segala kesalahan itu bermulanya dari ayahanda..??” soal Raja Rasturi masih cuba mengawal api amarahnya. Anak yang dididik dengan penuh kesopanan sedari kecil, kini telah berani berkata kesat terhadap dirinya.

“Benar..jika ayahanda dikorbankan dahulu..semestinya segala ini tidak akan terjadi..malah, mungkin jua persengketaan lama itu tidak akan berterusan sehingga kini..”

“Ashuri..!!” tempik Permaisuri Dahlia.

Untuk kedua kalinya, tamparan jemarinya hinggap di pipi anak tunggalnya itu. Tubuhnya menggeletar seakan tidak percaya dengan apa yang diperkatakan anaknya itu. Yang dikejinya itu adalah ayahandanya sendiri. Raja Rasturi pemimpin di Indera Sakti!

“Bonda tidak pernah mendidik anakanda bercakap kasar sedemikian rupa Ashuri..apa yang telah merasuk anakanda ini..?!” air mata ibunya tidak dapat lagi disekat. Seolah tiada lagi pengertian tentang rasa hormat dalam diri anaknya itu.

“Maafkan Ashuri bonda..namun kebenaran, tetaplah suatu kebenaran..” melangkah semula dia turun dari singgahsana. Merapati Raja Rasturi yang sendiri gumam dengan tindakan luar sedar anaknya itu.

“Selama ini kanda berseorangan..ada pernah ayahanda memikirkan tentang dirinya..?? leka membina kemasyuran sehingga terlupa akan perihal dirinya yang ayahanda telah sedekahkan kepada kaum siluman..” sindir Ashuri. Kali ini bicaranya tiada sedikit pun berlindung. Yang memerhati seakan buntu tidak mampu hendak berkata apa. Terpegun semua yang ada di dalam balai penghadapan itu.

“Jika aku yang dikorbankan dahulu demi memenuhi perjanjian lama itu, kau pastinya tidak akan terlahir di dunia ini Ashuri..! malah, pastinya kekanda sulungmu itu juga tidak akan sempat merasakan nikmat dunia ini bersama kami dahulu..!” Raja Rasturi mula meretap kegeraman. Hujung lengannya kian menggigil dihuni api kemarahan. Tega, dia masih cuba bersabar.

“Anakanda lebih rela tidak dilahirkan di dunia ini daripada bersetongkol dengan perbuatan keji ayahanda itu..”

“Biadap..!!”

Akhirnya kemarahan itu tiada apa lagi yang mampu membendung. Sepertinya halilintar yang menyambar pucuk pohon hijau kata-kata Ashuri itu. Hinggap di cuping telinganya seolah mencabar kedaulatan dirinya. Tersembam Ashuri ke lantai dek tamparan tepat Raja Rasturi ke atas dirinya.

Rebahnya tubuh itu bersama kepingan hati yang dirobek tanpa belas. Dirinya yang mempertahankan kebenaran, kini dihenyak bagaikan petualang bangsa. Saat desingan tamparan itu belum berlalu pergi, tubuhnya telah didakap kemas Permaisuri Dahlia. Merona pipinya kemerahan. Ashuri tetap jua menepis keras. Dia sendiri bagaikan telah kerasukan kehilangan pedoman. Bangkit dia semula mengadap Raja Rasturi yang bungkam dengan tindakannya itu.

“Anakanda sekadar memperjuangkan apa yang terlihat salah di mata anakanda..dan, adalah menjadi tanggungjawab di dalam diri ini untuk merubah semuanya kembali..” lelehan darah halus di hujung bibirnya dikesat.

“Dan jika apa yang anakanda lakukan ini dianggap sepertinya perbuatan si petualang istana, dengan rela hati anakanda mohon ke bawah duli untuk melepaskan anakanda daripada kekangan di istana ini..biarlah anakanda perjuangkan perjuangan ini sendirian..”

Gamam semuanya dengan tutur kata itu. Meski si pewaris takhta itu tidak memikirkan semasak mungkin sebelum melafazkan kata-katanya. Tabib Fansuri pantas mendapatkan Ashuri yang dilihatnya kian menggila.

“Tengku..fikirkan sedalam mungkin apa yang Tengku katakan ini..terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya..” getusnya di sisi Ashuri. Jelas dia cemas. Namun tetap, Ashuri menidakkan kata nasihat Tabib Ashuri itu. Diperhatinya pula ke arah Permaisuri Dahlia, sekadar sedu tangisan yang menemaninya.

“Jika itu kemahuanmu Ashuri, pergilah..” Raja Rasturi mengeluh berat. Seketika dia tertunduk.

“Dan usah kau kembali lagi ke istana ini selepas apa yang telah kau lakukan ini..” sambungan kata-katanya hampir sahaja meruntuhkan dinding hati Permaisuri Dahlia. Maruah Raja Rasturi tercalar dek kata-kata anaknya sendiri. Bagaimana mahu dia bertahan jika darah dagingnya sendiri yang memberontak di dalam istana itu.

“Pergi..!! tinggalkan istana ini..!!” tempiknya melepaskan segala kemarahan. Bergema setiap ruangan di istana itu. Sekalian yang ada menjadi saksi terhadap peristiwa itu.

“Kanda..! maafkan Ashuri itu kanda..! pastinya dia kebingungan dengan apa yang telah terjadi..dinda merayu kepada kanda..!” Permaisuri Dahlia pohonkan keampunan. Dia lebih terseksa melihatkan apa yang terjadi. Awan hitan seolah meneduhi tidak mahu berganjak dari istana itu.

“Biarkan sahaja dia pergi..!! jika itu adalah kemahuannya..!!” bentak Raja Rasturi penuh kegeraman. Tiada lagi dia berpatah semula menarik ulas katanya. Pendirian telah ditetapkannya.

“Gagak itu jika dimandikan bersama air mawar sekalipun, tidak akan putih bulunya..!” tercacap pandangannya melihatkan Ashuri. Merah matanya diselubungi api kemarahan yang memuncak.

“Pergi..!!”

Tempikan itu diselangi sedu tangis Permasuri Dahlia. Si anak yang dibelanya penuh kasih dan sayang sedari kecil, kini dihambat petaka demi petaka. Hati ibunya tersiat melihatkan penderitaan itu. Walau dipujuk, walau dirayu, tetap jua rintihannya tidak diendahkan sesiapa.

“Ashuri..”

Dan rintihan itu adalah yang terakhir kalinya. Diri itu telah pergi. Meninggalkan istana, meninggalkan dirinya. Pemergian Ashuri diiringi dua orang siluman dan Musliha, hanya mampu dilihatnya dari kejauhan. Hendak dia berkejar merayu, bersujud di kaki anaknya itu, namun dihalang Raja Rasturi.

“Biarkan sahaja dia..mungkin itu adalah ketenangan yang konon dicarinya selama ini..” bahu isteri dipaut untuk berdiri. Esak tangis menyelubungi istana. Langkah Ashuri sekadar diperhatikan hingga menghilang dari kejauhan. Akhirnya, Ashuri melangkah sendiri, mencari ketenangan yang didambakannya selama ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience