BAB 27
“Uuukk..”
Panggilan itu tidak diendahkan sesiapa. Kegelapan Gua Muluk di kala malam benar-benar dirasakan saat itu. Kedinginan kurungan yang menempatkan dirinya mencengkam sehingga ke tulang belulang. Matanya liar memerhatikan keliling. Jika ada susuk-susuk yang melintas di hadapan kurungan itu.
“Uuukk..”
Tiada sahutan. Tiada terpaan tubuh yang menghampiri dirinya saat itu. Hanya gema suaranya sahaja memantul kembali ke cuping telinga. Seolah mengejek. Tempurung kelapa yang dijadikan bekas makanannya ditolak dengan kaki. Kembali direbahkan tubuh bersandar ke dinding kurungan. Telaga mata leka memerhatikan ke arah dinding contengannya.
Ukiran di dinding itu menjadi penawar dukanya selama menjadi mangsa tahanan di dalam gua itu. Dewi Siluman Bulan mengalirkan air mata saat dilihatnya ukiran itu. Diukirnya susuk tubuh persisnya si anak dan suami yang telah hilang entah kemana. Meninggalkan dia sendiri, teraniaya di dalam gua itu.
“Uuukk..” suara itu rintih mengeluh. Diusapnya ukiran contengannya di dinding gua itu. Hanya itu sahaja penawar rindunya. Kata-kata hanya sekadar tersekat di kerongkong. Lidah dikerat membisukan dirinya untuk selamanya.
“Ibu Bulan..” suara yang memanggilnya itu membuatkan dia berpaling. Bayangan satu susuk tubuh berdiri di luar kurungan memerhatikan dirinya.
“Uuukkk…!!” wajah itu benar dibencinya. Juara yang sedang berdiri di hadapan kurungan, begitu tidak disenangi kehadirannya.
“Ibu Bulan..Juara ada bawakan makanan untuk ibu Bulan..jamahlah sedikit..” pujuk Juara lembut. Setiap hari dia menghantarkan makanan dan minuman untuk wanita itu. Namun, semuanya ditolak dan tidak langsung dijamahnya.
“Uuukkk..!!” tangannya mengibas menghalau Juara agar pergi jauh. Walau dia kelaparan, tidak sesekali makanan yang dibawakan Juara itu akan dijamahnya. Kemarahannya memuncak setiap kali wajah itu muncul di hadapannya.
“Janganlah begitu ibu Bulan..Juara risau jika ibu Bewi jatuh sakit pula..”
Tidak semudah itu kata-kata Juara untuk dihadamnya. Hati itu bagaikan tersiat. Keperitan akibat lidahnya dikelar, langsung tidak mampu menandingi keperitan yang ditanggung hatinya saat itu. Pembelot, pendusta, pengkhianat!
Itu sahaja yang bermain di fikiran Dewi Siluman Bulan saat itu.
“Uuukk…Uuukkk…uuukkk..!!” kata-katanya itu diselangi dengan tepukan ke dinding kurungan. Serta merta juraian air mata membasahi pipinya. Apa lagi yang mampu dilakukannya selain daripada menangis? Melawan dia tidak mampu, bertempur juga dia tidak kuat.
Juara tertunduk. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Dewi Siluman Bulan itu. Dia tahu betapa diri itu merindui kaum keluarganya. Namun tindakannya, telah memisahkan mereka.
“Tapi ini semua bukan kehendak Juara ibu Bulan..Juara terpaksa..” rintihnya perlahan. Tempurung kelapa berisikan makanan diletakkan ke lantai. Juara cuba menyerap segala kesedihan yang menaungi Dewi Siluman Bulan itu.
“Uuukk..uuukk..!!” disusuli tepukan ke dadanya pula. Gelengan kepala merembeskan air mata menitis ke lantai kurungan. Juara hanya melihat dan terus melihat tubuh itu merengkot dalam kedinginan. Sedihnya bukan kepalang. Melihatkan seksaan yang dialami Dewi Siluman Bulan ketika itu, telah meranapkan tembok keegoannya.
“Maafkan Juara, ibu Bulan..” pedang di pinggang dicabutnya dari sarung. Ikatan kurungan ditetaknya. Terlerai ikatan lalu terbukanya pintu kurungan. Melangkah dia ke arah Dewi Siluman Bulan dengan pedang yang terseret ke lantai.
“Uuukk..” Dewi Siluman Bulan cemas memerhatikan Juara yang sedang menghampirinya.
Musliha bertinggung di atas batu berhampiran jeram. Batu-batu sungai kecil dicampaknya satu persatu ke laluan air jeram. Leka dia bersendiri di kawasan jeram berhampiran istana itu, hinggakan tidak menyedari hari kian larut. Malam mula menjengah tiba di kala dia sendiri mengenangkan pemergian Raihan.
“Kalau kau dah tak ada..macam mana aku nak balik semula ke zaman kita An..??” dia mengomel sendiri. Hendak menangis, air matanya telah pun kering dek menangis sedari tadi. Dia hanya mampu mengeluh sahaja saat itu.
“Aku dah tak ada sesiapa..aku ada kau je An..” keluhannya bersambung. Matinya Raihan tidak berpusara, apatah lagi berbatu nisan. Tiada apa yang mampu dikenang atau dilihatnya jika kerinduan mula bersarang. Dia hanya mempunyai seutas rantai pemberian Raihan. Peninggalan dia sebelum menuju ke Lembah Cahaya.
“Hmmm..” tidak mungkin dia mampu bertutur dengan seutas rantai. Walau digenggamnya seerat mana pun rantai itu, tidak mungkin itu mampu mengembalikan Raihan pada dirinya semula. Musliha merenung bulan sabit di celah awan gelap. Sudah terlalu lama dia bersendiri di tepi jeram itu fikirnya. Eloklah melangkah pulang ke istana sebelum perkara yang tidak elok menimpa dirinya. Musliha bingkas berdiri, menyapu punggung yang dihinggapi pasir, lalu melangkah longlai meninggalkan jeram.
“Pergi..! pergi..!”
Satu suara dari celah belukar gelap menggamit perhatian Musliha. Dia berhenti seketika memerhatikan ke arah suara itu muncul. Susup-sasap dari celahan belukar itu sedikit mendebarkan hatinya. Suara yang didengarinya itu seolah menghalau. Adakah penunggu di jeram itu? Atau mungkin juga penunggu itu benar-benar tidak senang dengan kehadiran dia yang berteleku lama di atas sebuah batu jeram itu tadi?
Terus dia memerhati ke arah semak yang bergoncang di dalam gelap. Fikirannya sudah menjangkakan hantu. Musliha meneguk liur. Persiapkan langkah untuk memecut sambil menjerit lantang. Dia tidak mahu pengsan di tepi tebing jeram itu.
“Uuukk..”
Wanita. Merangkak dalam kegelapan menuju padanya. Tangannya menggapai terkial-kial menggamit ke arah Musliha. Tidak jelas wajah itu dapat dilihatnya kerana cahaya bulan perlahan dilitupi awan gelap.
“Si..siapa kau..??” Musliha berundur setapak demi setapak. Diperhatikannya sekeliling, tiada apa yang kelihatan melainkan dia dan susuk tubuh yang mengengsot itu.
“Uu..uuukk..” nadanya kian lemah. Wajahnya tersembam ke tanah. Dengan keberanian yang berbaki, Musliha cuba mendekati tubuh itu. Sebatang kayu reput dibawanya bersama. Dicungkil-cungkil ke arah tubuh yang sedang tertiarap lesu di atas tebing jeram itu.
“Orang ke hantu ni..??” Musliha berbisik sendiri. Matanya kembali meliar melihatkan di sebalik semak itu. Awal tadi, dia mendengar seolah ada suara lelaki yang memekik seperti menghalau. Tetapi, yang menjengah dari celah semak, adalah seorang wanita. Berbaju lusuh, compang camping seperti pengemis dan berselirat dek luka. Ada darah yang mengalir di hujung kakinya.
Tubuh itu dirapatinya. Hujung pergelangan tangan wanita itu diteliti oleh Musliha. Denyut nadi masihkan terasa. Wanita itu masih hidup dan ternyata dia mungkin tidak berdaya untuk bangkit lagi. Hangat tubuhnya juga dirasakan terlalu panas.
“Mungkin Tabib Fansuri boleh membantu..” ucap Musliha lantas dipautnya erat tubuh itu, dibawanya pergi menuju ke Istana Indera. Dalam kegelapan malam dia meranduk belukar bersama tubuh yang langsung tidak dikenalinya. Naluri manusia sentiasa berasakan kasihan tidak kiralah kepada siapa jua. Begitu juga Musliha.
Dari kejauhan, pemergian Dewi Siluman Bulan yang dipapah oleh seorang gadis yang tidak dikenalinya, diperhatikan Juara. Semakin lama semakin jauh ditelan gelap malam. Entah dari mana datangnya tekad dirinya. Membebaskan Dewi Siluman bulan dari kurungan, lalu membawanya lari menjauhi Gua Muluk. Bagi dirinya, wanita itu tidak berhak untuk dilayan sebegitu rupa oleh Tok Aduka. Apatah lagi diseksa bagaikan haiwan ternakan.
“Maafkan Juara ibu Bulan..hanya ini yang termampu untuk Juara lakukan..sampai masa, kita ketemu lagi..” Juara berpaling, melangkah sendiri, meredah kegelapan malam.
Dia yakin dengan apa yang telah dilakukannya. Walaupun dia pasti, kepulangannya nanti ke Gua Muluk akan disambut dengan pelbagai tohmahan. Mungkin juga dirinya akan dihukum jika perbuatannya itu dihidu oleh Tok Aduka.
Namun, Juara pasrah.
Share this novel