Chapter 14

Romance Completed 4712


BAB 14

Ashuri merapati tebing jeram yang berlalu deras berhampiran istananya. Air yang jernih dikuaknya perlahan lalu diceduk dan disuanya ke mulut. Segar air yang mengalir itu berjaya menghilangkan dahaganya. Sesekali anak ikan seluang yang meliuk melawan arus diperhatikannya sambil tertawa kecil.

"Wahai ikan..air yang deras cuba kau lawan..tiada faedah, bala pula yang menyusul.." ucapnya perlahan lalu dikuaknya semula air jeram yang mengalir itu. Matanya meliar melihatkan keliling. Kelibat kera bergayut dari dahan ke dahan menggamit perasaannya. Unggas berkicau tidak seirama. Lolongan lotong sayup di kejauhan didengarinya cukup sayu. Hutan itu seperti merintih seolah ada sesuatu perkara buruk yang terjadi.

"Menurut kata Tabib Fansuri..andai kedengaran lolongan lotong sayu di dalam hutan, itu merupakan petanda buruk..petanda menyatakan ada seseorang yang kehilangan nyawa..petanda sesuatu musibah sedang melanda.." bisik Ashuri sambil mengesat mulutnya yang dilinangi air jeram. Setelah puas dia menghirup air jeram, dia bangun semula lantas mencapai busur panahnya yang diletaknya di belakang. Puas Ashuri meraba ke belakang tubuhnya namun busur panah yang diletaknya di atas batu itu tidak tercapai olehnya.

"Seingat aku, busur itu kuletakkan di atas batu ini.." Ashuri memalingkan muka melihatkan tempat letak busur panahnya. Tiada.

"Kemana pula perginya..??" pelik. Masakan busur panah boleh berjalan dengan sendirinya.

"Usah kau menapak lagi ke hadapan..atau kulepaskan anak panah ini tepat mengenai dadamu.." Ashuri terpempan. Seorang gadis yang kebasahan sedang menarik tegang busur panah miliknya. Sebilah anak panah tepat diarahkan padanya. Jika dilepaskan pasti akan tepat mengenai dirinya.

"Gadis ini..." Ashuri mengenalinya. Itulah gadis yang membantunya ketika Tantira terjerumus ke lubang Telaga Air Biru dahulu. Wajah itu amat dikenalinya. Mana mungkin raut wajah secantik itu dilupakannya sebegitu mudah. Namun kali ini dia jauh berbeza dari sebelumnya. Seri di wajah seolah hilang. Hanya pucat melesi seperti tiada darah yang mengalir.

"Usah cuba bermain senjata andai langkahmu sumbang tiada berseni.." amaran Ashuri pada Dewi. Jelas dilihatnya jari yang menarik tegang busur itu seakan menggeletar. Andai tersilap langkah, pasti anak panah meruncing itu akan menuju ke arahnya.

"Letakkan busur itu.." amaran Ashuri kedua kalinya. Dewi tetap berdegil. Bidikan ditalanya tepat ke arah Ashuri. Dia tidak peduli. Dirinya harus dilindunginya terlebih dahulu. Walau terpaksa nyawa seseorang dicabutnya.

Dewi melangkah setapak demi setapak berundur ke belakang. Kawasan itu langsung tidak pernah dijejakinya. Sejak ditolak Fawas hingga terjatuh ke aliran jeram, dia langsung tidak mampu menghampiri tepi tebing. Arus yang deras menyukarkan renangannya. Dari kejauhan hanya dapat melihat Fawas bertarus seorangan melawab jembalang yang menghalang laluan mereka.

"Di manakah kawasan ini..??" soal Dewi setelah dipastikan jaraknya dan Ashuri kian selamat. Busur dilenturkannya. Lengan kanannya yang kembali terluka ditekupnya dengan tapak tangan. Bisa yang melingkari tubuhnya semakin bermaharajalela dalam tubuh. Lelehan darah dari celahan jari yang menekup luka itu diperhatikan Ashuri.

"Kau terluka.."

Dewi mengerang kesakitan saat tapak tangannya menekup dengan lebih kuat ke luka itu untuk mengelakkan darah dari terus mengalir.

"Ini bukan urusanmu..! Jawab pertanyaanku..dimanakah aku berada sekarang..?!"

"Kau di Indera Sakti.."

"Bohong..!"

"Aku tidak berbohong..tiada gunanya untuk aku berbohong.."

Dewi membatukan diri. Dia menyandarkan kepala ke pokok yang menjadi tempat sandarnya. Luka dirasakan semakin menyengat. Anak matanya meliar mencarikan jalan untuk beredar dari kawasan itu. Dia harus menjauhi Ashuri. Mungkin lelaki itu adalah jembalang yang menyerupai manusia. Dia tidak mahu diperdayakan untuk kali yang kedua.

"Lukamu itu perlu dirawat.." ujar Ashuri pabila melihatkan darah dari lengan Dewi makin berjuraian turun menitik ke bumi. Parah luka yang dialami gadis itu fikirnya.

Tanpa peduli dengan kata-kata Ashuri, Dewi membuka langkah lalu terus berlari meninggalkan kawasan itu. Tebing tinggi jeram didakinya lalu meredah semak untuk melarikan dirinya. Namun langkahnya tidak sejauh mana. Pandangannya mula berbalam-balam saat dirinya memaksa untuk berlari. Pandangannya melayang melihatkan pokok dan tumbuhan renek di kiri dan kanannya. Dewi melutut menyembah bumi. Dia cuba bertahan. Pandangan yang semakin menggelap akhirnya membawa dirinya terbaring tidak sedarkan diri.

Ashuri bergegas berkejar ke arah Dewi yang terlantar di lantai bumi. Tubuhnya kuyup. Darah mengalir tidak berhenti dari luka di tangan kanannya. Tubuh Dewi segera dirangkulnya kemas lalu dibawanya ke Istana Indera. Dewi perlu dirawat.

"Pengawal..! Panggilkan Tabib Fansuri masuk ke istana segera..!" pekik Ashuri setibanya dia ke istana. Dewi dibawanya masuk ke dalam kamar miliknya. Tubuhnya segera dibaringkan di atas tikar yang terbentang. Dayang istana masuk mengerumuni kamar Ashuri.

"Ambilkan air suam..tuam ke tubuhnya segera..!" Perintah Ashuri segera dituruti. Permaisuri Dahlia turut memasuki bilik anakandanya itu untuk menghulurkan bantuan. Saat dayang istana bertungkus lumus menukar persalinan Dewi yang kebasahan, Ashuri sekadar mundar mandir di hadapan pintu kamarnya. Dia resah andai sesuatu terjadi pada gadis itu.

"Bagaimanakah keadaan gadis itu bonda..??" terus sahaja diri ibunya diterpa saat melihatkan Permaisuri Dahlia melangkah keluar dari kamarnya.

"Anak itu terlalu lemah Ashuri..siapakah dia dan dari manakah asal usulnya..??"

"Anakanda tidak mengenalinya bonda..ketika Ashuri singgah ke tepi sungai untuk menghilangkan dahaga, dia muncul lalu mengugut anakanda.."

"Mengugut..??"

"Ya..seolah dia dalam ketakutan..seperti ada sesuatu yang menganggunya.." balas Ashuri. Kelibat Tabib Fansuri yang memasuki ruang istana mengalihkan perhatiannya.

"Tabib Fansuri..rawatlah gadis di dalam kamarku itu sehingga sembuh.." arah Ashuri lalu membiarkan Tabib Fansuri masuk seorangan ke dalam kamarnya.

Raihan dan Musliha bergegas memasuki istana tika melihatkan seperti ada kekecohan di dalam istana. Raihan berlari, Musliha mengekori.

"Kenapa ni Tengku..??" soal Raihan tercungap-cungap.

"Aku terjumpa orang dari kalangan kamu di tepi sungai tadi.."

"Kalangan kami..??" Musliha terkedu. Bermakna selain mereka berdua, ada lagi insan lain yang terjerumus ke dalam telaga itu rupanya.

"Mungkin kau akan mengenalinya saat kau melihat wajahnya..aku pasti.." yakin benar Ashuri dengan kata-katanya. Walhal dia tidak mengerti bahawasanya Dewi adalah kaum siluman yang dilarang mendekati manusia sebelum ini. Raihan dan Musliha bertukar pandangan. Tidak pasti siapakah yang dimaksudkan Ashuri.

Sekian lama menanti, Tabib Fansuri akhirnya menguak daun pintu kamar Ashuri untuk keluar. Dahinya berlapis memperlihatkan kerut. Dia menunduk memikirkan sesuatu.

"Gadis itu diracuni Tengku.." katanya ringkas. Namun riak muram tidak mampu dibuangnya dari wajah.

"Dan dia tidak mampu bertahan lama andai tidak dirawat segera.." sambungnya semula. Kali ini wajah didongakkan sedikit melihatkan wajah si putera raja itu.

"Aku yakin Tabib mampu untuk merawatnya..lakukan apa sahaja asalkan dia terselamat.." Ashuri seolah merayu. Kata-katanya itu ditangkap cuping telinga Permaisuri Dahlia. Siapa sebenarnya gadis ini di hati Ashuri fikirnya.

"Hamba boleh usahakannya Tengku..namun penawarnya terletak jauh dari penempatan kita Tengku.."

"Apa maksudmu..??"

Tabib Fansuri mengeluh berat. Dia hanya berlegar di hadapan Ashuri sambil mengurut janggutnya yang mengurai. Racun Seribu Lebah bukanlah sebarangan racun. Bisa yang diolah dari pelbagai jenis bisa dan dijadikan satu racun yang sukar disembuhkan. Dan penawarnya hanya satu, iaitu Bunga Kudup Nyawa.

"Patik memerlukan Bunga Kudup Nyawa..dan bunga itu terletak beratus batu jauhnya dari penempatan kita.." ucap Tabib Fansuri perlahan. Dia resah memikirkan perihal bunga misteri itu. Diamnya bunga itu di lereng bukit berbatu di Lembah Cahaya. Kawasannya lembab dan berlumut. Mekarnya bunga itu hanya di waktu tengah malam. Siangnya terlindung dek kerana mengecut hingga tidak ternampakkan dek mata. Dan paling digusarkannya, bunga itu ada penjaganya.

"Akan segera aku pergi untuk mengambilnya Tabib..khabarkan padaku dimanakah diamnya Bunga Kudup Nyawa itu..??"

Tabib Fansuri menggeleng. Ashuri tidak mengetahui akan bahayanya Lembah Cahaya itu. Pelbagai dugaan perlu ditempuh andai ingin menuju ke sana. Tersilap percaturan, nyawa galang gantinya.

"Lembah Cahaya.." ringkas jawapan Tabib Fansuri namun mula meresahkan Permaisuri Dahlia. Sudah terlalu lama tidak didengarinya nama lembah durjana itu.

"Jangan Ashuri..bonda tidak benarkan sesiapa pun kesana..terlalu bahaya anakanda.."

"Tetapi gadis ini dalam kemudaratan bonda..adakah sanggup bonda membiarkan sahaja dia terbaring menghitung waktu matinya..??"

"Tetapi anakanda.." rintih Permaisuri Dahlia cuba menghalang hasrat anaknya itu.

"Benar kata Permaisuri Dahlia itu Tengku..patik merasakan tidak wajar untuk Tengku ke sana mengambilnya sendiri..ia bagaikan menyerahkan nyawa kepada penjaga bunga itu Tengku.." larang Tabib Fansuri semula. Namun Ashuri tetap bertegas. Dewi harus dirawat!

"Izinkan hamba sahaja yang pergi mengambilnya Tengku.." Tantira muncul menghampiri bersebelahan Raihan dan Musliha.

"Aku pun nak ikut.." ucap Raihan menawarkan dirinya. Dia melangkah setapak ke hadapan bersebelahan dengan Tantira. Musliha terkedu.

"Woi sengal..! Kau nak tinggalkan aku sorang-sorang dekat sini ke..??" Lengan baju Raihan dielak Musliha. Namun Raihan enggan mempedulikan asakan Musliha. Dia mahu cuba berbakti. Sekurang-kurangnya dapat juga dia menjelajah mengikuti Tantira nanti.

"Tidak Raihan..kau adalah tetamu di istanaku..aku tidak akan membahayakan nyawa tetamu kepada istanaku ini.." ucap kata Ashuri disambut dengan wajah mencuka.

"Tapi Tengku..” rayu Raihan berkeras mahu mengikuti Tantira mencari Bunga Kudup Nyawa di Lembah Cahaya.

"Pffftt..!" Musliha menepuk dahi.

"Nak dicepuk kesian pulak..tapi kalau tak dicepuk, bangangnya menjadi-jadi.." bisik Musliha sendiri. Tangannya pantas menarik Raihan agar berundur ke belakang. Ashuri berfikir sejenak kala Raihan dan Musliha bertelagah sesama sendiri.

"Kau ingat benda ni main-main ke..??" bingkis Musliha sedikit kemarahan.

"Kau apa tau..!" herdik Raihan. Dia masih berharap agar Ashuri berlembut hati lalu membenarkannya pergi. Wajah Ashuri diperhatikannya tidak berkalih. Mereka saling bertukar pandangan.

"Tidak.." balas Ashuri ringkas lalu melangkah menghampiri Tantira.

"Sanggupkah kau pertaruhkan nyawamu untuk ke Lembah Cahaya Tantira..??" bahu panglima istana itu dipegangnya erat. Sungguh dia berharapkan agar Tantira benar ingin mengotakan janjinya itu.

"Nyawa tiada bererti jika aku gagal melindungi dirimu dari bencana Ashuri..biar sahaja aku pergi..kau lebih diperlukan di istana ini.." Tantira berbisik perlahan ke telinga sahabat karibnya itu.

"Jika benar katamu itu..berangkatlah dikau esok hari..bawalah seramai mana pengawal bersamamu..pulanglah secepat mungkin setelah Bunga Kudup Nyawa itu kau perolehi.."

"Patik menjunjung titah Tengku.." Tantira menunduk lantas berundur setapak ke belakang. Tabib Fansuri sekadar mampu menggeleng. Perintah telah dikeluarkan Ashuri. Dia tidak mampu menghalangnya lagi. Semuanya di situ terdiam tidak mampu berkata apa.

"Ada penceroboh di gerbang istana..!" jeritan pengawal di pintu istana memecahkan kebuntuan kala itu. Bergegas Ashuri melangkah ke pintu untuk melihat. Siapakah gerangan yang berani mencerobohi istananya kala itu. Tantira mengekori rapat. Dari kejauhan dapat dilihatnya satu susuk tubuh sedang dikepung oleh pengawal istana. Tiga orang pengawal sudah terbaring mengadap bumi.

"Siapakah itu Tantira..??" Cemas Ashuri melihatkan penceroboh itu bertarung menewaskan pengawal istananya satu persatu.

"Aku tidak mengenalinya Ashuri..biar sahaja aku cuba menangkapnya..!" usai berkata demikian, Tantira lantas bergerak laju menuju ke arah penceroboh istana yang lincah berpencak menewaskan satu persatu pengawal istana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience