Bab 9

Action Series 13414

Api semakin marak di dalam bilik besar itu. Terdapat dua kumpulan telah berpecah di bahagian hujung bilik ini sedang bertungkus lumus cuba untuk merentap jeriji besi yang memagari tingkap tersebut. Sementara itu, jeritan dan raungan kanak-kanak kecil yang bersahut-sahutan sebelum ini sudah tidak kedengaran lagi.

"Tarik lagi. Tarik".

Seorang budak lelaki berkopiah putih berteriak kepada rakan-rakannya. Mereka sedang berusaha selagi boleh untuk mencungkil jeriji besi berkenaan. Ada yang menggunakan tangan kosong, ada yang menggunakan besi katil yang telah patah bahkan ada juga yang menggunakan pen. Semua ini sebagai usaha terakhir untuk mereka keluar daripada kebakaran ini.

"Naim, kau tolong tarik ini. Aku nak tengok belah sana macam mana", kata remaja lelaki yang berteriak tadi. Besi katil yang digunakan untuk merentap jeriji besi itu diserahkan kepada Naim.

"Kau jangan buat kerja gila, Azim. Api dah makin besar itu. Aku tak rasa mereka selamat", balas Naim dengan nada suara kuat. Sesekali mereka terbatuk-batuk disebabkan asap kebakaran agak tebal. Mujur cermin tingkap telah dibuka namun jeriji besi itu menjadi halangan mereka untuk keluar buat masa ini.

Prak!

"Bang! Dah boleh cungkil!".

Mereka berdua terus bersama-sama dengan yang lain untuk bergabung tenaga. Hujung bahagian kiri jeriji besi itu sudah terkopak sedikit. Empat remaja lelaki itu berusaha sedaya upaya merentap jeriji besi itu lebih besar lagi. Usaha keras mereka membuahkan hasil apabila kali ini di bahagian atas belah kiri pula telah tercabut.

"Allahu Akbar. Allahu Akbar".

Laungan takbir bergema di dalam bilik itu demi mengumpul kekuatan yang ada untuk mencabut jeriji besi itu. Akhirnya, bahagian kiri jeriji itu sudah tercabut sepenuhnya. Hanya bahagian kanan masih sukar untuk direntap tetapi ianya sudah memadai kerana jeriji itu boleh dibuka seperti membuka tingkap.

"Bagi adik-adik keluar dulu. Rizdwan jalan dulu ya. Pijak lantai itu, kemudian Ridzwan turun ikut besi paip sana. Peluk kuat-kuat dan turun sikit-sikit tau", kata Azim memberi arahan kepada kanak-kanak berusia lingkungan 10 tahun.

"Macam cerita Jackie Chan itu ke bang?", soal Ridzwan. Azim tersenyum sambil mengangguk. Tubuh kecil Ridzwan didukung oleh Naim lalu diturunkan perlahan-lahan di atas lantai itu. Ridzwan dengan penuh berhati-hati melangkah ke arah corong paip besar lalu melakukan seperti yang diarahkan oleh abang seniornya.

Selepas itu, tiga lagi pelajar cilik dikeluarkan daripada bilik itu menggunakan kaedah yang sama. Setelah pasti tiada lagi kanak-kanak kecil, giliran pelajar remaja pula untuk keluar juga menggunakan kaedah yang sama. Tiga daripada remaja tahfiz itu sudah selamat keluar daripada bilik itu. Kini hanya tinggal Naim dan Azim sahaja.

"Kau keluar dulu Naim, aku jaga besi ini", kata Azim. Naim mengangguk faham lalu keluar daripada bilik itu sementara Azim masih setia menahan jeriji besi itu daripada tertutup dengan besi katil di tangannya.

Ketika dia ingin melangkah keluar, satu percikan api memancar tepat ke bahagian wajahnya.

***

"Arrgghh".

Remaja lelaki itu tersedar daripada tidurnya. Dahinya berkilat dengan air peluh yang membasahi seluruh anggota badannya. Peristiwa hitam yang melanda dirinya sukar untuk dilupakan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Tangannya serta merta memegang bahagian kanan wajahnya. Sekilas dia melihat jam di telefon pintarnya sudah menunjukkan angka 9.00 pagi.

Tuala yang tersangkut di kepala katil itu diambil bagi membersihkan dirinya. Sebelum melangkah keluar, dirinya sempat mengambil topeng hitam yang sentiasa dipakai jika berada di khalayak ramai. Dia berdiri di hadapan almari solek miliknya sambil memegang topeng hitam berkenaan.

Raut wajah lelaki itu kelihatan bengis sewaktu menatap mukanya di hadapan cermin itu. Tangannya segera memakai topeng hitam bagi menutup kecacatan pada bahagian wajahnya lalu melangkah keluar daripada bilik tidurnya.

***

"Oleh sebab kejap lagi kau dah nak mampus, kami sajikan hidangan yang enak sedikit daripada semalam. Haa, jemput makan".

Fatihah meletakkan pinggan plastik polisterin itu di atas meja makan berkenaan. Hidangan roti canai bersama kuah dalca itu terhidang kemas untuk Alang yang menatap kosong hidangan berkenaan. Seleranya jadi patah disebabkan roti canai itu hanya secarik sahaja di dalam pinggan itu.

Empat ahli lelaki yang berada di dapur ini hanya tertawa sahaja melihat reaksi Alang. Sedikit sebanyak terhibur dengan apa yang dilakukan oleh tiga wanita itu. Hari ini, ahli lelaki ditugaskan untuk menguburi jasad Alang sahaja bagi memberi laluan kepada tiga wanita itu melunaskan dendam kesumatnya terhadap remaja itu. Justeru, mereka tidak dibenarkan untuk mencampuri urusan mereka bertiga kecuali jika disuruh oleh salah seorang daripada wanita itu.

"Kejam betul ya. Secarik sahaja roti itu kau bagi, haha", kata Latiff sambil tertawa.

"Orang dah nak mati mana ada selera makan sangat. Kalau bagi sekeping buat membazir sahaja. Secarik sahaja dah memadai. Kami dah dikira baik hidangkan kau makanan ini tau, ikutkan malas aku nak bagi makan dekat orang yang dah bunuh anak aku dulu", kata Maria dengan lancang sambil tangannya berpeluk tubuh.

Alang hanya tunduk memandang lantai walaupun di hadapan serta bahagian dua sisinya ada tiga wanita yang sedang merenung tajam ke arahnya. Tekaknya jadi pahit secara tiba-tiba. Selera makannya langsung tiada buat masa ini.

Tiba-tiba, Kimah merentap kasar rambut Alang lalu dengan sekali tenaga remaja lelaki itu dihantuk keras ke atas meja makan itu. Fatihah juga melakukan perkara yang sama selepas Kimah dan situasi itu berulang berkali-kali. "Makan sahaja lah apa yang kami dah bagi, bodoh!", tempik Kimah selepas berhenti menghantukkan kepala Alang yang sudah lebam pada dahinya.

Alang menyeringai kesakitan. "Macam mana aku nak makan, tangan aku kena ikat. Buka dulu ikatan ini barulah aku boleh makan", balas Alang sedikit membentak. Sakit hatinya lebih dahsyat berbanding dengan kesakitan pada kepalanya.

Fatihah yang berang pantas menarik kasar rambut remaja itu sehingga terdongak ke belakang. "Hei, kau ingat kau siapa nak tengking kami?", soalnya. Dia yang masih berang terus menghantukkan lagi kepala Alang di atas meja makan itu.

"Pasal kau dengan kawan-kawan kau lah aku tak kahwin dengan orang yang aku sayang. Dah bunuh orang, bakar orang, ada hati nak tengking kami. Arghh", jerit Fatihah yang masih menghantuk kepala Alang berulang kali sebelum berhenti. Nafasnya tercungap-cungap kerana terlalu berang.

Maria yang berpeluk tubuh memandang sinis wajah Alang. Kepala remaja itu sudah mula dibasahi dengan darah selepas dihantuk berkali-kali oleh dua wanita di sisinya. Maria menepuk meja lalu merenung wajah Alang dengan lebih dekat. "Nak suapkan tak? Boleh. Kita suapkan ya".

Maria menyinsing lengan bajunya lalu mengambil roti canai itu. Anak matanya sempat menjeling ke arah Fatihah dan Kimah. Bagaikan mengerti dengan pandangan itu, kedua-dua wanita berkenaan memegang bahu kiri dan kanan Alang.

"Haa, nak suapkan sangat kan. Makan ini. Makan".

Maria terus menyumbat roti canai itu kasar ke dalam mulut Alang. Kuah dalca itu juga ditayangkan terus ke dalam mulut remaja berkenaan seperti menadah air ke dalam cawan menyebabkan Alang tersedak. Sesekali Maria menampar kasar wajah remaja itu.

"Kau jangan nak muntah di sini ya. Nahas kau nanti", kata Maria dengan nada kasar. Tangan kirinya mencekak bahagian dagu remaja itu.

Tidak lama kemudian, Maria mengambil pula pinggan polisterin yang telah kosong itu lalu dikeronyok sehingga ianya menjadi kepingan kecil. "Oleh sebab sini tak ada tong sampah, jadi kau kena telan pinggan ini", katanya lagi.

Fatihah serta Kimah menarik kasar rambut Alang sehingga terdongak remaja itu sekali lagi. Mulutnya ternganga kerana kesakitan pada rambutnya yang telah ditarik itu. Tanpa sebarang isyarat, Maria terus memasukkan kepingan pinggan plastik polisterin itu ke dalam mulut Alang.

"Telan lah bodoh. Telan".

Maria menyumbat lagi kepingan itu ke dasar anak tekak Alang. Sesekali tangannya menampar kasar kedua-dua pipi remaja itu. "Telan lah sial!", tengking Maria selepas mulut Alang sudah penuh dengan pinggan itu.

Linangan air mata turun daripada tubir mata remaja itu. Kepingan pinggan yang berada di dalam mulutnya ditelan sedikit demi sedikit. Perit tekaknya menelan objek besar seperti itu. Matanya terpejam sahaja.

Pap!

Satu hentakan kuat diberikan oleh Maria ke bahagian kiri telinga Alang menyebabkan kepingan pinggan itu tertelan dengan sendiri. Tubuhnya serta merta rebah sambil matanya buntang dengan mulutnya ternganga luas. Nafasnya tercungap-cungap dan sesekali suaranya mengeluarkan bunyi mual namun tiada isi yang keluar.

Tiga wanita itu hanya merenung kosong ke arah Alang yang masih tercungap-cungap itu. Hati mereka terasa puas selepas menyiksa individu yang telah meragut nyawa-nyawa insan tersayang mereka. "Itu baru sikit, kejap lagi kau kena lebih teruk lagi", kata Kimah dengan tangannya memeluk tubuhnya. Wajahnya tersenyum puas.

Maria kemudian menarik rambut Alang lalu mengheret tubuh remaja itu keluar daripada ruangan dapur ini. Alang hanya mampu menjerit meminta pertolongan namun ianya sia-sia. Tidak sesiapa yang dapat menolongnya ketika ini. Fatihah dan Kimah serta empat lelaki tadi mengikut sahaja pergerakan itu. Mereka sendiri tidak sabar untuk melihat seksaan apa yang bakal diberikan kepada Alang.

"Ampun, sakit. Jangan buat saya macam ini", rintih Alang yang menyeringai kesakitan. Maria hanya membisu sahaja sambil tangannya masih kemas menarik rambut remaja itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience