Sekolah Tahfiz Darul Ibnu Sinar
Kedatangan Datuk Abdul Fattah, iaitu ahli perniagaan saham terkemuka di Malaysia disambut meriah oleh warga sekolah ini. Bagi mereka, Fattah adalah individu yang berhati mulia kerana sudi menaja sebuah sekolah tahfiz biasa seperti ini. Dia diberikan mandat untuk membuat ucapan sepatah dua kata sewaktu dalam perhimpunan ini. Selepas ucapan, beliau menyerahkan cek bernilai RM 300 000 dalam bentuk sepanduk sebagai sumbangan ikhlasnya.
"Terima kasih ya Datuk, sebab sudi menaja sekolah ini. Sungguh besar jasa Datuk kepada kami. Semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan serta dimurahkan rezeki Datuk sekeluarga", kata Ustaz Haji Rahizam, iaitu pengetua sekolah tahfiz ini selepas selesai perhimpunan pagi.
Fattah tersenyum sahaja sambil menggeleng kepala. "Tak perlu panggil saya Datuk. Apa ada pada gelaran itu. Lebih baik ustaz panggil saya Fattah sahaja, kan lebih mesra. Tak ada rasa janggal sangat", balasnya yang berjalan beriringan menuju ke dewan makan.
Haji Rahizam tersenyum manis sahaja. Dirinya semakin tertarik dengan ahli perniagaan tersohor ini yang sentiasa merendah diri. "Baiklah, Fattah. Sebenarnya, kami berasa kagum dan terharu kerana masih ada lagi individu-individu berjaya macam kamu, mempunyai hati yang baik. Sepanjang lima tahun penubuhan sekolah ini, sukar untuk kami mencari dana dan penajaan daripada sesiapa. Hanya mengharapkan sumbangan ikhlas daripada pertubuhan NGO atau orang ramai".
"Allahu Akbar. Jangan memuji saya terlalu tinggi. Saya cuma jalankan apa yang saya niatkan sebelum ini", kata Fattah sambil tersenyum. Haji Rahizam mendengar dengan penuh minat. "Oh, ya ke?", soalnya.
"Ya Ustaz. Sebenarnya, cucu saya memang berminat nak masuk ke sekolah tahfiz. Minat betul dia nak jadi seorang hafiz sejak daripada tadika lagi padahal bapanya nak masukkan ke sekolah kebangsaan biasa. Budak-budak kalau dah minat sesuatu, jangan dihalang".
"Jadi, saya pun beritahu bapanya, masukkan sahaja kalau itu yang budak itu mahu. Ayah akan sokong daripada segi kewangan. Sekurang-kurangnya bukan cucu saya sahaja selesa belajar di sini dengan kemudahan baru, tetapi pelajar lain pun dapat merasa sama. Betul kan Ustaz?", kata Fattah sambil tersenyum lagi. Haji Rahizam mengangguk, bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
"Cucu kamu itu umur berapa? Siapa namanya?", soal Haji Rahizam.
"Akmal. Muhammad Akmal bin Mohd Nizam. Tahun ini dia baru tahun 1 ustaz", kata Fattah kepada Haji Rahizam. Pengetua sekolah itu mengangguk sahaja.
"Untung cucu kamu, ada seorang datuk yang menyokong cucunya", kata Haji Rahizam sambil diiringi ketawa kecil bersama Fattah. Mereka berdua akhirnya tiba di dewan makan untuk sarapan pagi.
Selepas selesai urusan di sekolah itu, Fattah meminta izin untuk beransur disebabkan terdapat hal kerjanya yang perlu diuruskan. Pemergiannya diiringi oleh tenaga pengajar yang mempunyai kelapangan waktu itu, menghantarnya hingga pagar utama hadapan sekolah.
***
8 Bulan Kemudian
6.35am
Fattah yang sudah selesai menunaikan solat fardhu Subuh sedang berbaring di atas hamparan sejadah itu. Sudah menjadi kelaziman dirinya apabila selesai solat, dia akan merebahkan tubuhnya bagi berehat seketika. Adakalanya, dia akan menyambung semula tidurnya namun tidak lama.
Namun begitu, hari ini dirasakan berlainan. Matanya terasa segar bugar melihat atas siling rumahnya. Entah mengapa, hatinya terasa tidak sedap. Rasa risau, resah semuanya bercampur baur. Acapkali tubuhnya bangun daripada perbaringan silih berganti.
"Aik, bang. Resah sahaja. Selalunya lepas solat abang mesti lelapkan mata sekejap", kata isterinya, Hasnah yang naik ke tingkat atas seketika untuk mengambil sesuatu. Fattah bangun semula daripada perbaringan lalu duduk termenung jauh. Raut wajahnya juga seperti memikirkan sesuatu.
"Kenapa ini, bang? Resah semacam sahaja".
"Entahlah, Nah. Hati abang rasa tak sedap hati. Abang rasa macam ada benda yang tak kena tapi abang tak tahu apa", kata Fattah meluahkan apa yang terbuku di hatinya ketika ini. Raut wajahnya jelas berkerut disebabkan rasa risau yang tinggi.
"Istighfar banyak-banyak bang. In Sha Allah tak ada apa-apa. Jangan ikutkan sangat perasaan itu", kata Hasnah dengan nada lembut, menasihati suaminya.
Fattah mengangguk lalu beristighfar di dalam hati. Dalam masa yang sama, dia berharap agar tiada perkara buruk berlaku pada hari ini.
Masa terus berlalu. Fattah dan isterinya sibuk dengan kerja harian yang biasa dilakukan pada waktu pagi. Hasnah sibuk menyediakan sarapan pagi untuk dirinya dan suaminya manakala Fattah menyapu luar halaman rumah besarnya.
Trut! Trut! Trut!
Telefon rumah di ruang tamu rumah besar itu berdering secara tiba-tiba. Hasnah yang sedang menghidangkan menu sarapan pagi iaitu nasi goreng terus bergerak ke ruang tamu selepas meletakkan pinggan besar itu. Setelah tiba, gagang telefon diangkat serta merta.
"Hello, Assalamualaikum. Oh, kamu Nizam. Kenapa ini?", soal Hasnah. Wajahnya sedikit berkerut mendengarkan suara anak lelakinya itu.
"...".
"Astaghfirullahalazim, bila?", Fattah yang selesai menyapu rumah menjengukkan kepala ke ruang tamu. Kelihatan raut wajah Hasnah sebak sewaktu bercakap di telefon. Fattah mula berasa bingung.
"...".
"Ya Allah. Baiklah, mak dengan ayah ke sana sekarang", Hasnah meletakkan gagang telefon sambil menyeka air mata dengan lengan baju kurungnya. Fattah yang masih tidak mengerti terus melangkah masuk menuju ke arah isterinya.
"Kenapa ini Nah? Siapa telefon tadi?", soal Fattah kepada isterinya. Air mata wanita itu semakin lebat jatuh membasahi pipinya.
"Bang. Asrama sekolah tahfiz Akmal terbakar besar bang", kata Hasnah dengan nada suara hiba. Fattah terbeliak biji mata sewaktu mendengarnya.
"Terbakar? Teruk ke kebakarannya? Siapa yang telefon tadi?", soal Fattah. Jantungnya berdegup kencang. Risau dengan keselamatan pelajar di sana terutama Akmal, cucunya.
"Nizam telefon, beritahu pihak sekolah sana hubungi dia. Asrama tahfiz itu terbakar teruk. Nah risau bang dengan Akmal. Nizam beritahu juga yang dia dalam perjalanan nak ke sana", ujar Hasnah lagi.
"Baiklah, kita pun pergi sana. Jom", Fattah segera menaiki tangga untuk bersiap seringkasnya. Hasnah masih tidak berhenti-henti menangis. Setelah siap, mereka berdua terus keluar menuju ke sekolah tahfiz itu dengan kereta. Sepanjang perjalanan, mereka berdua tidak putus-putus berdoa agar Akmal selamat daripada kemalangan itu.
***
Suasana agak sesak di kawasan sekolah tahfiz ini dengan longgokan kereta dan kumpulan orang ramai. Anggota badan beruniform seperti bomba, polis, serta bulan sabit merah sudah tiba di lokasi kejadian. Penduduk tempatan juga membanjiri lokasi kejadian ini.
Kehadiran petugas media tidak dilupakan. Mereka tiba jam 8.30 pagi tadi bagi mengetahui perkembangan kejadian dengan lebih lanjut. Beberapa orang wartawan yang membuat liputan secara siaran langsung kelihatan sebak. Ada yang menitiskan air mata sewaktu membuat liputan.
Setelah bersusah payah mengharungi kawasan sesak itu, Fattah bersama isterinya selamat tiba di lokasi kejadian. Mereka berdua terkejut menyaksikan orang ramai serta beberapa unit anggota polis berada di lokasi ini. Hati tua mereka semakin risau dengan kejadian ini.
"Dik, pakcik nak tanya. Kenapa dengan asrama ini?", soal Fattah kepada salah seorang penduduk di sini.
"Oh, pagi tadi waktu Subuh ada kebakaran di asrama sekolah tahfiz ini. Kami pun tak tahu sangat macam mana boleh berlaku. Tahu-tahu sahaja kami dengar jeritan. Bila keluar, tengok api dah besar", kata pemuda itu.
"Ya Allah, bang. Akmal bang. Akmal", Hasnah sudah meraung kerana sedih. Perasaannya semakin tidak senang mendengar apa yang diceritakan oleh pemuda itu. Fattah terpaksa menenangkan isterinya namun dalam masa yang sama, dirinya juga resah gelisah.
"Mak, ayah".
Nizam datang bersama isterinya, Jannah. Raut wajah mereka berdua jelas menunjukkan rasa sedih. Hasnah terus meluru ke arah anak menantunya.
"Asrama mereka teruk terbakar mak. Dalam semua pelajar yang ada, hanya tujuh orang sahaja yang selamat", ujar Nizam dengan nada sebak. Fattah dan Hasnah mendengar dengan penuh minat.
"Jadi, Akmal termasuk juga ya dalam tujuh orang itu?", soal Fattah. Nizam hanya membisu sahaja. Tangisan Jannah secara tiba-tiba menjadi kuat. Nizam pula hanya mampu menggeleng sambil meraup wajahnya. Dua isyarat itu jelas membuatkan dunia warga tua tersebut gelap. Hasnah terus menangis sambil memeluk menantunya.
Fattah yang tidak berpuas hati meluru ke dalam kelompok orang ramai itu untuk masuk ke dalam. Namun begitu, tindakannya dihalang oleh beberapa orang anggota polis.
"Encik, beri saya masuk. Saya nak tengok cucu saya selamat atau tidak", kata Fattah. Merayu kepada pegawai polis itu.
"Maaf encik, buat masa ini tiada sesiapa diizinkan untuk masuk ke dalam tempat kejadian", kata salah seorang anggota polis di situ.
"Tolonglah, encik. Saya nak tengok sekejap sahaja. Cucu saya selamat atau tidak", kata Fattah lagi. Tiba-tiba, pandangannya terarah kepada seorang lelaki berjubah yang amat dikenalinya. Fattah terus bergerak ke arah Haji Rahizam yang kelihatan kusut raut wajahnya.
"Ustaz. Ustaz, Assalamualaikum...", laung Fattah yang berlari ke arah Haji Rahizam. Lelaki itu berpaling lalu berjabat salam dengan individu yang banyak berjasa itu. Raut wajahnya tidak mengukirkan senyuman seperti kebiasaan. Ucapan salam itu dijawab perlahan oleh pengetua sekolah itu.
"Ustaz, macam mana dengan cucu saya? Adakah dia selamat?", soal Fattah dengan riak wajah yang masih berharap.
Haji Rahizam menilik kertas yang mengandungi butiran mangsa sama ada yang selamat atau tidak. Pengetua itu mengeluh seketika lalu memandang tepat ke arah Fattah. "Maafkan saya, Fattah. Saya gagal menjadi seorang pengetua. Hanya 7 orang sahaja yang selamat dan Akmal tidak ada dalam kalangan 7 orang itu".
Pandangan matanya menjadi besar dan buntang. Terkejut bukan kepalang dengan apa yang didengarinya. Pandangannya kemudian menjadi gelap. Fattah kemudian rebah tidak sedarkan diri namun pantas disambut oleh beberapa orang penduduk tempatan disitu.
Share this novel