Sekolah Mahad Tahfiz Darul Ibnu Sinar
9.00pm
Jemaah surau ini yang terdiri daripada kalangan pelajar sekolah tahfiz sendiri mula membuat barisan untuk bersalaman dengan jemaah yang lain dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.. Setelah bersalaman dan membuat bulatan barisan, mereka menadah tangan membaca doa buat kedua ibu bapa masing-masing sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Setelah selesai, para jemaah bersurai menuju ke haluan masing-masing.
"Ingat ya, pukul 11 kamu semua kena berada di dalam asrama dan tidak dibenarkan keluar pada waktu selepas itu. Kalau nak beli makanan ringan ke apa, pergi beli sekarang".
Seorang lelaki memakai kopiah berwarna putih memberikan arahan itu kepada semua pelajarnya. Beberapa orang lelaki dipercayai warga tahfiz ini juga berada di samping lelaki tadi. Mereka adalah barisan tenaga pengajar dengan lelaki yang memberikan arahan itu adalah pengetua di tahfiz ini.
"Terima kasih ya Datuk kerana hadir ke tempat kami. Maaflah kerana pihak kami tak sempat nak buat persiapan awal untuk menyambut kehadiran Datuk", kata pengetua tahfiz itu, Ustaz Haji Rahizam Ahmad kepada seorang lelaki yang sedikit berusia. Namun kudrat lelaki itu masih kelihatan gagah dengan tubuhnya sedikit tegap.
"Sama-sama Haji. Haji ini, kan saya dah pesan. Tak perlu berdatuk-datuk dengan saya. Pangkat Datuk ini tak ada nilainya berbanding dengan Haji yang dah menjejakkan kaki ke Mekah Al Mukarramah. Panggil sahaja nama saya, Fattah".
Fattah atau lebih dikenali sebagai Datuk Abdul Fattah bin Abdul Rahman adalah individu disegani di Malaysia kerana kepakarannya mengendalikan perniagaan sahamnya sehingga mendorong rakyat Malaysia yang lain untuk menjadi sepertinya. Tagline 'Biar rupa tiada, janji ada duit' amat sinonim dengan dirinya kerana itu ungkapan yang sering diucapkan di dalam ceramah perniagaannya.
Haji Rahizam tersenyum sahaja sambil mereka berempat duduk di dalam surau itu. "Maafkan saya Datuk, eh. Fattah. Mungkin sebab lama kamu tak datang ke sini agaknya. Itu yang saya terpanggil gelaran itu", katanya kepada Fattah.
"Allahu Akbar, Haji. Saya mohon maaf sangat kerana lama tak melawat sekolah ini. Saya agak sibuk sedikit dengan urusan perniagaan saya sampai tak dapat nak melawat anak-anak tahfiz di sini. Memang ada hajat nak datang sebelum ini tapi tak kesampaian. Alhamdulillah, hari ini dapat juga saya datang ke sini. Rindu sebenarnya tempat ini. Bila datang sini sahaja, saya mesti teringat akan arwah cucu saya", kata Fattah sambil tersenyum hambar.
"Tak apa Fattah, kami faham. Kamu dah datang malam ini pun kami dah rasa gembira", balas Haji Rahizam sambil tersenyum. "Saya nak tunjukkan kepada kamu tentang keadaan sekolah ini. Jom", katanya yang bangun daripada tempat duduknya. Fattah serta dua lagi guru lelaki bangun lalu berjalan beriringan bersama Haji Rahizam.
***
Haji Rahizam menunjukkan keadaan sekolah ini yang sudah mula berubah persekitarannya. Penambahan seperti pusat sumber serta stor sukan untuk anak-anak tahfiz ini beriadah berjaya menarik minat Fattah yang melihatnya. Sebelum ini, sekolah ini tidak ada pusat sumber dan stor sukan. Segala bahan pelajaran hanya digunakan di surau sahaja manakala aktiviti riadah hanya berjoging sahaja.
"Alhamdulillah Fattah, sejak daripada kejadian itu, ramai orang-orang perniagaan seperti kamu yang tampil ke hadapan memberikan bantuan kepada Darul Ibnu Sinar ini. Bantuan seperti kewangan yang kami dapat, kami gunakan untuk menyediakan bahan keperluan makanan serta bahan mengajar. Selain itu, ada juga beberapa syarikat yang sudi menaja sekolah ini", kata Haji Rahizam yang menunjukkan beberapa perubahan baru sekolah ini kepada Fattah.
Fattah tersenyum sahaja melihat perubahan besar sekolah ini yang jauh berbeza berbanding sebelum ini. Ternyata, peristiwa hitam lima tahun lalu tidak menghalang Darul Ibnu Sinar untuk bangkit demi mendidik anak bangsa dan agama. Di dalam hatinya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.
"Baguslah begitu Haji, seronok saya mendengarnya. Macam mana dengan proses pengambilan pelajar selepas itu?", soal Fattah.
Haji Rahizam tersenyum manis. "Di luar jangkaan saya Fattah. Sejak daripada peristiwa itu, ramai kalangan ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Waktu itu, saya memang terkejut sangat kerana sebelum ini pihak Darul Ibnu Sinar terpaksa iklankan di media sosial dan sebagainya. Persepsi masyarakat terhadap sekolah tahfiz telah berubah secara drastik".
"Oleh sebab pihak kami terima banyak sumbangan serta tajaan, kami sebulat suara untuk besarkan kuota pengambilan daripada 30 kepada 50 pelajar", kata Haji Rahizam lagi sebaik sahaja mereka berempat tiba di bangunan kediaman pelajar.
"Ini adalah bangunan kediaman baru untuk pelajar di sini. Ianya baru sahaja siap dalam... Hmm, berapa ya Saiful?", soal Haji Rahizam kepada Ustaz Saiful, salah seorang pengajar merangkap warden di sekolah ini.
"Dua bulan macam itu", balas Ustaz Saiful dengan tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju Melayu.
"Ya, dua bulan lepas. Jadi, kami pindahkan pelajar ke bangunan ini sebagai kediaman rasmi mereka. Ada penambahbaikan daripada segi keselamatan", kata Haji Rahizam yang menunjukkan pintu keluar dan pintu masuk yang berbeza. Beliau juga menunjukkan pintu kecemasan sekiranya berlaku perkara buruk seperti sebelum ini.
"Tingkap asrama pun kami dah tambah baik daripada segi keselamatan. Jeriji besi dah tak ada seperti sebelum ini", katanya kepada Fattah sambil berjalan ke kediaman itu. Setelah tiba di dalam, Haji Rahizam menunjukkan perkara-perkara yang diperkatakan sebelum ini kepada Fattah.
Haji Rahizam membuka pula pintu kecemasan khas itu untuk menunjukkan laluan keluar yang menuju ke surau sekolah ini. Fattah melihat dengan perasaan kagum. Segala aspek keselamatan yang pernah menjadi perdebatan ramai pihak sebelum ini telah diperbaiki sebaiknya.
"Berapa lama nak siap semua ini Haji?", soal Fattah.
"Lama juga, kalau termasuk tahun ini kira-kira dalam empat tahun macam itu", ujar Haji Rahizam. Fattah menganggukkan kepalanya. Faham dengan penjelasan daripada pengetua tahfiz ini.
"Habis itu, kediaman lama itu macam mana?", soal Fattah lagi.
"Kediaman di situ telah dikosongkan. Kami masih berbincang lagi untuk jadikan bilik itu sebagai bilik apa", balas Haji Rahizam ringkas. Beliau kemudian memerhatikan sahaja reaksi Fattah yang melihat kawasan kediaman pelajar ini dengan senyuman manis.
"Syabas ya Haji dan semua. Saya kagum dengan semangat korang yang tidak putus-putus dalam memberikan didikan kepada anak-anak kita", kata Fattah sambil memerhatikan wajah setiap lelaki di situ dengan pandangan kagum. Mereka bertiga hanya berdiam diri sambil tersenyum.
"Jom, Fattah. Kita ke dewan makan. Ada juadah sedikit untuk kamu", kata Haji Rahizam dengan wajahnya yang sentiasa tersenyum. Fattah terkejut mendengarnya dengan tertawa kecil. "Tak apalah Haji, saya dah makan sebelum bertolak tadi", katanya.
"Tak apa, juadah dah siap dah pun. Bukan selalu kita nak raikan kedatangan kamu, individu yang sentiasa menabur bakti di sekolah ini. Jom", balas Haji Rahizam. Fattah tersenyum lalu berjalan bersama-sama menuju ke dewan makan.
***
11.00pm
Kereta Honda Civic Type R FK8 itu meluncur laju merentasi laluan lebuh raya itu. Fattah memandu seorang diri dengan riak wajah yang masam mencuka. Sebentar lagi, ada perkara yang perlu diselesaikan.
Sepanjang dalam pemanduan, fikirannya teringat akan perbualan dirinya dengan Haji Rahizam di Darul Ibnu Sinar sebentar tadi ketika berada di Dewan Makan. Soalan yang diajukan adalah berkenaan dengan peristiwa lama yang berlaku di sekolah itu.
"Haji tak ada rasa apa-apa dengan suspek-suspek itu? Maksud saya, berdendam ke sebab mereka yang membakar kediaman sekolah ini dahulu".
Haji Rahizam tersenyum sahaja. "Memang apa yang dilakukan oleh mereka itu adalah perkara yang tidak berperikemanusiaan. Susah untuk saya lupakan perkara itu. Awalnya, memang saya tidak dapat maafkan mereka bertujuh itu".
Haji Rahizam meneguk secawan kopi di atas meja itu sebelum menyambung semula kata-katanya. "Tapi, kalau saya berdendam dengan mereka, maknanya saya dengan mereka tidak ada bezanya. Mereka lakukan perkara itu kerana dendam. Jadi, kalau saya berdendam juga? Maknanya, apa beza saya dengan dia".
"Haji maafkan mereka?", soal Fattah.
"Memaafkan seseorang itu bukannya semudah memohon maaf. Lebih-lebih lagi jika kesalahan itu adalah kesalahan besar. Tapi, saban hari saya selalu berdoa agar warga Darul Ibnu Sinar ini dijauhkan daripada memiliki sifat dendam itu. Dendam itu bahaya Fattah. Ianya boleh mencipta seekor raksasa yang ganas".
"Tentang kejadian culik itu, saya serahkan kepada Allah s.w.t. Hanya Dia yang tahu tentang perkara yang berlaku ketika ini. Kalau ada sesuatu buruk yang menimpa mereka, saya rela hati memaafkan mereka dengan harapan agar mereka telah berubah dengan sebenar-benar perubahan.
"Dendam itu boleh merosakkan seseorang. Tetapi, memaafkan kesalahan seseorang itu adalah salah satu anugerah yang terindah. Ianya balas dendam yang paling baik dengan membuka pintu kemaafan kepada mereka".
Fattah menggelengkan kepalanya. Raut wajah setiap suspek itu terlintas di benak fikirannya. Perasaan marahnya semakin menebal. Pedal minyak semakin kuat ditekan.
"Kalau maaf itu anugerah yang terindah, kenapa masih ada yang tersakiti?", kata Fattah bermonolog sendirian.
"Pada dia ya, tapi aku tidak. Jangan harap aku boleh senang-senang maafkan korang dengan apa yang korang buat dahulu. Aku nak korang rasa apa yang Akmal alami lima tahun dulu. Siaplah korang".
Fattah bermonolog dengan nada suara keras. Kereta yang dipandunya semakin laju. Dia ingin segera sampai ke lokasi memandangkan janji yang diucapkan kepada setiap ahlinya adalah 11.30 malam. Perasaannya semakin seronok membayangkan bagaimana reaksi suspek itu menerima siksaannya sebentar lagi.
Share this novel