Bab 15

Action Series 13414

8.00pm

Sebuah kereta pacuan empat roda jenis Ford Triathon itu berhenti di tepi sebatang jalan. Kereta yang membawa empat orang penumpang termasuk pemandu itu berhenti di situ disebabkan terdapat satu urusan penting yang perlu dilakukan. Riko, Mazlan, Joe serta Hisham keluar daripada kereta itu.

"Cepat sikit, nanti ada orang nampak nanti", ujar Mazlan.

Riko segera membuka pintu bonet belakang kereta itu. Dia segera memeluk mayat rentung yang sudah dibalut dengan kain putih itu lalu dicampakkan di dalam semak tepi jalan itu. Selepas membuang mayat rentung itu, Riko meludah di bahagian sisi rumput itu sebelum masuk ke dalam kereta.

Mengikut petua lama orang Melayu dahulu, selepas membuang bangkai, harus meludah ke kiri dan kanan sebelum berlalu meninggalkan kawasan itu. Bimbang jika ada yang mengikut pulang. Setelah selesai, mereka berempat masuk ke dalam kereta pacuan empat roda itu meninggalkan kawasan tersebut.

***

Markas Kumpulan Black Dahlia Murder(Lokasi Rahsia)

Kereta pacuan empat roda jenis Ford Triathon itu masuk ke perkarangan kawasan ini. Mereka berempat keluar daripada kereta untuk pulang ke kediaman masing-masing. Mazlan serta Riko menuju ke kenderaan masing-masing lalu beredar meninggalkan kawasan itu.

"Eh, Sham. Boleh tak kau tolong hantar aku balik? Kereta aku masih ada di ibu pejabat lagi. Takkan aku nak kena pergi ke sana semata-mata nak ambil kereta sahaja. Boleh tak?", soal Joe kepada Hisham.

Hisham yang pada waktu itu sedang memanaskan enjin keretanya mengangguk lalu mengarahkan Joe untuk duduk di kerusi penumpang hadapan. Pegawai polis itu menurut sahaja.

"Kau nak aku hantar sampai depan rumah ke?", soal Hisham.

"Eh, tak. Kau berhentikan aku di sebuah taman permainan berdekatan dengan rumah aku. Nanti pandai-pandailah aku jalan sendiri", balas Joe pula. Hisham mengangguk faham. "Kau hati-hati sikit. Polis mesti ramai cari kau ini sebab kau kan hilang dalam serangan itu. Kalau orang lain nampak kau, habis kita".

"Tak apa, aku dah biasa alami situasi macam ini semasa buat undercover dulu. Tak ada apa nak dirisaukan. Kalau isteri aku nampak aku balik pun sekejap lagi pun tak apa. Tahu lah aku nak uruskan macam mana", kata Joe lagi menjawab pernyataan Hisham.

Hisham hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak tahu untuk berinteraksi apa, dia mula menekan minyak lalu keretanya bergerak meninggalkan perkarangan markas utama ini sambil disaksikan oleh Fattah bersama lelaki bertopeng di dalam bangunan besar itu.

"Betul ke apa yang ayah buat ini? Kenapa perlu arahkan mereka semua balik ke rumah masing-masing dalam keadaan macam ini? Buatnya mereka berempat itu lari dari sini, macam mana?", soal lelaki bertopeng itu kepada Fattah. Fattah hanya tersenyum sahaja sambil mulutnya mengeluarkan kepulan asap rokok yang disedutnya tadi.

"Kau tak perlu risau. Mereka tak akan dapat lari dari sini. Keadaan mereka pun dah teruk, tak boleh berjalan. Lagipun bangunan ini besar, susah untuk dia jumpa jalan keluar", kata Fattah menjawab soalan lelaki bertopeng itu.

"Baik kita selesaikan sahaja mereka semua itu hari ini. Saya pun dah naik meluat tengok mereka berempat itu", kata lelaki bertopeng itu lagi. Fattah hanya tertawa sinis sahaja.

"Ada sebab aku biarkan mereka semalaman disini tanpa pengawasan kita. Kalau kau nak tahu, siang tadi kita dah penggal kepala si Alang itu dan letakkan di dalam bilik tahanan itu. Kalau kau ada, kau mesti suka tengok reaksi wajah masing-masing yang ketakutan".

"Jadi, aku biarkan mereka semalaman di sini untuk seksa mental mereka. Boleh ke tidak tidur bertemankan kepala kawan sendiri", ujar Fattah menerangkan motif dia melakukan perkara itu. Lelaki bertopeng itu hanya mendiamkan diri sahaja.

"Dah, jomlah kita balik. Biarkan mereka berempat itu. Pintu bilik tahanan pun dah dikunci oleh Latiff petang tadi. Elok lah kita gerak, nanti mak kau tanya pula kenapa balik lambat sangat kan", ujar Fattah kepada lelaki bertopeng itu.

Mereka kemudian keluar daripada bangunan besar itu menuju ke kenderaan masing-masing. Fattah menuju ke kereta Honda Civic FK8 miliknya manakala lelaki bertopeng itu menunggang motosikal jenis y15zr jenama Yamaha. Mereka berdua berlalu meninggalkan kawasan itu sebelum berpecah mengikut haluan masing-masing.

***

Keempat-empat banduan itu terbaring lemah sambil menggigil ketakutan. Hal ini disebabkan di tengah bilik tahanan itu ada kepala Alang yang sudah rentung. Mereka berempat menggigil disebabkan ketakutan yang amat sangat.

'Argghh'.

Bulu roma mereka berempat tegak berdiri mendengar jeritan itu. Setahu mereka, kawasan ini sudah sepi tidak sesiapa melainkan mereka berempat. Kimi yang terbaring berhampiran pintu bilik tahanan itu segera mengengsot ke arah rakan-rakannya supaya lebih rapat lagi.

Bunyi kerusi dikalihkan juga kedengaran di atas siling bilik itu. Mereka berempat mula menangis teresak-esak disebabkan terlalu takut. Aboi yang terbaring itu mengalihkan pandangannya ke arah Abot yang cedera parah itu. Beliau antara yang paling teruk diseksa oleh kumpulan tadi.

Tiba-tiba, pandangan Aboi menjadi buntang. Terkejut dengan apa yang dilihatnya. Kepala rentung Alang sudah beralih sendiri daripada bahagian tengah bilik itu. Kini kepala hitam itu berada betul-betul di hadapannya.

"Arrgghh, kepala itu bergerak weh. Tolong!".

Tiga yang lain terkejut mendengar jeritan Aboi. Mereka juga menjadi terkejut apabila melihat sendiri kepala itu bergolek dengan sendiri ke arah setiap satu daripada mereka. Bilik berkenaan nyaring dengan jeritan demi jeritan daripada mereka. Malam itu dirasakan terlalu panjang buat mereka.

***

"Assalamualaikum".

"Waalaikumsalam. Awal balik bang", jawab seorang wanita berusia sewaktu melihat suaminya pulang. Lelaki tua itu tersenyum manis sahaja ke arah isterinya.

"Awak ini, elok lah abang balik awal. Tak ada lah nanti awak nak tunggu lama sampai tengah malam. Jadi, abang pun baliklah awal", kata Fattah. Ya! Lelaki itu adalah Fattah. Wajahnya masih tersenyum manis ke arah isterinya, Hasnah yang telah dinikahi selama tiga dekad itu.

"Mana lah tahu, kalau abang sibuk ke dengan urusan kelas saham abang itu", balas Hasnah pula.

"Hari ini kelas itu dapat habis awal kerana tak ramai yang sertai kelas tersebut. Jadi, abang pun pulang ke rumah", jawab Fattah sambil tersenyum lagi.

"Abang dah makan ke? Lauk masih ada lagi itu", soal Hasnah. Fattah yang berjalan ingin menaiki tangga rumah banglonya berhenti seketika lalu berpaling. "Belum lagi Nah. Kejap lagi abang turun makan ya. Abang nak mandi sekejap", kata Fattah sebelum menghilang daripada anak tangga itu.

Fattah bersiap sedia untuk membersihkan dirinya. Tuala berwarna putih sudah dililit di bahagian pinggangnya. Langkahnya diatur ke dalam bilik mandi.

***

Fattah kini duduk di meja makan sambil menikmati hidangan yang dimasak oleh isterinya. Hasnah pula setia menemani suaminya makan di kerusi sebelah. Sesekali Fattah memuji masakan isterinya yang menyediakan lauk ikan patin tempoyak serta bendi dan sambal belacan.

"Nizam ada telefon tak hari ini?", soal Fattah kepada Hasnah. Hasnah hanya berdiam diri lalu menggeleng sahaja. "Barangkali dia sibuk agaknya dengan kerja. Tak apa bang, esok lusa dia ingat kita dia telefon lah kita. Tapi tadi dia ada hantar mesej di WhatsApp. Dia kirim salam dekat abang", kata Hasnah.

"Awak jangan nak jaga hati abang sangat. Abang tahu dia tak cakap macam itu pun. Hmm, kalau sibuk sekalipun apa salahnya telefon kita sekejap. Lima minit pun jadilah. Boleh kita berbual dengan si Sofia, cucu kita itu. Setakat hantar mesej sahaja, buat apa", kata Fattah sambil mengeluh panjang.

"Tak elok mengeluh depan rezeki", tegur Hasnah dengan nada lembut. Fattah termenung sahaja selepas makanannya sudah habis dimakan.

"Abang bukan apa, abang rasa dia masih marahkan abang lagi tentang kematian Akmal. Kalau abang tak beria-ria nak hantar arwah ke sekolah tahfiz itu, mungkin...", belum sempat Fattah menghabiskan kata-katanya, Hasnah menepuk lengan lelaki itu lalu mencelah percakapan Fattah.

"Ish, abang ini. Tak ada maknanya dia nak marahkan abang. Lagipun, kejadian itu dah berlalu. Abang tak perlu nak salahkan diri abang sahaja", balas Hasnah. Fattah hanya mendiamkan diri sahaja. Dia bangun daripada kerusi untuk menuju ke sinki tanpa sepatah kata. Hasnah hanya mampu mengeluh sahaja.

***

12.00am

Fattah terkebil-kebil di atas katil disebabkan matanya tidak dapat tidur sedangkan isterinya, Hasnah sudah lama dibuai mimpi. Lengan kirinya diletakkan di atas matanya sambil dipejam mata itu untuk membolehkan dirinya mudah tidur. Namun begitu, ianya tidak berkesan.

"Aishh".

Lelaki tua itu bangun daripada pembaringannya sambil termenung. Pandangannya seketika ditujukan ke sebuah almari besar yang mempunyai beberapa album gambar kenangan keluarganya. Album-album itu tersusun rapi di almari berkenaan. Punggungnya diangkat lalu menuju ke almari tersebut.

Satu album besar telah diambil daripada koleksi album gambar yang lain. Di hadapan kulit album itu, terdapat gambar sekumpulan keluarga sedang tersenyum riang dengan busana lengkap Hari Raya Aidilfitri enam tahun yang lalu. Album itu dibuka lalu Fattah menatap satu persatu gambar berkenaan.

Satu keping gambar dirinya bersama seorang budak lelaki sedang tersenyum ceria ditenung dengan hati yang sayu. Kanak-kanak lelaki itu satu masa dahulu selalu menceriakan rumah besar ini. Fattah termenung mengingati semula kenangan demi kenangan antara dirinya bersama arwah cucunya, Akmal.

Bab seterusnya akan mendedahkan bagaimana Fattah berubah menjadi manusia kejam selepas kematian cucunya, Akmal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience