Deretan kereta polis serta unit gerak khas telah tiba di lokasi kejadian. Di samping itu, kenderaan seperti van ambulans juga dikerahkan ke sini bagi membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Inspektor Zailani yang mengetuai gerakan ini terkejut melihat situasi di hadapannya. Trak serta kereta polis terbalik manakala beberapa orang anggota yang mati ditembak bergelimpangan di atas jalan. Dia terus keluar daripada kereta lalu memeriksa setiap anggota yang terbaring disitu.
"To..to..tolong".
Inspektor Zailani terkejut mendengar rintihan suara seorang lelaki yang datang daripada trak polis berkenaan. Lelaki itu segera meluru ke bahagian pemandu. Seorang lelaki yang juga pemandu trak itu kelihatan tersepit dengan bahagian kepalanya berlumuran dengan darah.
"Sabar Farhan, kau akan selamat. Bertahanlah", bisik Inspektor Zailani. Farhan kelihatan lemah. Matanya kuyu menahan kesakitan yang masih bersisa.
"Mereka ramai Zai.. Tujuh sus...pek it...itu dah di..larikan", kata Farhan dengan nada suara yang tersekat-sekat.
"Jangan cakap apa-apa weh. Kau perlukan rehat", balas Inspektor Zailani. Namun begitu, apa yang disampaikan oleh Farhan tetap diterimanya cuma bukan masanya untuk dia bertanya dengan lebih lanjut.
Seluruh unit penyelamat yang bertugas membawa mangsa yang cedera serta terkorban ke hospital. Inspektor Zailani kemudian mengeluarkan telefon pintarnya lalu menghubungi ibu pejabat.
"Hello, tuan. Anggota kita telah diserang tapi tak dapat dipastikan lagi daripada mana. Hanya seorang sahaja anggota yang selamat iaitu Farhan, pemandu trak polis", kata Inspektor Zailani di talian.
"...".
"Farhan ada beritahu bahawa kumpulan yang menyerang mereka sangat ramai. Cuma, tak dapat dipastikan lagi berapakah jumlah serta kumpulan apa. Tujuh suspek yang sepatutnya ke mahkamah Hari ini telah hilang. Saya percaya, mereka telah dilarikan oleh kumpulan berkenaan", kata Inspektor Zailani lagi.
"...".
"Baiklah, tuan", panggilan tamat. Inspektor Zailani meraup raut wajahnya. Tak dapat dibayangkan bagaimana keadaan di perkarangan mahkamah tinggi ketika ini.
***
Perkarangan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur
Suasana disini ketika ini agak kecoh susulan pengumuman yang dibuat oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Tan Sri Abu Bakar Maun di kaca televisyen. Pengumuman dibuat berkenaan kejadian serangan telah menimpa pasukan pengiring yang membawa tujuh suspek berkenaan. Para petugas media yang mendapat berita terbaru daripada studio berita juga terkejut mendengar perkhabaran ini.
"Macam mana pula boleh kena serang? Siapa yang serang mereka?".
"Macam mana korang ini buat kerja? Boleh pula kena serang dengan entah siapa-siapa entah".
"Jangan-jangan, mereka dibawa ke mahkamah lain sebab takut dengan situasi di sini agaknya".
Suara-suara sumbang jelas kedengaran dalam kelompok yang berkumpul di perkarangan mahkamah ini. Mereka mula bertempik meminta penjelasan yang lebih jelas tentang kejadian berkenaan. Pada mereka, mustahil ada kes serangan seperti itu terhadap anggota polis.
"Tuan-tuan, sila bertenang. Jangan timbulkan sebarang kekecohan di sini. Biar pihak polis melakukan kerja-kerja mereka. Kita masih tidak tahu apa yang berlaku ketika ini. Sila bertenang", kata seorang anggota anti rusuhan (FRU) menggunakan pembesar suara.
"Nak bertenang macam mana, tujuh budak itu mesti sudah terlepas sebab kena serang konon. Kami nak mereka dihukum mati", tempik salah seorang peserta di perhimpunan itu.
Tiba-tiba, salah seorang ahli himpunan itu melemparkan kasut ke arah kumpulan FRU itu. Mereka tergamam seketika, namun situasi bertambah buruk. Semua orang yang berkumpul di situ mula melakukan perkara yang sama sambil berteriak kuat.
"Bawa mereka ke sini. Kami nak jumpa mereka".
"Jangan nak sorok daripada kami lagi. Kalau berani buat dahulu, kenapa sekarang baru nak rasa takut berjumpa dengan kami. Satu Malaysia nak tengok mereka itu".
Keadaan semakin teruk apabila kumpulan berkenaan bertindak untuk merempuh anggota FRU itu. Ahli keluarga mangsa yang terkejut melihat situasi di luar perkarangan mahkamah itu terpaksa melarikan diri mencari tempat berlindung.
"Cepat buat rakaman, kita buat liputan terus", kata Syazwani Bakri, wartawan daripada Harian Metro kepada jurukameranya, Mohd Hafiz Riduan.
"Baik, aku memang nak rakam pun", balas Hafiz yang bergegas memasang kamera besarnya itu.
***
Di sebuah kedai makan yang bernama Leha Mendunia, tayangan secara langsung ditayangkan di kaca televisyen. Siaran RTM itu menunjukkan kumpulan bukan kerajaan sedang merusuh menentang anggota pasukan anti rusuhan, FRU.
"Kami membawakan secara langsung liputan tentang kes kebakaran asrama mahad tahfiz Darul Ibnu Sinar di mana nasib ketujuh-tujuh suspek yang menjadi dalang dalam tragedi menyayat hati itu akan diketahui hari ini. Walaubagaimanapun, terdapat berita yang baru kami terima ini agak mengejutkan dimana pasukan yang membawa tujuh suspek itu telah diserang oleh sekumpulan lelaki lengkap bersenjata api", kata wartawan RTM, Liza Bakarin.
"Hah? Kena serang?".
"Astaghfirullahalazim, macam mana pula boleh jadi macam itu".
Beberapa pelanggan yang berada di dalam restoran ini terkejut mendengar berita berkenaan. Pemilik restoran, Siti Musleha mengambil alat kawalan jauh televisyen lalu menguatkan suara televisyen berkenaan. Ternyata, hari ini adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia telah bertukar menjadi hari paling mendebarkan.
"Shhhh, diamlah", kata Siti Musleha meminta pelanggan restoran itu supaya diam sebentar selepas mereka berbual sesama sendiri tentang kejadian itu.
"Dalam kejadian serangan mengejut itu, kesemua anggota yang terlibat dalam rombongan berkenaan telah terkorban di tempat kejadian. Tujuh suspek berkenaan juga telah hilang dipercayai telah dilarikan oleh kumpulan bersenjata itu".
"Walaubagaimanapun, hanya seorang anggota sahaja yang terselamat iaitu seorang pemandu trak polis yang membawa tujuh suspek itu. Ketika ini, beliau sedang menjalani rawatan di unit rawatan rapi selepas kecederaannya yang parah di kepala".
"Ketika ini, situasi di luar perkarangan mahkamah ini agak tegang dengan beberapa kumpulan daripada pertubuhan bukan kerajaan telah menyerang anggota pasukan anti rusuhan, FRU susulan berita kejadian serangan berkenaan diketahui mereka. Sekian sahaja daripada saya, Liza Bakarin. RTM", Liza Bakarin mengakhiri penyampaian info berkenaan.
Selepas itu, kamera berita berkenaan mula menunjukkan suasana riuh di luar perkarangan mahkamah itu sebelum tamat berita ringkas berkenaan. Setelah habis berita ringkas itu, pelanggan di dalam restoran ini mula bercerabih sesama mereka tentang kes serangan itu. Masing-masing mula membuat teori sendiri berkenaan kejadian serangan itu.
Siti Musleha mula memperlahankan suara televisyen itu. Di dalam hatinya sempat berdoa agar tujuh suspek yang paling dibenci oleh seluruh Malaysia ketika ini ditemui. Walaupun dia tidak ada kaitan dengan sekolah tahfiz itu, namun dia juga sama seperti orang lain yang memasang dendam kebencian terhadap tujuh penyangak yang layak digelar sebagai iblis. Baginya, kejahatan yang dilakukan lebih dahsyat daripada seekor iblis.
Share this novel