6.30am
Maria sedang bertungkus lumus di dapur menyiapkan menu laksa Johor buat anak tunggalnya. Awal pagi lagi ibu tunggal itu sudah bangun daripada tidurnya bagi menyediakan segala barang kelengkapan untuk memaksa. Kini, menu itu sudah hampir siap. Hanya perlu dimasukkan ke dalam bekas yang sudah tersedia sahaja.
Namun begitu, hatinya terasa berdebar dan cemas bagai nak gila. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya. Akibatnya, sewaktu memasukkan kuah laksa yang sudah siap dimasak ke bekas lain, bekas yang dipegang itu terlepas menyebabkan kuah itu tertumpah separuh daripadanya. Maria hanya mengomel seorang diri sambil mencari kain lain untuk mengelap kuah yang tumpah itu.
Malang sekali lagi buatnya apabila kali ini kakinya tersadung menyebabkan dia terjelopok di atas lantai. Maria mengaduh kesakitan. Tubuhnya segera bangkit lalu duduk seketika di atas lantai itu sambil beristighfar. Nafas panjang dihembus perlahan-lahan untuk menenangkan diri tetapi hatinya tetap berdebar hebat.
"Ya Allah, kenapa aku berdebar sangat ini? Ada apa-apa yang berlaku ke?".
Maria bangun daripada lantai lalu meneruskan kembali kerja-kerjanya yang tertangguh. Kuah yang tumpah di atas dapur itu sudah dilap bersih. Tangannya gigih memasak kembali kuah laksa itu disebabkan jumlahnya sudah sedikit. Maria hanya perlu menambah sedikit sahaja isipadu kuah itu.
Akhirnya, menu laksa Johor itu sudah siap sepenuhnya. Bekas berisi mi serta kuah laksa itu sudah selamat berada di dalam beg. Maria melihat jam dinding yang tergantung di atas finding rumahnya. Jarum panjang sudah menunjukkan angka 6.45am. Tualanya yang tergantung di atas tiang penyidai diambil untuk membersihkan diri.
Setelah 20 minit bersiap, Maria sudah lengkap berpakaian uniform untuk keluar bekerja. Beg makanan buat putera tunggalnya juga sudah dijinjing keluar daripada rumah. Beliau mengeluarkan telefon pintarnya untuk menghubungi seseorang tetapi entah bagaimana, pegangan telefon itu terlepas menyebabkan alat komunikasi itu jatuh di atas jalan rumahnya.
"Astaghfirullahalazim, lepas satu-satu jadi. Ish", Maria mengomel sendirian sambil membongkok mengambil telefon pintarnya yang sudah jatuh terlangkup. Skrin berkenaan sudah retak menanti belah. Namun, ianya masih dapat lagi digunakan selepas diuji oleh Maria. Maria beberapa kali menekan skrin itu menggunakan ibu jarinya. Mujur ianya masih berfungsi lagi.
Maria masuk ke dalam kereta untuk memulakan perjalanan. Setelah enjin dipanaskan selama 5 minit, kereta itu mula bergerak keluar daripada perkarangan rumahnya. Wanita merangkap ibu tunggal itu keluar semula daripada kereta selepas berhenti seketika untuk menutup pintu pagar rumahnya. Setelah berpuas hati, Maria kembali ke keretanya lalu bergerak ke lokasi yang ingin dituju.
Perjalanan yang sepatutnya memakan masa hanya 20 minit itu berubah menjadi agak lama. Entah mengapa, pagi ini terjadi kesesakan lalu lintas yang teruk selepas keretanya masuk ke kawasan jalan menuju ke sekolah anaknya. Kini, kereta Viva miliknya berhenti seketika akibat kesesakan lalu lintas yang agak dahsyat. Bingung Maria dibuatnya melihat akan kesesakan ini.
"Dah kenapa jalan jammed teruk hari ini? Sebelum ini tak ada pula macam ini. Ish, ada orang tengah buat jalan ke?", Maria mengomel sendirian sambil kepalanya yang bertudung itu ralit memerhatikan keadaan sekeliling jalan ini. Ikatan tudung itu agak sempurna selepas dia pelajarinya di YouTube malam tadi.
Namun begitu, papan tanda pemberitahuan jalan sedang dibaiki langsung tidak kelihatan. Tetapi, jalan masih sesak sehingga sukar untuk kenderaan empat roda bergerak lancar. Maria mengambil telefon pintarnya untuk menghubungi seseorang. Nama SV Saiful, iaitu pekerja merangkap supervisor dibawah seliaannya segera dihubungi.
"Hello, Pul. Kau ada kunci kedai kan?", soal Maria kepada pemanggil di hujung talian.
"...".
"Alhamdulillah, okay macam ini. Akak mungkin lambat sikit sebab nak singgah sekolah anak akak sekejap. Ikutkan sempat sampai awal ke kedai tapi masalahnya sekarang, jalan jammed teruk pula. Kalau Noni dengan Miza sampai, korang masuk sahaja dahulu", kata Maria memberikan pesanan.
"...".
"Nanti bila akak dah sampai, baru kita pergi bank. Kau pergi dengan Noni nanti ya. Okay, baik. Terima kasih Epul", kata Maria lalu mematikan talian telefonnya. Jam sempat dikerling pada pergelangan tangannya. Sudah hampir jam 8.00, dirinya masih lagi tersekat di sini.
***
Setelah bersusah payah meredah kesesakan lalu lintas, akhirnya Maria sampai juga di lokasi yang ingin ditujunya. Namun begitu, fikirannya sekali lagi bingung dengan raut wajahnya masih lagi buntu melihat keadaan di sini. Bilangan kenderaan agak banyak menyebabkan dia terpaksa meletakkan kereta jauh daripada kawasan sekolah anaknya.
Sambil menjinjit beg berisi makanan yang sudah dimasak pagi tadi, mata Maria ralit memandang kawasan ini. Kenderaan rasmi anggota PDRM, trak pemadam api Bomba dan Penyelamat, serta beberapa van petugas media penuh di kawasan ini. Orang ramai juga turut membanjiri sepanjang jalan ke sekolah tahfiz anaknya. Hati wanita itu semakin berdebar menyaksikan situasi ini.
Maria terpaksa bersesak-sesak menolak orang ramai untuk dirinya berjalan ke sekolah anaknya. Sepanjang jalan, telinganya tajam mendengar pertuturan orang ramai sesama mereka menyebabkan hatinya semakin berdebar dan cemas. Akibat tidak puas hati, Maria bertindak menyoal salah seorang wanita iaitu penduduk di sini.
"Akak, tumpang tanya. Kenapa ramai sangat orang di sini? Ada apa-apa yang berlaku ke?", soal Maria kepada salah seorang wanita. Wanita itu sedikit berusia. Raut wajahnya redup melihat ke arah Maria.
"Asrama sekolah tahfiz itu terbakar waktu Subuh tadi. Tak tahu apa puncanya", kata wanita itu kepada Maria. Maria terkejut mendengarnya. Fikirannya serta merta teringat akan raut wajah Irfan, anak lelaki tunggalnya.
"Teruk ke kebakaran itu kak?", soal Maria lagi. Wanita itu mengangguk sambil menitiskan air mata. Maria semakin bingung. Hatinya sesak, fikirannya bercelaru.
"Api kebakaran itu besar sangat. Akak dengar, setakat ini hanya 4 orang yang selamat", kata wanita itu. Maria segera beristighfar lalu berjalan laju menuju ke sekolah tahfiz tersebut meninggalkan wanita tadi. Di dalam hatinya berdoa agar anak tunggalnya itu berada di antara 4 orang yang terselamat itu.
Kaki Maria melangkah laju ke hadapan sekolah itu. Akhirnya, langkahnya selamat sampat di hadapan pintu sekolah tersebut. Matanya buntang melihat keadaan sekolah ini yang penuh dengan orang ramai termasuk para wartawan yang membuat liputan. Beberapa anggota polis serta bomba turut berada disitu. Maria dapat melihat jelas, kawasan asrama pelajar itu sudah hitam rentung. Langkahnya diatur menuju ke dalam sekolah itu namun dihalang oleh seorang pegawai polis.
"Puan, puan tak boleh masuk. Lokasi ini hanya kami sahaja yang dibenarkan masuk. Boleh saya tahu puan siapa?", soal lelaki itu.
"Saya ibu kepada salah seorang pelajar di sini. Kenapa dengan asrama ini tuan?", soal Maria kepada lelaki beruniform itu.
"Siapa nama anak puan?"
"Irfan Aliff".
"Maaf puan, maksud saya nama penuh dia", lelaki itu mengulang kembali soalan tersebut.
"Muhd Irfan Aliff bin Syukri", jawab Maria dengan nada berdebar. Selepas itu, Maria dibenarkan masuk untuk bertemu dengan dua anggota lain yang berada di dalam. Maria melangkah dengan hati yang berdebar-debar.
'Ibu harap kamu selamat nak. Ibu datang bawa laksa Johor yang kamu nak itu. Ya Allah, selamatkan anakku', Maria berkata demikian di dalam hatinya. Wanita itu kemudian memperkenalkan dirinya sama seperti di pintu masuk tadi kepada dua orang anggota polis di situ.
Dua anggota itu kemudiannya berbincang dengan salah seorang lelaki memakai kopiah di kepala. Lelaki itu adalah pengetua sekolah ini, Ustaz Haji Rahizam. Beliau menyerahkan dua helai kertas di tangannya kepada anggota polis itu. Mereka berdua melihat seketika kertas berkenaan.
"Boleh saya tahu nama anak puan tadi apa ya?", soal pegawai wanita itu.
"Muhd Irfan Aliff bin Syukri", Maria menyebut lagi nama itu kepada anggota polis wanita berkenaan. Wanita itu mengeluh seketika sambil memandang ke arah Maria beberapa kali. Nafasnya ditarik panjang sebelum dihembus perlahan. Dia mula mendekati ke arah Maria sambil memegang tangan wanita itu.
"Puan, saya harap puan bersabar", kata-kata ringkas itu cukup untuk menggelapkan dunia Maria tika ini. Matanya terbeliak besar.
"Anak puan, Muhd Irfan Aliff antara yang terkorban dalam kebakaran pagi tadi. Saya mohon maaf".
Maria melopong mulutnya mendengar khabar itu. Kedua tangannya menutup mulutnya kerana terkejut. Nafasnya terasa bagai tersekat di hujung kerongkongnya. Akhirnya, Maria melepaskan raungan tangisan yang sangat kuat.
"KENAPA? KENAPA BOLEH JADI MACAM INI?", Maria melolong menangis akibat terlalu sedih sehingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa petugas wanita di situ. Pegawai berkenaan juga kelihatan sebak. Dia sendiri tidak dapat menerima berita kejadian ini yang mengorbankan ramai nyawa cilik.
"Dia nak laksa Johor hari ini. Dia nak tengok ibu dia pakai tudung penuh. Sekarang ibu dah pakai dah Irfan. Kenapa tinggalkan ibu nak", Maria mengongoi hebat di dalam dakapan polis wanita itu.
"Bawa bersabar puan, bawa bersabar", kata pegawai wanita itu dengan nada sebak. Hanya itu sahaja yang mampu diucapkan ketika ini.
Orang ramai yang mendengar raungan Maria ketika itu hanya mampu bersimpati. Ada juga yang menitiskan air mata kerana sedih dengan perkara ini.
***
Maria kini selamat berada di rumahnya. Kini, kediaman rumahnya penuh dengan kehadiran jiran tetangga serta ahli keluarganya. Maria masih lagi menangis teresak-esak di dalam dakapan ibunya. Hari yang disangka ceria bertukar menjadi gelap segelapnya. Wanita itu terpaksa ditenangkan oleh ibu serta adik beradiknya yang lain.
"Assalamualaikum".
Mereka dikejutkan dengan kehadiran lima orang individu yang hanya dikenali oleh Maria sahaja. Lima individu itu adalah rakan sejawatnya dari kedai lain namun masih berada di bawah syarikat yang sama. Seorang lagi wanita berbangsa Cina turut masuk ke dalam rumah Maria.
Apabila Maria melihat kelibat wanita Cina itu, beliau terus melepaskan tangisan sehingga wanita Cina itu juga turut menangis. Wanita Cina itu adalah pengurus jualan kawasan atau dalam kata lain ASOM, iaitu Madam Lee. Mereka berpelukan seketika sambil diperhatikan oleh orang ramai di dalam rumah ini.
"Saya harap, Maria dapat kuatkan semangat dengan apa yang berlaku. Itu sahaja yang saya boleh cakap", kata Madam Lee sambil mengelap air mata di wajah Maria. Maria hanya mengangguk sahaja sambil menangis.
"Jenazah berada di hospital ke?", Wawa, rakan paling rapat dengan Maria mengajukan pertanyaan kepada Kalsom, ibu kepada Maria. Kalsom mengangguk sahaja. Mereka berdua berbual kosong tentang kejadian yang mengejutkan seluruh Malaysia ini.
"Kami dapat tahu pun sebab berita radio umumkan kejadian ini. Kami tahu yang arwah anak Maria bersekolah di tahfiz itu. Bila nama Irfan keluar di berita terkini, kami terus hubungi Madam Lee untuk datang ke sini", kata Zaleha pula, seorang lagi pekerja di stor lain.
Empat lagi pekerja Maria yang bertugas di shif petang turut hadir memberikan penghormatan dan sokongan. Maria tidak henti-henti menangis hiba. Beliau tidak berhenti bercerita tentang pertemuan terakhirnya semalam bersama Irfan. Mereka yang lain hanya mampu menenangkan Maria sahaja daripada terus berduka.
30 minit kemudian, sebuah van ambulans yang membawa jenazah Irfan selamat sampai di hadapan rumah Maria. Orang ramai memberikan laluan untuk petugas dari hospital masuk membawa jenazah kecil itu ke dalam rumah. Maria hanya memandang kosong sahaja ke arah mereka. Jenazah yang berada di dalam keranda milik hospital itu selamat diletakkan di bahagian tengah ruang tamu rumah.
"Jenazah dah siap kami mandikan. Kalau nak berikan kucupan terakhir, boleh buka di bahagian wajah", kata salah seorang petugas hospital itu kepada Maria sekeluarga.
Maria melangkah ke arah jenazah kecil Irfan yang terbaring kaku itu. Beliau ditemani ibunya yang sentiasa berada disisinya ketika ini. Tangannya terketar-ketar membuka kain di bahagian wajah Irfan. Selepas berjaya membuka ikatan itu, Maria kembali menangis hiba seperti tadi sambil mengusap perlahan raut wajah anaknya yang hitam rentung itu.
"Irfan, kenapa tinggalkan ibu nak. Kenapa awal macam ini tinggalkan ibu?", kata Maria dengan nada hiba. Pandangannya ditujukan tepat ke wajah hitam Irfan itu sambil tangannya mengusap bahagian pipi anak lelakinya. Tidak ada rasa takut pada dirinya ketika ini.
Kalsom juga tidak dapat menahan sebak melihat akan jenazah cucunya. Begitu juga dengan hadirin yang lain turut mengalirkan air mata sewaktu melihat sendiri keadaan jenazah Irfan yang rentung itu. Rakan-rakan sekerja Maria juga menangis hiba. Dugaan yang dihadapi oleh Maria terlalu berat ketika ini.
Maria menangis semahunya sambil mengucup dahi anak lelakinya buat kali yang terakhir. Masih terbayang kaletah anaknya sebelum ini termasuk semalam. Akibat kesedihan yang melampau, Maria rebah di pangkuan Kalsom tidak sedarkan diri.
"Maria. Maria, bangun".
Tubuh Maria terpaksa dipapah ke dalam bilik tidurnya.
***
Seminggu Kemudian
Maria menggeletar tangannya mendengar laporan berita Buletin Utama itu. Ternyata kejadian kebakaran di asrama tahfiz yang mengorbankan ramai nyawa termasuk anaknya itu adalah satu perancangan. Gambar 7 remaja lelaki didedahkan oleh berita itu dengan nama panggilan mereka.
"Apa salah anak aku sial? Apa salah dia?".
Maria mengamuk sambil menghempas beberapa objek yang berdekatan. Kematian anaknya adalah hasil kerja jahat daripada tujuh individu yang tidak dikenalinya. Sukar untuk wanita itu menerima berita berkenaan.
"Aku sumpah dengan nama Irfan Aliff, satu hari nanti, mereka semua akan mati di tangan aku. Aku sumpah".
Biji mata Maria merah menyala seperti raut wajahnya. Dendamnya terhadap 7 remaja itu begitu menebal. Dia berikrar, bahawa tujuh remaja yang merupakan suspek utama itu akan mati sama seperti yang dilalui oleh Irfan.
Share this novel