Kereta yang dinaiki oleh empat anggota polis itu meluncur keluar meninggalkan perkarangan hospital ini. Inspektor Zailani yang duduk di sebelah kerusi pemandu mengeluarkan telefon pintarnya untuk menghubungi pegawai atasannya tentang maklumat yang diperolehi daripada Farhan sebentar tadi. Tiga lagi anggotanya hanya mendiamkan diri sahaja.
"Hello, Assalamualaikum tuan. Kami baru sahaja selesai melawat Farhan di hospital. Ada beberapa perkara penting yang kita dah dapat, tuan", kata Inspektor Zailani kepada ASP Jalalludin Naim yang berada di talian.
"..."
"Farhan beritahu, ada seorang pegawai polis yang selamat dalam kejadian semalam tapi ada sedikit kemusykilan dekat sini tuan", kata Inspektor Zailani. Dia ingin melihat dahulu apa reaksi pegawai atasannya itu.
"..."
"Pegawai polis yang selamat itu langsung tidak dicederakan oleh kumpulan penyerang berkenaan. Apa yang lebih mengejutkan, pegawai polis itu beredar meninggalkan lokasi kejadian bersama-sama dengan kumpulan penyerang terbabit. Saya rasa, pegawai itu adalah dalang dalam kejadian serangan ini tuan dan saya yakin, Inspektor Johari yang hilang itu adalah individu tersebut", ujar Inspektor Zailani dengan panjang lebar.
"..."
"Tak tuan. Farhan mendakwa yang dia langsung tak dapat lihat sendiri wajah pegawai polis itu. Cuma yang dia nampak tindakan individu itu keluar daripada kereta polis dan beredar bersama-sama kumpulan tersebut. Keadaan individu yang membelakangi Farhan menyebabkan dia langsung tak dapat lihat raut wajah individu itu", kata Inspektor Zailani lagi.
"...", Inspektor Zailani mendengar arahan yang diberikan oleh pegawai atasannya itu. Ucapan 'Baik Tuan' acapkali disebut olehnya. Tiga orang anggota bawahannya hanya mendiamkan diri sahaja mendengar apa yang diperkatakan oleh Inspektor Zailani. Setelah selesai, lelaki itu meletakkan panggilan lalu memandang jauh ke hadapan. Satu keluhan kecil dilepaskannya.
"Mengeluh nampak. Apa yang Tuan Jalal cakap selepas tuan beritahu tentang perkara tadi?", Koperal Zainal, selaku pemandu kereta itu menyoal kepada pegawai atasan di sebelahnya.
"Hmm, dia minta kita hubungi unit cawangan Cheras untuk dapatkan butiran latar belakang Inspektor Johari. Ish, makin besar kes ini. Bayangkan dalam kumpulan itu ada 17 orang kesemuanya lengkap dengan senjata api semua boleh serang rombongan polis", ujar Inspektor Zailani sambil mengeluh kecil.
"Kalau Inspektor Johari itu suspek utama kejadian serangan semalam, macam mana dia boleh kumpulkan seramai 17 orang hanya untuk culik 7 banduan itu? Saya pun musykil juga tuan", giliran anggota wanita yang bernama Sarjan Mazwin pula bersuara di tempat duduk belakang.
"Kenapa pula awak cakap macam itu?", soal Inspektor Zailani sambil matanya memandang cermin tengah yang memaparkan pandangan di bahagian tempat duduk belakang.
"Ya lah. Kerjaya macam kita ini sukar untuk kita hubungi orang luar, ajak jumpa ke apa ke. Jadi, macam mustahil pula kalau dia jadi dalang utama. Nak kumpulkan 17 orang dalam satu pasukan ini bukan senang tuan", kata Sarjan Mazwin lagi.
"Barangkali ada individu lain yang menjadi dalang utama kejadian semalam. Mungkin mereka dah lama rancang perkara ini. Jika tidak, macam mana mereka boleh tahu laluan pergerakan rombongan polis semalam", Detektif Ariff pula bersuara memberikan pandangannya.
"Paling menjadi persoalan adalah kenapa 7 banduan itu dilarikan oleh kumpulan penyerang berkenaan? Apa motif mereka bertujuh itu dilarikan?", ujar Koperal Zainal pula.
Inspektor Zailani hanya mendiamkan diri sahaja. Segala persoalan yang timbul hanya berlegar di dalam kereta sahaja. Dia sendiri buntu memikirkan kejadian ini.
***
Seorang lelaki memakai pakaian lengkap uniform polis berjalan masuk ke dalam sebuah bilik khas bersama tiga lagi anggota bawahannya. Di bahagian kedua belah bahunya terdapat jumlah paku yang berbeza corak menunjukkan pangkat seseorang anggota polis. Di bahunya jelas menunjukkan bahawa beliau berpangkat Deputi Komisioner Polis.
Selepas masuk ke dalam bilik berkenaan, beliau bersama tiga anggota yang berpangkat Senior Asisten Komisioner Polis I&II, Asisten Komisioner Polis, dan Supritendan Polis. Mereka berempat adalah antara anggota tertinggi dalam Jabatan Polis Kuala Lumpur. Mereka kini berhadapan dengan beberapa orang wartawan dan pihak media untuk sidang media berkenaan laporan kejadian semalam.
Di siaran televisyen, sidang media ini dibuat secara langsung khas oleh beberapa syarikat media penyiaran antaranya TV3, Ntv7, TV9, RTM, Astro Awani, dan Bernama. Sidang media ini disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang berkelapangan menyaksikan berita ini. Mereka tidak sabar ingin tahu perkembangan kejadian serangan tersebut.
"SeramaiĀ 10 orang anggota polis dilaporkan telah terkorban dalam kejadian semalam. Mereka ialah Inspektor Mohd Daniel Mohd Ali, Konstabel Manan bin Wahab, Koperal Zabidi bin Kassim, Inspektor Mohd Yusri bin Baba, Inspektor Muhd Ashraf bin Saidin, Sarjan Ramasamy a/l Gopallu, Sub Inspektor Muhd Shukri bin Muhd Derus, Sarjan Mejar Hashim bin Dolmat, Lans Koperal Muhd Faisal bin Tajuddin dan Konstabel Farid bin Dewan".
Para wartawan serta jurukamera pantas merakamkan detik laporan yang diberitahu oleh Deputi Komisioner Polis, Abdul Halim Abdul Jalil. Bunyi serta lampu daripada kamera itu jelas menguasai suasana di dalam bilik ini. Lelaki itu kemudian meneruskan semula ucapannya.
"Walaubagaimanapun, seorang anggota polis yang terlibat dalam rombongan itu dilaporkan hilang", belum sempat dia menghabiskan ucapannya, seorang wartawan lelaki mengangkat tangan ingin bertanyakan soalan.
"Ada saya suruh awak tanya apa-apa? Belum lagi kan? Jadi tunggu dulu", kata DKP Abdul Halim dengan nada tegas sekaligus membantutkan hasrat wartawan terbabit.
"Seorang lagi anggota iaitu pemandu trak polis yang membawa tujuh banduan itu mengalami kecederaan parah. Namun begitu, dia disahkan telah stabil oleh pihak hospital dan masih menjalani rawatan di sana. Kami masih lagi menjalankan siasatan kes ini. Baik, ada soalan", kata DKP Abdul Halim. Maka berebut-rebut, para wartawan ingin bertanyakan soalan kepada pegawai tinggi itu.
"Tuan, apakah motif kejadian serangan semalam? Kalau kita lihat sejarah silam tujuh banduan yang dilarikan, mereka adalah suspek utama dalam kejadian kebakaran di asrama tahfiz Darul Ibnu Sinar lima tahun dahulu. Adakah motif utama kes ini adalah dendam?", soal Syazana Jamaludin dari Bernama.
"Kemungkinan besar ya, dan mungkin tidak sebab kita masih tidak tahu tentang kumpulan penyerang ini. Kita masih mencari maklumat tentang kewujudan kumpulan ini sama ada kumpulan pengganas atau bukan. Boleh jadi ianya kerana dendam lima tahun lalu", ujar DKP Abdul Halim menjawab soalan tersebut.
"Tuan, adakah tuan rasa pegawai polis yang hilang itu adalah dalang utama kes serangan semalam?", kali ini giliran Azwan Bakri, wartawan dari Astro Awani pula mengajukan pertanyaan.
"Kami masih melakukan siasatan dengan lebih lanjut. Apa yang boleh saya andaikan, individu itu adalah perancang kejadian serangan ini", jawabnya pendek.
"Adakah kumpulan penyerang itu mempunyai kaitan dengan tujuh banduan yang dilarikan? Kita sedia maklum bahawa tujuh banduan itu mempunyai rekod jenayah sebelum kejadian kebakaran itu berlaku. Jadi adakah ianya berkaitan dengan rakan-rakan suspek yang bebas?", soal Fatin Bazira, wartawan dari TV1 RTM.
"Tidak. Tujuh banduan itu tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah berkumpulan atau erti kata lain, kumpulan gengster. Mereka mempunyai rekod jenayah dalam penyalahgunaan dadah sahaja", jawab DKP Abdul Halim lagi.
Sidang media itu terus berlarutan selama 30 minit dengan pelbagai persoalan diajukan kepada pegawai tinggi itu.
***
Suasana agak riuh di sebuah restoran mamak ini. Masing-masing berbual sesama mereka berkenaan dengan kejadian yang menggemparkan negara semalam. Sidang media khas polis Kuala Lumpur itu sudah selesai. Oleh sebab itu, rata-rata pengunjung berbual sesama mereka lalu mengeluarkan teori masing-masing.
"Nah".
Seorang pelayan restoran itu menyerahkan bungkusan plastik berisi makanan itu kepada seorang pelanggan tua. Lelaki tua itu tersenyum sahaja.
"Berapa mamak?", soal lelaki tua itu.
"RM 9.50", balas pelayan mamak itu. Lelaki tua itu mengeluarkan wang kertas berwarna merah lalu dihulurkan kepada pelayan itu. Beliau bingkas bangun untuk beredar daripada restoran itu.
"Abang, baki", pelayan itu melaung memanggil lelaki tua tadi namun panggilan itu dibalas dengan laungan semula.
"Tak apa, kamu simpanlah bakinya", kata lelaki tua itu sebelum masuk ke dalam kereta jenama Honda Civic Fk8 miliknya. Selepas masuk ke dalam kereta, raut wajah lelaki tua itu tersenyum lebar. Ya! Beliau adalah Fattah.
"Makin besar berita korang ya. Tak apa, esok mesti ada yang jumpa mayat rentung budak itu. Lagi gempar satu Malaya nanti", kata Fattah seorang diri sambil tertawa kecil. Enjin kereta dihidupkan olehnya.
"Baru kau tahu macam mana peritnya kehilangan ahli keluarga. Kau tunggu sahaja esok, hahaha", Fattah bermonolog seorang diri sebelum tertawa besar. Hatinya berasa puas menyaksikan sidang media berkenaan. Fikirannya tergambar bagaimana reaksi ahli keluarga suspek yang gusar dengan kehilangan anak-anak mereka menyebabkan dia ketawa besar semula.
Share this novel