Di Sebuah Lokasi Yang Tidak Diketahui
11.30pm
Beberapa buah kereta mula masuk ke dalam kawasan meletak kereta di hadapan sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Pelbagai saiz kereta yang tiba itu sudah selamat tiba di tempat meletakkan kenderaan yang sudah tersedia. Hatchback, SUV, sedan, semua jenis ada.
Beberapa orang lelaki keluar daripada setiap kereta itu. Namun begitu, masih ada beberapa orang wanita namun jumlahnya hanya boleh dikira dengan jari sahaja. Jumlahnya hanya tiga orang berbanding dengan lelaki yang jumlahnya ada empat belas orang. Mereka bergerak masuk ke dalam bangunan itu.
Mereka kemudiannya memasuki sebuah bilik khas yang di dalamnya terdapat seorang lelaki yang sedikit berusia tersenyum manis melihat kemunculan rombongan itu. Lelaki tua itu mempersilakan kesemua yang hadir untuk duduk di tempat masing-masing. Setelah kesemuanya duduk, lelaki tua itu menghidupkan LCD projektor lalu terpapar bentuk sebuah logo pada skrin berkenaan.
"Baiklah, semua. Assalamualaikum kepada semua ahli pasukan Black Dahlia Murder. Mungkin ada di antara kamu yang tak ingat akan nama saya. Baiklah, biar saya perkenalkan diri saya sekali lagi", lelaki tua itu berdiri tegak sewaktu mula menyampaikan ucapannya.
"Nama saya, Abdul Fattah bin Abdul Rahman. Saya adalah pengasas kepada kumpulan Black Dahlia Murder ini. Tujuan saya cipta pasukan ini kerana ingin melunaskan dendam saya terhadap tujuh orang budak sial yang sanggup buat kerja terkutuk itu", katanya yang memperkenalkan dirinya sebagai Fattah.
Sewaktu menyampaikan ucapan itu, gambar 7 orang kanak-kanak lelaki yang berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun terpapar di skrin projektor itu. Raut wajah kesemua yang hadir itu mulai berubah. Kesemuanya mula menunjukkan riak wajah benci yang amat mendalam terhadap 7 lelaki itu.
"Saya percaya, semua yang ada dalam bilik ini telah kehilangan insan yang tersayang. Ada yang mati anak, ada yang kehilangan adik, anak saudara dan sebagainya. Saya sendiri kehilangan cucu saya dalam kebakaran itu. Bahkan ada juga diantara kita yang merupakan bekas pelajar di sekolah itu yang mengalami kecacatan kekal. Semuanya disebabkan 7 orang budak bangsat ini", katanya sambil menepuk meja berkenaan.
Kelihatan seorang remaja lelaki memakai topeng menutupi bahagian atas wajahnya. Hanya bibir merahnya sahaja yang kelihatan. Remaja itu tunduk sambil tangannya digenggam kuat.
"Abot, Alang, Panjang, Aboi, Adik, Kimi, Sepet. Nama pun dah macam sampah. Kalau kita tengok muka mereka ini, kita mesti tak percaya yang mereka mempunyai akal fikiran yang bernas untuk buat kerja jahat macam itu", sambung Fattah lagi. Kepalanya sempat menoleh ke arah skrin itu seketika sebelum kembali menyambung ucapannya.
"Kita, maaf. Seluruh rakyat Malaysia memang marah akan kejadian ini sampaikan kita rasa mereka memang layak dikenakan hukuman mati. Tapi tak boleh, sebab mereka dibawah umur lagi. Mereka sekarang berada di tahanan juvana selama lima tahun. Sekarang ini, tempoh lima tahun itu dah berlalu. Esok, mereka bertujuh itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk menentukan apa bentuk hukuman yang ingin dijatuhkan", sambungnya lagi.
"Selepas itu, tunggu lagi. Hukuman pula jatuh tak setimpal dengan alasan mereka masih budak-budak lagi. Habis anak aku yang mati itu bukan budak ke?", tiba-tiba seorang wanita berambut kerinting bersuara keras dalam mesyuarat itu.
Seluruh ahli mesyuarat itu berdiam diri sahaja. Mereka memahami apa yang dilalui oleh wanita itu. Seorang wanita berambut panjang yang duduk bersebelahan dengan wanita itu sekadar menepuk bahu agar bertenang.
"Bersabar Maria, esok kita mesti dapat mereka itu", kata wanita itu kepada perempuan berambut kerinting yang dipanggil sebagai Maria. Maria hanya membisu, kepalanya tunduk memandang meja dengan matanya mula merah kerana menahan marah.
"Sejak aku bercerai, Irfan itu sahaja buah hati aku. Besar cita-cita dia nak menjadi seorang ustaz macam Ustaz Kazim. Tapi, kenapa mereka tergamak buat Irfan macam itu?? Apa salah dia sedangkan dia baru sahaja berusia 8 tahun waktu itu", bentak Maria lantang sebelum jatuh air matanya.
Fattah hanya melihat sahaja Maria menangis teresak-esak. Dia juga berasa sedih dengan apa yang dilalui oleh ibu tunggal itu. Namun riak wajahnya kosong tidak berasa apa-apa. Perasaan dendam yang begitu menebal sedang menguasai dirinya ketika ini.
Tiba-tiba, seorang lelaki bersuara kepada Maria. "Tak apa kak, saya yakin esok misi kita mesti berjaya. Saya dah sediakan pelan yang cukup rapi untuk menjayakan misi kita ini", kata lelaki itu.
Fattah tersenyum senang mendengarnya. "Bagus Joe, bagus. Mari sini, terangkan kepada rakan-rakan kita apa yang kita akan buat esok", katanya sambil tangannya memanggil Joe supaya tampil ke hadapan.
Joe bangun lalu tampil ke hadapan sambil diperhatikan oleh Fattah. Tangannya mengeluarkan pendrive yang sudah tersimpan di dalam kocek seluarnya. Pendrive itu dicucuk pada ruang yang sudah disediakan pada komputer riba itu. Ahli yang lain setia menanti apa yang ingin disampaikan oleh Joe.
Di skrin projektor itu, terpapar sebuah lakaran animasi tentang pelan tersebut. "Baiklah, berdasarkan maklumat yang kita dah dapat, esok tujuh orang budak ini akan dibawa daripada Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti. Mereka akan dibawa melalui sebuah jalan lama ini", jelasnya sambil menunjukkan lokasi jalan lama yang dimaksudkan.
"Mereka akan bergerak pada jam 8.30 pagi. Ini bermakna, pukul 6.30 kita mesti dah bersedia untuk bertolak ke sana. Kalian kena maklumkan kepada saya tentang ketibaan kalian sebab ada beberapa kenderaan kita akan diletakkan disini", tangan Joe menunjukkan tempat yang dimaksudkan.
"Maknanya, pergerakan akan tersekat sebab ada halangan di hadapan. Waktu ini, kita dah boleh serang rombongan polis itu", kata Joe menerangkan pelan berkenaan.
"Habis itu, kalau mereka berundur macam mana?", soal salah seorang lelaki.
Joe tersenyum mendengar soalan itu. "Jangan risau, pasukan satu lagi akan tiba di bahagian belakang. Maknanya, nanti akan ada pembahagian dua pasukan. Pasukan A akan berhenti di sini, manakala pasukan B akan mengekori rombongan polis ini. Jangan risau, mereka tidak akan syak tentang perkara itu", jelas Joe lagi.
"Tapi, macam mana kau tahu yang mereka akan bergerak pada jam 8.30 pagi?", soal ahli lain. Sekali lagi Joe tersenyum sinis sahaja sebelum berkata, "Sebab aku antara anggota yang bawa budak-budak penyangak itu. Anak aku kembar belajar di sekolah itu. Kedua-duanya mati di tangan si sial tujuh ekor itu. Takkan aku nak diam", kata Joe dengan nada keras.
"Ada soalan tak?", soal Fattah menukar topik mesyuarat itu. Salah seorang ahli wanita bangun daripada kerusi untuk bertanyakan soalan.
"Maknanya, esok kita hanya perlu menunggu arahan daripada Joe ya?", soal wanita itu. Joe mengangguk sahaja. Setelah itu, tiada lagi soalan yang diajukan lalu Joe dipersilakan untuk duduk di kerusinya semula.
Kemudian selepas itu, seorang lelaki berbadan gempak bangun untuk menyampaikan pelannya pula. Dia yang memperkenalkan diri sebagai Riko menerangkan tentang senjata api yang akan digunakan. Stok senjata api yang bakal digunakan esok antaranya ialah meriam RPG, AK-47, dan rifle yang lain.
"Kita dapat stok ini daripada pasaran gelap. Semuanya atas usaha keras Tuan Fattah yang sanggup melabur untuk menyediakan peralatan itu", jelas Riko setelah selesai menerangkan nama-nama senjata api yang akan digunakan esok.
Selepas Riko selesai menyampaikan pelannya, giliran seorang lagi lelaki bernama Zubir pula tampil ke hadapan. Beliau menerangkan tentang tempat yang akan menempatkan 7 suspek itu serta hukuman apa yang bakal dilakukan kepada mereka.
Akhir sekali, giliran Kimah, iaitu wanita berambut lurus yang duduk di sebelah Maria sebentar tadi pula tampil ke hadapan. Beliau menyampaikan tentang makanan apa yang bakal disajikan kepada tujuh suspek itu. Pada awalnya, pelbagai reaksi negatif dilemparkan kepada Kimah namun wanita itu tenang sahaja.
Gambar beberapa sayur terpapar di skrin projektor itu sekaligus mengundang ketawa besar di kalangan ahli mesyuarat. Kimah hanya tersenyum sahaja. Makanan di atas memang sesuai untuk suspek yang telah membunuh adik bongsunya itu.
"Dah macam kambing pula ya, makan tumbuhan hijau", kata Fattah sambil tertawa.
Setelah selesai semuanya memberikan penerangan tentang kerja yang bakal dilakukan bermula esok, Fattah bangun daripada kerusinya. "Baiklah, sekarang kita boleh berehat secukupnya sebab esok, kita ada misi yang paling besar. Semua yang ada perlu tinggal disini kecuali Joe. Sebab dia kena pergi ambil suspek esok", ujar Fattah.
"Hari ini, simpan dahulu kemarahan kalian semua. Esok, kita dah boleh mula lepaskan dendam kita. Faham?", kata Fattah. Semua yang ada bersorak semangat sebelum mereka semua bersurai meninggalkan bilik mesyuarat itu.
***
Lelaki bertopeng itu leka mengelap pisau belati miliknya. Bayangan peristiwa lima tahun lalu masih sukar untuk dilupakannya. Setelah selesai mengelap pisau berkenaan, lelaki itu mula menanggalkan topengnya lalu merenung cermin di hadapannya.
"Esok, aku akan jumpa kalian semula. Dah lama aku tunggu saat ini. Siapalah kalian", ujarnya sendirian sambil merenung tajam memandang wajahnya yang agak hodoh itu disebabkan kesan kebakaran berkenaan.
Share this novel