Di ruangan dapur markas kumpulan ini, tiga ahli wanita duduk termenung jauh seperti memikirkan sesuatu. Jeritan dan raungan Sepet sangat nyaring sehinggakan ianya dapat didengari oleh mereka bertiga. Mata masing-masing terpejam mendengarkan raungan berkenaan.
Maria meraup rambut kerintingnya melepasi bahagian bahunya lalu diikat rambut kerintingnya itu. Kimah pula duduk sambil menikmati minuman panas yang telah dibancuhnya sebentar tadi iaitu air teh o panas. Fatihah pula hanya membelek sahaja telefon pintarnya melayari akaun media sosial miliknya.
"Dah tak ada suara menjerit dah. Dah mati kena bakar lah itu", kata Fatihah sendirian namun ianya tetap dapat didengari oleh dua lagi rakannya. Raungan hebat Sepet tadi sudah tidak kedengaran lagi selepas hampir 20 minit markas ini bergema dengan jeritannya.
"Jadi, dah dua orang mampus. Lagi lima sahaja lagi".
"Kau join tak esok? Setakat ini kau belum tengok sendiri mereka mati di hadapan mata kan?", soal Maria selepas lama berdiam diri. Soalannya ditujukan kepada Kimah kerana wanita itu masih belum melihat sendiri proses hukuman mati remaja-remaja itu.
Air teh panas yang berada dalam cawan genggamannya dihirup perlahan-lahan sebelum menatap wajah Maria. "Betul itu, Kimah. Kau sahaja yang belum turun berdepan dengan mereka selepas kita culik tujuh orang itu", giliran Fatihah pula menyampuk.
"Sabarlah. Kan ada lagi lima orang. Esok kalau aku ada masa, aku turunlah", kata Kimah sambil menghirup air teh panas itu. Dua wanita itu hanya berdiam diri sahaja mendengarkan reaksi daripada Kimah. "Baiklah, aku harap kau turun sekali. Kau tak nak ke, tengok sendiri kematian mereka? Orang-orang yang dah bunuh insan tersayang kita dahulu", kata Fatihah dengan nada bersemangat.
"Habis itu, kenapa kau ada di sini? Pergilah sertai mereka tadi", balas Kimah pula. Fatihah tertawa sahaja mendengarkan kata-kata itu. "Sebab kalian berdua ada di sini. Kalau salah seorang ikut macam siang tadi, aku beranilah. Kalau aku pergi seorang diri karang, lain pula jarinya. Dah lah lelaki ada 14 orang dalam markas ini", balas Fatihah sambil tertawa.
Mereka berdua hanya tertawa sinis sahaja mendengar ayat daripada Fatihah. "Dah alang-alang kita bertiga sahaja di sini, boleh lah kita sembang sikit macam mana kita boleh terlibat dalam kumpulan ini", sambung Fatihah lagi. Telefon pintarnya sudah disimpan di dalam kocek seluarnya.
"Memandangkan aku yang ajak, jadi biar aku mulakan dahulu", Fatihah membetulkan kedudukan tempat duduknya. Maria serta Kimah mula menumpukan perhatiannya kepada wanita itu.
Fatihah kemudiannya mengeluarkan telefon pintar yang telah disimpan sebentar tadi lalu menatap skrin telefon berkenaan buat seketika. Wajahnya tersenyum sahaja sewaktu menatap skrin berkenaan menyebabkan Maria serta Kimah berasa pelik. Menyedari perkara itu, Fatihah menunjukkan gambar seseorang pada skrin telefon itu kepada mereka berdua.
Maria serta Kimah melihat akan gambar di skrin telefon pintar itu. Gambar seorang lelaki dalam usia lingkungan 20an dan kelihatan segak penampilannya dengan kulitnya agak cerah serta wajahnya bersih tanpa sebarang bulu misai mahupun janggut. Baju Melayu serta bersongkok hitam dipakai oleh lelaki itu pada gambar berkenaan.
"Kacak juga ya", kata Maria sambil tersenyum ke arah Fatihah.
"Siapa ini? Suami akak ke?", soal Kimah pula sambil menatap gambar lelaki itu.
"Itu bukan suami saya tapi bakal suami saya lima tahun dulu. Dia meninggal dunia dalam kebakaran itu kerana dia antara tiga warden yang bertugas di situ", balas Fatihah dengan nada suara perlahan menyebabkan Maria serta Kimah hanya berdiam diri sahaja.
"Kalau diikutkan, dua minggu sebelum kejadian itu kami akan langsungkan pernikahan. Tapi...", Fatihah terdiam seketika. Hatinya terasa sesak seketika sebelum meneruskan percakapannya.
"Tak sangka, orang sebaik dia boleh meninggal dalam kebakaran itu. Mula-mula, saya redha tentang kejadian itu. Tapi bila saya dapat tahu yang kebakaran itu adalah perkara sudah dirancang, saya simpan dendam besar terhadap tujuh budak itu", kata Fatihah dengan nada sedikit berang.
"Siapa nama dia?", soal Maria, pendek.
"Fathul Bahrin", balas Fatihah.
Maria serta Kimah hanya mengangguk sahaja. Tahulah mereka bahawa salah seorang warden daripada tiga orang yang terkorban dalam tragedi itu adalah tunang kepada Fatihah. "Kalian berdua pula?", soal Fatihah kepada Maria dan Kimah. Kimah memberikan isyarat kepada Maria agar memulakan dahulu perbualan itu.
"Anak akak yang meninggal dunia. Usianya baru sahaja 8 tahun. Satu-satunya harta yang akak ada di dunia ini selepas suami akak tinggalkan akak", ujar Maria dengan menggelarkan dirinya sebagai 'akak'. Fatihah dan Kimah sedikit terkejut mendengar pengakuan itu.
"Apa maksud akak?", soal Kimah ingin tahu. Maria tersenyum sinis sahaja.
"Akak ada kompilasi sewaktu lahirkan Irfan. Oleh sebab itu, doktor nasihatkan supaya akak jangan mengandung lagi. Bekas suami akak tak boleh terima perkara itu, lalu dia pun ceraikan akak kerana dia nak anak lagi", kata Maria menceritakan semula peristiwa lampaunya.
"Bila Irfan dah tak ada, akak jadi lost sangat. Irfan lah segalanya buat akak. Tapi budak-budak itu dah ambil harta akak paling akak sayang. Sebab itu akak setuju untuk sertai kumpulan ini dahulu", katanya lagi. Fatihah serta Kimah sedikit terpempan mendengarnya. Tergamak seorang suami sanggup menceraikan isterinya hanya kerana mahukan anak lagi.
Tiba-tiba, mereka bertiga yang sedang rancak berbual itu dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki tua bersama tiga lagi ahli lelaki. Lelaki tua yang dimaksudkan adalah ketua kumpulan itu juga iaitu Fattah bersama Joe, Riko dan Zubir.
"Ingatkan korang dah tidur. Ada di sini rupanya", kata Fattah sambil menuju ke peti sejuk lalu mengeluarkan sebotol air sejuk. Botol berkenaan dituang ke dalam segelas cawan kaca sebelum diteguk perlahan.
"Belum lagi ayah. Kami belum rasa mengantuk lagi", kata Maria. Fatihah serta Kimah hanya berdiam diri sahaja begitu juga dengan tiga ahli lelaki yang turut berada di dapur ini. Fattah tersenyum sahaja sambil melabuhkan punggungnya ke atas kerusi meja makan itu.
"Jangan tidur lewat sangat, nanti bangun lambat macam mana? Esok kita ada kerja nak kena buat. Disebabkan itu, saya datang ke dapur ini nak jumpa kalian bertiga tentang perkara esok", kata Fattah sambil menatap wajah tiga ahli wanita di hadapannya.
"Baiklah, esok pagi kamu bertiga yang akan laksanakan hukuman kepada suspek yang seterusnya iaitu Alang. Kalian bertiga boleh seksa budak itu cukup-cukup sampai kalian puas. Hukuman akan dibuat selepas sarapan pagi. Kita bagi dulu Alang itu makan kenyang-kenyang sebelum dia mati", ucap Fattah menerangkan tentang rencananya esok.
"Hukuman mati kan?", soal Kimah pula. Hatinya sedikit berdegup kerana akan berhadapan dengan situasi menakutkan esok. Fattah hanya tersenyum sambil mengangkat keningnya. "Kenapa? Kamu takut?", soalnya kepada Kimah. Kimah menggeleng laju.
"Tak. Saya tak takut. Ini peluang saya untuk tebus kematian mak dan adik saya. Walaupun sebelum ini saya tak pernah bunuh orang, tapi esok budak itu akan mati di tangan saya ini. Biar tangan ini yang bakar jasad budak itu", kata Kimah dengan sedikit membentak. Fattah masih tersenyum melihat Kimah.
"Sebelum kejadian itu pun, budak-budak itu belum pernah membunuh orang. Tapi, mereka dah berjaya bunuh 21 orang hanya dalam masa satu malam sahaja. Dalam 21 orang itu juga ada nyawa-nyawa yang bermakna dalam hidup kita. Kenapa kita perlu takut dengan mereka?".
"Kamu bertiga antara tiga ahli wanita yang sanggup ikut saya untuk laksanakan misi ini demi menuntut bela atas kematian insan tersayang. Kamu dah ada di sini, jadi kamu kena buat apa yang perlu dibuat. Takkan kita nak harapkan undang-undang? Memang kita ada undang-undang untuk penjenayah tapi belum tentu hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka. Jadi, ini masanya untuk kita laksanakan sendiri apa yang kita nak buat", kata Fattah panjang lebar.
Tiga wanita itu hanya berdiam diri sahaja mendengarkan ucapan daripada ketuanya. Raut wajah mereka jelas mengerti apa yang disampaikan oleh Fattah. "Kami tak apa-apa ayah. Kami dah bersedia untuk berdepan sendiri dengan budak itu esok", kata Fatihah mewakili tiga wanita di situ.
Apabila dirinya berasa puas hati dengan jawapan daripada tiga wanita itu, Fattah segera bangkit daripada tempat duduknya. "Baiklah, saya pergi dulu. Ingat, dapatkan rehat secukupnya", katanya lalu beredar daripada dapur itu bersama tiga lagi anak buah lelakinya.
Share this novel
komplikasi. kompilasi tu lain dah maknanya