Bab 2

Action Series 13414

6.30am

Markas Kumpulan Black Dahlia Murder(Lokasi Rahsia).

Tujuh belas ahli kumpulan itu sudah berkumpul di hadapan bangunan yang merupakan markas utama mereka. Tubuh mereka sudah lengkap memakai pakaian serba hitam serta baju kalis peluru bersama senjata api di tangan masing-masing. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Lapan orang berdiri di hadapan kumpulan satu lagi yang telah dipecahkan.

Fattah berjalan tenang melalui dua laluan itu sambil wajahnya tersenyum. Jelas dimatanya, semangat setiap ahli semakin membara berdasarkan komitmen mereka yang sanggup bangun seawal 4.30 pagi lagi. Selepas itu, Fattah berdiri di hadapan dua kumpulan yang telah dipecahkan itu.

"Baiklah, team. Macam yang dirancangkan semalam, akan ada dua pecahan kumpulan untuk melakukan serangan terhadap rombongan polis itu. Sembilan orang ini akan berhenti di titik lokasi yang telah disediakan oleh Joe. Kalian hanya perlu tunggu sahaja arahan daripada dia", kata Fattah memberikan arahan.

"Baik, kumpulan yang lapan orang ini, tugas kamu akan berhenti berhampiran dengan sekolah berkenaan. Apabila trak polis itu keluar sahaja daripada kawasan sekolah, dengan kiraan 15 saat, baru kalian bergerak mengikut mereka daripada belakang. Mesti 15 saat, kalau lebih nanti takut pergerakan mereka tak dapat dikesan pula", kata Fattah lagi.

"Kalian semua faham tak?", soalnya lagi dengan nada suara keras dan kuat.

"Faham, ayah", laung mereka kuat dan semangat. Gelaran ayah digunakan merujuk kepada Fattah yang sudah berusia itu atas permintaan dirinya sendiri.

"Bagus. Ingat, hari ini adalah hari yang paling kita tunggu selama 5 tahun ini. Segala persiapan rapi kita dah buat dengan secukupnya. Jadi, jangan ada sebarang kesilapan walaupun kesilapan itu kecil sebesar zahrah sekalipun. Sebelum bergerak, saya nak tanya kamu semua", katanya yang mula berjalan sepanjang laluan di bahagian tengah itu.

Ahli kumpulan berkenaan berdiri tegak seperti seorang tentera di dalam barisan kawadnya. Fattah melalui laluan itu sambil matanya melilau melihat keadaan setiap ahlinya.  "Ada sesiapa yang nak tarik diri daripada misi ini?", soalnya. Mereka hanya berdiam diri sahaja.

"Ada sesiapa yang rasa, misi ini tak perlu buat sebab mereka layak mendapatkan sebuah pengampunan? Atau, kita maafkan sahaja mereka bertujuh itu. Past is past bak kata orang putih. Ada yang berfikir macam itu?". Sekali lagi mereka hanya berdiri tegak tidak bersuara.

"Aku tanya ini, jawablah", tempik Fattah dengan nada suara keras. Tangannya dimasukkan ke bahagian belakang tubuhnya, ingin mengeluarkan sesuatu.

"Tak ada, ayah", balas mereka juga dengan nada suara lantang. Fattah mengangguk sambil tersenyum sinis. Tangan kanannya tadi dikeluarkan semula lalu dibetulkan seluarnya. Kelihatan sepucuk pistol Glock 19 tersemat di bahagian belakang lelaki tua itu.

Remaja lelaki bertopeng kelihatan setia berdiri di sebelah Fattah. Lelaki tua itu kembali semula ke kedudukan awal tempatnya berdiri sebelum ini. "Baiklah, kalau macam itu kalian boleh bertolak sekarang. Ingat pesan saya, pastikan 7 orang suspek itu selamat tanpa ada sebarang kecederaan. Jangan ada yang mati awal pula sebab kita nak pakai mereka lama di sini", ujar Fattah.

Selesai sahaja lelaki tua itu berucap, kumpulan berkenaan mula bersurai memasuki kenderaan yang telah tersedia. Tiga buah kereta jenis SUV, sebuah van serta lima kereta jenis sedan mula bergerak menuju ke lokasi yang telah ditetapkan. Fattah hanya berdiri sahaja melihat anak-anak buahnya bergerak meninggalkan markasnya.

"Aku tahu, kau mesti tak sabar nak jumpa mereka kan", soal Fattah kepada pemuda bertopeng di sebelahnya. Pemuda itu hanya berdiam diri sahaja. Fattah menoleh sambil menepuk bahu lelaki muda itu.

"Kau akan dapat laksanakan dendam kau yang tersimpan lama itu. Tapi ingat, jangan melampau sangat. Mereka yang lain pun mahu lepaskan juga apa yang terbuku di dalam hati mereka selama ini. Jangan fikirkan perasaan dendam kau seorang sahaja", pesan Fattah sebelum beredar meninggalkan pemuda itu.

Pemuda bertopeng itu hanya berdiri tegak sahaja. Tangannya menggenggam kemas membentuk buku lima. Di sebalik topeng itu, wajahnya begitu bengis menandakan kemarahannya akan dilepaskan kepada mereka bertujuh itu.

***

Sekolah Pemulihan Akhlak, Wira Bakti

Semua pelatih di sekolah itu beratur untuk melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana tujuh pelatih yang merupakan suspek utama kes kebakaran sebuah mahad tahfiz berarak keluar menaiki trak polis. Tujuh pelatih itu sudah menukar pakaian asal yang berwarna putih kepada baju berwarna jingga. Tangan mereka bergari antara satu sama lain.

Kedengaran suara bisikan kecil antara pelatih yang lain ketika menyaksikan situasi itu. Mereka berbual kecil sesama mereka. Tujuh suspek itu mula menaiki trak polis berkenaan sambil ditemani oleh 3 anggota polis yang lain.

"Korang jangan bakar pula trak polis itu", kata salah seorang pelatih di sekolah itu.

"Hei! Apa korang buat di sini, pergi berambus sana. Kemas taman bunga ini", jerit seorang lelaki berbadan tegap kepada mereka yang berkumpul ketika itu. Lelaki berkenaan adalah ketua warden di sekolah ini dengan tag nama Saiful di dada kanannya.

Kumpulan pelatih itu mula bersurai menyambung semula kerja yang tertangguh. Namun begitu, anak mata mereka masih ralit menyaksikan situasi tujuh suspek berkenaan yang sudah selamat berada di dalam trak polis itu.

"Terima kasih cikgu, kerana menjaga budak bertujuh itu. Hari ini mereka akan dibicarakan di mahkamah", kata Inspektor Johari sambil berjabat tangan dengan Saiful.

"Sama-sama tuan. Saya berharap sangat mereka bertujuh itu betul-betul insaf dengan apa yang mereka dah lakukan lima tahun dahulu. Kes ini memang sukar untuk kita lupakan. Saya rasa, ramai rakyat Malaysia masih tak berpuas hati dengan mereka itu", kata Saiful sambil mengeluh. Kepalanya digeleng perlahan sambil tangannya meraup wajahnya.

"Entahlah encik, kita tengok apa kata mahkamah nanti. Saya rasa hari ini memang satu Malaysia nak tahu apa hukuman yang bakal mereka terima. Apa pun bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan, kita kena terima kerana ini adalah undang-undang", ujar Inspektor Johari lagi.

Tangan pegawai polis itu ralit menaip sesuatu di telefon pintarnya. Saiful hanya memerhatikan sahaja tingkah laku pegawai polis itu tanpa banyak soal. "Baiklah encik, kami bertolak dahulu ya. Assalamualaikum".

"Waalaikumsalam".

Mereka berdua berjabat tangan sambil anggota polis yang lain juga turut bersalaman dengan Saiful serta beberapa guru yang lain. Saiful hanya melihat sahaja pegawai-pegawai polis itu masuk ke dalam keretanya.

Sementara itu, Inspektor Johari mengambil tempat di bahagian pemandu. Rakannya, Inspektor Daniel terkejut melihat rakannya itu. "Kau nak drive ke?", soal Inspektor Daniel. Inspektor Johari hanya mengangguk sahaja.

Empat buah kereta polis itu mula bergerak dengan dua daripadanya berada di hadapan trak yang membawa tujuh suspek itu manakala dua lagi berada di belakang. Saiful serta guru-guru yang menemaninya berpaling semula ke arah pelatih-pelatihnya.

"Sudah, sambung buat kerja semula", kata Saiful dengan nada suara yang agak kuat.

Selepas itu, dua kereta jenis SUV, serta sebuah van melalui kawasan sekolah itu. Pergerakan mereka agak cermat mengekori rombongan polis itu dengan jarak yang selamat.

***

Sementara itu, di sebatang jalan raya lama itu, dua orang lelaki telah bergerak memasuki kawasan semak di dalam hutan itu bersebelahan dengan jalan raya itu. Sebuah alat walkie talkie berada bersama salah seorang daripada dua lelaki tadi. Mereka berdua memegang senjata jenis bazooka.

Di tengah jalan pula, seorang lelaki sedang duduk bertenggek di atas bumbung kereta itu sambil tangannya memegang binocular. Dia kemudian menggunakan alat itu untuk melihat kedudukan rombongan berkenaan.

"Dah sampai ke Man?", soal seorang lelaki di sebelahnya. Lelaki yang disapa sebagai Man itu hanya menggeleng sahaja. Puntung rokok di bibirnya disedut sebelum dicampak ke tepi jalan.

Setelah menanti selama 20 minit, Man yang gigih meneropong kawasan itu mula memberi isyarat kepada semua yang ada disitu. "Mereka dah sampai", katanya lalu bergerak menyorok di sebalik hutan itu. Mereka yang lain juga melakukan perkara yang sama.

Man kemudian mengeluarkan walkie talkie di saku seluarnya. "Sasaran dah sampai. Diulangi, sasaran dah sampai. Korang berdua hanya perlu tumbangkan trak itu sahaja. Yang lain, serang tiga kereta polis kecuali kereta yang bernombor NCU 1730", ujar Man di dalam walkie talkie itu.

"Baiklah, arahan diterima".

***

"Alamak, kenapa ada kereta yang halang jalan pula ini".

Inspektor Johari mengomel sendirian ketika melihat barisan kereta jenis sedan menghalang laluan mereka. Inspektor Daniel juga terkejut melihat perkara itu. "Kereta siapa pula itu? Lain macam sahaja", katanya yang berasa sangsi berikutan keadaan barisan kereta itu masih dalam keadaan baik.

Tiba-tiba, satu letupan kuat kedengaran. Dua pegawai polis itu terkejut melihat trak polis yang membawa tujuh suspek itu ditembak menyebabkan trak itu terbalik. Anggota polis lain yang mengiringi trak itu juga turut terkejut dengan kejadian ini.

"Eh, kenapa ini? Ada yang nak sabotaj kita ke?", soal Inspektor Daniel dengan nada cemas. Inspektor Johari juga terkejut melihat kejadian itu. Mereka berdua terus keluar daripada kereta.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan daripada tepi jalan menyebabkan mereka berdua segera melompat mencari perlindungan. Anggota lain juga turut mencari tempat perlindungan. Mereka kini berhadapan dengan serang hendap daripada kumpulan yang tidak dikenali.

Adegan berbalas tembakan mula berlaku antara pihak polis serta ahli kumpulan yang tidak diketahui mereka. Sedang kedua pihak itu berbalas tembakan, sekali lagi mereka dikejutkan kemunculan sebuah kereta jenis SUV serta sebuah van. Lapan orang individu memakai pakaian hitam keluar lalu menembak ke arah empat anggota polis yang leka membalas tembakan ke arah kawasan semak itu.

Empat daripada mereka mula bergerak ke arah trak yang telah terbalik itu. Mereka segera menarik keluar tujuh suspek itu sebelum menembak mati anggota polis yang tercedera itu. Hampir kesemua anggota polis yang berada disitu telah terkorban.

Inspektor Daniel yang cemas segera masuk ke dalam kereta. Bantuan segera perlu dilakukan. Tangannya mengambil telefon kecemasan yang biasa ada di dalam kereta polis. Oleh sebab gementar, tangannya terketar-ketar memegang alat itu.

"01 dari 02, panggilan bantuan segera. Kami diserang", belum sempat dia menghabiskan percakapan, kepalanya telah diacu dengan sepucuk pistol. Inspektor Daniel terkejut bukan kepalang melihat individu itu.

"Letak balik".

Pegawai itu meletakkan gagang berkenaan sambil melihat tepat ke arah rakannya. Dirinya masih terkejut dengan apa yang dilihatnya. Inspektor Johari telah mengacukan pistol ke kepalanya.

"Kenapa weh? Kau ke yang rancang semua ini? Kenapa?" soal Inspektor Daniel. Inspektor Johari atau Joe hanya tertawa sinis.

"Sebab mereka layak terima hukuman lain. Biar kami yang jatuhkan hukuman kepada mereka. Nak harap kepada undang-undang, lembab!", kata Joe sedikit membentak.

Inspektor Daniel masih terkejut dengan perkara ini. "Kau sedar tak apa yang kau buat ini salah? Aku tahu, kau masih marah kepada mereka sebab anak kembar kau antara mangsa dalam kebakaran itu tapi biarlah undang-undang yang menghakiminya. Takkan kau tak tahu?", bentak lelaki itu.

"Joe, jom", Riko yang memegang senjata api jenis shotgun memanggil Joe agar bertolak. Tujuh suspek yang dimahukan telah berjaya diambil. Sudah tiba masa untuk mereka bertolak.

"Aku tahu Danny, tapi aku rasa biar kami sahaja yang laksanakan hukuman itu. Korang boleh selesaikan kes lain", kata Joe sebelum kepalanya mengangguk ke arah Riko seperti memberi satu arahan.

Satu tembakan dilepaskan ke arah Inspektor Daniel di bahagian dada. Lelaki itu maut begitu sahaja. Joe segera keluar daripada kereta lalu bergerak mengikut kumpulan serba hitam itu. Seragam polisnya berwarna hijau itu ditanggalkan. Baju hitam serta lambang kumpulan Black Dahlia Murder tersemat di bahagian dada kanannya.

"Maafkan aku Daniel, biar kami yang laksanakan tugas ini", bisiknya sambil kakinya melangkah menaiki van yang sudah membawa tujuh suspek itu. Kelihatan riak wajah mereka masih tertanya-tanya tentang maksud kejadian ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience