Bab 3

Action Series 13414

Perkarangan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur

Suasana di perkarangan mahkamah semakin ramai dengan kehadiran petugas media, unit anggota polis serta ahli keluarga mangsa tragedi menyayat hati yang berlaku Lima tahun dahulu. Hari ini, seluruh Malaysia menantikan keputusan tentang bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan kepada tujuh suspek itu.

Beberapa wartawan daripada syarikat media seperti Media Prima, Bernama, Awani, Rtm serta TV3 mula membuat liputan secara langsung kepada pembaca berita yang bertugas di studio. Kawasan ini menjadi semakin sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin tahu secara langsung tentang kes ini.

Ada juga sekumpulan lelaki dan perempuan yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkumpul sambil membawa sepanduk dengan perkataan 'Kami Mahu Mereka Mati', 'Gantung mereka sampai Mati', 'Nyawa Mesti dibalas dengan nyawa!". Laungan takbir juga kedengaran di sekitar kawasan ini.

Unit pasukan anti rusuhan, FRU sudah dikerahkan sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku rusuhan di kawasan ini. Sememangnya kes kebakaran sekolah tahfiz ini adalah kes yang paling panas dalam negara. Buktinya, laman sesawang seperti Fac serta Twitter begitu heboh dengan peristiwa hari ini.

"Kami masih lagi menantikan kehadiran trak anggota polis yang membawa tujuh suspek kes kebakaran asrama mahad tahfiz Darul Quran Ibnu Sinar yang mengorban 24 orang termasuk tiga orang warden asrama itu, lima tahun yang lalu", kata wartawan daripada Harian Metro, Syazwani Bakri.

***

IPD Kuala Lumpur

Sementara itu, di ibu pejabat polis negara, berlaku sedikit kekecohan susulan panggilan kecemasan daripada seorang anggota polis yang membawa suspek berkenaan telah tamat secara tiba-tiba. Unit kawalan kecemasan mencuba untuk menghubungi anggota itu namun tidak berjaya.

"Cuba hubungi anggota yang lain", ASP Jalaluddin Naim bersuara kepada anggota bawahannya. Anggota lelaki itu cuba menghubungi anggota lain namun tetap tidak berjaya. Sekilas dia menoleh ke arah pegawai tinggi itu sambil menggeleng.

"Kita boleh trace tak lokasi mereka itu?", soal ASP Jalaluddin Naim lagi.

"Boleh, tuan. Sebentar".

Tidak lama kemudian, lokasi yang dicari berjaya ditemui. "Tuan, ini adalah lokasi yang berjaya kita temui pada koordinat ini", katanya kepada ASP Jalaluddin.

"Dimana lokasi ini?"

"Kilometer 4, Jalan Lama menghala ke Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti", katanya memberi tahu akan kedudukan lokasi itu.

ASP Jalaluddin terus berlalu selepas mengucapkan terima kasih. "Inspektor Zailani, dan Kamil. Kamu berdua arahkan unit bawahan kamu untuk pergi ke lokasi yang telah dinyatakan tadi. Persiapkan diri sebaik mungkin. Kita tidak tahu dengan siapa kita sedang berhadapan ketika ini".

"Zubaidah, hubungi unit kawalan di Mahkamah Tinggi. Beritahu mereka tentang apa yang berlaku. Ingat, jangan sampai mencetuskan kekecohan", ujarnya yang berjalan laju meninggalkan unit kawalan pergerakan itu. Raut wajahnya jelas risau dengan apa yang berlaku ketika ini.

***

Markas Kumpulan Black Dahlia Murder(Lokasi Rahsia)

"Syabas semua, misi kita untuk culik budak-budak ini telah berjaya. Tahniah", ucap Fattah dengan penuh semangat sambil menepuk kedua-dua tangannya. Ahli kumpulan itu melakukan perkara sama sambil tersenyum sinis melihat tujuh remaja di hadapan mereka.

Tujuh remaja berpakaian jingga itu masih kelihatan bingung dengan situasi ketika ini. Wajah setiap ahli kumpulan itu dilihat seorang demi seorang. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang dikenalinya. Mereka berdiri tegak dengan tangan masih lagi bergari.

"Abot, Alang, Panjang, Sepet, Adik, Kimi, Aboi. Lima tahun dulu, korang terlibat dengan kes kebakaran sebuah asrama sekolah tahfiz dulu kan?", soal Fattah yang berjalan di sekeliling tujuh remaja itu. Raut wajah mereka kelihatan cemas. Mereka dapat merasakan suasana tegang di dalam bilik ini.

"Aku boleh kata, kalian punya perancangan memang A+. Terbaik daripada ladang. Selalunya, idea hebat begini datangnya daripada otak yang cerdas. Betul tak?", soalnya lagi. Fattah masih berjalan mengelilingi tujuh suspek itu dengan kedua belah tangannya diletakkan di bahagian belakang tubuhnya.

"Oleh sebab itu, kami berbesar hati nak berikan sedikit hadiah saguhati kepada kalian semua. Biar saya yang mula dulu ya", katanya yang berdiri berhadapan dengan Alang. Tubuh remaja itu kecil sahaja dengan ketinggian sekitar 157cm sahaja.

Pang!

Pang!

Pang!

Muka setiap suspek ditampar kuat oleh Fattah di bahagian pipi kiri remaja berkenaan. Terdapat kesan merah berbentuk lima jari di pipi kiri tujuh remaja itu. Fattah kemudian mengulangi semula aksinya tetapi kali ini di bahagian pipi kanan pula.

Selepas itu, seorang demi seorang ahli kumpulan itu menampar kuat pipi setiap suspek berkenaan. Tamparan daripada tujuh belas orang ahli menyebabkan kedua belah pipi tujuh suspek itu merah menyala bahkan bibir dua daripadanya telah berdarah.

"Ayah, saya pun nak juga", kata remaja bertopeng itu kepada Fattah. Fattah tersenyum sambil mengangguk memberikan kebenaran.

Tanpa membuang masa, remaja bertopeng itu terus meluru ke arah tujuh suspek itu. Tangan kirinya mencekak baju salah seorang suspek lalu menampar kedua belah pipi suspek. Tindakan sama dilakukan kepada enam lagi yang lain.

Tujuh suspek itu tertunduk menahan kesakitan pada muka mereka. Terdapat titisan darah pada bibir mereka yang jatuh menitik ke atas lantai. Fattah kemudian berjalan lagi mengelilingi mereka bertujuh. "Itu baru hadiah saguhati. Hadiah utama pun ada juga untuk korang. Sekarang, bangun", katanya sambil memakai brass knuckles pada tangannya.

Tujuh remaja itu masih lagi berdiam diri. Timbul perasaan takut di dalam diri masing-masing. Fattah membuat isyarat mata mengarahkan anak-anak buahnya memakai alat brass knuckles sepertinya.

"AKU KATA BANGUN".

Terangkat bahu mereka mendengar tempikan Fattah. Lambat-lambat mereka bangun lalu berdiri tegak seperti tadi. Tanpa membuang masa, Fattah menumbuk wajah setiap seorang diikuti dengan tujuh belas ahli yang lain.

Tiba-tiba, kedengaran esakan kecil di kalangan tujuh remaja itu. Sharif, lelaki berbadan tegap yang juga ahli kumpulan itu menarik kasar baju remaja di hadapannya. Wajah remaja itu kelihatan sedih dengan bibir dan wajahnya yang berdarah. "Kenapa kau menangis? Hah? Menyesal? Baru sekarang kau nak menyesal?", jerit Sharif di hadapan muka remaja itu.

"Masa buat tak fikir tentang kami. Korang fikirkan dendam bodoh korang sahaja kan. Sekarang kau rasakan ini", Sharif terus memberikan beberapa tumbukan pada muka remaja itu. Remaja berkenaan terduduk sambil menangis.

Tidak lama selepas itu, remaja lelaki bertopeng tadi juga turut bertindak. Sebelum melepaskan tumbukan, dia merenung tajam raut wajah setiap suspek di hadapannya.

Setelah selesai,  Fattah mengarahkan lapan orang ahli yang bernama Zubir, Joe, Latiff, Nawawi, Mazlan, Amir, Kamaruzzaman dan Rashid agar membawa tujuh remaja berkenaan beredar daripada kawasan itu. "Korang bawa mereka ke dapur, berikan makanan yang lazat-lazat untuk mereka. Kimah, Maria, dan Fatihah. Kalian bertiga akan uruskan bahagian makanan", ujarnya.

"Baik, ayah".

"Yang lain, jumpa saya. Ada perkara yang perlu kita bincangkan.", kata Fattah sebelum berlalu meninggalkan kawasan berkenaan.

***

Di bahagian dapur, tiga ahli wanita itu sedang bertungkus lumus menyiapkan makanan untuk tujuh banduan berkenaan. Makanan yang dimasak hanyalah bubur sayur serta beberapa helai sayur mentah telah dihidangkan di atas pinggan.

"Ikutkan hati aku, aku nak racun sahaja korang ini. Dah, makan", kata Maria dengan nada suara keras. Pinggan yang dibawanya diletakkan di atas meja. Fatihah serta Kimah juga meletakkan pinggan tersebut di atas meja tujuh suspek itu.

Ketujuh-tujuh suspek itu tergamam melihat juadah yang telah disediakan di hadapannya. Rupa makanan berkenaan kelihatan seperti sepinggan muntah yang berwarna hijau kerana kuahnya yang pekat. Sesiapa yang melihat hidangan tersebut pasti akan patah selera makannya.

"Tunggu apa lagi, makan lah", bentak Mazlan, salah seorang ahli antara lapan anggota yang berkawal di dapur ini. Mereka kelihatan teragak-agak untuk makan.

"Agaknya, dia nak kita suapkan kot", sampuk Amir pula.

"Okay juga itu. Aku dah lama tak suapkan orang makan", balas Nawawi. Raut wajah mereka berlapan tersenyum sinis seperti merancang sesuatu.

Bagaikan faham dengan isyarat itu, lapan lelaki berkenaan memegang kepala setiap suspek lalu menuang pinggan berisi bubur sayur itu ke dalam mulut mereka dengan kasar. Akibatnya, mereka terbatuk-batuk kerana tersedak di samping bubur sayur hijau itu turut tertumpah menitis di atas lantai.

"Orang dah masak penat-penat, kau tak nak makan kan. Nak juga kami suapkan. Haa, ambil ini. Makan sampai habis", tengking Amir yang begitu kasar menggeronyoh muka salah seorang remaja. Kelihatan mereka agak tidak selesa diperlakukan begitu dengan kuah bubur memenuhi setiap bahagian wajahnya yang cedera itu.

Setelah habis, mereka mengetuk pinggan itu di bahagian kepala suspek-suspek itu. Hanya Zubir sahaja yang merenung tajam ke arah mereka sambil tertawa. Raut wajah suspek-suspek itu kelihatan agak bengang diperlakukan sebegitu.

Zubir berhenti ketawa setelah melihat perubahan wajah masing-masing. "Apahal? Tak puas hati? Kau nak bakar kami pula ke? Buatlah, kalau mampu", bentak Zubir sambil menepuk meja makan itu. Latiff yang memegang kepala salah seorang suspek, menolak kasar kepala remaja berkenaan sehingga terhantuk pada meja.

"Korang fikir korang punya hati sahajalah? Hati kami yang panas membara ini kau tak fikir? Anak aku yang baru berusia 9 tahun itu mati rentung sebab korang tau! Lagi kau nak tenung kitaorang macam ini", bentak Latiff dengan suara yang lantang sebelum menampar bahagian belakang kepala remaja itu.

Sedang mereka seronok membuli suspek-suspek itu, Fattah masuk ke dalam bersama remaja lelaki bertopeng misteri itu. "Apa kecoh-kecoh ini? Bukan sekarang waktu makan budak-budak ini ke?", soalnya.

"Mereka tak nak makan tadi ayah. Katanya tak sedap", kata Joe yang berdalih. Fattah ketawa sahaja sambil melangkah ke bahagian ruang masakan. Sebilah pisau diambil lalu dijilatnya di bahagian tepi pisau berkenaan sambil berjalan ke arah suspek-suspek itu.

Pisau berkenaan dimasukkan ke dalam mulut salah seorang suspek. "Kira dah cukup baik kami sediakan makanan untuk korang. Kalau tak, aku dah bagi korang makan pisau ini sahaja. Nak ke, Sepet?", soal Fattah kepada remaja yang dipanggil sebagai Sepet.

Sepet hanya menggeleng sahaja. Matanya yang sepet itu menitiskan air mata kerana terlalu takut. Bahagian tepi bibirnya dapat merasakan ketajaman bilah pisau berkenaan. Fattah tertawa sahaja setelah mengeluarkan pisau berkenaan.

"Baiklah, aku tak nak buang masa. Hukuman tetap kena laksanakan", katanya sambil mengambil sehelai kertas daripada remaja bertopeng itu.

"Sekejap lagi, bawa mereka semua ke bilik hukuman. Mereka kena saksikan sendiri proses hukuman yang kita cipta. Individu pertama yang saya sebut ini akan menjadi orang pertama merasai hukuman ini. Kita dah bincang tadi bahawa kita akan pilih suspek paling muda hingga paling tua", Fattah memegang kertas berisi wajah-wajah suspek berserta nama di bawah.

"Orang itu adalah, Adik.", kata Fattah sambil merenung sinis riak wajah Adik yang mula cemas itu. Tanpa menunggu lama, enam lagi lelaki telah masuk lalu mengheret Adik keluar daripada dapur berkenaan. Adik cuba meronta sambil menjerit ketakutan namun tidak diendahkan.

"Bawa sekali saki baki enam jahanam ini. Biar dia tengok sendiri nasib kawan dia itu", kata Fattah sebelum keluar bersama remaja lelaki bertopeng. Mereka yang mendengarnya terus mengheret enam lagi suspek yang masih terkejut dengan situasi ini. Perasaan takut semakin menguasai diri mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience