Jenazah Akmal selamat dibawa pulang ke kediaman Nizam sekeluarga untuk urusan seterusnya. Suasana pilu mengiringi kepulangan jenazah kecil itu. Orang ramai yang membanjiri kediaman ini kebanyakkannya adalah ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat Nizam dan Jannah serta Fattah.
Jiran tetangga di kawasan perumahan ini juga turut hadir untuk memberikan penghormatan kepada ahli keluarga Nizam. Ucapan takziah serta sumbangan ikhlas diberikan oleh setiap orang yang ada di rumah ini. Mereka sendiri terkejut bahawa salah seorang mangsa tragedi kebakaran pagi tadi adalah anak kepada salah seorang jiran mereka.
Jannah setia berada di sisi jenazah anak lelaki sulungnya sambil memangku Sofia, yang masih lagi berusia 4 tahun. Wajah polosnya setia memandang jenazah abangnya yang kaku, terbaring di hadapannya. Sesekali si kecil itu cuba menyentuh jenazah Akmal yang sudah siap dikafankan tetapi ditegah oleh ibunya.
"Encik, kalau kami buka kain di bahagian wajah, tak apa kan?", soal Fattah yang berdiri di muka pintu kepada salah seorang petugas hospital yang bertanggungjawab menghantar jenazah cucunya itu.
"Boleh Datuk, tapi...", petugas itu menjawab dengan rasa serba salah. Fattah hanya mengukir senyuman kecil dalam kesedihan. Dia faham apa yang ingin dimaksudkan oleh petugas tersebut.
"Tak apa. Buka sahaja, dia tetap ahli keluarga kami", kata Fattah dengan nada sedih. Dia tahu, sudah pasti tubuh arwah Akmal sudah rentung kehitaman akibat kebakaran itu. Tetapi, dia tetap ingin menatap wajah cucu kesayangannya buat kali terakhir.
Petugas itu mengangguk faham. Setelah mendapat isyarat, Fattah mengarahkan Nizam untuk membuka kain di bahagian wajah Akmal. Nizam yang menurut perintah mula mendekati jenazah anak sulungnya itu. Tubuhnya berada dalam keadaan cangkung sambil tangannya mula membuka kain kafan yang menutupi wajah Akmal.
Tangannya terketar-ketar membuka kain itu. Sedikit demi sedikit kulit rentung anaknya kelihatan di sebalik kain yang diselak itu. Hatinya terasa hiba apabila melihat dengan jelas wajah rentung anak sulungnya. Akhirnya, Nizam tewas. Tangisan yang ditahan dilepaskan jua.
Jannah terpaksa memeluk kepala Sofia daripada melihat abangnya. Wanita itu juga menangis teresak-esak melihat keadaan anak lelaki pertamanya. Namun begitu, Sofia yang tidak selesa meronta lalu pelukan ibunya terlepas. Sofia terpandang akan jenazah abangnya yang rentung kehitaman itu. Akibatnya, si kecil itu menangis sekuat hati kerana takut.
"Sini Pia, ikut mak long", Aisyah, kakak sulung Jannah terpaksa mendukung Sofia dan membawanya keluar daripada rumah. Wanita itu memujuk Sofia di luar rumah. Faham dengan perasaan takut anak saudaranya itu selain turut bersedih dengan nasib yang menimpa si kecil itu.
Sementara itu, Nizam mengongoi di hadapan jenazah Akmal sedang ditenangkan oleh sanak saudaranya. Wajah hitam Akmal diusap lembut tanpa ada rasa geli. Sukar untuk dirinya menerima pemergian cahaya mata pertamanya. Baginya, Akmal adalah yang istimewa, telah mengajar dirinya menjadi seorang bapa.
"Sudah Zam, jangan meratap begini. Tak elok", pujuk Kalsom, ibu mertuanya. Bahu menantunya diusap lembut sambil sebelah lagi tangannya mengesat air mata yang masih jatuh.
"Redha Zam, kamu kena redha", giliran Hasnah pula bersuara, memujuk anak bongsunya itu. Tangisan Nizam sedikit reda namun belum berhenti sepenuhnya. Lengan baju Melayunya dijadikan sebagai kain untuk mengelap air matanya.
Kepalanya tunduk mengucup dahi rentung Akmal tanpa rasa takut mahupun geli. Matanya terpejam, tubuhnya bergetar menahan sebak di dada. Setelah selesai, Nizam berpaling lalu melepaskan tangisan yang masih bersisa.
Giliran Jannah pula tampil untuk mengucup dahi anaknya buat kali terakhir. Dia yang ditemani oleh Fauziah, adik perempuannya mula mengucup dahi Akmal. Tubuh belakangnya diusap lembut oleh Fauziah yang turut sedih dengan pemergian anak saudaranya itu. Lama dahi itu dikucup oleh Jannah sambil mengusap kepala anaknya.
"Tunggu ibu di syurga ya sayang", kata Jannah dengan nada sebak. Selepas itu, dia juga berpaling memeluk Fauziah. Wanita itu mengusap belakang kakaknya dengan linangan air mata.
Beberapa lagi ahli keluarga tampil ke hadapan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada si kecil itu. Satu pemergian yang jelas mengejutkan mereka semua. Setiap seorang yang mengucup dahi kanak-kanak malang itu pasti akan menangis.
Selepas selesai semuanya, kini giliran Fattah pula tampil ke hadapan. Lelaki itu memberikan laluan kepada anak-anak serta saudara matanya dahulu. Sekarang, tubuhnya sudah berada di hadapan Akmal, cucu kesayangannya. Tangannya mula mengusap kepala Akmal.
"Tenang di sana ya cu, kamu dah selamat berada di syurga. Doakan kami ya", ucap Fattah dengan nada sebak. Kucupan terakhir buat cucunda tercinta diberikan di bahagian dahi. Selepas selesai semuanya, Fattah bangun lalu berpaling ke arah petugas masjid. Selepas ini, jenazah akan dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.
"Baik, kami dah selesai", kata Fattah kepada para petugas jenazah.
Kain kafan yang dibuka pada bahagian wajah itu ditutup semula. Nizam selaku bapa tampil ke hadapan untuk mendukung jenazah dan dimasukkan ke dalam keranda. Kemudian, keranda berkenaan diusung beramai-ramai keluar dari rumah.
"Al-Fatihah".
Langkah mereka terhenti seketika. Bacaan surah Al-Fatihah dibacakan untuk si mati. Langkah pengusung keranda akan berhenti sebanyak tiga kali diselang seli dengan bacaan Al-Fatihah. Selepas itu, barulah keranda jenazah Akmal masuk ke dalam van untuk dibawa ke masjid.
Sofia yang sudah reda tangisannya hanya memandang kosong keranda itu pergi daripada rumahnya. Dia yang berada dalam dukungan ibu saudaranya, Aisyah.
***
Lima Hari Kemudian
Suasana tegang berlaku di ruang tamu rumah besar Fattah. Pertengkaran anak beranak itu amat merunsingkan sesiapa yang mendengarnya. Semuanya berlaku disebabkan laporan berita mengatakan bahawa sistem keselamatan asrama tahfiz itu berada dalam keadaan sifar.
"Sejak hari pertama lagi, Ijam dah cakap dengan ayah tak perlu daftarkan Akmal di sekolah itu. Tapi ayah degil, nak juga masukkan dia di situ. Sekarang tengok apa dah jadi", kata Nizam dengan nada lantang.
"Punya banyak sekolah tahfiz di Malaysia ini, ayah tetap nak hantar disitu, kononnya dekat dengan kediaman kita. Tapi sistem keselamatan mereka tak ada. Pintu keluar masuk satu sahaja. Tak ada langsung laluan untuk kecemasan. Ayah pun tahu tentang itu, tapi ayah nak juga Akmal sekolah disitu".
"Astaghfirullahalazim", Hasnah hanya mampu beristighfar sahaja sambil menangis. Dirinya sendiri tidak tahan mendengar pertengkaran dua beranak ini.
"Dah lah dik, kau tak boleh cakap ayah macam itu. Kau nak salahkan dia ke? Dah terang-terang budak tujuh orang itu yang punya angkara", balas Razali, anak kedua merangkap abang kepada Nizam. Dia pulang atas permintaan Hasnah yang berasa tidak selesa dengan pertengkaran itu.
"Ya, Ini memang salah ayah. Gilakan sangat nak tengok cucu jadi ustaz. Habis, di sekolah biasa tak boleh? Bukannya tak ada pelajaran agama di sana", balas Nizam dengan nada suara yang tinggi.
"Kau cakap baik-baik sikit Zam. Ini bapa kau tau. Hormat sikit", tengking Razali. Adiknya itu dirasakan agak melampau kerana meletakkan kesalahan seratus peratus kepada Fattah. Jannah hanya mampu berdiam diri. Tidak berani masuk campur kerana tahu dengan sikap suaminya jika naik darah.
"OKAY! AKU BERSALAH! AKU YANG BUNUH CUCU, PUAS HATI KAU SEKARANG!".
Fattah yang berdiam diri sejak tadi mula menengking menyebabkan dua beradik itu terdiam seketika. Fattah bangun daripada kerusi lalu beredar daripada situ. Anak tangga rumahnya didaki satu persatu. Kemudian dia berpaling lalu merenung ke arah Nizam, "Kau pergi balik! Jangan datang lagi ke sini. Berambus!"
Fattah berlalu menuju ke bilik tidurnya manakala yang lain terkejut melihat situasi itu. Nizam tanpa sepatah kata terus mengajak Jannah pulang sambil diperhatikan oleh Razali. Kepalanya digeleng sahaja.
***
Fattah termangu di dalam bilik tidur itu seorang diri. Kenyataan Nizam itu jelas menyakitkan hatinya. Terngiang-ngiang setiap perkataan yang diucapkan oleh anak bongsunya itu. Sesungguhnya, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang.
Tiba-tiba, fikirannya teringat akan berita perdana yang ditonton sebentar tadi. Wajah tujuh remaja yang berada di bawah umur itu bermain-main di kepalanya. Mereka adalah dalang utama kes kebakaran besar yang mengorbankan 20 nyawa dengan tiga daripadanya adalah warden asrama.
Raut wajahnya yang kecewa berubah serta merta. Giginya diketap geram. Perasaan marahnya terlalu menebal ketika ini. Mukanya merah padam disebabkan terlalu bengang. Timbul beberapa hasutan jahat agar menyimpan dendam terhadap tujuh suspek itu.
"Aku sumpah atas nama cucu aku Akmal, aku akan tuntut bela atas kematiannya. Aku akan pastikan mereka rasa apa yang Akmal rasa. Mereka akan mati di tangan aku sendiri", ucap Fattah seorang diri. Tangannya digenggam kuat membentuk buku lima. Sumpah yang dilafazkan akan dilaksanakan.
Share this novel