Bab 10

Action Series 13414

"Sakitlah! Tolong! Sakit".

"Diamlah sial! Kalau tak, aku cabut kepala kau sekejap lagi".

Herdikan dan tempikan tiga wanita itu jelas menarik perhatian Fattah serta lapan lagi ahli lelaki yang sedang menunggu kedatangan mereka berempat di bilik tahanan ini. Kepulan asap rokok memenuhi ruang bilik tahanan yang besar ini. Tidak lama kemudian, muncul tiga orang wanita bersama seorang remaja lelaki berbaju jingga yang diseret tubuhnya.

"Wow, betul punya pailang si Maria itu", kata Rashid.

"Kita tengok pula macam mana orang perempuan punya penangan", balas Mazlan pula.

Ketika ini, tangan kanan Maria kemas menggenggam gumpalan rambut di kepala Alang sambil mengheret tubuh remaja itu umpama plastik sampah ke dalam bilik tahanan ini. Langkahnya diekori oleh dua lagi wanita iaitu Fatihah serta Kimah. Sesekali dua wanita itu menempik ke arah Alang supaya diam.

Situasi berkenaan jelas menggembirakan Fattah yang asyik menonton adegan berkenaan. Dagunya yang sedikit berjambang itu diusap perlahan-lahan sambil sebelah tangan lagi memegang seputung rokok. Raut wajahnya tersenyum sahaja melihat situasi di hadapan matanya tika ini.

Genggaman rambut Alang akhirnya dilepaskan oleh Maria sebaik sahaja mereka tiba di tengah bilik tahanan ini. Kini, Alang sudah terbaring sambil dikelilingi oleh tiga wanita itu. Suaranya sesekali kedengaran mengerang disebabkan kesakitan melampau pada bahagian kerongkongnya.

"Din, bawa kerusi besi itu", kata Maria mengarahkan Zainuddin supaya mengambil sebuah kerusi besi besar tidak jauh daripada tempat mereka berkumpul. Kerusi yang dimaksudkan adalah kerusi yang kerap digunakan oleh klinik pergigian dalam membuat rawatan. Kerusi itu terletak elok bersebelahan dengan dapur kayu yang masih terpasang di situ.

"Boleh Mar, sekejap ya. Hei Wi, tolong aku angkat kerusi itu", kata Zainuddin kepada Nawawi yang sudah selesai menghisap rokok. Mereka kemudian bergabung tenaga mengangkat kerusi besar yang boleh tahan beratnya itu. Beberapa lagi ahli lelaki seperti Mazlan, Zubir serta Amir tampil ingin membantu mereka berdua dalam mengangkat kerusi besar itu.

"Kau nak buat apa-apa dulu buatlah, aku nak ambil sesuatu sekejap", kata Maria lalu pergi meninggalkan dua wanita itu.

Kerusi besar itu akhirnya tiba di tempat yang sepatutnya diletakkan. Fatihah kemudian secara tiba-tiba menarik rambut Alang sama seperti yang dilakukan oleh Maria. Dia mengarahkan Alang supaya meniarap di atas lantai sambil tangannya masih lagi kuat menarik rambut remaja lelaki itu.

Kimah pula tampil ke hadapan lalu dia melabuhkan punggungnya di atas tubuh belakang Alang yang sudah tertiarap itu sambil tertawa sinis. Tangannya sesekali menampar bahagian belakang kepala Alang. Selepas itu, dia mengeluarkan sepucuk pistol Glock 19 daripada bahagian belakang tubuhnya. Kelongsong peluru dibetulkan seketika.

"Ikutkan hati aku, aku nak sahaja tembak kepala kau ini bagi pecah. Biar bersepai kepala otak kau yang tak berguna itu. Tuhan itu bagi otak dan akal untuk buat kebaikan, tapi kau buat perkara sial", kata Kimah sambil mengacukan pistol berkenaan ke atas belakang kepala Alang. Alang hanya memejamkan mata sahaja. Dia lebih rela mati begini daripada mati terseksa.

"Tapi, aku tak nak kau mati semudah itu. Biar kau merana habis-habisan", pistol di tangan Kimah beralih pula ke bahagian telinga Alang. Muncung pistol itu tepat berada di bahagian cuping telinga remaja itu dan dihalakan ke bawah. Anak matanya sempat memberikan isyarat kepada Fatihah supaya menjauhi mereka berdua.

Ahli lain juga turut berdiri lebih jauh daripada kawasan mereka sebelum ini. Mereka sedar pistol yang dipegang oleh Kimah bukan pistol mainan kanak-kanak kerana ianya berisi peluru hidup berukuran 19mm. Tiba-tiba, Fatihah yang sudah beredar agak jauh itu mengarahkan Kimah supaya berhenti seketika.

"Biar aku mulakan dulu, selepas itu baru kau. Kau stay sahaja di mana kau berada" kata Fatihah yang memegang sebatang penukul besar bersama pahat. Entah daripada mana dia mendapat dua alat yang biasa digunakan untuk kerja kayu itu. Wanita itu duduk berhadapan dengan wajah Alang sambil tersenyum.

Fatihah memberikan isyarat mata kepada Kimah agar menghulurkan tangan Alang yang masih bergari itu kepadanya. Bagaikan faham, Kimah menurut arahan itu selepas menyimpan pistol miliknya di belakang tubuhnya lalu memegang pergelangan tangan Alang yang masih bergari itu. Punggungnya dikalihkan sedikit dan berada di bahagian tengkuk remaja itu.

Fatihah tersenyum sinis ke arah Alang lalu berkata; "Selain kau bunuh budak-budak tahfiz yang tak berdosa itu, kau juga dah bunuh salah seorang pengajar di situ iaitu tunang aku. Sebabkan kau dan kawan-kawan kau, majlis pernikahan kami tak dapat buat. Jari kelingking aku ini patutnya dah ada cincin perkahwinan suami aku. Tapi, kau rosakkan semuanya".

Alang hanya berdiam diri sambil matanya terpejam. Dia tidak tahu apa yang ingin dilakukan oleh wanita itu. Perasaan takutnya semakin menebal di dalam dirinya. "Sekarang, kau akan rasa kesakitan yang sepatutnya", kata Fatihah kepadanya. Matanya masih terpejam namun jari kelingking tangan kanannya dapat merasai besi pahat sedang berdiri di atas permukaan jarinya.

Raungan Alang mula kedengaran saat Fatihah mula menghayun penukul itu mengetuk pada bahagian kepala pahat berkenaan. Beberapa ketukan kuat dilakukan pada jari kelingking remaja itu sehingga memercikkan darah pada tangan remaja itu. Jeritan itu tidak dipedulikan oleh Fatihah sebaliknya dia masih terus melakukan kerja-kerja berkenaan.

Krak!

Bunyi tulang jari kelingking yang sudah patah itu dapat didengari oleh semua orang yang berada di dalam bilik tahanan ini. Siri ketukan diteruskan sehingga jari kelingking Alang telah putus sepenuhnya. Kini, bahagian tangan kanan Alang sudah cacat dengan putusnya jari kelingking miliknya. Alang hanya mampu meraung dan mengongoi semahunya.

Fatihah tersenyum puas lalu bangun beredar daripada situ. Dibiarkan sahaja tubuh Alang yang masih tertiarap dengan Kimah duduk di atas belakang tubuh remaja itu. Pistol tadi telah dikeluarkan semula lalu perkara sama seperti tadi dilakukan pula.

"Mak aku mati terkejut bila dapat tahu tentang kematian anak bongsu kami. Jadi, kau akan rasa peritnya telinga dia bila dapat tahu berita itu", kata Kimah yang sudah mengacu pistol itu di bahagian cuping telinga kanan Alang. Tangan kirinya memegang belakang kepala Alang.

"Cukup! Cukup!". Jeritan Alang itu tidak dihiraukan. Kimah mula menarik picu berkenaan sambil matanya membuat isyarat kepada Fatihah supaya menjauhi mereka berdua.

BAM! Bunyi tembakan itu nyata mengejutkan semua ahli bukan sahaja di bilik besar itu, tetapi di dalam bilik kurungan yang menempatkan empat lagi remaja lain. Mereka berempat dikawal oleh empat lagi ahli lain iaitu Riko, Sharif, Manaf dan Joe.

"Arghh!", Alang meraung kesakitan sambil kakinya tergeliat menendang lantai simen itu. Kesakitan berganda dirasai di bahagian cuping telinganya yang sudah hancur. Bunyi tembakan itu nyata membingitkan gegendang telinganya menyebabkan telinganya berdesing kuat.

Kimah terus bangun daripada tubuh Alang meninggalkan jasad remaja itu yang masih menjerit kesakitan. Tubuhnya tertiarap dengan keadaan fizikalnya sangat menyedihkan. Telinga kanannya berlumuran dengan darah sehingga menitis di atas lantai itu. Bukan itu sahaja, jari kelingkingnya juga sudah putus. Kesakitan demi kesakitan dialaminya ketika ini.

Maria yang sudah tiba di bilik besar ini tersenyum sinis melihat akan keadaan Alang ketika ini. Tangan kanannya memegang satu alatan yang telah diambil dari dapur sebentar tadi. Dia melangkah ke arah Alang dengan memegang alatan dapur itu ditepuk-tepuk di bahagian sisi pahanya.

"Giliran aku pula nak ajar kau. Din, tolong aku kejap. Angkat dia letak di atas kerusi besar itu. Ikat sekali kedua-dua kakinya", kata Maria sambil memanggil Zainuddin.

Lelaki itu tampil ke depan bersama-sama Luqman yang ingin membantu Zainuddin. Mereka berdua mula mengangkat kasar tubuh Alang yang masih lagi menangis. "Menangis konon. Sakit kan? Macam itu lah kami rasa lima tahun dulu. Sekarang kau tanggung sendiri", bisik Luqman yang meludah muka Alang sebelum memapah lelaki itu ke kerusi besar berkenaan.

Setelah tubuh remaja itu selamat diletakkan di atas kerusi besar yang telah dilentangkan, kedua-dua pergelangan kaki Alang diikat kuat menggunakan rantai besi. Maria memeriksa dahulu ikatan itu. Setelah berpuas hati, dia meminta dua rakan lelaki nya itu agar beredar ke tempat asal.

Fattah berpeluk tubuh sahaja menyaksikan adegan seterusnya. Dia serta ahli lelaki yang lain tidak akan mencampuri urusan wanita-wanita itu kecuali jika diperlukan. Sengaja dia bertindak sebegitu bagi melihat sejauh mana kekejaman mereka bertiga.

Maria merenung tajam ke arah Alang yang sudah terbaring di kerusi besar itu. Tangannya memegang dagu lelaki itu untuk melihat kecederaan telinga kanannya. Sesekali dia mendengus sambil tersenyum. "Itulah orang cakap kan, buat jahat jangan sesekali nanti rugi. Kalau kau tak lakukan perkara sial itu, mungkin sekarang kita tak berada di sini. Kau dengan dunia kau, aku dengan dunia aku".

Maria kemudian merentap kasar baju jingga yang dipakai oleh Alang ketika ini. Baju berkenaan sudah agak busuk dengan kesan darah dan peluh lalu dicampak ke bahagian sisi. "9 bulan aku kandungkan Irfan. Bila tiba waktu kelahiran, entah macam mana boleh berlaku kompilasi pendarahan pula tetapi syukur, Irfan selamat dilahirkan. Rasa sakit sewaktu melahirkan itu hilang serta merta".

"Orang lelaki tak akan faham dan tak alami apa yang perempuan alami. Tahu nak sedap sahaja, bila aku tak boleh nak mengandung lagi, dia tinggalkan aku. Sial punya jantan!", kata Maria sambil tangannya yang memegang pisau membuang sisik ikan mula berlegar-legar di atas perut Alang.

"Dia adalah segalanya untuk aku. Lapan tahun, satu tempoh yang agak lama dalam menceriakan hari-hari aku. Tapi, kau dengan kawan-kawan kau rentap kebahagiaan itu macam itu sahaja", katanya lagi. Alang mulai resah melihat pisau sisik ikan itu yang semakin hampir dengan bahagian perutnya sudah terdedah.

Tiba-tiba, Maria mula menggosok perut Alang dengan menggunakan pisau membuang sisik ikan itu. Jeritan Alang sekali lagi bergema disebabkan kesakitan yang tiada tolok bandingnya. Nafsu marah Maria mulai menguasai akal fikirannya. Tindakan gila itu dilakukan tanpa menghiraukan permohonan maaf daripada Alang.

"Aarghhh. Sakit kak! Cukuplah! Aku merayu sangat!", Alang merintih sekuat hati. Perutnya mula penuh dengan darah selepas pisau sisik ikan itu mengikis hebat daging perutnya seolah-olah ingin membuang kulit perutnya itu. Maria tidak mempedulikan rayuannya.

"Susah payah aku mengandungkan dia, korang bakar dia macam itu sahaja. Memang sial korang ini", tempik Maria yang masih gigih menggosok perut Alang umpama membuang sisik ikan pada badannya.

"SUDAHLAH! Arghh!"

"Mampus kau aku kerjakan".

Fattah serta ahli lelaki lain hanya menonton tanpa sepatah kata. Tipu jika tidak ada sekelumit rasa gusar di dalam jiwa setiap lelaki itu tika melihat amukan seorang ibu yang kematian anaknya. Jelas di pandangan mereka, perasaan marah wanita itu terlalu menebal. Dapat dilihat bagaimana Alang melolong kuat. Titisan air mula menitis daripada kerusi besar itu. Alang terkencing disebabkan rasa sakit serta takut yang amat sangat.

10 minit kemudian, Maria berhenti sambil tercungap-cungap nafasnya. Rambut kerintingnya diraup daripada menutupi wajahnya. Dia kemudian terduduk lalu melemparkan pisau sisik ikan itu ke bahagian tepi. Alang kelihatan lemah. Perutnya sudah penuh dengan darah selepas dikikis teruk oleh Maria. Jika ditenung dengan teliti, dapat dilihat jelas bentuk usus milik lelaki itu namun tidak daripada jauh.

Maria berteleku sambil menangis sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience