Bab 13

Action Series 13414

Flashback

8.40am

Farhan fokus dalam pemanduan traknya dengan pandangannya tidak berkalih daripada cermin hadapan kenderaan besar itu. Sesekali telinganya menangkap alunan lagu yang diputarkan oleh DJ radio di stesyen Suria FM. Rakannya di sebelah iaitu Manan melelapkan matanya. Suasana awal pagi ini menyebabkan mata lelaki itu sukar untuk diangkat.

Tiba-tiba, pandangannya terarah kepada beberapa buah kereta yang terletak di bahagian tengah jalan dalam jumlah yang banyak. Kedudukan kereta itu diletakkan secara melintang sekaligus menghalang pergerakan kenderaan yang ingin melalui kawasan ini daripada kedua-dua arah. Farhan terkejut melihat akan situasi itu.

"Eh, Nan. Cuba kau tengok di depan itu. Kenapa banyak sangat kereta di sana? Tak mungkin nak buat jalan", ujar Farhan kepada Manan yang sudah mencelikkan matanya.

Manan juga terkejut melihat situasi yang ditunjukkan oleh rakannya. Mereka semakin hampir dengan kereta yang menghalang jalan itu. Jumlahnya agak banyak. Namun begitu, belum sempat mereka tiba di hadapan barisan kereta itu, satu letupan kuat kedengaran di bahagian bawah trak yang dinaiki mereka berdua. Mereka berdua terkejut bukan kepalang disebabkan trak itu terbalik di atas jalan.

Kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah selepas bahagian kepala trak itu remuk. Malang tidak berbau apabila Manan meninggal dunia di tempat kejadian. Farhan pula berada dalam keadaan yang lemah. Bunyi tembakan bersahut-sahutan kedengaran di pelbagai arah. Pandangan matanya kuyu melihat situasi di hadapannya.

Aksi berbalas tembakan antara pihak polis dengan sekumpulan individu tidak dikenali disaksikan sendiri oleh Farhan. Adegan letupan kereta, rakan-rakannya mati ditembak, semuanya disaksikan sendiri oleh Farhan dalam keadaan tidak bermaya. Tiba-tiba, dia melihat satu susuk tubuh berpakaian polis keluar daripada kereta paling hadapan dengan keadaan yang mencurigakan.

***

Masakini

"Kau biar betul Farhan? Maknanya orang itu tak cedera langsung?", Inspektor Zailani terkejut mendengar kisah serangan yang diceritakan oleh Farhan. Lelaki itu hanya mengangguk sahaja.

"Demi Allah, Jai. Aku tengok sendiri macam mana polis itu keluar daripada kereta, kemudian dia beredar bersama-sama kumpulan itu", ujar Farhan dengan yakin. Memang jelas di pandangan matanya waktu itu bagaimana lelaki yang dimaksudkan langsung tidak diapa-apakan oleh kumpulan berkenaan.

"Tapi, aku hanya dapat lihat bahagian belakang sahaja. Jadi aku tak pasti, siapa polis itu", kata Farhan lagi. Inspektor Zailani hanya berdiam diri sahaja. Fikirannya dapat merencanakan sesuatu dan yakin bahawa lelaki yang dimaksudkan adalah Inspektor Johari yang kini dilaporkan hilang.

"Nampaknya, kita ada talibarut dalam pasukan kita", ujar Inspektor Zailani pendek. Kenyataan itu jelas mengejutkan semua anggota bawahannya serta Farhan sendiri.

'Tak guna kau Johari. Apa yang kau cuba buat sekarang?', getusnya di dalam hati. Tidak sangka bahawa lelaki itu menjadi dalang besar dalam kes serangan berkenaan.

***

Markas Kumpulan Black Dahlia Murder(Lokasi Rahsia)

Fattah serta konco-konconya berkumpul di satu bilik khas untuk kegunaan mesyuarat kumpulan itu. Bilik ini jugalah yang digunakan dalam merencanakan serangan sehari sebelum kejadian itu berlaku. Fattah berdiri di hadapan sambil diiringi oleh lelaki bertopeng yang baru sahaja tiba di markas ini.

"Hari ini hari kedua kita berada di sini. Kes serangan semalam masih panas lagi. Justeru, saya nak kalian semua berhati-hati ketika pulang nanti. Pakai pakaian biasa dan sembunyikan perkara ini daripada ahli keluarga kalian", kata Fattah kepada 17 anak buahnya.

"Habis itu, budak-budak itu macam mana?", soal Riko yang duduk bersebelahan dengan Zubir.

"Mereka tak akan dapat kemana-mana. Kepala lutut mereka kan dah ditembak. Kalau nak keluar lari pun, mereka hanya mampu merangkak sahaja. Jangan risau tentang mereka itu. Kita akan kunci pintu bilik tahanan itu serta pintu utama. Markas kita besar, jadi mustahil untuk mereka keluar sewenang-wenangnya", kata Fattah menjawab soalan daripada Riko.

"Saya akan lepaskan kalian secara berperingkat dahulu. Bermula daripada sebelah kanan saya hingga hujung, kamu semua akan keluar pada jam 3 petang", kata Fattah menunjukkan barisan yang dimaksudkan.

Barisan di sebelah kanan lelaki tua itu adalah Manaf, Nawawi, Latiff, Fatihah, Amir, Kamaruzzaman, Zainuddin, dan Maria. Mereka berlapan hanya mengangguk tanda faham. Fattah kemudian meneruskan lagi ucapannya; "Selebihnya akan keluar pada jam 7 malam", katanya yang menunjukkan isyarat tangan di barisan sebelah kirinya.

"Kecuali Joe, Mazlan, Riko dan Hisham. Kamu kena keluar lambat sikit sebab tugas kalian kena buang mayat rentung itu di mana-mana sahaja. Selepas itu baru kamu pulang", kata Fattah merujuk kepada empat lelaki yang berada di barisan kiri itu.

"Ingat ya, jangan ceritakan apa-apa tentang kejadian semalam dan apa yang kita buat di sini. Esok, saya nak semua ahli datang semula di sini. Jika ada di antara kamu yang tidak datang, saya tak nak dengar alasan lain. Pada saya, kamu dah dikira belot. Jangan tanya kenapa kalau saya datang rumah kamu dan tembak kepala kamu", kata Fattah dengan nada tegas.

Pistol jenis Glock 19 itu diacukan ke arah semua anak-anak buahnya. Mereka hanya berdiam diri sahaja namun mengerti dengan apa yang dikatakan oleh lelaki tua itu. Pistol berkenaan berhenti di kepala salah seorang daripada ahli kumpulan itu, iaitu Joe.

"Kamu yang paling saya syak sekali. Kamu kan anggota polis, sudah tentu ramai orang-orang polis yang kenal dengan kamu. Kalau tembelang kita pecah, saya memang cari kamu dulu Joe", kata Fattah sambil mengacukan pistol berkenaan di kepala Joe.

Joe sedikit cemas lalu menelan air liurnya. Peluh di dahinya merembes keluar namun riak wajahnya masih kelihatan tenang. "Saya faham, ayah. Saya memang tak akan belot kumpulan ini", ujarnya. Fattah terus menyimpan semula pistolnya.

Fattah kemudian kembali semula ke tempat asalnya. "Baiklah, kalau begitu semua boleh bersurai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience