Sekolah Tahfiz Darul Ibnu Sinar
Kedatangan Fattah secara mengejut itu disambut baik oleh pengetua sekolah ini, Ustaz Haji Rahizam. Walaupun asrama sekolah ini sedang dalam proses pembaikpulih, namun beliau tetap datang ke pejabat untuk urusan kerja-kerjanya tanpa sebarang rungutan. Pengetua itu mempersilakan Fattah duduk di kerusi selepas mempelawa lelaki itu masuk ke dalam bilik pejabatnya.
"Ada apa yang saya boleh bantu, Datuk?", soal Haji Rahizam kepada Fattah. Lelaki tua itu tersenyum tawar sewaktu mereka bertentang mata.
"Tak boleh ke saya datang sini? Saja nak mengubat kerinduan kepada cucu saya. Sekolah ini diibaratkan sebagai rumah kedua saya", kata Fattah dengan nada lembut. Haji Rahizam tersenyum sahaja mendengar maklum balas lelaki itu.
"Boleh Datuk. Datuk antara sebahagian sekolah ini, yang banyak membantu kami selama ini", ujar Haji Rahizam. Keluhan kecil dapat didengari daripada bibirnya.
"Macam mana dengan proses pembaikpulih asrama itu?", soal Fattah. Sekadar ingin tahu tentang perkembangan asrama berkenaan. Sudah sebulan tragedi menyayat hati itu berlalu. Peristiwa yang pasti meninggalkan kesan kepada semua rakyat Malaysia terutama ahli keluarga mangsa korban tragedi itu.
"Proses itu agak sukar, kerana asrama itu hampir 90% sukar untuk dibaikpulih. Pilihan yang ada hanya membina bangunan asrama lain untuk pelajar kita. Tetapi, kos untuk membina bangunan itu terlalu tinggi".
"Selain itu, kami ada masalah lain juga. Ada di kalangan ibu bapa yang nak berhentikan pengajian anak-anak mereka di sekolah ini kerana bimbang dengan keselamatan pelajar di sini. Mereka sanggup bayar pampasan asalkan pengajian itu diberhentikan. Jika perkara itu terjadi, kemungkinan Darul Ibnu Sinar akan ditutup buat selamanya".
Haji Rahizam mengeluh sahaja selepas selesai menceritakan perkara itu kepada Fattah. Dia sendiri tidak tahu daripada mana datang keberanian untuk menceritakan perkara itu kepada individu itu. Satu persatu ujian menimpa ke atas sekolah ini.
Fattah hanya berdiam diri sahaja. Fikirannya sedang merangka sesuatu untuk sekolah ini walhal bukan itu niat asalnya ke mari. "Tak apa ustaz, saya akan cuba bantu sedaya upaya saya demi menyelamatkan sekolah ini", kata lelaki tua itu. Haji Rahizam menghembuskan nafasnya sebelum mengukirkan senyuman. Sayangnya, senyuman itu adalah senyuman tawar.
"Tak ada apa yang nak diselamatkan di sini. Segalanya akan berakhir tidak lama lagi. Kalau sekolah ini tutup, mungkin saya ke sekolah lain atau duduk di rumah sahaja. Apa yang tinggal sekarang ini adalah harapan, doa dan keajaiban sahaja", kata Haji Rahizam dengan nada lemah. Jelas pada cara percakapannya seperti individu yang berputus asa.
Fattah yang tersandar di kerusi membetulkan kedudukan posisinya dalam keadaan tegak. Tubuhnya dirapatkan ke meja sambil memandang tepat ke arah pengetua sekolah tahfiz itu. "Ustaz, jangan berputus asa. Setiap masalah, pasti ada penyelesaian terbaik".
"Betul apa yang ustaz cakap, hanya harapan dan doa sahaja sebagai senjata terakhir umat Islam. Maka, berdoalah kepada Dia. Jangan sesekali berputus asa. In Sha Allah, pasti ada jalan terbaik untuk kemelut ini", kata Fattah dengan nada bersemangat.
Haji Rahizam tersenyum sahaja sambil tunduk memandang meja. Kata-kata lelaki itu dihadam sebaik mungkin. "Terima kasih Datuk. Besar jasa Datuk di sekolah ini yang tak mampu kami balas. Saya doakan agar perniagaan Datuk menjadi lebih maju serta dimurahkan rezeki".
"Jadi, kalau Datuk perlu kan apa-apa, beritahu sahaja. Saya cuba bantu sebelum kita berpisah", kata Haji Rahizam lagi. Firasatnya kuat mengatakan bahawa individu ini mempunyai hajat ke sini. Fattah membetulkan kembali posisi duduknya dengan kedua tangannya bersilang di atas meja itu.
"Baiklah, sebenarnya ustaz. Saya ada hajat besar ke sini", kata Fattah dengan nada yakin. Haji Rahizam berkerut dahinya mendengar akan hajat yang diceritakan oleh lelaki itu.
***
Fattah tersenyum melihat segala butiran keluarga mangsa kebakaran di dalam fail itu. Alamat penuh waris serta nombor telefon keluarga mangsa lengkap di dalam fail berkenaan. Setelah mendapat segala maklumat keluarga mangsa, beliau beredar daripada perkarangan sekolah itu. Fikirannya terimbas kembali bagaimana dia berjaya meyakinkan pengetua sekolah itu untuk menyerahkan dokumen ini.
"Sebenarnya, segala maklumat waris setiap mangsa adalah sulit. Kami tak boleh berikan maklumat ini kepada orang lain sewenang-wenangnya. Boleh saya tahu kenapa Datuk perlukan semua ini?", soal Haji Rahizam.
"Sebenarnya, saya berhasrat untuk berjumpa sendiri dengan setiap ahli keluarga mangsa. Ada perkara yang saya nak buat seperti berikan sedikit sumbangan ikhlas kepada mereka. Berikan kata-kata motivasi".
Setelah bersusah payah meyakinkan lelaki itu, Fattah akhirnya berjaya mendapat segala maklumat lengkap setiap ahli keluarga mangsa. Senyuman sinis terukir di bibirnya, membayangkan jika rancangannya menjadi.
Malam itu, selepas isterinya tidur, Fattah membelek satu persatu borang kemasukan pelajar-pelajar sekolah itu. Di ruangan nama ibu bapa/penjaga, tertera nama penuh waris mangsa berserta nombor telefon. Nombor-nombor itu disimpan di dalam telefon pintar manakala alamat rumah pula disalin di dalam satu buku nota khas.
Setelah selesai kerjanya, semua borang dan buku nota itu kemudiannya disimpan di dalam satu fail khas dan dimasukkan ke dalam laci bilik bacaannya. Laci itu kemudiannya dikunci lalu disimpan di dalam satu bekas yang tersorok di bilik itu.
Fattah berlalu meninggalkan bilik bacaan itu menuju ke bilik tidurnya. Esok, bermula misi beliau yang seterusnya.
***
Lima Tahun Kemudian
Fattah berdiri tegak di pintu hadapan bangunan itu. Bangunan yang akan menjadi markas utama kumpulan Black Dahlia Murder yang diciptanya satu masa dahulu. Setiap ahli kumpulan terdiri daripada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran tragik, tenaga pengajar, dan mangsa-mangsa yang terselamat. Dalam masa lima tahun, beliau berjaya mengumpul 17 orang anak buahnya.
Beberapa buah kereta pacuan empat roda tiba di hadapan bangunan itu. Fattah masih tegak berdiri dengan kedua tangannya bersilang di atas dada. Jumlah kereta itu agak banyak dengan lima daripadanya berundur ke belakang.
Selepas itu, keluar tiga orang lelaki berbangsa Cina dengan salah seorangnya berkepala botak dan mempunyai tatu di bahagian pipi kanannya. Mereka bertiga berjalan menuju ke arah Fattah yang masih setia berdiri di situ. Mereka berempat kemudian berjabat tangan sesama mereka.
"Amacam, Simon. Ada baik?", soal Fattah kepada lelaki Cina yang bertatu di wajah itu. Simon tertawa kecil sahaja.
"Mesti baik punya maa. Ini hari, kita dapat payment daripada you. Barang yang you order dengan kita pun lengkap. Semua ada. Itu bazooka pun kita cari woo demi customer kita", kata Simon lagi dengan nada ceria. Dia kemudian mengarahkan anak-anak buahnya untuk membuka bonet kereta itu dengan dialek Mandarin.
Bonet kereta pacuan empat roda itu dibuka lalu terpapar pemandangan yang sangat mengujakan Fattah. Dia kemudian menepuk-nepuk bahu Simon, bangga dengan kerja individu itu. "Ini sebab I deal sama you. Lengkap apa yang I nak", kata Fattah. Terpegun matanya menyaksikan sejumlah senjata api pelbagai jenis di setiap bonet kereta itu.
Fattah kemudian berjalan bersama Simon yang diiringi oleh dua orang kanannya menuju ke dalam bangunan itu. Disitu, terdapat satu beg besar yang telah dikunci menggunakan kata kunci. Fattah membuka kata laluan berkenaan lalu membukanya di hadapan Simon.
"Nanti dulu, kita pegi luar semula. I periksa barang-barang itu dulu".
Mereka berempat keluar semula dari bangunan berkenaan. Fattah menilik satu persatu senjata api itu. Dirinya semakin teruja. Satu persatu perancangannya berjaya. Hanya masa sahaja yang menentukan untuk memulakan misi gila itu.
"Bagus. Tak ada cacat cela, tak ada yang rosak dan sebagainya. You bagi lengkap apa yang I order. Nah, ini you punya payment", kata Fattah lalu menyerahkan beg besi besar itu. Simon mengambilnya lalu mengira duit berkenaan menggunakan menggunakan mesin khas yang dibawanya.
Setelah 30 minit mengira, Simon tersenyum puas. Bayaran yang diterima sama seperti yang dibincangkan sebelum ini. "Okay bos, semuanya cukup. You banyak berani ya, jumpa kita sorang-sorang saja", kata Simon dengan nada sinis. Fattah tersenyum sinis mendengar ayat pedas itu.
"I tak pernah takut sebab I bukan jenis tipu punya orang. Budak-budak I datang esok, Simon. Jadi, boleh tolong bawa senjata ini semua dalam bilik ini? Nanti I susun sendiri", kata Fattah. Simon tampak keberatan, dia bercakap sendirian dalam bahasa Mandarin.
"You jangan ini macam, I minta tolong sikit sahaja. I sudah bayar you maa", kata Fattah lagi. Lelaki Cina itu mengarahkan anak-anak buahnya memasukkan senjata-senjata api itu ke dalam bilik berkenaan. Fattah juga turut membantu. Setelah selesai, mereka bersalaman sebelum berpisah.
Fattah tersenyum senang melihat koleksi senjata api itu. Dendamnya semakin membara. Esok, perjumpaan pertama bersama 17 ahli kumpulan Black Dahlia Murder. Lusa, misi penting buatnya untuk melunaskan dendam lama.
"Lusa, markas ini akan jadi neraka buat korang. Siaplah nanti. Tak ada pintu kemaafan untuk korang", kata Fattah sambil memegang sepucuk rifle jenis M16. Senyuman terukir di bibirnya, perasaannya juga semakin teruja.
Share this novel