IPD Kuala Lumpur
Inspektor Zailani bergegas masuk ke dalam bilik utama pegawai atasannya iaitu ASP Jalalludin Naim dengan membawa sebuah fail kerja berwarna hitam. Kaki kanannya dihentak sekali sambil tangannya mengangkat tabik hormat kepada pegawai atasannya itu. ASP Jalalludin Naim bangun daripada kerusi untuk membalas tabik hormat berkenaan.
"Selamat pagi tuan", ucap Inspektor Zailani. Ucapan itu dibalas pula oleh lelaki itu dengan ucapan yang sama. Fail berwarna hitam itu diserahkan kepada pegawai berpangkat ASP tersebut.
"Ini fail tentang kes langgar lari itu. Suspek telah dijatuhi hukuman denda RM 8000 serta penjara dua tahun. Syukur, kes ini selesai juga", kata Inspektor Zailani kepada pegawai atasannya. ASP Jalalludin Naim membelek fail berkenaan sebelum diletakkan ke tepi mejanya.
"Baiklah, macam mana pula dengan kes serangan semalam? Ada dapat apa-apa info baru?", soal lelaki itu.
"Buat masa ini belum ada lagi tuan. Tapi kami akan mulakan siasatan dengan pihak sekolah tahfiz Darul Ibnu Sinar. Saya rasa kumpulan penyerang itu ada kaitan dengan kes kebakaran asrama sekolah berkenaan lima tahun yang lalu", kata Inspektor Zailani.
ASP Jalalludin Naim berkerut dahinya mendengar kenyataan anggota bawahannya itu. "Apa maksud awak? Awak nak kata kumpulan penyerang itu adalah daripada kalangan pelajar sekolah berkenaan?", soalnya sedikit sangsi dengan kenyataan lelaki muda di hadapannya.
"Bukan macam itu tuan. Maksud saya, kejadian serangan ini pasti ada kaitan dengan kes kebakaran itu. Barangkali, kumpulan berkenaan menyimpan dendam terhadap tujuh suspek tersebut. Jadi mereka menculik tujuh orang budak itu untuk dijadikan sebagai tahanan mereka", sedang Inspektor Zailani menerangkan tentang teori kes tersebut, telefon pejabat berbunyi.
ASP Jalalludin Naim mengangkat gagang berkenaan. Lelaki itu berbual seketika dengan pemanggil sambil diperhatikan Inspektor Zailani. Raut wajah pegawai atasannya berubah saat berbual dengan pemanggil di talian. Setelah 5 minit berbual, panggilan pun tamat.
"Zailani, kita dah dapat satu info baru daripada IPD Cheras. Seorang anggota mereka dilaporkan hilang dalam kejadian serangan itu semalam", kata ASP Jalalludin Naim menyebabkan Inspektor Zailani tersentak mendengarnya.
"Hilang? Maksud tuan?", soal Inspektor Zailani sedikit kaget mendengar perkataan itu.
"Individu berkenaan antara anggota yang terlibat dalam urusan penghantaran tujuh suspek itu ke perkarangan mahkamah. Menurut laporan daripada ibu pejabat di Cheras, mayat anggota berkenaan tidak ada bersama-sama mangsa yang lain. Kemungkinan besar dia diculik oleh kumpulan berkenaan", kata ASP Jalalludin Naim lagi.
"Atau, dia tak diculik. Tapi, dia lari bersama kumpulan berkenaan. Siapa anggota itu tuan?", soal Inspektor Zailani pula.
"Nama anggota itu adalah Inspektor Johari bin Naib", kata ASP Jalalludin Naim menjawab soalan berkenaan. Inspektor Zailani berdiam diri sahaja sambil fikirannya mencerna untuk mengingati individu itu. Malangnya, dia langsung tidak kenal lelaki berkenaan.
"Sama ada dia terbabit atau tidak, kita kena jalankan siasatan mulai sekarang. Kita akan berkerjasama dengan IPD Cheras untuk menyiasat tentang kejadian ini. Apa yang awak perlu buat sekarang adalah dapatkan maklumat lain daripada mangsa kejadian yang bernama Farhan itu. Bagaimana dengan keadaan dirinya?", soal ASP Jalaluddin Naim.
"Kami belum dapat info lagi tentang perkembangan mangsa tuan", kata Inspektor Zailani.
"Apa ini? Semuanya belum, belum, dan belum. Jangan lambat sangat bertindak Zailani. Awak kena laju sikit dalam berkerja. Pastikan hari ini awak dapat info baru daripada mana-mana sumber yang boleh dipercayai", kata ASP Jalalludin Naim menyebabkan Inspektor Zailani hanya mampu tunduk sahaja. Lelaki itu membalas dengan anggukan tanda faham.
"Kes ini telah menjadi kes besar di negara kita. Sudah tentu kita akan menjadi tumpuan pihak media untuk mereka tanyakan tentang perkembangan kejadian ini. Jadi, berhati-hati dalam keluarkan kenyataan kepada wartawan. Fikir dahulu sebelum cakap. Baik, awak boleh pergi", kata ASP Jalalludin Naim. Inspektor Zailani mengangguk lalu mengangkat tabik hormat seperti tadi lalu dibalas oleh pegawai atasannya sebelum keluar daripada bilik pejabat itu.
***
Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur
Di dalam sebuah rumah teres satu tingkat itu, kelihatan seorang wanita sedang menjemur kain jemurannya di halaman rumah. Selendang hitam di kepalanya acap kali dibetulkan supaya ianya tidak terburai ikatannya. Sedang dia leka menjemur pakaian, sebuah kereta polis secara tiba-tiba berhenti di hadapan rumahnya menyebabkan wanita itu berhenti melakukan kerjanya.
Empat anggota polis lelaki dan wanita keluar daripada kereta Evo berkenaan. Ucapan salam diberikan oleh mereka berempat kepada wanita itu. Wanita itu memberikan senyuman lalu menjemput empat anggota polis itu untuk masuk ke dalam rumahnya.
"Sekejap ya, saya buat air untuk korang. Korang dah lama kan tak datang sini", kata wanita itu yang ingin berlalu ke dapur.
"Eh tak apa, Izana. Kami dah minum dah sebelum datang sini. Kami datang pun nak cakap pasal Johari sahaja", balas anggota polis wanita bertudung itu. Beliau adalah Cif Inspektor Farah Izzati, rakan sepasukan dengan Inspektor Johari. Dia hadir sambil ditemani tiga lagi anggota bawahannya iaitu Inspektor Shahrul, Sarjan Intan Wardina, dan Konstabel Kamarul.
Mendengarkan nama Johari, Izana segera berpaling dan duduk bersama-sama dengan anggota polis tersebut. "Macam mana dengan perkembangan suami saya? Dah jumpa ke?", soal Izana, iaitu isteri kepada Inspektor Johari. Gelengan kepala daripada Cif Inspektor Farah Izzati itu menyebabkan Izana mengeluh panjang.
"Awak ada dapat panggilan daripada sesiapa? Maksudnya panggilan misteri ke, atau panggilan daripada nombor yang tidak dikenali ke", soal Cif Inspektor Farah.
"Tak ada puan. Puas saya tunggu semalam atau pagi tadi kalau ada panggilan misteri ke apa ke, tapi langsung tak ada. Aduhai, mana mereka bawa lari suami aku ini. Uhuks", kata Izana yang mula berasa hiba. Kain selendang hitamnya dijadikan sebagai kain untuk lap air matanya.
"Kami datang pun untuk siasat tentang perkara ini. Kami ingin tahu bagaimana keadaan Inspektor Johari sebelum kejadian berlaku sama ada sehari sebelum, dua minggu sebelum, atau apa sahaja", kata Cif Inspektor Farah lagi.
Izana mengeluh seketika sebelum termenung panjang. "Dia ada bagitahu saya sehari sebelum itu yang dia tak sabar sangat nak jumpa tujuh suspek itu", Izana meneruskan ceritanya sambil anggota bawahan Cif Inspektor Farah mula mengambil beberapa perkara penting di catatan buku kecil mereka.
***
Markas Kumpulan Black Dahlia Murder(Lokasi Rahsia)
Sebuah tong besar berada di bahagian tengah bilik tahanan itu dengan apinya marak menjulang ke udara. Jeritan dan raungan daripada seorang remaja di dalam tong itu meminta pertolongan namun tidak diendahkan oleh mereka semua. Hampir 20 minit jeritan itu kedengaran sebelum senyap.
Sembilan ahli kumpulan itu berdiri di sekeliling tong besar berkenaan bagi menyaksikan sendiri proses pembakaran jasad Alang. Selepas 30 minit, Fattah mengarahkan dua anak buahnya iaitu Latiff dan Nawawi untuk memadamkan api berkenaan. Mereka berdua lantas mengambil satu tong gas pemadam api lalu disemburkan pada tong besar itu.
Kimah dan Fatihah hanya merenung kosong ke arah tong besar itu. Dia dapat melihat dengan jelas keadaan Alang yang sudah rentung dibakar oleh mereka bertiga. Namun begitu, Maria terus berlalu pergi meninggalkan kawasan ini. Hanya mereka berdua sahaja wanita yang menyaksikan proses pembakaran mayat sebentar tadi.
Kamaruzzaman, Mazlan dan Amir sudah memegang cangkul bagi menggali lubang kubur khas untuk suspek ketiga itu. Fattah yang melihat tiga anak buahnya memegang alat menggali itu terus berkata; "Tak payah gali kubur untuk budak ini. Aku nak buat kelainan sikit. Sekurang-kurangnya, orang di luar sana tahu apa nasib budak ini".
"Kelainan macam mana itu ayah?", soal Rashid yang berdiri bersebelahan dengan Fattah. Lelaki tua itu tersenyum sinis seketika sambil melangkah ke arah tong besar di hadapannya. Tubuh rentung Alang itu ditenung dengan senyuman sinis.
"Hisham, kau potong kepala budak ini. Kemudian kau bawa ke bilik tahanan mereka berempat itu. Biar mereka rasa takut sikit", katanya sambil tersenyum sinis. Fikirannya dapat membayangkan bagaimana keadaan empat orang remaja itu ketika melihat kepala rakannya yang sudah hitam rentung.
"Habis, mayat ini?", soal Hisham pula. Dirinya sedikit sebanyak berasa gusar kerana pertama kali akan memenggal kepala manusia.
"Mayat ini kita campak di mana-mana tapi pastikan berjauhan daripada markas ini. Kalau ada orang jumpa, pedulikan", kata Fattah lagi.
"Tak bahaya ke ayah kalau buat sekarang?", soal Rashid pula.
"Siapa cakap kena buat sekarang? Buatlah tengah malam nanti. Janganlah jadi benak sangat otak itu. Sudah, biarkan dulu mayat ini. Lepas mayat ini dah sejuk sikit, kau boleh buat kerja kau Hisham", kata Fattah lagi.
"Alang dah mati, maknanya tiga budak kecil waktu kejadian itu dah mampus. Sekarang kita akan berurusan pula dengan empat orang itu lagi. Dalam empat orang itu, mesti ada seorang yang jadi kepala dalam kumpulan itu", sambungnya sambil menggenggam tangannya sekuat hati.
Semua ahli di dalam bilik itu hanya berdiam diri sahaja. Mereka juga tidak sabar untuk berurusan dengan empat saki baki suspek kejadian lima tahun lalu.
***
Maria gigih mencuci tangan di bahagian dapur ini. Tangannya yang penuh dengan lumuran darah itu disental semahunya menggunakan berus mencuci pinggan. Pisau membuang sisik ikan itu juga dicuci dengan bersih. Sisa-sisa daging serta kulit perut manusia yang terhakis itu berguguran jatuh masuk ke dalam lubang sinki itu.
'Irfan, ibu dah tuntut bela atas kematian kamu sayang', getusnya di dalam hati. Raut wajahnya kosong sahaja.
Share this novel