Masakini
Maria terbaring di atas sofa rumahnya. Televisyen di hadapannya menyiarkan Buletin Utama di saluran TV3. Berita berkenaan kes serangan mengejut yang menyebabkan 7 banduan hilang itu sedang ditayangkan. Maria hanya tersenyum sinis sahaja mendengar laporan berita yang dibaca oleh pembaca berita itu.
Telefon pintar yang bertelangkup di atas dadanya diambil lalu ditenung ke arah skrin berkenaan. Gambar putera hatinya bersama dirinya dijadikan sebagai penghias skrin utama telefon pintar itu. Itu adalah gambar terakhir ketika musim Hari Raya Aidilfitri lima tahun lalu. Dalam masa yang sama fikirannya terimbas kembali detik paling sukar dilupakan dalam hidup wanita itu.
***
Lima Tahun Lalu
Maria berjalan keluar daripada bilik stor kedainya. Tugasnya sebagai pengurus stor di Watson cawangan Cheras sudah selesai untuk shif paginya hari ini. Beg tangan serta satu beg plastik kecil berisi sejumlah wang RM 1 yang berikat itu turut disimpan di dalam beg tangannya. Tangannya melambai ke arah pekerjanya, memanggil ke hadapan.
"Mari, body check akak", laung Maria kepada pekerja-pekerjanya yang berdekatan. Seorang remaja wanita tampil ke hadapan untuk membuat pemeriksaan pada tubuh pengurusnya. Sudah menjadi kelaziman buat pekerja di kedai Watson untuk melakukan pemeriksaan tubuh jika ingin pulang atau keluar kedai.
"Harap-harap tak sesak jalan balik ini", kata Maria kepada pekerjanya, Hanim.
"In Sha Allah tak sesak. Akak terus singgah sekolah anak akak ke?", soal Hanim selepas selesai membuat pemeriksaan tubuh. Maria mengangguk sahaja. "Nak jumpa dia sekejap sebab nak bagi duit belanja. Itu yang akak minta korang tukar duit akak sekali pagi tadi", kata Maria.
"Baiklah, hati-hati ya".
Mereka berdua berpisah. Hanim kembali menyambung kerjanya manakala Maria beredar menuju ke kereta. Langkah kakinya diatur pantas supaya tidak terlewat. Ketika ini adalah waktu senggang buat pelajar sekolah tahfiz memandangkan hari sudah petang. Beliau harus sampai sebelum senja kerana waktu itu semua pelajar wajib berada di dalam surau.
***
Perjalanan yang memakan masa 25 minit itu akhirnya berakhir jua. Kereta Perodua Viva yang dipandu oleh Maria selamat tiba di destinasi iaitu Sekolah Tahfiz Darul Ibnu Sinar. Kain tudung selendang berwarna hitam dililitkan pada kepalanya menutupi rambut hitamnya yang diikat secara ekor kuda itu.
Beg tangan serta plastik makanan bertulis KFC juga dibawa bersama ketika keluar daripada kereta. Maria mengatur langkah ke dalam kawasan sekolah tahfiz itu. Kelihatan beberapa pelajar sedang beriadah bersama melakukan aktiviti petang.
"Assalamualaikum puan, boleh saya bantu", soal salah seorang pelajar sekolah itu. Usianya dalam lingkungan 16 tahun ramah menyapa Maria di pintu utama sekolah itu.
"Waalaikumsalam, makcik nak jumpa anak makcik sekejap, namanya Mohd Irfan Aliff", balas Maria sambil mengukirkan senyuman. Remaja itu mengangguk mendengar nama yang disebut.
"Baiklah, sekejap ya. Saya cari dia", kata remaja itu berlalu meninggalkan Maria. Maria berjalan sambil tangannya menjinjit beg plastik KFC. Sempat lagi dia singgah ke restoran itu sebelum tiba di sini.
Sambil berjalan, Maria melihat kawasan sekitar sekolah itu. Ianya tidak terlalu luas namun masih mampu menyediakan ruang beristirehat seperti pondok kecil. Selain dirinya, terdapat beberapa lagi individu lain yang datang melawat anak-anak mereka. Maria sempat mengukir senyuman kepada mereka sewaktu bertentang mata.
Maria memilih sebuah meja kayu bersama bangku yang terukir cantik untuk dijadikan lokasi pertemuan. Setelah duduk, dia sempat membetulkan ikatan selendang hitamnya supaya tidak terurai.
"Irfan", laung Maria setelah kelibat anaknya kelihatan sedang mencari-cari seseorang yakni dirinya. Wanita itu melaung lagi nama budak lelaki itu sambil tangannya dilambai agar kanak-kanak itu nampak kelibatnya. Irfan kemudian tersenyum ceria setelah nampak kemunculan ibunya lalu dia berlari ke arah wanita itu.
"Jangan lari, nanti jatuh".
"Ibu", kata Irfan dengan nada ceria. Maria tersenyum senang sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Budak lelaki itu menyambut lalu mengucup tangan ibunya. Maria memegang kepala Irfan yang berkopiah putih itu.
"Irfan sihat sayang?", soal Maria. Irfan mengangguk ceria lalu duduk bersebelahan wanita itu.
"Macam mana sekolah hari ini?"
"Best. Hari ini, Irfan belajar tentang kisah Nabi Muhammad s.a.w.", kata Irfan lagi. Maria tersenyum sambil di dalam hatinya berselawat ke atas junjungan besar itu.
"Apa yang ustaz ajar?", soal Maria.
"Ustaz ajar tentang latar belakang Nabi. Rupa-rupanya, kita ini adalah umat Nabi Muhammad. Patutlah ustaz selalu bercerita tentang dia", kata Irfan lagi. Jelas pada nada suaranya, dia seronok berada di sekolah ini.
Maria tersenyum senang mendengar celoteh anak tunggalnya itu bercerita tentang aktiviti sekolahnya hari ini. Terhibur hatinya mendengar suara putera hatinya sehingga dia tidak lagi berasa tertekan dengan kerja-kerjanya sebelum ini. Setelah selesai bercerita, Maria membuka beg plastik makanan segera itu untuk anaknya.
"Nah, tadi ibu singgah KFC", kata Maria yang menyerahkan sebekas kecil kentang putar kepada Irfan. Kanak-kanak itu menyambutnya lalu dijamah perlahan kentang berkenaan selepas membaca basmalah.
"Tadi Irfan tengah buat apa?", soal Maria.
"Irfan main kejar-kejar tadi dengan kawan. Lepas itu, abang Naim datang beritahu Irfan ibu datang", balas Irfan lagi.
"Kalau ibu tak datang, selalunya Irfan buat apa waktu begini? Main kejar-kejar sahaja?", soal Maria lagi. Sekadar ingin tahu jika dia tidak datang melawat untuk hari itu.
"Irfan main dengan kawan-kawan. Kadang-kadang main bola, kadang itu ikut abang-abang jogging keliling taman ini. Ustaz tak bagi duduk dalam bilik sebab katanya waktu petang begini waktu sesuai untuk beriadah", kata Irfan petah sambil menyuap kentang putar itu ke dalam mulutnya.
"Irfan ada kena buli tak di asrama?", soal Maria lagi. Irfan menggeleng sahaja. "Abang-abang disini semuanya baik sahaja. Tak pernah lagi kena buli dengan sesiapa", balasnya.
"Betul ini?", soal Maria lagi. Bimbang jika ada tangan luar yang berani membuli anaknya sedangkan budak itu mahu belajar. Irfan mengangguk lagi, mengiyakan apa yang dikatakan tadi adalah benar.
Kentang putar itu tidak dapat dihabiskan. Irfan menutup kentang itu lalu menyimpannya di dalam beg plastik. "Eh, kenapa tak habis?", soal Maria.
"Irfan dah makan sebelum main tadi. Cik Piah masak cucur udang untuk minum petang", balas Irfan. Maria mengangguk mendengarnya. "Tak apa, malam nanti Irfan boleh makan di asrama. Malam ini ada kelas hafazan tak?".
"Ada, selepas Isyak biasanya kelas itu sampai pukul 10.30. Selepas itu, kami kena balik bilik untuk tidur atau buat kerja sekolah", kata Irfan memberitahu rutin hariannya di sekolah ini.
"Okay, nanti boleh makan di bilik nanti. Makanan di sini macam mana? Irfan tak boleh memilih tau. Apa yang orang itu masak, Irfan kena makan", kata Maria memberikan pesanan. Irfan menggeleng sahaja mendengarnya.
"Makanan di sini sedap-sedap. Masakan Cik Piah antara yang terbaik di sini. Minggu lepas, cik Piah ada buat laksa Johor, sedap. Tak tahulah bila lagi cik Piah itu nak buat laksa lagi. Teringin juga sebenarnya nak makan lagi laksa itu", ucap Irfan lagi.
"Mana sedap, ibu masak ke Cik Piah?", soal Maria sambil tersenyum. Sengaja ingin menguji anaknya.
"Mestilah ibu punya lagi sedap daripada cik Piah", katanya sambil tersenyum senang. Maria tertawa kecil sahaja mendengarnya.
***
Maria berjalan bersama Irfan sehingga ke pintu utama sekolah itu. Jam sudah menunjukkan angka 6.30 petang. Maria ingin pulang ke rumah bagi memberi laluan untuk anaknya bersiap kerana sebentar lagi pelajar perlu berada di surau sebelum waktu Maghrib tiba.
Maria mengeluarkan duit RM 1 yang sudah siap diikat itu. Beliau menyerahkan kepada Irfan. "Ini duit belanja Irfan untuk minggu ini. Jaga baik-baik ya, jangan sampai hilang pula. Nanti susah Irfan nak guna". Maria menyimpan duit itu di dalam kocek seluar anaknya.
Irfan memegang bahagian kocek itu supaya tidak jatuh. Seluarnya sedikit terlondeh disebabkan berat daripada duit itu. Maria tertawa sahaja melihatnya. Mereka kemudian bersalaman, mengucup pipi antara satu sama lain sambil berpelukan erat.
"Nanti ibu datang lagi lain hari, ibu bawa laksa Johor itu ya", kata Maria. Tubuhnya masih dalam keadaan mencangkung agar sama tinggi dengan anaknya. Irfan mengangguk sambil tersenyum ceria. Tangan kanannya menjinjit beg plastik KFC itu.
"Okay ibu. Nanti pakai tudung sekali ya macam ini. Baru nampak cantik", kata Irfan sambil memegang kain selendang hitam di kepala Maria. Maria tersentak seketika mendengarnya namun dia masih mengukirkan senyuman. "Irfan masuk dulu ya".
"Baik, jaga diri ya sayang".
"Assalamualaikum".
"Waalaikumsalam", Maria setia menunggu disitu melihat anaknya beredar masuk ke dalam kawasan sekolah itu. Hatinya tercuit seketika melihat telatah anaknya yang berjalan agak sukar dengan kocek seluarnya kelihatan besar sebelah. Setelah menghilang daripada pandangan, Maria beredar menuju ke keretanya untuk pulang.
***
Maria memandu sendirian sambil mengukir senyuman ceria selepas bertemu anaknya. Fikirannya teringat kembali akan luahan anaknya yang ingin menikmati laksa Johor. Oleh sebab itu, beliau sempat singgah ke pasar raya Mydin bagi membeli barang-barang untuk menyediakan menu itu selepas beredar dari sekolah.
Cermin hadapan keretanya ditenung seketika. Bungkusan beg plastik bertulis Mydin terletak elok di tempat duduk belakang. Senyumannya terukir di cermin itu. Maria memasang niat untuk membuat kejutan hari esok, iaitu datang menyerahkan menu laksa Johor.
"Esok dia mesti suka, esok ibu datang ya", kata Maria bermonolog sendirian.
Share this novel