Enam Tahun Yang Lalu
"Assalamualaikum, atuk. Oh, atuk".
Di hadapan rumah besar itu, sebuah kereta jenis sedan berhenti di hadapannya. Dua kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan 6 dan 4 tahun itu melaungkan suaranya memberikan salam. Nada suara mereka kedengaran ceria dengan senyuman manis di wajah dua kanak-kanak itu.
"Waalaikumsalam. Eh, cucu-cucu atuk dah sampai", Fattah keluar daripada dalam rumah dengan senyuman ceria. Apabila terpandangkan akan kelibat lelaki tua itu, dua kanak-kanak itu lekas berlari ke arah datuknya untuk bersalaman.
"Sayang atuk sikit", kata Fattah sambil memeluk cucu lelakinya, Akmal. Akmal mengucup pipi kiri datuknya itu disusuli oleh adik perempuannya, Sofia. Mereka berdua kemudian masuk ke dalam rumah sambil tertawa riang.
"Wah, cucu nenek dah sampai rupanya. Patutlah dengar riuh sahaja", Hasnah tersenyum manis sambil bersalaman dengan dua cucunya itu. Sementara anak dan menantu mereka sedang gigih mengangkat beg pakaian untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
"Assalamualaikum, ayah", ucap Nizam iaitu anak kepada pasangan Fattah dan Hasnah. Dia diiringi oleh isterinya, iaitu Jannah. Mereka berdua bersalaman dengan Fattah disusuli dengan Hasnah yang sudah berdiri di samping suaminya di muka pintu.
"Waalaikumsalam, awal kamu sampai ya. Jalan tak sesak ke?", soal Fattah kepada Nizam. Nizam menggeleng sambil tersenyum.
"Alhamdulillah, masa dalam perjalanan tadi tak ada sebarang kesesakan pun. Tapi tak tahulah petang nanti macam mana. Itu yang kami buat keputusan untuk bertolak awal", jawab Nizam sambil mereka berempat melangkah masuk ke dalam rumah besar itu. Beg pakaian mereka anak beranak dibawa sama lalu masuk ke dalam bilik yang telah disediakan.
"Kak long kau dan abang ngah mungkin sampai petang nanti. Harap-harap tak ada kesesakan lalu lintas yang teruk. Boleh kita berbuka puasa bersama-sama nanti", balas Fattah dengan nada ceria.
"Itulah pasal. Harapnya begitulah".
Akmal berbaring di atas sofa lemah sementara Sofia sedang menghisap susu yang dibancuh oleh ibunya sebelum bergerak tadi. "Nampak letih je Mal", kata Fattah kepada Akmal yang terbaring itu. Tiada sebarang jawapan daripada soalan datuknya itu.
"Dia puasa ayah hari ini. Dah nak raya ini, baru dia nak puasa betul-betul. Tidak itu setengah hari sahaja, dah minta buka", ujar Nizam. Fattah terkejut mendengar kata-kata anak lelakinya.
"Wah, pandai puasa dah. Bagusnya cucu atuk ini. Tapi, dah sampai rumah atuk tak boleh lembik macam ini, kena kuat. Akmal kuat kan", ucap Fattah kepada Akmal. Mendengarkan kata-kata itu, Akmal terus bangun daripada pembaringan.
***
Suasana berbuka puasa di hadapan televisyen itu agak meriah bukan sahaja kerana hidangan yang tersedia, tetapi kepulangan anak menantu serta cucu Fattah yang lain menjadikan suasana agak meriah di sini. Bacaan doa dimulakan oleh Akmal atas permintaannya sendiri. Fattah tersenyum senang melihat perkembangan baik cucu lelakinya itu.
Selepas itu, mereka keluar ke surau bagi menunaikan solat sunat Tarawih untuk malam terakhir ini. Fattah bersama cucu serta anak menantu lelakinya antara yang keluar ke masjid berhampiran. Hanya golongan wanita sahaja tidak dapat ke masjid disebabkan hal tertentu.
Tepat jam 9.45 malam, Fattah bersama yang lain telah selamat sampai ke rumah selepas selesai menunaikan solat sunat Tarawih ini. Esok, mereka akan bertungkus lumus dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Selepas menukar pakaian biasa sewaktu berada di rumah, mereka bersantai menonton televisyen. Ada juga yang ke dapur untuk menjamah hidangan lain sementara belum tidur lagi.
"Macam mana dengan tadika Akmal itu? Seronok tak belajar di sana?", soal Fattah ketika duduk menyaksikan Akmal sedang bermain bersama Sofia serta Najihah, cucunya yang satu lagi. Beliau dianugerahkan 6 orang cucu dengan tiga daripadanya sudah berada di sekolah rendah dan menengah.
"Seronok. Tadika di situ best. Hari-hari ustaz dan ustazah ajar kami membaca doa. Macam-macam doa kami belajar", kata Akmal dengan petah sekali. Fattah tersenyum dan mendengarnya dengan penuh minat.
"Ya ke? Doa apa yang ustazah ajar?", soal Fattah.
"Doa masuk tandas, doa nak tidur dan bangun tidur, doa sebelum dan selepas makan, doa masuk kereta, doa berbuka puasa pun sama", kata Akmal menyebut satu persatu perkara yang dibelajarnya. Mendengarkan perkara itu, Fattah meminta agar Akmal membaca doa ketika keluar daripada tandas kerana dia ingin mendengarnya.
"Bacalah, atuk nak dengar itu. Eleh, malu-malu pula", ucap Jannah kepada Akmal yang tersipu malu. Akhirnya, kanak-kanak lelaki itu membaca doa ketika keluar daripada tandas. Fattah turut menadah tangan mengikut gaya Akmal.
"Wah, bagusnya dia. Tak sia-sia ibu dengan ayah Akmal hantar kamu ke tadika Pasti", kata Fattah sambil tersenyum. Bangga dengan pencapaian awal cucunya itu. Jika betul cara didikan, tak mustahil Akmal boleh menjadi insan berjaya dalam bidang agama.
"Kalau ayah nak tahu, dia asyik mintak Ijam hantar dia ke sekolah tahfiz sahaja tahun depan. Dia minat sangat nak masuk sekolah tahfiz", kata Nizam membahasakan dirinya dengan panggilan Ijam. Fattah terkejut sambil tersenyum senang mendengarnya.
"Wah, sekolah tahfiz itu bagus tau. Kamu boleh jadi seorang hafiz, iaitu orang yang menghafal Al-Quran. Besar betul cita-cita kamu ya. Haa, ya lah. Kamu tahun depan dah masuk tahun 1. Tak sangka ya, dah besar cucu atuk ini", kata Fattah sambil mengusap kepala Akmal. Akmal yang tersipu malu itu beredar lalu bermain di kawasan lain. Fattah dan Nizam ketawa sahaja melihat reaksi kanak-kanak lelaki itu.
"Tapi ayah, kalau boleh saya nak dia masuk sekolah kebangsaan biasa. Senang sikit untuk perkembangan dia. Bergaul dengan murid pelbagai kaum. Bab agama pun ada juga diajar di sekolah itu", kata Nizam sewaktu Akmal sudah berlalu.
"Terpulang kepada kamu Ijam. Pada ayah, kita dah nampak minat dia dalam bidang ini. Ayah rasa tak salah kalau kamu kotakan niatnya itu. Jangan disekat minat anak. Lagipun, di sekolah tahfiz pun ada juga belajar mata pelajaran lain, bukan sekadar belajar agama sahaja", kata Fattah.
"Tapi, Ijam tengok di media sosial, kebanyakkan sekolah tahfiz macam tak mampu sediakan kediaman selamat macam sekolah biasa. Buatnya apa-apa terjadi nanti, macam mana", kata Nizam lagi mengatakan kerisauannya. Nampak di mata ayahnya bahawa dia mahukan Akmal belajar di sekolah tahfiz.
"Tak apa, itu kamu tak perlu risau. Kita cari dahulu sekolah tahfiz mana yang baik. Kemudian, ayah akan jadi penaja sekolah itu. Demi Akmal, ayah boleh buat apa sahaja. Asalkan cucu ayah berjaya", kata Fattah dengan nada bersemangat. Nizam sekadar membisu. Tidak tahu ingin berkata apa.
***
Laungan takbir Raya berkumandang di corong-corong radio, kaca televisyen dan masjid berhampiran. Fattah sekeluarga sudah duduk berkumpul di kerusi panjang bagi sesi bermaaf-maafan sebelum berangkat ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Selepas anak-anak serta menantu Fattah bersalaman dengannya, kini giliran cucu-cucunya pula. Mereka tersenyum sewaktu bersalaman dengan Fattah disebabkan sampul duit raya dihulurkan oleh lelaki tua itu. Mereka tahu, datuknya akan berikan duit raya dengan jumlah yang agak besar. Belum pernah lagi mereka mendapat duit raya berwarna biru air laut.
"Selamat hari raya atuk", ucap Akmal sambil mengucup tangan Fattah. Hasnah tersenyum sahaja melihat cucunya itu. Fattah memegang kepala Akmal yang bersongkok hitam itu.
"Selamat hari raya Mal. Tahun ini Akmal puasa penuh berapa hari?", soal Fattah kepada Akmal. Budak lelaki itu menunjukkan angka 4 hari pada jarinya. Fattah tersenyum lalu menghulurkan sampul duit raya itu.
"Hei, jangan buka depan atuk", tegur Jannah selepas melihat Akmal dengan selambanya membuka sampul duit raya itu. Not merah itu dikeluarkan daripada sampul menyebabkan Akmal terkejut besar.
"Wah, banyaknya. Terima kasih atuk".
"Tak aci lah macam ini. Kami pun nak juga".
Fattah tertawa sahaja mendengar celoteh cucu-cucunya. Nizam sekadar menggeleng kepala dengan sikap Akmal. Fattah kemudian menerangkan bahawa semua orang mendapat jumlah yang sama. Pada awalnya, dia ingin merahsiakan daripada pengetahuan semua cucunya namun disebabkan tindakan Akmal, pecah rahsianya.
Mereka kemudian berkumpul bersama mengikut susunan yang betul. Fattah duduk bersama dengan Hasnah di kerusi sofa itu sementara anak menantunya berada di belakang sofa dan sisi. Cucu-cucunya pula duduk di bawah.
"Okay, bersedia ya".
Razali, iaitu anak kedua Fattah berlari ke arah mereka selepas menekan punat untuk mengambil gambar. Mereka tersenyum riang tanpa sebarang pergerakan. Akhirnya, satu cahaya daripada kamera terpancar menandakan gambar sudah diambil.
Fattah tersenyum riang melihat semua ahli keluarganya. Besar harapannya agar kebahagiaan ini berkekalan hingga akhir hayatnya.
Ini baru sikit, Bab seterusnya akan mengusik emosi sikit.. hehehe
Share this novel