Watson Aeon Cheras
Maria ralit membuat kerja-kerjanya di kedai ini. Beberapa helai kertas kerja yang dilakukan oleh staff pengurusan di bawahnya disemak setiap satu. Setelah seminggu peristiwa hitam melanda dirinya, Maria telah kembali bekerja pada hari ini. Namun begitu, fikirannya tidak terlalu fokus terhadap kerjanya.
Mesej yang diterima daripada seseorang malam tadi membuatkan fikirannya terimbas kembali terhadap mesej itu. Mesej yang diterima daripada seorang lelaki bernama Fattah mengajaknya untuk bertemu di sini hari ini. Walaupun agak sangsi, wanita itu bersetuju sahaja menerima pelawaan daripada ahli perniagaan itu. Sedang dia tekun membuat kerja, tiba-tiba pintu stor pejabatnya dibuka oleh seseorang.
Saiful masuk ke dalam bilik stor menuju ke pejabat ketuanya. Langkahnya laju diatur ke arah wanita itu. "Hmm, kak. Datuk Fattah itu datang cari akak", kata Saiful sambil menunjukkan ke arah skrin monitor CCTV di atas meja pejabat itu. Maria melihat ke arah skrin itu sambil mengangguk.
"Oh, dia dah sampai. Jadi akak rehat dulu ya. Cashier dah closing kan?", soal Maria. Saiful mengangguk, "Dah kak, dua-dua ngam tak ada short".
"Baik, jadi boleh pergi rehat. Akak rehat dengan orang tua itu", kata Maria sambil tersenyum. Saiful berasa pelik melihat perkara itu. Timbul persoalan tentang hubungan antara Maria dengan lelaki terkenal itu.
"Macam mana akak boleh kenal dia?", soal Saiful.
"Itu akak punya skandal lah. Dia kan banyak duit, rugi kalau tak jadi anak ikan dia", balas Maria sambil tertawa besar. Saiful yang mendengarnya terus berubah pada wajahnya. Terkejut bukan kepalang mendengar akan perkara itu.
"Tak ada lah, kau ingat selera aku teruk sangat ke? Ramai lagi lelaki muda yang aku boleh tackle. Datuk itu sponsor sekolah tahfiz arwah anak akak dulu. Ini akak tak tahu dia nak jumpa sebab apa. Eh, akak pergi dulu ya", kata Maria sambil mengeluarkan kad pengenalan miliknya.
Kad pengenalan itu diletakkan di atas mesin pengimbas untuk punch out o'clock. Namanya tertera bersama waktu di bahagian bawah skrin monitor komputer pejabatnya. Setelah selesai, Maria terus keluar daripada stor menuju ke pintu hadapan kedainya sambil diekori oleh Wana, pekerjanya.
Setelah selesai membuat pemeriksaan tubuh, Maria keluar daripada kedai menuju ke arah Datuk Fattah, ahli perniagaan tersohor di Malaysia ketika ini. Mereka berjalan berdua menuju ke satu lokasi khas untuk pertemuan hari ini.
***
Maria duduk berhadapan dengan lelaki tua itu. Kini, mereka berdua berada di sebuah restoran eksklusif di dalam pusat membeli belah ini. Walaupun ada mata-mata yang memandang pelik ke arah mereka berdua, Maria hanya buat tidak tahu sahaja. Fattah membuat pesanan makanan kepada pelayan yang datang ke mejanya ketika ini.
"Kamu nak makan apa?", soal Fattah. Maria tersenyum sambil menggeleng. "Tak apa, pesan sahaja. Saya belanja hari ini", kata Fattah. Maria hanya tersenyum lalu membuat pesanan untuknya.
Setelah pelayan itu beredar, Maria mula mengajukan pertanyaan akan tujuan pertemuan ini. "Jadi, kenapa Datuk nak jumpa saya? Lagi satu, macam mana Datuk boleh dapat nombor telefon saya?", soal Maria. Persoalan itu timbul sejak malam tadi walaupun lelaki itu sudah menerangkannya di dalam mesej itu.
Fattah tersenyum sahaja. "Kalau kamu nak tahu, saya dapat butiran kamu lengkap bersama nombor telefon dan alamat rumah sekali. Tapi saya tak nak jumpa kamu di rumah, tak manis pula nanti. Jadi, baik saya jumpa kamu di sini", balas Fattah sambil mengeluarkan sebuah buku kecil. Maria hanya melihat sahaja tingkah laku lelaki itu.
"Kamu ibu kepada arwah Irfan Aliff, betul?", soal Fattah. Maria terkejut mendengarnya.
"Macam mana Datuk tahu? Apa kaitan pertemuan ini dengan arwah anak saya?", soal Maria dengan nada cemas. Fattah masih tersenyum sambil membuka buku kecil miliknya yang terdapat banyak maklumat peribadi seseorang.
"Dalam buku ini, ada semua maklumat waris mangsa kebakaran di sekolah itu. Saya dapat daripada pengetua sekolah, Ustaz Haji Rahizam supaya saya boleh aturkan pertemuan ini dengan kamu. Kamu mesti kenal kan ustaz itu?", soal Fattah lagi.
Maria mengangguk sambil dahinya berkerut. Masih samar-samar lagi dengan kata-kata lelaki itu. Fattah berdehem seketika kerana pelayan tadi tiba membawa dua cawan panjang minuman untuk mereka berdua. Setelah pelayan itu beredar, Fattah kembali menyambung percakapannya.
"Saya minta butiran ini sebab ada perkara mustahak yang saya nak kamu buat. Bukan kamu sahaja, tetapi semua orang dalam buku ini wajib ikut apa yang saya nak. Saya bercadang nak buat satu kumpulan khas demi menuntut bela atas kematian orang tersayang dalam kebakaran itu", Fattah membuka helaian terakhir di buku kecil miliknya. Muka surat terakhir itu diberikan kepada Maria.
"Nah, baca ini diam-diam. Kemudian, beritahu saya kamu setuju atau tidak dengan buat isyarat kepala sahaja", kata Fattah sambil menyerahkan buku kecil itu. Maria membaca setiap bait perkataan di halaman terakhir itu. Riak wajahnya serta merta berubah.
"Da...Da...Datuk nak kami...", Maria terkejut membaca tulisan di buku kecil itu. Tulisan itu menyatakan nama kumpulan, visi serta misi dalam helaian akhir itu. Fattah hanya mengangguk dengan riak wajah yang serius.
"Tapi Datuk, benda ini bahaya. Kenapa kita tak serahkan sahaja pada undang-undang? Biarlah undang-undang sahaja yang menghukum mereka", kata Maria dengan nada suara berbisik namun masih mampu didengari oleh Fattah.
Fattah mendekatkan wajahnya ke arah Maria. Riak wajahnya yang mudah senyum tadi berubah menjadi serius. "Jadi, hidup kamu tenteram ke bila pembunuh anak kamu terlepas daripada tangkapan polis? Alasan, tak cukup bukti. Kamu nak dengar ayat itu di saluran berita?".
"Sekarang, pihak polis boleh cakap yang mereka itu masih di bawah umur. Niat hanya nak membakar sahaja bukan untuk membunuh, jadi hukuman mati tidak dijatuhkan kerana masih dibawah umur. Kamu tahu kan tentang itu?", kata Fattah secara berbisik namun ada nada marah dalam suaranya.
"Buat masa sekarang, ya. Hukuman akan terlepas. Tapi akan datang, silap-silap dalam tujuh orang itu, semua terlepas sebab tak cukup bukti lah, apa lah. Kamu takkan tak tahu tentang ini. Kamu nak perkara ini terjadi? Kematian anak kamu, cucu saya, serta anak-anak orang lain tidak dapat pembelaan. Kamu nak macam itu?", bisik Fattah lagi.
Perbualan mereka sekali lagi terhenti apabila makanan yang dipesan sudah sampai. Fattah mempelawa Maria untuk makan dahulu memandang wanita itu hanya mempunyai masa selama satu jam sahaja. Selepas itu, Fattah kembali meneruskan percakapannya.
Lelaki tua itu mengeluarkan telefon pintarnya, gambar tujuh remaja yang menjadi dalang kejadian kebakaran itu ditunjukkan kepada Maria. Sudah viral di media sosial tentang wajah setiap suspek yang terlibat. Maria yang baru ingin menyuap makanan terhenti seketika sambil melihat ke arah gambar itu.
"Sekarang, kamu tengok muka-muka ini. Mereka ini yang bunuh anak kamu. Kamu tengok betul-betul. Takkan kamu nak biar undang-undang yang laksanakan hukuman terhadap mereka? Bukan saya nak pertikaikan undang-undang di negara kita tapi masalahnya dah banyak terjadi, pembunuh terlepas begitu sahaja. Mangsa bunuh tidak dapat pembelaan sepenuhnya".
Maria merenung tajam ke arah gambar itu. Perasaan berangnya kembali mendidih ketika ini. Pisau dan garpu di tangannya digenggam kuat menahan marah. Bola mata putihnya juga menjadi merah menyala disebabkan kemarahan yang meluap-luap.
"Mereka ini sampah masyarakat sebenar. Kecil-kecil tak nak mati, dah besar menyusahkan semua orang. Ada yang umur baru 15 tahun, 13 tahun, tapi dah pandai hisap dadah. Itu sebab mereka berani bakar anak kamu", kata Fattah yang sudah menyimpan telefon pintar ke dalam beg kecil miliknya.
Tanpa berfikir panjang, Maria mengangguk tanda bersetuju. Fattah terkejut melihat anggukan itu. "Saya setuju Datuk. Saya akan ikut Datuk, demi menuntut bela atas kematian anak saya", kata Maria dengan nada berbisik. Fattah tersenyum sahaja mendengarnya setelah berjaya mendapat seorang ahli.
"Bagus Maria. Terima kasih, apa-apa saya akan beritahu kamu lagi. Nombor telefon kamu saya dah simpan. Tunggu sahaja feedback daripada saya", kata Fattah sambil tersenyum. Barulah tangannya memegang pisau dan garpu untuk menikmati juadah di hadapannya.
***
Setahun Kemudian
11.00pm
Maria berjalan seorang diri di sebuah lorong gelap itu. Tubuhnya berpakaian serba hitam dengan jaket mempunyai hoodie menutup bahagian kepalanya. Tangan kanannya memegang sebatang kayu besbol menuju ke arah sekumpulan lelaki di lorong ini. Kumpulan lelaki itu tidak menyedari kehadiran wanita itu kerana sedang asyik melayan 'barang'.
Maria terus berlari ke arah kumpulan itu lalu membelasah setiap seorang dengan menggunakan kayu besbol berkenaan. Walaupun ada yang cuba melawan, namun ianya nyata tidak berjaya menewaskan Maria yang tangkas menyerang. Gerakan wanita itu amat pantas. Semua lelaki itu tumbang tidak sedarkan diri dengan kecederaan yang teruk.
Kini, hanya tinggal seorang sahaja yang masih belum tewas. Wajahnya jelas kosong kerana dikuasai oleh dadah. Dia segera merempuh ke arah Maria namun wanita itu berjaya mengelak. Lelaki itu terhempas di atas jalan. Maria segera naik ke atas tubuh lelaki itu lalu melepaskan beberapa tumbukan di bahagian wajah lelaki itu. Maria kemudian memeluk kepala lelaki itu.
Prakk! Lelaki itu mati begitu sahaja selepas kepalanya dipusing oleh Maria. Terpisah jasad dan nyawa lelaki itu di lorong gelap ini. Maria bingkas bangun meninggalkan kumpulan itu dan menuju ke satu kumpulan lain di hujung lorong. Kumpulan kali ini adalah kumpulan kanak-kanak dalam usia 11 tahun.
Maria terus berlari lalu menyepak kepala salah seorang kanak-kanak yang sedang leka menghisap gam. Terkejut dengan kedatangan Maria, tiga lagi budak lelaki itu cuba melarikan diri namun Maria pantas menarik rambut dua daripadanya lalu dihantukkan kepala setiap seorang. Maria pantas mengejar seorang lagi yang sudah terjatuh kerana tidak stabil dalam lariannya.
Maria membelasah tubuh empat budak lelaki itu menggunakan kayu besbol tanpa belas ehsan. Tiga daripadanya mati begitu sahaja kerana kecederaan teruk di bahagian kepala yang pecah menerima pukulan kayu besbol itu. Maria pergi pula ke arah seorang budak lelaki yang mengengsot ke arah tembok bangunan kedai itu.
"Ja..ja..jangan kak. Saya janji tak buat lagi", kata budak lelaki itu yang bertubuh agak gempal. Maria berjalan perlahan ke arah budak lelaki itu. Senyuman sinis terukir di wajahnya.
"Shhh. Kenapa nak menangis? Tadi kan seronok layan gam kan. Maknanya kau dah dewasa. Lepas ini boleh hisap rokok pula, lepas itu dadah. Lepas itu, boleh bakar bangunan kan", Maria tertawa sinis. Tubuhnya yang mencangkung itu kini berhadapan dengan budak lelaki tadi.
"Kau mesti pernah dengar kan, kecil-kecil tak nak mampus, bila besar menyusahkan orang. Jadi, apa kata kau mampus saja sekarang. Nanti dah besar tak ada lah menyusahkan semua orang kan", kata Maria sambil tertawa sinis lagi.
"Jangan kak, saya janji tak buat lagi. Tolonglah", tidak semena-mena tubuhnya disesah dengan kayu besbol itu berkali-kali. Raungan meminta tolong langsung tidak diendahkan oleh Maria. Tidak lama kemudian, raungan itu sudah tidak kedengaran lagi.
Maria memeluk kepala budak lelaki itu. Satu pulasan kuat dilakukan menyebabkan kepala budak lelaki itu berpusing ke belakang, sama seperti lelaki tadi. Budak lelaki itu mati begitu sahaja.
Wanita itu kemudian beredar dari lorong ini. Telefon pintarnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Nama Fattah terpapar di skrin telefon itu.
"Hello",
"...",
"Saya di lorong yang kita lalu siang tadi. Mereka semua dah mati".
"...",
"Ya, saya tahu. Tapi saya kena turun juga untuk asah skil saya. Nanti bila berhadapan dengan mereka, senang sikit untuk beraksi".
"..."
"Baiklah, itu Datuk tak perlu risau. Saya akan berhati-hati", kata Maria. Panggilan kemudian dimatikan. Maria terus berlalu meninggalkan kawasan ini. Kini, wanita itu sudah berubah sepenuhnya hasil pertemuan dengan Fattah setahun yang lalu.
Share this novel
sambung lagi please author