BAB 5

Family Completed 16150

‘’Aimi hilang mak! Aina tinggai dia sat ja. Aina pi bilik ayaq. Bila keluar, tengok Aimi dah tak dak. Kami dah cari Aimi keliling rumah tak jumpa. Lang Semah cakap tadi dia tengok Aimi dok tepi sungai tapi,’’ aku kaku lagi bila menerima perkhabaran dari Aina.

Kami masih di hospital Alor Setar untuk menunggu bedah siasat Aiman selesai.

‘’Aina! Hang jangan kalut sangat. Pi minta tolong sapa-sapa pi cari Aimi sat. Kan mak dah pesan. Kalau nak tinggai dia kena suruh sapa-sapa tunggu sat atau pun kunci pintu tu. Hang tak kunci pintu ka? Am dengan Ijat balik dakgi? Pagi tadi depa kata nak pi Pulau Bunting. Adik Aerie hang pun tengok sama kot dia balik rumah. Tadi dia balik kecah rumah sat, dia pi pulak rumah mak ngah hang.’’

Aku pura-pura bersuara tenang. Masalah nak membawa balik jenazah Aiman pun belum selesai lagi, Aimi pulak yang hilang. Kalau aku mengelabah saat ini takut darah tinggi aku datang semula. Kesian pula suami aku nanti.

‘’Orang kunci dah pintu tadi. Adik Aerie yang balik buka. Lepas tu dia hilang macam tu ja.’’

Aku dengar suara Aina yang sudah tertahan-tahan di hujung talian. Aku mengeluh lemah. Kepala aku berserabut dengan masalah anak-anak. Aina adakalanya menjadi seorang anak yang patuh tapi adakalanya langsung tak boleh menerima teguranku. Adakalanya aku juga letih untuk menjaga hati semua orang.

‘’Pi cari di rumah tok tengok kot dia ada di sana.’’

Aku mengarah Aina lagi. Apa lagi yang mampu aku buat. Kami belum boleh membawa jenazah Aiman pulang selagi semua urusan belum selesai. Aku hanya mampu berdoa agar anak-anakku dalam lindungan Allah.

‘’Satgi tok marah!’’ Aina bersuara lagi.

‘’Pi cari dulu. Kalau tok marah tahan dulu telinga. Kalau jadi apa-apa kat Aimi macam mana?’’

Aku bersuara sambil beristighfar dalam hati. Ya Allah! Tolong lindungi Aimi anakku. Aku tak sengaja Ya Allah! Aku sekadar nak mengertak Aina agar pergi mencari Aimi. Bukan aku bermaksud nak mendoakan sesuatu terjadi terjadi kepada Aimi. Aku kesal dengan kelancaran lidahku.

Wajah Aimi pula bermain dalam ingatanku. Aku cuba menahan air mata dari terus gugur. Aku cuba menjadi seorang ibu yang tabah. Suamiku Ahmad yang sibuk berurusan dengan pihak hospital belum aku maklumi dengan kehilangan Aimi. Aku tak mahu dia turut resah sepertiku. Aku tahu suamiku lebih cepat menggelabah bila berkaitan dengan anak-anak. Selama ini dia yang lebih memanjakan anak-anak berbanding aku.

Sikap kami memang berbeza. Suamiku tak betah dan tak pandai untuk marah-marah terutama dengan anak-anak. Seringkali dia menurut apa saja kemahuan anak-anak walau dia tak mampu. Dia sanggup berhabis demi anak-anak. Aku pula lebih tegas kerana, bagi aku anak-anak tak perlu terlalu dimanjakan takut mereka semakin melampau. Mungkin cara aku salah? Aku tak pasti tapi setakat ini anak-anak kami lebih berdisplin. Cuma, adakalanya saja mereka menjadi degil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience