BAB 7

Family Completed 16150

Tubuh dua orang anak kesayanganku terbujur kaku di depanku saat ini. Kami meminta jenazah keduanya segera dikebumikan. Walau bagaimanapun kami meminta agar dikebumikan selepas Amran dan Aizat pulang. Kami sudah meminta pertolongan orang-orang kampung untuk mencari Amran dan Aizat di Pulau Bunting.

Entah ke mana kedua orang anak-anakku itu pergi. Amran dan Aizat memang kaki pancing. Kalau musim bulan penuh mereka akan memancing ketam menyalin dan dijual kepada pemborong Cina di Pekan Sungai Yan. Kalau air pasang penuh pula mereka akan memancing ketam batu dan dijual. Kadang-kadang mereka mengikut rakan-rakan yang lebih tua untuk memancing di Pulau Bunting. Bukan kami tak pernah melarang tapi yang namanya anak-anak ni, yang dilarang itulah yang selalu mereka buat.

‘’Hampa biaq!! Aku dah kata dah, jangan dok bagi depa pi mengail. Awat! Hampa tak cukup duit ka, sampai suruh anak-anak hampa buat reja?’’

Aku dengar suara riuh rendah di luar rumah. Suamiku masuk ke rumah dalam keadaan tergopoh-gapah. Hati aku merusuh di dalam. Apa pula yang sedang berlaku? Beberapa orang kampung sudah berbisik-bisik sesama sendiri.

‘’Mad! Polis suruh hang pi buat report dulu.’’

Aku dengar ada suara berkata kepada suamiku. Aku tercengang. Report apa pula? Aimi jatuh sungai tadi mereka belum report lagi ka? Atau nak report perihal pemandu lori yang langgar Aiman?

‘’Awat pulak kak Nah?’’

Aku bertanya penuh keraguan kepada kakak iparku yang sudah mula menangis. Tadi kami sudah menangis berjemaah dengan kehilangan Aiman dan Aimi. Takkan belum habis lagi kesedihan mereka sedangkan aku sudah lama mengesat kering air mataku walau dalam hati masih ada sisa kesedihan itu.

‘’Abang! Awat pulak? Abang nak pi mana?’’

Kak Nah yang ditanya hanya diam membisu. Aku bertanya pula suamiku yang terkocoh–kacah untuk keluar dari rumah. Suamiku langsung tidak menoleh ke arahku. Aku rasa hatiku sakit diperlakukan seperti itu. Dalam situasi sekarang, hatiku terlalu sensitif. Sudahlah kehilangan kedua orang anak sekaligus. Suami pula seolah tidak mengendahkan pertanyaanku. Dia marahkan akukah? Tapi kenapa?

‘’Sabaqlah Imah oii, habuan hang la, Allah sayang anak-anak hang.’’

Emak saudara suamiku tiba-tiba datang memelukku sambil menghamburkan tangis. Aku keliru saat ini. Kenapa mereka nak buat hati dan jiwaku terus tersentak? Kenapa mereka yang beria-ia menangisi pemergian anak-anakku?

‘’Allah sayang depa mak lang! Takpa, Imah redha, Imah ada lagi empat orang anak. Imah akan cuba bersabar dengan ujian ni mak lang. In sya Allah!’’

Aku bersuara tenang. Cuba mengukirkan senyuman walau pun terasa begitu hambar.

‘’Empat orang apa Imah oii, tu Amran dengan Ijat jatuh jambatan Pulau Bunting pulak dah. Awat yang hang biar depa pi? Tak tau hidup ka mati tu. Aku tak bagi Mad pi tadi, takut dia terjun laut sama nak cari anak-anak dia tapi dia ketegaq nak pi jugak!’’

Mendengar raungan mak lang, aku sudah terkebil-kebil macam cicak tertelan kapur. Apa maksud mak lang ni? Kenapa dia nak merapu sampai macam ni? Tidak! Takkan Allah nak rampas Amran dan Aizat jugak?!

‘’Apa yang mak lang dok merapu sangat ni?’’

Aku menyuarakan apa yang aku rasa. Kak Nah kakak iparku pula yang meluru dan memeluk aku. Kemudian sanak saudara yang lain juga sudah meluru ke arah kami. Sekali lagi mereka menangis berjemaah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience