BAB 11

Family Completed 16150

Seminggu aku bekerja di rumah ini sebagai pembantu rumah encik Amiruddin. Ibunya yang lumpuh dan tiga orang anak lelakinya yang lasak perlu aku jaga. Menurut Puan Zakiah iaitu emak kepada Encik Amiruddin, isteri encik Amiruddin sudah tiga tahun menghilangkan diri.

Aku terkesan dan terdera perasaanku bila mengetahui isteri encik Amiruddin lari dari rumah kerana tidak sanggup menjaga ibunya yang sedang koma ketika itu. Apatah lagi terpaksa menguruskan rumah tangga dan tiga orang anak mereka yang masih kecil ketika itu.

Encik Amiruddin juga seorang yang berkira soal wang ringgit. Walau pun kedai makannya maju dan berjaya tapi encik Amiruddin tidak suka berbelanja besar. Dia hanya membeli sebuah rumah teres sederhana untuk keluarganya sedangkan dia mampu membeli rumah yang lebih baik. Menurut Puan Zakiah, anaknya encik Amiruddin menyimpan wang demi masa depan anak-anaknya dan encik Amiruddin juga tidak suka berhutang. Semua perabot di rumahnya adalah barang terpakai yang dibeli dengan harga murah.

Aku rasa terpukul mendengar cerita Puan Zakiah. Aku juga seorang isteri yang lari dari rumah. Cuma bezanya aku lari dari rumah bukan kerana tidak sanggup menjaga ibu mertua yang lumpuh atau tidak sanggup hidup dalam serba kekurangan.

Aku sudah biasa hidup susah. Aku lari dari rumah kerana terlalu tertekan bila terasa diri aku diabaikan. Aku mengaku, aku terlalu ikutkan perasaan. Suami aku seorang yang baik. Ya! Dia memang tak mampu nak beri aku kesenangan tapi bukan itu masalah utamanya!

Entahlah! Kadang-kadang aku sendiri tidak faham dengan diriku. Apa mahuku sebenarnya? Aku cuma kehilangan anak dan dengan teganya aku buang suami dan dua orang lagi anak-anakku yang mungkin masih memerlukan aku?! Kadang-kadang aku jadi keliru dengan kehidupan ini.

‘’Rohimah!!!’’ aku tersedar dari igauanku di siang hari dengan laungan suara itu.

‘’Siapa ni??’’

Suaranya masih lantang. Surat khabar di tangan dibaling ke wajahku. Kelu lidahku dan bergetar tubuhku.

Aku tunduk dan mengutip surat khabar yang berselerakan di lantai. Aku membuka helaian demi helaian namun aku tak pasti apa yang aku cari.

‘’Ini!!! Gambar siapa ni??’’

Semakin kuat suaranya. Menggigil juga tubuhku bila surat khabar itu ditonyoh kasar ke wajahku. Aku ingin menangis kerana sepanjang aku hidup berumah tangga bersama suamiku aku tidak pernah diherdik sekasar ini.

Aku meneliti gambar yang terpampang di depan mata. Pedih mataku bila melihat gambarku dan membaca tajuknya. Aku baca isi kandungannya di dalam hati. Air mataku gugur tanpa sedarku. Sakitnya hati membaca kandungan ceritanya seolah hatiku ini sedang ditikam lumat.

LARI DARI RUMAH

Yan, Kedah. Seorang suri rumah yang hilang seminggu yang lalu dirayu pulang. Menurut suaminya Ahmad Bin Bahar andainya isterinya Rohimah Bt Saidin tidak pulang selepas seminggu selepas berita ini disiarkan maka akan jatuh talak tiga ke atasnya kerana sudah menjadi isteri nusyuz. Rohimah yang kononnya ingin berziarah ke rumah saudara mara untuk menghilangkan tekanan telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh ahli keluarganya.

Tanpa menghabiskan bacaanku, air mataku berguguran lagi. Sakitnya tak dapat aku bayangkan. Kenapa suami yang aku kenali dengan sikap yang pendiam dan penyayang itu tergamak memalukan aku sebegini rupa? Tidakkah mereka sedar dengan menyiarkan gambar dan nama penuhku mereka sedang mengaibkan aku? Aku juga punya harga diri. Takkan semudah itu talak digugurkan? Baru seminggu aku menghilangkan diri, takkan mereka tidak boleh memahami diriku? Aku pasti bila sampai waktunya nanti hatiku akan sejuk kembali dan akan pulang ke pangkuan mereka. Kenapa aku langsung tidak diberi peluang?

‘’Kau boleh bungkus kain baju kau dan nyah dari rumah ini! Aku tak suka simpan isteri nusyuz macam kau dalam rumah ini! BERAMBUS!!’’

Kejamnya kata-kata yang keluar dari mulut encik Amiruddin. Tidak layakkah aku diberi peluang??

‘’Encik Amir, takkan…’’

‘’Keluar!!!!’’

Menggigil tubuhku mendengar tengkingan itu. Air mata yang laju berjuraian, aku kesat rakus. Lelaki semuanya sama! Suara hatiku bertempik di dalam. Dalam sakit hati aku menyimpan dendam buat insan bergelar lelaki. Aku perlu kuat kerana inilah pilihanku! Hatiku memujuk diriku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience