BAB 10

Family Completed 16150

SEBULAN KEMUDIAN

Kesabaranku robek jua akhirnya. Sebulan lebih aku memendam duka kehilangan anak-anakku dan rasa kecewa kerana diriku seolah tidak dipedulikan lagi. Nanar hatiku melawan perasaan dengan kerenah suami dan anak-anak yang cuma tinggal dua orang ini. Hari-hari aku ‘makan hati berulamkan jantung’.

Akhirnya hari ini aku selamat berada di daerah orang. Aku membuat keputusan terdesak ini bila merasakan diriku sebagai seorang isteri dan sebagai seorang ibu sudah tidak dihargai lagi. Adakah aku terlalu mengikut kata hati? Aku keliru dengan suara hatiku. Yang pastinya kesabaranku yang semakin menipis hari demi hari kini sudah terkoyak rabak. Aku tak kuat untuk terus memendam rasa.

Aku belum pasti lagi ke mana hala tujuku. Adakah aku harus ke rumah adik beradik? Kalau boleh aku tak mahu menyusahkan sesiapa. Aku hanya menurut gerak hati dan mengikut langkah kakiku. Kini aku tersadai di hentian bas ini.

‘’Assalamualaikum!’’

Seseorang menyapaku dengan memberi salam. Aku menoleh dan cuba mengukirkan senyuman.

‘’Waalaikumusalam!’’ aku jawab lemah.

‘’Mak cik tak nak balik ke? Dah lewat ni. Kami pun nak tutup kedai dah.’’

Dia menyoal soalan yang aku sendiri tiada jawapannya. Ke mana harusku pulang? Sedangkan aku sudah berada jauh dari kampung.

‘’Mak cik baru sampai, tak tau nak ke mana? Ada masjid tak dekat-dekat sini?’’

Aku menjawab dan menyoal sekaligus.

‘’Masjid dua kilometer dari sini. Macam ni la mak cik, apa kata mak cik ikut ja saya balik ke rumah malam ni?’’

Orang itu mengajukan lagi soalan yang buat aku penasaran untuk menjawab. Ya! Kerana dia seorang lelaki yang ku rasakan mungkin umurnya sebaya atau muda sedikit dariku.

‘’Tak pa la, lagi pun mak cik bukannya kenal pun encik ni sapa!’’

Aku mengeleng sambil menolak pelawaannya.

‘’Kawasan ni ramai warga asing. Mak cik tak takut ke, kena rompak atau kena rogol ke? Atau pun lebih teruk lagi kalau mereka rompak, rogol dan lepas tu mereka bunuh mak cik.’’

Serius orang itu bersuara. Bulu tengkukku sudah mula meremang.

‘’Err,takkan kot?’’ aku menyoal ragu.

‘’Malang tak berbau mak cik!’’

Ujar orang itu sambil mengangkat bahu. Mungkin maksudnya terpulang samada aku nak percaya atau pun tidak? Tapi, selamatkah kalau aku ikut dia pulang?

‘’Sebab malang tak berbaulah, mak cik tak berani ikut encik balik!’’

Tenang aku berkata, sedangkan dalam hati aku bergetar sejuta rasa. Walau pun dia panggil aku mak cik tapi aku tetap seorang wanita dan dia tetap orang lelaki.

Bila aku cakap macam tu aku lihat bibirnya mengukirkan senyuman. Dia mengangkat bahu sekali lagi dan ingin berlalu pergi. Aku memerhatikan dia menghampiri keretanya, kemudian dia berpusing kembali.

‘’Esok saya orang pertama yang akan beli surat khabar, mana tahu ada berita sensasi seorang wanita degil kena bunuh di sini?’’ dia melaung kuat.

Ciss! Kurang asam. Kalau nak tinggalkan aku pun, doakanlah yang baik-baik!

‘’Tunggu! Mak cik ikut!’’

Aku terkejut demi mendengar suaraku sendiri. Aku terdengar lelaki itu ketawa dan membuka pintu kereta di sebelah pemandu. Aku bergegas bangun dan menghampirinya.

Sebaik aku meloloskan tubuhku dalam perut kereta, lelaki itu menutup pintu kereta dan mula berjalan ke sebelah sana dan turut meloloskan dirinya di tempat pemandu. Aku diam kaku di sebelahnya. Bila melihat dia mengenakan tali pinggang keledar, aku turut berbuat perkara yang sama.

‘’Mak cik dari mana sebenarnya ni?’’ dia bertanya sambil mula menghidupkan enjin kereta.

‘’Kedah!’’ sepatah aku menjawab.

‘’Jauh tu! Datang sini nak cari siapa?’’ aku menggeleng.

Hati mula berkira sama ada untuk jujur atau sebaliknya.

‘’Tak tahu?’’ dia bertanya lagi.

‘’Err,.nak cari kerja!’’ itu saja yang mampu aku jawab.

‘’Nak kerja dengan saya?’’

Dia ajukan lagi soalan. Aku menoleh pantas ke arahnya. Berminat dengan tawaran yang diberikan.

‘’Kerja apa?’’ aku soal dia pula.

‘’Terpulang! Sama ada jadi pembantu kedai atau pembantu rumah.’’

Aku menjatuhkan kepala berkali-kali sambil minda mula berfikir. Mana yang lebih menarik di antara kedua tawaran kerja itu?

‘’Pembantu kedai tu termasuk memasak ka?’’

Aku lontarkan lagi soalan. Kalau bab masak aku paling malas nak memasak dan aku tidaklah pandai mana untuk memasak. Lingkup bisnes orang nanti.

‘’Tak! Kami dah ada chef!’’ aku mengangguk lagi.

Kalau bukan memasak tentu membasuh pinggan mangkuk? Huh! Maunya patah pinggan aku kalau asyik mengadap pinggan mangkuk setiap hari.

‘’Kalau pembantu rumah pula kerja apa?’’ aku lihat dia sudah tersenyum dengan soalanku yang ini.

‘’Tolong ibu saya jaga anak-anak saya yang nakal, mengemas rumah dan memasak!’’

Dia jawab spontan dan menoleh ke arahku. Aku menarik nafas perlahan. Anak-anak? Tiba-tiba aku terbayangkan wajah anak-anakku. Wajah Aina, Airie dan empat wajah arwah anak-anakku. Lantas air mataku bergenang tanpa sedarku. Aku rindukan mereka semua!

‘’Kenapa?’’ dia menyoalku dengan wajah pelik.

‘’Kenapa tolong ibu encik? Kenapa bukan isteri? Sepatutnya isteri yang jaga anak-anakkan?’’

Aku bertanya dia sambil bertanya diri sendiri di dalam hati. Aku pun apa kurangnya, seorang isteri yang lari dari rumah, tinggalkan suami dan anak-anak.

‘’Jom turun! Kita dah sampai,’’ soalan aku tidak berjawab.

Dia mematikan enjin kereta dan mula menanggalkan tali pinggang keledar dan melangkah keluar. Aku memandang sekeliling perumahan itu. Hanya rumah teres setingkat biasa.

‘’Kenapa? Nak tidur dalam kereta pulak ke?’’

Dia membuka pintu kereta dan menyoal lagi. Aku geleng dan mula melangkah keluar. Dia memberi aku laluan dan menekan alarm kereta selepas pintu kereta di tutup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience