BAB 8

Family Completed 16150

Di depan jenazah Aiman dan Aimi aku rebah dan tidak sedarkan diri selepas itu. Aku kalah dengan ujian kali ini. Dugaan ini terlalu berat untuk ku tanggung namun aku juga tiada pilihan untuk menolak suratan takdir.

Kelmarin kami kebumikan Aiman dan Aimi, hari ini pula mayat Amran dan Aizat ditemui. Luluh hatiku melihat jenazah anak-anakku. Terasakan kehidupan ini sudah tiada ertinya lagi. Empat orang anakku yang paling mendengar cakap dan selalu memberi aku bahagia kini sudah diambil kembali dariku.

Suamiku juga walau nampak berwajah tenang tapi aku tahu hatinya juga hancur dengan kehilangan anak-anak kami.

‘’Kita buat tahlil di surau sajalah malam ni. Minta tolong Long Dan buat apa yang patut. Abang bagi ja la duit kat Long. Imah letih sangat la abang. Imah rasa macam nak tidur ja macam tak nak bangun-bangun lagi dah.’’ Aku bersuara malas.

Aku tiada mod untuk melakukan sebarang kerja rumah. Aku biarkan saja saudara mara yang melakukan semua kerja. Sesekali aku arahkan Aina membantu mereka.

‘’Jangan cakap sebarangan Imah! Kita ada agama!!’’ tegas suara suamiku.

Aku terkejut kerana suamiku tidak pernah berlaku tegas sebelum ini.

‘’Apa kena mengena dengan agama pulak. Imah letihlah abang!’’

Aku membentak keras. Entahlah! Hari ini jiwaku walang. Hati aku perit. Bila suamiku berkata begitu aku rasa tercabar seolah aku ni manusia yang tak reti nak bersyukur. Salahkah kalau aku nak berkeluh kesah?

‘’Sabaqlah! Kita ada lagi Aina dengan Aerie. Jangan biarkan depa terabai kerana Aiman, Aimi, Am dan Ijat dah tak dak.’’

Suamiku memintas kata-kataku. Aku mendengus keras mendengar kata-katanya itu. Aina? Airie? Mereka selalu buat aku menangis. Tak seperti empat orang anak-anakku yang lain.

Aina baik cuma dia langsung tak boleh ditegur. Setiap kali aku menegur kesalahannya, dia akan membentak dan merajuk. Selepas itu berhari-hari dia akan mogok suara denganku. Airie pula tak betah tinggal di rumah, mungkin dia kecil hati denganku kerana aku lebih memberi perhatian terhadap Aimi. Aku tak pasti dengan perasaan dan kehendak hatinya. Dengan mereka berdua air mataku lebih banyak mengalir. Inilah ujian Allah untukku saat ini. Yang selalu memberi aku kebahagiaan sudah diambil kembali. Allah tinggalkan untukku anak-anak yang banyak memberi cabaran untukku. Aku tak tahu sejauh mana aku mampu bertahan!?

‘’Tak sama bang!’’ aku menjawab perlahan.

‘’Awak ni, dengar Aina nanti tentu dia kecik hati!’’

Suamiku membalas sambil meninjau keadaan sekeliling. Risau agaknya kalau Aina ada berdekatan.

‘’Dahlah! Malas nak cakap dengan abang ni. Asyik nak menangkan anak-anak ja. Kalau anak-anak buat salah, bukannya abang nak tegur. Imah pun dah letih nak menegur terutama Aina tu.

Pantang ditegur sikit, muncungnya mengalahkan muncung cerek. Dah tu merajuk, dengan Imah pun tak mau nak bercakap. Tak reti nak minta maaf pulak tu. Aiman tu mana penah buat benda yang tak betoi. Aimi, O.K.U dia pun dia dengar cakap.’’

Air mataku sudah mula gugur sehabis aku meluahkan suara hatiku. Suamiku mendengus keras.

‘’Dahlah! Dengan anak-anak pun nak kecik hati. Ingatkan anak-anak yang tak cerdik, rupanya mak budak lagi tak cerdik. Kita cuma ada Aina dengan Aerie ja la ni, jagalah hati depa sama!’’

‘’Habih, hati Imah ni sapa nak jaga?’’ aku membidas pantas.

Suamiku tidak membalas kata-kataku, malahan dia terus berlalu meninggalkan aku terkebil-kebil seorang diri. Teruk sangat ka aku ni? Aku bersoal jawab di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience