Bab 4 : Pendakwa Raya

Adventure Completed 1374

BAB 4 - PENDAKWA RAYA

“Pang!”

Beberapa keping gambar terkeluar dari sampul surat berwarna coklat apabila seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an mencampak sampul tersebut di atas meja berhadapan dengan seorang gadis.

“Ini beberapa gambar pendakwa raya yang ada di Malaysia. Apalah nak jadi dengan kau ni. Nak buat aduan pun pilih rupa,” geram wanita itu.

“Hehe. Terima kasih, cik Hazimah. Mestilah kena pilih rupa, kak. Barulah terasa selamat,” balas gadis itu.

“Apa-apa jelah, Sya. Cepatlah pilih pendakwa raya tu,” malas Hazimah melayani modelnya, iaitu Shasya Edrina.

Gadis itu sering menerima surat dan panggilan daripada orang yang tidak dikenali. Mesej yang disampaikan berunsur gangguan seksual. Oleh itu, Hazimah membuat keputusan untuk mencari pendakwa raya atau peguam yang boleh membantu modelnya itu kerana mereka sudah mengetahui identiti orang yang bertanggungjawab dalam kejadian itu. Namun, Shasya Edrina membuat syarat iaitu ingin memilih sendiri peguamnya berdasarkan rupa paras. Terpaksa pengurusnya memenuhi permintaan itu demi keselamatan modelnya.

Shasya Edrina membelek satu per satu gambar tersebut. Secara tiba-tiba, matanya tertumpu pada sekeping gambar. Seorang jejaka yang bercermin mata, berkot biru gelap dan pakaiannya serta rambutnya amat kemas.

“Dah kenapa kau senyum sorang-sorang?”

Tersentak gadis itu apabila disergah oleh Hazimah. Dia tidak menyedari dirinya sedang tersenyum.

“Kak, saya nak dia yang uruskan kes saya, boleh?” gambar yang dipegangnya kemudian dihulurkan pada pengurusnya.

“Dia ke? Baiklah. Saya uruskannya sekarang,”

Seraya itu, Hazimah keluar dari bilik persalinan Shasya Edrina. Gadis yang bertudung itu mula tersenyum sambil termenung. Dia pun pelik dengan perasaannya ketika itu.

Jam menunjukkan sudah pukul 3 petang. Seorang jejaka yang duduk di dalam sebuah restoran memandang jam pada tangannya.

“Maaf sebab kami lambat,” pandangan dialihkan pada dua tubuh yang berada di hadapannya.

Jejaka itu berdiri dan memandang kedua-dua orang yang berada di hadapannya.

“Tidak mengapa. Saya yang datang awal tadi. Jemput duduk, cik berdua,” pelawa jejaka itu.

“Sya, duduk!” tersentak Shasya Edrina dengan sergahan Hazimah kerana ralit memandang wajah kacak jejaka itu.

Pantas kerusi ditarik dan dilabuhkan punggungnya di atas kerusi.

“Jadi, boleh saya tahu nama ‘client’ saya?” soal jejaka itu.

“Baiklah. Nama saya Hazimah, pengurus kepada model terkenal ni, cik Shasya Edrina. Baru-baru ni, dia sering menerima surat dan panggilan dari orang yang tidak dikenali. Ini rekod dan surat yang dia terima,” beg yang dipegang oleh Hazimah diletakkan di atas meja.

Jejaka itu membaca surat tersebut.

“Nampak macam serius kes ini. Baiklah. Saya akan siasat kes ini dengan lebih lanjut,” ujar jejaka itu.

“Dring dring!”

“Maaf. Saya nak jawab panggilan ini sebentar,” pinta Hazimah sebelum beredar dari situ.

Shasya Edrina merenung jejaka di hadapannya.

“Cik? Cik ok ke ni?” pelik jejaka itu dengan pandangan gadis tersebut.

“Siapa nama encik?” tanya Shasya Edrina dengan lembut.

“Oh. Maaf sebab saya terlupa memperkenalkan diri saya. Nama saya Ismail Razak. Boleh panggil saya..,”

“Raz..,” terkejut jejaka itu apabila Shasya Edrina memotong percakapannya.

“Macam mana cik tahu nama panggilan saya semasa saya belajar dulu?”

“Hah? Eh? Maaf. Saya teka saja. Hehe,” tersengih Shasya Edrina.

“Hahaha. Hebatlah tekaan cik,” geli hati Ismail Razak.

Dari jauh, seseorang sedang meemrhatikan mereka berdua dengan perasaan yang marah dan cemburu.

“Maaf sebab saya lambat. Jadi, bagaimana encik? Ada apa-apa yang kami perlu lakukan untuk siasatan encik?” kata Hazimah.

“Setakat ini tiada apa-apa lagi,” balas Ismail Razak.

“Baiklah kalau begitu. Kami minta diri dulu,” pinta Hazimah.

“Assalamualaikum,” senyum Shasya Edrina pada jejaka itu.

“Waalaikummusalam. Hati-hati,” balas jejaka itu.

Shasya Edrina dan Hazimah keluar dari restoran itu manakala Ismail Razak sedang memasukkan beberapa dokumen ke dalam beg kertas.

“Alamak! Kak, Sya tertinggal sesuatu kat restoran. Nanti Sya datang balik,” pantas gadis itu berlari masuk ke dalam restoran.

“Sya! Aduh budak ni,” mengeluh Hazimah.

Gadis itu bukan tertinggal barang sebenarnya. Tetapi, dia ingin berjumpa dengan jejaka yang telah memikat hatinya itu. Hazimah yang sudah faham dengan kelakuan modelnya masuk ke dalam kereta.

Shasya Edrina berjalan sambil tersenyum. Namun, senyuman mula hilang apabila ternampak seseorang yang berhud hitam mendekati jejaka pujaannya sambil membawa pisau. Laju langkah gadis itu mendekati Ismail Razak.

“Raz!” jeritan Shasya Edrina menyebabkan jejaka itu menoleh.

“Hati-hati!” amaran tersebut menyedarinya bahawa dirinya di dalam bahaya.

“Berani kau dekati cinta aku!” pisau dihunuskan ke depan.

“Ahh!” kedengaran jeritan pelanggan di situ.

Mata Shasya Edrina terbeliak apabila melihat darah mengalir.

“Pang!”

Ismail Razak memusingkan tangan penyerang itu sebelum memukul belakang leher menyebabkan penyerang itu pengsan. Gadis itu terus mendekati Ismail Razak yang sudah terduduk.

“Raz…,” menangis Shasya Edrina.

“Jangan risau. Saya…tidak ada apa-apa, Ed,” senyum jejaka itu.

Terkejut Shasya Edrina apabila nama panggilannya yang sudah tidak digunakan lagi disebut oleh jejaka pujaannya.

Tidak lama kemudian, ambulans dan polis tiba di restoran. Terkejut Hazimah apabila mendapat tahu situasi tersebut. Ketika Ismail Razak dirawat, Shasya Edrina berbual-bual dengan Hazimah di luar wad.

“Maafkan saya, kak,” tunduk gadis itu.

“Betul ke Sya sudah buat keputusan ni? Sya dah fikir masak-masak ke?” sedih Hazimah.

Dia tidak sangka gadis itu akan membuat keputusan untuk berhenti menjadi model. Sebelum ini, pelbagai kejadian telah berlaku menimpa dirinya namun gadis itu masih meneruskan kerjayanya.

“Sya dah fikir masak-masak, kak. Terima kasih kak atas jasa dan pengorbanan kak selama ini. Terima kasih kerana menerima Sya menjadi model dan sabar melayan karenah Sya selama ini,” dia memeluk Hazimah dengan erat.

Dia sudah menganggap Hazimah sebagai kakak kandungnya. Walaupun ibu bapanya melarang dia menjadi model, namun dia tetap meneruskan kerja itu dengan sokongan Hazimah.

“Baiklah. Saya akan menghormati semua keputusan Sya,” balas Hazimah.

“Terima kasih, kak,” ceria muka Shasya Edrina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience