BAB 6 - PERTEMUAN
“Emm?”
Shasya Edrina terjaga dari lenanya apabila cahaya matahari memancar pada wajahnya. Bingkas dia bangun dan memandang jam pada dinding biliknya. Sudah pukul 9 pagi.
Memandangkan dia tidak boleh solat, dia tidak bangun ketika azan Subuh berkumandang seperti kebiasaan. Tubuh diregangkan.
“Sedapnya dapat tidur. Dah lama tidak tidur lena macam ni,” ceria muka Shasya Edrina.
Dia turun dari katil dan mencapai tuala menuju ke bilik mandi. Selesai membersihkan diri, dia membuka pintu biliknya. Langkahnya berhenti apabila mendengar suara yang tidak dikenali dari ruang tamu bawah. Dia masuk semula ke dalam bilik untuk menyarung tudung.
“Selamat pagi, mama,” tubuh ibunya dipeluk dari belakang.
“Terkejut mama. Baru bangun ke anak mama ni?” usik Datin Norliza.
“Hehe. Ed penat sangat mama. Maaf sebab tak bantu mama masak sarapan. Ma, siapa yang datang?” balas Shasya Edrina.
Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan mencapai segelas cawan.
“Tak apa. Mama faham. Rombongan meminang datang, Ed,”
“Puh!”
Tersembur air yang diminumnya apabila mendengar jawapan ibunya.
“Siapa ma?”
“Nanti Ed tahulah. Mari kita pergi ke depan sekarang. Mereka nak berjumpa dengan Ed tadi,” ajak Datin Norliza.
“Tak naklah, ma. Ed seganlah,” merah muka Shasya Edrina ketika itu.
“Ish kamu ni. Benda baik, buat apa nak malu. Mama nak hantar minuman ni. Nanti Ed pergi ke ruang tamu tau,” pesan Datin Norliza sebelum beredar dari dapur.
“Siapa pula datang meminang ni?” runsing Shasya Edrina.
“Macam mana kalau lelaki tu nak pergunakan keluarga Ed? Macam mana kalau dia tak terima Ed?”
“Saya terima semuanya, Ed,” tersentak Shasya Edrina apabila mendengar suara lelaki yang amat dikenalinya.
Pandangan dialihkan memandang wajah seseorang yang muncul di pintu dapur.
“R..Raz?” terbeliak mata Shasya Edrina.
“Ed..bermimpi ke?” keliru Shasya Edrina.
Geli hati Ismail Razak melihat gadis itu. Dia mendekati gadis itu namun masih ada jarak di antara mereka. Dia duduk berhadapan dengan gadis itu.
“Ed, saya ikhlas menerima awak. Sudi tak awak menerima saya menjadi suami awak?” terkedu Shasya Edrina.
Betulkah apa yang didengarinya? Jejaka pujaannya melamar dia?
“A..awak serius ke, Raz?”
“Saya serius, Ed. Saya sudah jatuh hati dengan awak, Ed. Saya yakin bahawa awaklah pemilik tulang rusuk kiri saya. Apa jawapan awak, Ed?”
Air mata Shasya Edrina mengalir. Dengan perlahan-lahan, dia menganggukkan kepalanya.
“Alhamdulillah,” lega Ismail razak.
“Tahniah, abang Raz, kak ipar!” muncul Isma Rayza dan terus memeluk tubuh Shasya Edrina.
Seluruh keluarga Ismail Razak dan Shasya Edrina muncul di muka pintu dapur sambil tersenyum. Mereka mendengar segala-galanya.
**********
Akad nikah yang berlangsung berjalan dengan lancar. Shasya Edrina sah menjadi isteri kepada Ismail Razak.
“Kamu berdua tukar baju di atas dulu. Biar kami melayan tetamu,” arah Puan Zaida, ibu mertua Shasya Edrina.
“Betul tu. Jangan lama-lama di atas. Tetamu ramai ni,” usik Datin Norliza.
Merah muka pasangan pengantin baru itu. Mereka masuk ke dalam bilik Shasya Edrina yang berada di tingkat satu.
“Terima kasih sayang kerana menerima abang sebagai suami,” luah Ismail Razak.
“Terima kasih juga abang kerana menerima sayang sebagai isteri,” balas Shasya Edrina.
Mereka berpelukan sebentar.
“Mari kita tukar baju dulu. Nanti kita ada tetamu ‘istimewa’,” kata Ismail Razak sambil mengenyitkan matanya.
“Apa-apa jelah, abang,” balas Shasya Edrina dengan malas.
Jika melayan karenah suaminya, lambat pula mereka akan turun nanti.
Selepas itu, mereka turun ke bawah menuju ke pelamin dengan memakai baju persandingan yang berwarna biru muda. Selesai bergambar, mereka menjadi penyambut tetamu untuk menggantikan ibu bapa mereka untuk solat Zuhur.
“Tahniah, Ed dan Raz,” ucap pelawat yang datang.
“Terima kasih. Maaf. Siapa ye?” keliru Shasya Edrina melihat pasangan yang berdiri di hadapan mereka.
“Ini Syaza dan ini suaminya, Akil. Terima kasih korang sebab datang. Maaf sebab tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan korang,” Ismail Razak dan Nik Akhil saling berpelukan.
“Ed, Syaza nak peluk, boleh?” pinta Siti Syazanah.
Shasya Edrina memandang suaminya. Melihat anggukan suaminya, dia turut menganggukkan kepala pada Siti Syazanah.
Tersenyum Siti Syazanah lantas memeluk tubuh gadis itu. Dia amat merindui gadis yang sentiasa ceria itu. Air matanya mula mengalir tanpa disedari.
“Syaza rindukan Ed sangat. Terima kasih Ed. Akhirnya, kita bertemu juga,”
Mendengar suara sebak gadis itu, Shasya Edrina turut menangis.
“Janganlah cakap macam tu. Kenapa cik menangis ni?” risau dia sambil mengesat air mata gadis itu.
Tersenyum Siti Syazanah. Pelukan dilepaskan manakala tangan mereka saling berpautan.
“Tak ada apa-apa, Ed. Nanti kita berjumpa lagi ye,” balas Siti Syazanah.
“Baiklah. Kami pergi dulu, Raz. Apa-apa pun, selamat pengantin baru, Raz, Ed. Oh. Ini alamat dan kunci rumah. Kami harap dapat bertemu dengan korang semula di tempat ni,” kata Nik Akhil sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Ismail Razak.
“InsyaAllah, Akil. Nanti apa-apa, saya telefon Akil. Terima kasih datang ke majlis kami, Akil, Syaza,” senyum Ismail Razak.
“Sama-sama. Terima kasih juga kerana menjemput kami,” balas Nik Akhil.
Kemudian, mereka mula berpisah. Nik Akhil dan Siti Syazanah berjalan meninggalkan majlis menuju ke tempat letak kereta.
“Sabarlah, sayang. Ed kan masih tiada ingatan pasal kita,” pujuk Nik Akhil apabila menyedari wajah muram isterinya.
“Saya faham, abang. Maaf sebab sayang merisaukan abang pula,” balas Siti Syazanah sambil mengukir senyuman yang pahit.
“Syaza!” langkah Siti Syazanah terhenti dan pantas dia menoleh ke belakang.
Namun, tiada sesiapa di situ.
“Kenapa ni, sayang?” risau Nik Akhil dengan kelakuan isterinya.
“Tak..tak ada apa-apa, abang. Silap dengar kut,” balas Siti Syazanah.
Dia sambung melangkah mendekati suaminya.
“Syaza!”
Dia kembali memalingkan tubuhnya dan berjalan menjauhi Nik Akhil. Dia mencari arah suara yang memanggilya. Nik Akhil terus mendekati isterinya.
“Syaza!” kepala ditolehkan ke arah lorong kirinya. Dia ternampak seorang gadis sedang berlari mendekatinya.
Air mata Siti Syazanah mengalir lalu terus berlari ke arah gadis itu. Mereka saling berpandangan sebelum berpelukan antara satu sama lain. Terbeliak mata Nik Akhil.
“Ima rindukan Syaza,” mengalir air mata gadis itu.
“Syaza pun rindukan Ima juga. Tapi, macam mana…bagaimana..?” teragak-agak Siti Syazanah.
“Kami dah ingat semuanya,” seorang jejaka mendekati mereka bertiga.
“Izan?” serentak Siti Syazanah dan Nik Akhil melihat jejaka itu.
“Hei, Akil. Akhirnya, kau kahwin juga dengan Syaza ye. Tak sia-sia usaha kau,” usik Tengku Ehsan sambil menumbuk dada Nik Akhil dengan lembut.
“Jap. Macam mana korang boleh ingat?” keliru Nik Akhil.
Nur Halimah dan Tengku Ehsan saling berpandangan. Kemudian, mereka serentak ketawa. Pelik Nik Akhil dan Siti Syazanah melihat mereka.
Share this novel